Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 25

ENTAH mengapa, perkara pertama yang dicari Hannah kala dia tiba di kafe adalah untuk mencari kereta Aril. Dia juga tidak faham dengan keiinginan hati. Dia cuba meningatkan dirinya tentang kejadian semalam tetapi gagal. Kereta Aril tiada di situ. Selalunya waktu sebegini, Aril sudah masuk pejabat.

Ingat wahai hati apa yang telah Aril lakukan semalam? Mengapa berkali-kali hati ini disakitkan dengan perlakuan Aril namun ia tetap tidak mampu membenci. Pintu kafe itu ditolak lemah. Semangatnya terbang.

Tadi pagi, dia menghidupkan telefonnya kembali. Walau tidak sangka, dia tidak terkejut dengan panggilan yang diterima oleh Haikal. Jika Haikal menggunakan kredit, sudah tentu kreditnya habis dek menelefon Hannah tidak henti. Dia diburu bersalah namun dia sedia menjawab apa jua soalan Haikal. Dia perlu bertanggungjawab atas kelakuannya. Pasti Haikal risau.

Pintu yang dibuka mengejutkan Hannah dari lamunan. Haikal. Hannah menarik nafas dalam. Dia yakin Haikal akan menembaknya dengan soalan-soalan dalam masa beberapa saat saja lagi. Wajah Haikal yang suram memberi Hannah tanda bahawa Haikal jelas menyimpan rasa.

“Hannah, duduk sini sekejap.”

Hannah tidak membantah. Dia meletakkan apronnya di atas kaunter dan menyertai Haikal. Kerusi ditarik dengan takut. Memandang Haikal pun dia tidak berani.

“Awak ke mana semalam menghilang macam tu saja? Puas saya cari awak,” Haikal memulakan bicara.

“Saya minta maaf, saya tahu saya salah. Semalam...” berat rasa hatinya mahu meneruskan kata-kata ini. Haikal, saya minta maaf. “Semalam saya terpaksa pergi sebab ada hal keluarga.”

Tidak berniat untuk menipu tetapi alasan apa lagi yang munasabah untuk diberi kepada Haikal? Mana mungkin dia kata dia keluar bersama Aril?

“Kenapa tak telefon beritahu saya? Saya telefon banyak kali awak tak angkat.” Haikal tidak pernah seserius ini. Wajarlah jika dia marah.

“Bateri handphone saya mati. Saya minta maaf. Saya tak berniat nak buat risau.” Aduh, bersalahnya dia berkata begini.

“Tak apalah, benda nak jadi nak buat apa kan? Tapi syukurlah awak selamat. Hal keluarga awak dah selesai?” kini baru Haikal berubah normal. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata kerana risaukan Hannah tetapi apabila Hannah sudah ada di depan mata, semua risaunya gugur.

“Dah. Terima kasih atas keprihatinan awak.” Itu sahaja yang mampu dibalas Hannah. Entah mengapa fikirannya teringatkan Aril. Dimana lelaki itu sekarang ini?

SUDAH tiga hari bayang Aril tidak kelihatan di mana-mana. Malah keretanya juga tidak diparkir di tempat selalu. Marahkah Aril terhadapnya? Ya, dia sedar dia sudah terkasar bahasa. Dia tidak sepatutnya berkata begitu kepada Aril. Dia hanya memikirkan perasaannya sendiri sehingga lupa dia telah menggoreskan hati orang lain.

Aril juga tidak datang ke kafe dalam beberapa hari ini. Memanglah dia tidak selalu ke sini tetapi dua kali dalam seminggu, pasti dia akan menjenggah. Hannah cuba datang ke kerja lebih awal daripada biasa untuk menunggu Aril datang tetapi hampa. Pada waktu makan tenghari, dia memilih untuk tinggal di kafe kerana takut Aril datang tetapi dia tiada.

Aneh bagaimana dia boleh marah tetapi mengharapkan lelaki itu hadir di dalam hidupnya. Dia malu untuk mengaku tetapi dia rindu gurau senda Aril, saat-saat Aril menyakatnya, memarah dan membentaknya. Dia terasa hilang tanpa Aril untuk seketika. Dia nekad. Dia harus bersemuka dengan Aril.

HANNAH menanti penuh debar untuk Aril keluar dari bangunan pejabatnya. Hannah mengerling ke jam tangannya. Sudah pukul enam. Selalunya dalam jam-jam sebeginilah Aril akan tamat kerja. Lenguh tengkuknya menoleh setiap kali ada orang keluar dari pintu itu.

Ikutkan hati, memang dia segan tahap dewa untuk bersemuka dengan Aril. Tapi apakan daya, sesekali dia harus membuang egonya jauh ke laut. Menanti Aril yang tidak muncul tiap hari semakin mengecewakannya. Rindukah dia pada lelaki itu?

“Kami balik dulu Encik Zafril.”

Terdengar saja nama Aril disebut, Hannah terus berpaling. Dia melihat Aril sedang berbual dengan pekerjanya. Ah, lelaki itu selalu nampak segak seperti biasa.

“Aril.” Panggil Hannah tatkala Aril berlalu di depannya.

Aril menoleh mendengar namanya disebut. Terkejut dia melihat Hannah di sini. Matanya merenung Hannah tajam, bagai meleraikan rindu yang terpendam.

“Ada apa awak cari saya?” tanya Aril tidak minat.

Terkedu Hannah mendengar soalan Aril. Hatinya terhenyak dengan layanan dingin Aril terhadapnya. Hannah mengetap bibir. Adakah dia keterlaluan dalam menguji Aril selama ini sehinggakan membuat lelaki ini berputus asa?

“Saya ada hal nak cakap dengan awak.”

“Penting ke?” acuh tak acuh Aril bertanya. Wajahnya langsung tiada senyuman.

“Err...” Hannah teragak-agak untuk menjawab soalan itu. Jelas Aril marah kepadanya sehinggakan tidak sudi meluangkan masanya walaupun sekejap.

“Kita sembang dalam kereta sajalah, lepas tu saya hantar awak balik.” Putus Aril melihat Hannah lama terdiam.

Hannah bersetuju. Dia mengekori langkah Aril. Jauh betul Aril memarkir keretanya! Tidak sangka, sebegitu drastik keputusannya untuk mengelak dari Hannah. Sanggup Aril memarkir sejauh ini hanya kerana tidak mahu mereka bertemu pandang. Dasyat Aril ni.

“Awak nak cakap apa?”

“Saya...saya nak minta maaf. Saya tahu saya tak sepatutnya cakap macam tu pada awak. Saya tak sensitif dengan perasaan awak, saya bersalah.” Bersungguh-sungguh Hannah meminta maaf.

“Awak tak salah apa pun,”

“Awak marahkan saya ke?”

“Marah? Mana ada...” Aril tertawa, menyindir.

Pedih hatinya mendengar tawa Aril. Hannah terasa hati dengan sikap Aril. Dia yang menguji kesabaran lelaki itu.

“Habis tu kenapa saya tak nampak awak dua tiga hari ni? Parkir kereta pun jauh-jauh, tak nak saya nampak. Awak tak datang kafe, awak tak telefon saya.” Terhambur segala yang terbuku di hati.

Aril tersenyum kelat membuatkan Hannah semakin tidak faham dengan lelaki ini.

“Saya dah tak tahu nak buat apa lagi supaya awak ingat pada saya. Selama hari ni, saya saja ke yang kena berusaha untuk satukan hati kita? Saya saje ke yang harus buat awak rasa penting dalam hidup saya?”Aril memandang Hannah, merenung dalam anak mata gadis kesayangannya. Dia mahu Hannah tahu isi hatinya. Hannah perlu sedar tentang kenyataan ini.

Terdengar keluhan kecil yang keluar dari mulut Hannah.

“Aril, saya minta maaf. Saya pentingkan perasaan sendiri.”

“Awak tak perlu minta maaf lagi. Saya tak mahu memaksa awak, sekarang ni semuanya terpulang pada awak. Saya terima apa jua jawapan awak, Hannah Natasha.”

Hannah memejam mata saat nama penuhnya disebut. Setiap kali Aril marah, pasti dia akan menyebut nama penuhnya. Tapi kali ini, Aril kedengaran seperti orang yang sudah putus harapan.

Malam itu, membahasahi bumi sebagaimana ia membanjiri hati Hannah. Sejak tadi, kata-kata Aril bermain di fikirannya. Adakah perasaannya ini memberinya jawapan yang betul? Hannah bangkit untuk mengambil wuduk. Telekungnya disarung dan sejadah dibentang. Kepada yang satu dia memohon.

Di kala kita keraguan untuk memutuskan mana yang terbaik antara dua perkara, dirikanlah solat Istikharah untuk meminta petunjuk. Oleh yang demikian, hendaklah kita menyerahkan segala urusan kepadaNYA dengan harapan ditunjukkan ALLAH pilihan yang terbaik.

Hannah duduk di ambin rumahnya. Dadanya terasa sesak dengan segalanya yang berlaku. Dia mahu menghirup segar sekali gus menenangkan fikiran. Rindu di kala berjauhan, gelisah apabila tidak dapat melihat si dia, terhibur walaupun sedang marah. Adakah semua itu cukup untuk diklasifikasikan di bawah akta cinta?

Jika ditolak ketepi semua tanda tanya yang ada di dalam fikirannya, hanya satu soalan saja tidak mampu dia singkirkan. Mengapa Aril memilih untuk berkahwin dengannya dalam tempoh terdekat ini? Kenapa dia tidak diberi lebih masa untuk mengenali lebih siapa Zafril Reza ini sebenarnya. Kusut! Fikirannya kusut.

“Tak tidur lagi ke?” sapaan Aiman yang tiba-tiba itu mengejutkan Hannah.

Eloklah tu, malam-malam begini membuatnya terperanjat. Mahu tercabut jantungnya gara-gara abang.

“Tak boleh tidur. Abang?”

“Samalah,” jawab Aiman, menyandarkan badan. “Abang tengok kebelakangan ni, Hannah nampak serabut sangat. Kenapa?”

“Abang, one moment he such an annoying maron but another moment, he’s such a loving man.Hannah...tak faham.”

“Kita bercakap tentang siapa ni?”

“Aril.” Hannah menyebut nama lelaki yang berjaya membuat malam-malamnya haru-biru.

“Semua orang yang datang dalam hidup kita, bersebab. Mungkin mereka tak ditakdirkan untuk bersama kita tetapi untuk beri pengajaran hidup pada kita. Sesetengah orang ditakdirkan untuk bersama kita manakala yang lain ditakdirkan untuk meninggalkan kita.”Terang Aiman. Entah mengapa, kata-katanya bagai menyindir diri sendiri. “Kita sebagai manusia selalu lalai. Kita gagal untuk hargai seseorang itu sehinggalah dia pergi dari hidup kita. Masa tu, Hannah jangan menyesal.”

“Tapi kalau Hannah tak yakin dengan dia?”

“Dah solat Istikharah?”

Hannah mengganguk.

“Kalau macam tu, serahkan semuanya kepada ALLAH. Hannah macam tak percaya takdir. Abang nak tanya. Andai kata Aril tak hantar rombongan, Hannah ada ke orang lain dalam hidup Hannah?”

Lama Hannah diam memikir, barulah dia menjawab. “Tak ada.”

“Haikal?” Aiman menguji.

“Dia lelaki yang baik tapi...” 

“Jadi abang tak nampak alasan untuk Hannah menolak Aril. Beri dia peluang, beri diri masing-masing peluang. Ingat, apa-apa jadi, abang akan tetap ada di belakang Hannah. Abang yakin Hannah boleh.” Aiman memberi kata-kata semangat. Sempat dia bertumbuk buku lima dengan Hannah.

SEMINGGU yang penuh dengan onak duri itu ditempuh dengan penuh sabar. Setuju atau tidak, Hannah harus membuat keputusan. Jika sesiapa pun yang berada di tempat dia, akankah mereka terima seorang lelaki begitu saja? Lelaki yang bakal menemankan hidup kita sehingga akhir hayat kita.

“Papa, Hannah dah buat keputusan.” Hannah bersuara, menandakan noktah kepada segala tanda tanya.

Dia berharap keputusan ini tidak melukakan mana-mana pihak. Perasaannya perlu dijaga juga. Dia hanyalah gadis biasa yang tidak lari dari kesilapan.

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.