Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 36

“KITA nak buat apa dekat sini?” soal Hannah sebaik sahaja pintu kereta dibuka oleh Aril.

“Kita dekat mana sekarang ni?”

“Klinik,” Hannah menjawab lurus.

“Habis tu? Ke kliniklah, tak kan nak ke disko kan dengan kaki tempang awak ni. Boleh jalan ke tak ni? Tak larat saya nak dukung. Patah pinggang saya nanti,” Aril berceloteh.

“Awak kalau tak ikhlas, tak payah tolong! Saya boleh ke klinik sendiri!” Hannah tiba-tiba emosi.

“Marah-marah cepat tua. I’m sorry.” Bisik Aril ke telinga Hannah seraya mencempung badan wanita itu. Api kemarahan Hannah serta-merta padam tatkala Aril buat begitu. Kebelakangan ini, kerap benar dia berperasaan begini. Sudah berkali-kali dia menafikan yang dia sudah jatuh hati terhadap Aril. Tidak mungkin secepat ini.

Hannah diletakkan di di kerusi sementara Aril mendaftarkan namanya di kaunter. Kini siapa yang melayan siapa? Bukankah Aril klien Hannah? Sekarang ni, Hannah rasa seperti terbalik pula. Hannah memerhatikan Aril. Sikap prihatin Aril membuatkan dia lemah. Bau minyak wangi yang dipakai Aril melekat di rongga hidungnya. Bisikan halus Aril terngiang-ngiang di telinganya.

Hannah serta-merta membuang pandangannya ke tempat lain saat Aril berpaling dan menuju ke arahnya. Sementara menunggu giliran Hannah, sepi mengisi ruang tunggu itu. Aril mahupun Hannah tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun.

Tiba giliran Hannah, Aril sekali lagi mencempungnya ke bilik doktor. Hendak tunggu Hannah berjalan setapak demi setapak memang tidak sampailah gamaknya. Dia turut masuk ke dalam bilik doktor. Wajahnya yang tenang membuat Hannah sedikit geram. Tidak sekelumit perasaan bersalah pun bersarang di hatinya?

“MACAM mana boleh jadi begini?”

Tawa Aril yang seumpama jawapan bagi soalan doktor itu menyakitkan hati Hannah. Luka Hannah dibersihkan dan kakiku disapu krim sebelum dibalut. Hannah sempat dipesan agar tidak banyak berjalan dan banyak berehat kerana kondisi kakinya agak parah kerana ia mula membengkak.

Selesai saja doktor merawatHannah, kedua-keduanya kembali ke ruang menunggu. Tatkala namanya dipanggil, Hannah bersusah-payah berdiri. Aril yang disebelah cepat menangkap apabila Hannah hilang imbangan diri.

“Nak pergi mana ni?” tanya Aril sedikit geram. Bukankah doktor sudah bilang agar jangan terlalu banyak berjalan. Degil budak satu ni!

“Nak bayarlah. Eh...mana beg saya ya?” baru dia teringat yang beg tangannya tiada dengannya sekarang. Aduh, macam mana nak bayar bil? Takkan nak suruh Aril bayar dulu?

“Duduklah saya bayar.”

Hannah hanya membiarkan Aril membuat bayaran dan mengambil ubat. Pada waktu-waktu begini, Aril tidaklah sesebal mana. Berperasaan juga dia ni.Hannah disuruh tunggu di luar klinik manakala Aril pergi mengambil kereta. Dengan penuh hati-hati Hannah masuk ke dalam perut kereta. Kakinya yang dibalut masih terasa perit. Jika boleh dia tidak mahu jejak lantai pun!

DI rumah, Hannah jalan terjingkit-jingkit untuk menaiki ke bilik. Dia tidak mahu didukung oleh Aril lagi untuk kali ke berapa hari ini. Aril ke dapur untuk mengambil sesuatu. Sekembalinya dia di ruang tamu, dia melihat Hannah baru di anak tangga yang kedua.

Tangannya laju mencempung badan Hannah untuk mempersenangkan isterinya menaiki ke bilik. Meronta-ronta Hannah meminta dilepaskan. Biarlah dia naik lambat seperti kura-kura, sekurang-kurangnya dia tidak meminta bantuan Aril.

Stay still atau kita sama-sama jatuh.” Tegas Aril sebelum meneruskan langkah naik ke bilik.

Hannah memandang tajam wajah Aril. Ingat dia takut ke dengan gertakkan Aril?

“Nak ke saya jatuhkan sekarang?”Aril mengacah, melonggarkan sedikit dukungan itu. Panik, Hannah terus berpaut kuat, membuatkan Aril tersenyum menang.

Dia membuka pintu bilik dan meletakkan Hannah perlahan di atas katil. Kemudian Aril menghilangkan diri buat seketika. Sekembalinya dia di bilik itu, dia memegang jag air dan sebuah cawan.

“Kenapa bawa naik semua ni? Kalau saya nak, saya turunlah...” tanya Hannah dingin.

“Awak kan sakit, mana boleh gerak sangat kaki tu?”

“Sebab ada orang tu bergurau tak bertempat.” Balas Hannah laju.

“Saya dah minta maaf kan. Awak ingat saya tak rasa bersalah ke?”

“Oh, sebab rasa bersalahlah awak buat semua ni?”

Aril mengganguk perlahan.

“Kalau macam tu, hari-hari saya nak buat awak bersalah.” Hannah bersuara. Tiba-tiba saja dia dapat cadangan yang bagus.

“Amboi, manja rupanya Hannah Natasha ni. Tak ada maknanya. Lagipun tadi salah awak juga sebab undur tak toleh belakang.” Bangkang Aril, menolak kesalahan itu kepada Hannah pula.

“Apa...tunggu. Saya salah?” Hannah seperti kurang jelas dengan kata-kata Aril sebentar tadi.

“Yalah...”

“Awak tahu tak, kalau tak ada orang yang takutkan saya dengan kucing tadi, saya tak akan undur ke belakang. Dan kalau saya tak undur ke belakang, saya tak akan jatuh ke dalam longkang. Jadi sekarang ni, salah siapa?” ngomel Hannah. Panas hati dia sekejap apabila Aril katakan itu salah dia.

Aril menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Kemudian dia berdehem. “Salah saya.”

“Ulang sekali lagi, tak dengarlah. Salah siapa?” Hannah sengaja buat-buat tidak dengar. Dia mendekatkan telinganya bagi pendengaran jelas.

“Salah saya...”jawab Aril lambat-laun dengan suara yang sedikit kuat.

Hannah tersenyum puas. Ingat dia seorang saja yang pakar mengenakan orang? Hey,silap oranglah. Sekali-kali nak juga dia merasa membeli Aril. Nak juga dia melihat wajah malu, marah dan ketat Aril.

Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.