Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 15

JIKA dulu, dia selalu memandang sekeliling untuk mengelakkan diri daripada Aril, hari ini dia cuba sedaya-upaya agar tidak terserempak dengan sesiapa yang kenal dengan dirinya. Andai mereka nampak dia memasuki kereta Aril, habis kecohlah satu kafe esok. Sudahlah tadi selepas makan tengahari dia ditemu ramah oleh Faz dan Nabil.

Tidak sanggap menjawab soalan-soalan propaganza mereka lagi esok. Ini semua Aril punya pasal. Dia fikir dia bijak sangat ingin duduk semeja? Kan, dah terkena. Namun, Aril yang tidak berperasaan itu manalah ada impak apa-apa?

Cermin kereta BMW itu diketuk sebelum masuk. Nanti dikata tidak beradab pula main masuk saja kereta orang. Pintu yang tidak berkunci itu dibuka dan dia meloloskan diri dengan segera. Awal betul Aril keluar dari pejabat. Bagus jugalah, tidak usah dia bertapa di sebelah kereta Aril menunggu dia keluar dari pejabat.

Tidak sampai dua minit, kereta itu sudah bergerak meninggalkan kawasan pejabat. Akhirnya, hujung minggu yang dinanti-nantikan tiba jua. Bekerja memang penat. Rancangannya, dia ingin mengambil keretanya esok dan rehat di rumah. Tidak larat untuk kemana-mana.

“Esok awak kerja?” Aril bertanya.

“Tak.”

“Pergi mana-mana?”

“Tak.” Jawab Hannah sekali lagi. “Eh tunggu. Saya ingat nak ambil kereta saya esok.”

“Tak payah, ambil hari Ahad saja. Esok teman saya pergi majlis perkahwinan kawan saya.” Aril dengan selambanya membatalkan rancangan Hannah lalu menggantikan dengan atur caranya sendiri.

“Hah?! Buat apa? Awak ajaklah teman wanita awak ke kawan-kawan perempuan awak yang lain. Mesti ada banyak. Kenapa saya pula?” protes Hannah tidak setuju.

Ikut suka hati dia saja ingin menyuruhnya itu dan ini.

“Tak ingat dah apa awak kata dengan saya siang tadi?” Aril mengingatkan.

Hannah terdiam seketika, cuba mencari janji yang dimaksudkan Aril. Apabila teringat, dia marah dengan diri sendiri. Lancang betul lidahnya menjawab ketika Aril bertanya jika dia bekerja esok. Kalau dia jawab ya, habis cerita. Tidak usah ikut Aril ke majlis perkahwinan itu.

“Saya lupa.” Hannah menepuk dahi. “ Esok saya kena temankan abang saya pergi beli barang dia.” Hannah beralasan, berharap Aril akan membatalkan rancangan tersebut.

“Nanti saya jumpa abang awak, saya suruh dia ajak awak hari lain. Kalau nak saya temankan pun boleh.” Dengan selamba Aril menawarkan diri, menolak alasan pertama Hannah.

“Lepas ambil kereta, saya nak ziarah cucu mak Mah yang sakit tu. Saya tak boleh ikut awak.”

“Awak kalau pergi pun, cucu mak Mah bukan kenal awak.”

“Saya...”

“Dah, tak payah nak bagi alasan karut awak tu. Esok saya jemput awak pukul dua petang.” Ujar Aril.

“Alah...saya tak kenal pun kawan awak tu siapa.”

“Tak apa, teman saya aje dah cukup.”

“Balas cara lain tak boleh?” Hannah cuba menawar. Moga-moga Aril akan pertimbangkan cara lain untuk dia membalas budi lelaki itu.

“Tak boleh.”

Sedar tidak sedar, mereka sudah tiba di hadapan rumah Hannah. Tali pinggang keldar itu dilepaskan. Begnya dicapai, bersedia untuk keluar.

“Terima kasih sebab hantar saya balik.”

“Sama-sama. Selamat malam.”

Hanya itu dijawab Aril. Setelah memastikan Hannah selamat masuk ke dalam rumah, dia terus memandu pulang ke rumah. Dia bukannya ingin memaksa Hannah tetapi ini saja cara yang akan membuatkan Hannah keluar bersamanya.

SETELAH segar mandi di bawah pancuran air sejuk, Aril membentang sejadah untuk solat Isyak. Usai solat, dia terbaring di atas katil yang empuk itu. Ruang ingatannya diisi dengan wajah Hannah. Bagaimana Hannah menolak mentah-mentah ajakkannya, bagaimana Hannah protes dengannya waktu makan tengahari tadi.

Telefon bimbitnya yang terletak di atas meja sisinya, dicapai. Jarinya laju menaip sesuatu. Namun belum sempat dia menekan butang hantar, telefonnya berbunyi tanda ada mesej yang masuk.

Saya akan ikut awak ke majlis itu, tapi dengan syarat.

Kening Aril terangkat. Hebat Hannah ni. Macam tahu-tahu saja aku nak mesej dia. Guna isyarat hati ke?

Okey. Apa dia?

Seketika kemudian, telefonnya berbunyi lagi.

Pakai baju kurung Melayu, lengkap dengan songkok dan samping.

‘Hah? Biar betul dia ni? Selalu aku ke majis kahwin pakai seluar dan kemeja saja. Tak ada pun umi nak bising?’ Bulat mata Aril membaca isi mesej tersebut sehingga telefon itu terlucut dari tangan, tepat mengena wajahnya. Sempat dia mengaduh keaskitan. Nasib baiklah tidak kemek hidungnya yang mancung ini.

Kenapa? Bukan saya yang nak kahwin...

Otaknya ligat memikir baju kurung apa yang dia ada. Dia bangkit menuju ke almari. Satu-persatu baju yang disangkutnya, diselak. Apabila tanda mesej itu berbunyi, dengan cepat dia mencapai telefonnya. Tidak sabar menanti jawapan Hannah.

Take it or leave it. Saya masih ada banyak lagi kerja nak buat selain temankan awak ke majlis tu.

‘Wah, wah, wah. Dah pandai ugut aku sekarang? Tak apa, kali ni aku bagi peluang.’

You’ll be impressed.

Dia menekan butang send dengan geram. ‘Satu kerja pula aku nak kena cari baju kurung, samping dan songkok. Tidak mengapa, cabaran itu akan ku sahut dengan sempurna.’

‘Hish Aril! Boleh pula kau mengalah dengan minah tu? Seronok sakanlah tu sebab dia menang kali ini.’ Baju kurung warna apa ya? Serabut kepala ini hendak memikirkan baju yang harus dipadankan dengan samping.

HANNAH tersenyum menang membaca balasan Aril. Katakanlah dia ini pelik tetapi dia memang suka melihat lelaki berbaju kurung, samping dan songkok. Tampak segak dan sangat kemelayuan. Terserlah ciri-ciri lelaki Melayu terakhir di dalam diri mereka.

Sama seperti Aril, dia juga ligat mencari baju kurung yang sesuai untuk ke majlis resepsi itu. Apa yang dia tahu, majlis itu akan diadakan di hotel. Kaya betul kawan Aril ni! Segan pula terasa untuk hadiri majlis itu. Siapa dia dibandingkan dengan mereka?

Setelah berjaya memilih baju yang dan dipadankan dengan selendang yang sesuai, dia ke bilik tengah untuk menggosok baju itu. Malam-malam sebegini, tidak usahlah menyusahkan mak Mah. Lagipun itu baju dia, dialah yang perlu gosok.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.