Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 34

AWAK, awak bangunlah...” Hannah menggoncang badan Aril perlahan, mengejutkan lelaki itu.

Aril membuka matanya dalam keadaan mamai.

“Eh, apa awak buat sebelah saya ni?” Aril pura-pura terkejut. Sebenarnya, dia saja menanya soalan itu kepada Hannah walhal dia yang memanjat naik ke katil itu semalam.Dia mahu melihat reaksi Hannah tatkala dia bangun nanti.

“Awak tanya saya apa saya buat?” Hannah seakan tidak percaya soalan itu keluar dari mulut Aril.

“Yalah, ni katil saya. Ni bilik saya.” Ujar Aril, menahan tawa.

“Eiiii!!!” Hannah memukul-mujul badan Aril geram.

“Eh, sakitlah!” Aril menangkap tangan Hannah supaya wanita itu berhenti memukulnya.

“Awak ni kan...”

“Janganlah takut. Saya tak buat apa pun. Eh tunggu, saya lupalah.” Sakat Aril, buat-buat lupa membuatkan Hannah terlopong mendengar pernyataan itu.

“Tapi kalau buat apa-apa pun, tak salah rasanya.” Galak Aril mengusik.

“Aril!” Hannah terjerit kecil, matanya mengecil memandang Aril.

“Awak bukan tidur bawah ke semalam?”

“Siapa kata? Saya tak kata ya pun.” Balas Aril.

“Awak ni gilalah!” bentak Hannah geram.

“Saya gila sebab ada orang buat saya gila.” Aril tersenyum tatkala Hannah berjalan ke arah pintu. Dia mencapai satu bantal dan melempar ke arah Hannah.

Malangnya, ia terkena badan Hannah, membuatkan Hannah terdorong sedikit ke hadapan, terhantuk di pintu almari. Marahnya semakin membuak. Bantal itu kemudian dicampak kasar ke arah Aril. Pagi-pagi sudah membuat dia marah. Rasa hendak henyak-henyak saja lelaki itu.

“Lagipun buat apa saya nak tidur bawah? Tak selesalah sayang. Kalau dekat katil ni, empuk, ada bantal peluk percuma...” Aril memeluk pinggang Hannah dari belakang.

Saat itu, jantung Hannah berdetak pelbagai rentak. Perutnya bagaikan penuh dengan kupu-kupu. Ada sesuatu perasaan asing menerjah ke jiwa.

“Aril, janganlah macam ni.” Hannah cuba melepaskan pautan Aril.

I love it when you blush, sayang.”

Malu, wajah Hannah merona merah. Aril, lelaki yang berjaya membuatkan seorang wanita yang lemah saat berhadapan dengannya.

“Saya nak mandi dulu.” Hannah meminta diri, berharap Aril akan melepaskan kali ini.

Mendengar kata-kata Hannah, Aril tertawa. Melihat kerutan di wajah Hannah, tawanya semakin galak. Geram, Hannah menekup mulut Aril.

“Hish awak ni! Malulah sikit dengan umi dengan abah. Apa yang kelakar sangat hah!” Hannah mengomel geram.

“Sayang, kenapa awak nak malu dengan saya lagi? Hmm? Sampai dah mandi pun kata belum mandi? Agak-agaklah alasan awak tu.” Ujar Aril, tersenyum memandang wajah wanita di hadapannya.

Hannah menelan liur. Ingin sahaja dia menepuk dahi. Malu bertingkat-tingkat dia kepada Aril. Tidak tahan, dia terus keluar dari bilik. Ya ALLAH! Di mana hendak letak muka ini pun dia tidak tahu. Dia menyepak wajahnya sekali dua. Kalutlah kau ni Hannah Natasha!

Pagi itu, umi menawarkan untuk membuat sarapan. Hannah tidak membantah tetapi dia meringkan tulang menolong umi. Jika ada tips-tips yang boleh digunakan, dia ambil sebagai pelajaran. Menu sarapan pagi ini agak berat. Kata umi, dia masak istimewa untuk Aril dan juga Hannah. Mi rebus, kegemaran Aril. Terliur Hannah mendegarnya.Mujur semua bahan ada di rumah.

Umi dan abah tidak berlama di rumah Aril kerana katanya ada urusan lain yang perlu diselesaikan. Usai sarapan, mereka berangkat pulang. Walaupun pada mulanya Hannah agak takut untuk menerima kedatangan mertuanya, kini dia sedih melihat mertuanya pulang. Umi dan abah sangat baik terhadapnya.

ARIL tersandar di kerusi penat setelah pulang dari tapak projek. Cuaca di luar yang panas menduga imannya. Tidak baik merungut. Diberi panas, hendak hujan. Diberi hujan, hendak matahari. Ragam manusia memanglah begitu.

Ketukkan di pintu membuatkan Aril duduk tegak. Hadi rupanya. Lelaki itu masuk dengan membawa fail di tangan. Fail yang diminta Aril untuk disemak dan diperiksa. Aril menyelak satu-persatu kertas kerja itu.

“Projek yang dekat Taman Bayu tu macam mana? Ada masalah ke?”

“Setakat ni, semuanya berjalan dengan lancar. Kalau tak ada aral, insyaAllah boleh siapkan pada masanya.” Beritahu Hadi.

Aril mengganguk-angguk. Di luar, mereka berkawan. Di pejabat, Aril bosnya. Namun, kadang-kala tatkala bosan, berborak juga mereka di dalam bilik ini. Pada Hadi, Aril seorang bos yang amat bertanggungjawab dan professional ketika kerja. Baik terhadap semua staf dan juga memahami.

“Macam mana kahwin? Seronok ke tidak?” soal Hadi tiba-tiba.

Aril tergelak kecil. Teringat kejadian pagi tadi. Semakin galak Hannah marah, semakin seronok dia menyakat Hannah.

“Kau kahwinlah dulu, baru rasa seronok ataupun tak.” Aril menjawab soalan Hadi.

“Jawapan selamat tu. Aku tanya sikit, kau jangan marah ya. Kau kahwin dengan Hannah ni ada apa-apa ke? Terburu-buru aje aku tengok. Lagi satu, Sofea tahu ke kau dah kahwin?” bertalu-talu soalan diajukan kepada Aril.

“Cik Piah tu? Biarlah dia, bukan urusan aku pun. Pasal Hannah, kau pernah tak dengar istilah bercinta selepas kahwin?” Aril mengetap bibir, menahan serius.

“Oh kiranya kau nak cakap yang kau ni nak bercinta selepas kahwinlah.”

Aril mengganguk.

“Kau ni boleh masuk Maharaja Mega Lawak tau tak.” Sindir Hadi, membuatkan Aril tertawa riang.

“Lawak ke aku?”

“Lawak bodoh.” Perli Hadi, mencampak pen itu ke arah Aril. Bercakap dengan Aril ini, kadang-kadang buat hati kita yang sakit.

Interkom yang berbunyi itu menghentikan perbualan kedua lelaki itu. Aril menekan salah satu butang di telefon itu dan suara Nora kedengaran.

“Encik Aril, Cik Sofea ada dekat luar. Dia nak jumpa.”

Hadi menekup mulut menahan ketawa. Wajah Aril tidak usah digambarkan lagi. Ketat minta ampun!

“Suruh dia tunggu luar aje. Nanti kejap lagi saya keluar.” Arah Aril.

Setelah talian itu diputuskan, Hadi terus melepaskan tawanya. Tidak sangka sebut saja nama Sofea, orangnya akan muncul dengan segera. Magis.

“Engkau ni banyak telan air lautlah. Mulut kau masin sangat. Cuba kau balik, mandi air bunga. Dahlah, aku pun dah nak balik ni.” Sindir Aril.

Hadi dan Aril sama-sama keluar dari bilik itu. Melihat Sofea yang duduk bersilang di sofa luar, Aril jadi meluat. Tak faham-faham bahasa agaknya Sofea ni. Orang sudah tidak suka, masih mahu terhegeh-hegeh. Tidak faham dia dengan perangai Sofea ini.

“Aril...” Sofea menggedik, mendapatkan Aril.

“You nak apa datang sini? Kan I dah kata, jangan datang ofis I. You ni nak suruh pak guard tu seret you keluar ke baru you faham bahasa?” ujar Aril kasar.

“Aril, I balik London terus I cari you tau tak! Sampai hati you...” Sofea terasa hati dengan penerimaan Aril.

Sofea ialah seorang pramugari. Terbang ke sana ke sini. Namun, hatinya tetap untuk yang satu. Malangnya, Aril langsung tidak pandang sebelah mata pada gadis itu. Tidak guna cantik dihiasi mekap jika hati tidak bersih. Dia lebih rela memandang wajah Hannah yang tidak bermekap itu. Tetap manis dan ayu di matanya.

“Jom kita dinner!” ajak Sofea, cuba memujuk.

“I nak baliklah Sofea. Please.” Aril menolak ajakkan Sofea mentah-mentah.

“Alah sekejap pun jadilah...” rengek Sofea lagi.

“Sofea, I dah kata I tak nak kan? You nak I cakap bahasa apa baru you faham ni? India? Cina? French? Pilih mana satu.” Perli Aril. Menyampah dia dengan perangai Sofea yang tidak sudah-sudah ini.

Aril bersandar di keretanya, tidak berniat untuk memasukinya kerana dia tahu andai dia buka pintu kereta, pasti Sofea akan membolos ke dalam.

“You ni kenapa sombong sangat dengan I!” bentak Sofea. Beg tangannya dihayun memukul Aril.

“You tu dah kenapa. Dah kata berkali-kali masih tak faham. Baliklah Sofea, please.”

Benggang dengan perangai Aril yang bagai tidak mahu mengalah, Sofea terus berlalu pergi. Malangnya, dia terlanggar seseorang yang menambah amarahnya.

“Eh kau ni! Jalan pakai mata ke lutut!” jerit Sofea.

Hannah mengerut dahi. Apa kena minah ni? Dia yang langgar aku, dia yang sentap sendiri. Gila agaknya. Hannah memandang Aril dan bertanyakan siapa gadis itu tetapi Aril dengan cepat menyuruh Hannah memasuki kereta.

Bahu yang sakit dilanggar, digosok dengan perlahan. Itu ke kekasih Aril? Psikonya! Dia yang salah, dia salahkan orang lain. Tak faham dia dengan orang-orang ini. Mujurlah dia bukan seperti itu. Minta dijauhkan!

Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.