ARIL
membuka pintu bilik itu dengan perlahan agar tidak menggangu Hannah. Hannah
masih lena dibuai mimpi siap memangku kaki yang cedera di atas bantal lagi.
Baju yang tersarung semalam masih belum diganti. Nampak sangat dia kepenatan.
Penat buat apa pun tak tahu, walhal, seronok saja dia didukung kesana kemari.
Aril
melabuhkan punggung di atas katil dengan perlahan. Kebetulan Hannah pula
memusing badannya ke kanan. Terjerit dia melihat Aril di atas katilnya.
Terjerit kerana terperanjat dan juga kakinya yang cedera itu tergesel. Selimut
itu serta-merta dia menyelebungi dirinya. Gayanya seperti tidak berbaju tetapi
baju dan seluarnya masih tersarung.
“Awak buat apa
ni?” setelah dia agak tenang, barulah dia membuka selimut itu.
“Yang awak
terjerit ni kenapa?” soalan Hannah dijawab dengan soalan. Sebenarnya dia juga
terkejut apabila Hannah terpekik tadi. Ingatkan apalah yang terjadi.
“Awak nak apa
pagi-pagi ni?”
“Pergilah
mandi.” Lain yang orang tanya, lain yang dijawab. Malah jawapan yang diberikan
Aril tiada kaitan dengan soalan Hannah sedari tadi.
“Kenapa? Awak
nak sarapan ke?” Hannah memandang jam di dinding. Ah, dia terlajak tidur!
Aril sekadar
mengganguk. Setelah memastikan Hannah sudah masuk ke dalam bilik air, dia terus
ke bawah. Dua pinggan nasi lemak dan dua gelas jus oren ditatang naik ke bilik
Hannah. Pintu yang sedia terbuka itu mempersenangkan Aril untuk masuk ke dalam
bilik. Aril menolak pintu balkoni itu dan meletakkan dulang di atas meja.
Sementara
menunggu Hannah, dia mengemaskan katil. Melipat selimut dan merapikan segala
yang berselerak di dalam bilik itu. Dia terpandang telefon bimbit Hannah yang
bernyala itu. 5 mesej dan 10 missed call dari Haikal? Aril jadi tidak sedap
hati. Kenapa kebelakangan ini Haikal kerap menghubungi isterinya? Apa yang
lelaki itu mahukan dari Hannah?
Fahamlah dia
adalah bos Hannah tetapi dia hanyalah bos di tempat kerja. Tak usahlah heret
soal kerja sehingga ke rumah. Lagipun kerja Hannah bukannya boleh dibawa pulang
pun. Mula disitu, habis disitu. Pintu yang berbunyi itu membuatkan Aril dengan
pantas meletakkan telefon itu kembali.
“Whoa!” Hannah
mengurut-ngurut dadanya melihat Aril di dalam biliknya. Nasib baik dia tidak
berkemban, kalau tidak, memang dia tidak tahu mana harus dia letak mukanya.
“Awak ni boleh
tak jangan buat saya terkejut-terkejut. Nasib baik saya...”
“Pakai baju?”
Hannah
terdiam. Aril memang bahaya. Lelaki ini seakan-akan boleh membaca apa yang
berada di dalam fikirannya. Tidak kuasa hendak melayan Aril, Hannah ingin
keluar dari bilik untuk menyiapkan sarapan buat Encik suami yang kononnya sudah
lapar. Belum sempat dia keluar dari bilik itu, Aril menangkap tangannya.
Perlahan-lahan,
lelaki itu membawanya ke balkoni. Terpegun Hannah melihat hidangan di atas
meja. Ada nasi lemak! Dia teruja sehingga tidak tahu harus kata apa. Inilah
pertama kali seorang lelaki membuatkan kejutan seperti ini untuknya. Aril ini,
muka saja serius, kuat menyakat tetapi romantis juga orangnya!
“Breakfast in bed?” Hannah menarik kerusi
itu untuk duduk.
Seperti di
dalam mimpi pula, bersarapan dengan suami yang selalu dia bergaduh, bersaksikan
langit. Bersertakan dengan pandangan yang indah pada pagi hari. Dia masih tidak
percaya Aril melakukan semua ini untuknya. Mungkin Aril berasa bersalah. Itu
saja.
“Breakfast in bedlah sangat...” cebik
Aril. “Kalau breakfast in bed, awak
masih masam, belum mandi. Pengsan saya nanti!”
Mata Hannah
mengecil memandang Aril. Amboi! Perli aku pula.
“Awak masak
ke?” Hannah bertanya. Dia tidak percaya Aril boleh masak sebegini. Jika ya,
maka kalahlah dia.
“I wish I could. Saya keluar sekejap
tadi.” Awal-awal lagi dia sudah keluar untuk ke restoran berhampiran.
“Dah agak dah.
Apa pun, terima kasih. At least I know, you
have a soft spot in your heart.” Usik Hannah. Lagipun, reti masak ke Zafril
Reza ini?
“Itu sudah
pasti.”
Aduh,
perasanlah pula mamat ni. Pantang dipuji, pasti mengembang-ngembang. Usai
makan, Aril membawa turun pinggan dan gelas itu ke dapur. Hannah pula dilarang
turun. Hannah bosan. Tidak boleh bergerak, tidak boleh keluar.
Aril mencapai
bungkusan ubat yang berisi krim dan balutan kaki di atas meja solek Hannah.
Kaki Hannah ditepis, menyuruh Hannah memberinya ruang untuk duduk. Huih, main
kasarlah Aril ni. Memanglah seronok dilayan bak puteri tetapi dia tidak selesa.
Dia terasa bagaikan dia mengambil kesempatan ke atas Aril.
“Bagilah, saya
buat sendiri.” Ujar Hannah, cuba mengambil plastik itu dari tangan Aril.
Malangnya, Aril lebih pantas melarikan plastik tersebut.
“Nak balut ke
kaki ke mulut dulu?”
Terbakar jiwa
mendengar kata-kata Aril. Sedap hati dia hendak balut mulut orang. Dengan muka
yang bagai tiada ekspresi itu, dia ingat dia hebat sangatlah! Hish, menyampah
betul!
“Yang awak
beria-ia nak tolong saya ni kenapa? Ke awak dah jatuh hati pada saya?” duga
Hannah.
Mendengar Aril
tertawa, Hannah menjadi geram sendiri.
“Saya dah lama
dah jatuh hati pada awak. Awak tu, entah bila nak jatuh hati dengan saya. Jatuh
longkang tak usah cakaplah.” Aril tersenyum.
Hannah
kematian kata. Niat di hati ingin mengusik Aril tetapi termakan diri sendiri
pula. Aduhai, menyesal betul mengusik Aril. Celupar betul mulut ini.
“Kenapa diam?
Tak sayang saya ke?”
Hannah membuat
aksi memikir kemudian dia menjawab, “Tak kut.”
“Oh ya ke?
Rugi tak sayang saya. Sebab perempuan dekat luar tu beratur nak kahwin dengan
saya tau.” Aril bermain kata, ingin menduga reaksi isterinya.
“Kalau macam
tu, pergilah kahwin dengan dia orang. Kahwin dengan saya buat apa?” Hannah
menarik kakinya, tidak mahu dibantu.
“Marah?” Aril
sudah tersenyum sumbing.
“Gila!”
“Kalau selalu
sangat marah, nanti kulit tu berkedut-kedut. Nanti dah tak comel.” Bisik Aril,
memujuk gadis yang sedang merajuk. Pipi wanita itu dikucup sayang. Pembalut itu
diambilnya kembali dan meneruskan dengan sesi membersih luka Hannah yang
tergendala.
Hannah membuat
muka mendengar pujukkan Aril. Ah, lelaki ini sering membuatkan jiwanya kacau.
Kenapa setiap kali Aril bertutur lembut dengannya, dia lemah? Mengapa setiap
kali Aril mendekatinya, hatinya jadi tidak keruan.
“Dah siap.
Ingat jangan pergi mana-mana. Duduk aje dalam bilik ni. Saya nak buat kerja saya
dalam bilik. Kalau nak apa-apa, panggil aje.”
“Eh! Awak tak
kerja ke hari ini?” barulah dia teringat. Sekarang sudah pukul 12 petang dan
Aril masih ada di rumah. Jika Aril tidak menyebut tentang kerja, dia tidak akan
terfikir tentang itu.
“Cuti.”
“Sebab?”
“Saja.” Pendek
jawapan Aril.
Seraya dengan
itu, dia melangkah keluar dari bilik Hannah. Dia tidak mahu Hannah bertanya
lebih-lebih tentang mengapa dia mengambil cuti hari
ini. Memang hari ini dia
mengambil cuti khusus untuk Hannah. Sekarang ini dia rasa wayar-wayar di dalam
otaknya sudah tersimpul. Tidak pernah dia mengambil cuti untuk seorang
perempuan.
Bersalah punya
pasal, dia sanggup mengambil cuti. Lagipun, kondisi kaki Hannah akan teruk
kerana dia bukan saja mempunyai luka tetapi kakinya membengkak dek terseliuh.
Setiap kali dia teringatkan bagaimana Hannah terjatuh, dia akan tertawa. Hannah
Natasha
memang hebat. Kini, jika sehari tidak dengar suara Hannah Natasha, dia
jadi tidak keruan. Sehari tidak bergaduh dengan Hannah, dia akan bosan.
Gadis ini
terlalu naif untuk berada di dalam alam perkahwinan ini bersama dia. Sampai
bila dia harus berpura-pura dan berlakon? Sampai bila mereka akan terus
bergaduh? Entah, dia juga tidak pasti. Buat masa yang
terdekat ini, dia gembira
dengan apa adanya. Sekurang-kurangnya, makan dan pakainya terjaga.
Hey Aril, kau
sepatutnya buat kerja! Bukan teringatkan minah tu. Jauh betul mengelamun.
Sikit-sikit Hannah, sikit-sikit Hannah. Kau pun dah sama sewel dengan dia. Aril
menyepak-nyepak pipinya untuk kembali ke realiti. Hannah Natasha harus keluar
dari kotak fikirannya.