Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 24

HAIKAL gelisah mencari. Baru sebentar tadi dia meninggalkan Hannah di sini tetapi sekarang batang hidung Hannah pun tiada. Puas dia bertanya kepada kawan-kawannya jika terlihat Hannah tetapi tiada seorang pun memberi respons yang positif. Haikal mendail nombor Hannah namun hampa. Tidak diangkat. Kemana pula Hannah pergi?

Marahkah Hannah kerana sering ditinggal-tinggalkan? Atau ada sesuatu yang terjadi kepada gadis itu? Apa pun yang berlaku, dia tetap risaukan gadis itu. Haikal tidak berlengah, dia terus keluar dari tempat itu untuk mencari Hannah. Jika betul Hannah marah, dia tidak seharusnya pergi begitu saja. Hannah sepatutnya memberitahunya yang dia tidak selesa. Namun tadi Hannah baik-baik sahaja, tidak menujukkan marah ataupun tidak senang hati.

Sambil memandu, matanya liar mencari. Mencari kelibat Hannah kalau-kalau Hannah masih ada berada di kawasan itu. Tidak tenteram hatinya. Sekejap-sekejap dia memandang telefonnya jika Hannah menelefon. Harus cari ke mana lagi ini?

TIBA di restoran yang ingin ditujui, Aril mengajak Hannah turun. Terpaku Hannah melihat restoran ini. Sesuailah restoran ini dengan Aril. Nampak seperti restoran mewah, untuk orang-orang yang mampu seperti Aril. Andai tadi dia mengajak Aril makan di tepi jalan, pasti lelaki itu tidak selesa. Silap-silap, dia mengajak Hannah pulang terus.Tapi mengapa tempoh hari Aril boleh pula makan di gerai makan berdekatan dengan tempat kerja mereka?

Hannah membelek menu yang menghidangkan makanan barat. Rambang mata hendak memesan apa kerana semuanya nampak seperti lazat-lazat belaka. Maklumlah, perut lapar, semuanya tampak sedap. Akhirnya dia memesan Spaghetti Aglio Olio. Kata Aril, masakkan itu adalah salah satu pilihan orang ramai setiap kali mereka datang ke sini.

Aril menutup buku menu itu dan memesan. Kemudian dia memeluk badan memandang Hannah. Di mindanya, ada seribu satu soalan yang bermain di dalam.

“Awak buat apa dekat majlis tu? Awak pun alumni sekolah saya ke?” Aril bertanya. Hannah hari ini, cantik luar biasa dengan sedikit solekkan di wajah namun ia tidak dapat menandingi kecantikkan Hannah ketika mereka ke majlis perkahwinan kawannya. Gadis itu nampak anggun di matanya, bagaikan bidadari.

“Tak, saya cuma temankan Haikal aje,” jawab Hannah, berterus-terang.

“Tapi tak nampak macam berteman aje. Mana dia pergi tadi?” Aril seakan mengejek. Apa yang dia lihat tadi, dia menjenguk Hannah sebentar dan terus berlalu untuk berjumpa entah siapa. Tinggallah Hannah di situ keseorangan.

“Jumpa kawan dia mungkin.”

“Kenapa tak kenalkan awak dengan kawan-kawan dia?”

“Apa yang awak cuba nak sampaikan?” Hannah mulai tidak selesa dengan soalan Aril yang merupakan provokasi. Meski begitu, dia setuju dengan Aril buat kali pertamanya. Ya, Haikal tidak sepatutnya meninggalkannya di situ tadi. Untuk apa dia datang kalau begitu?

“Tak apalah. Nasib baik saya ada kan? Kalau tak mesti awak bosan setengah mati dekat sana.”

Hannah hanya mampu tersenyum. Ya, mujur Aril ada. Memanglah pada mulanya dia tidak mahu mengikuti Aril tetapi jika difikirkan kembali, untung juga dia dapat bersolat Maghrib di masjid. Aril bagai tahu-tahu saja dia tidak berapa suka tempat yang banyak orang. Agak merimaskan.

“Haikal mesti tengah cari saya sekarang ni,” ujar Hannah, mengeluh kecil. Teringatkan telefon bimbitnya yang berada di kereta Aril.

“Biarlah dia cari. Memang patut pun dia cari. As precious as a gem, no woman as beautiful as you should be left there alone. Kan tak pasal-pasal dah kena curi dengan saya.” Lembut manis bicara Aril, tetapi dalam halus, dia menyalahkan Haikal.

Hannah tertunduk dengan kata-kata Aril. Dia tidak pasti tarikkan apa yang ada pada Aril yang boleh membuatkan marahnya padam begitu saja. Walhal tadi dia bukan main marah dengan lelaki ini. Dia tidak faham bagaimana Aril boleh membuatnya terhibur dan pada masa yang sama, benci dengan lelaki itu. Pelik. Dia pelik dengan lelaki ini.

Hannah mengucapkan terima kasih kepada pelayan itu. Kadang-kala ucapan seringkas terima kasih boleh membuatkan hari seseorang itu berbeza. Seseorang itu akan merasakan dirinya lebih dihargai.

Wajah Aril diamati. Lelaki ini mempunyai semua ciri-ciri yang diingini wanita untuk dijadikan seorang suami. Kacak, bergaya, berkejaya dan kaya. Namun, bukan semua itu yang dimahukan Hannah. Dia mahu seorang lelaki yang boleh mencintainya, menjaganya dan menemani jalan hidupnya. Seorang suami yang boleh menjadi imam kepadanya.

Dia hanya mengenali Aril setakat 10% peratus saja. Siapa lelaki itu sebenarnya, siapa keluarganya, apa kerjaya, semuanya Hannah tidak tahu. Salahkah dia untuk menolak Aril kerana tidak yakin dengan keputusan ini?

“Saya lebih sedap dari spaghetti tu ke sampai tak nak jamah makanan awak?” usik Aril, tersenyum nakal.

“Huh?” terkejut Hannah dengan terguran Aril. ‘Ya ALLAH! Malunya sudah kantoi mencuri pandang lelaki itu!’ Kalut dia mencapai sudu dan garfu untuk makan spaghetti itu.

“Saya dengar awak ada ijazah interior designing. Kenapa tak gunakan ijazah tu untuk bekerja dengan syarikat pereka dalaman di Malaysia ni?”

“Saja. Saya belum bersedia nak duduk dekat dalam pejabat tu. Buat masa ni, saya masih nak bersantai dulu.” Jawab Hannah. Dia tertanya-tanya bagaimana Aril tahu dia memperolehi ijazah tersebut.

“Sayang kalau tak pratikkan. Syarikat papa awak tu salah satu syarikat yang terbaik di Malaysia ni, rugi kalau tak sambung legasi tu.” Nasihat Aril. Pertama kali apabila dia mendapat tahu Hannah memegang segulung ijazah Degree, dia agak terkejut. Tidak sangka barista kopi di seberang pejabatnya itu seorang yang berpendidikkan tinggi. Siapa lagi yang membuat kajian tentang Hannah jika bukan Hadi?

“Macam mana awak tahu tentang semua ni? Siapa bilang awak?”

“Hannah Natasha, kalau kita suka sesorang tu, kita mestilah ambil tahu tentang dia kan.” kata Aril, berjaya membuatkan Hannah mati kata.

Hannah terdetik. ‘Buat apa aku nak ambil tahu pasal dia kalau aku tak berminat dengan dia?’

“Saya cuma nak tahu satu perkara. Haikal ke penyebab awak minta tempoh lagi? Supaya awak boleh tolak lamaran saya?” kini Aril berubah serius. Inilah soalan yang bermain di mindanya sejak melihat Hannah dan Haikal berdua bersama di majlis itu tadi.

“Aril kita dah setuju nak tunggu jawapan saya seminggu lagi. Saya tak nak cakap pasal perkara ni.” Mood Hannah terbang saat perkara ini dibahas Aril. Kini Haikal terbabit sama?

Aril kelihatan terangguk-angguk. “Kalau apa yang saya teka itu betul, cakap pada Haikal jangan nak bermimpi. That will never happen even in a hundred years to come.Tak akan.Awak tak kenal dia siapa Hannah.”

“Dan saya pun tak kenal awak siapa. Kenapa awak bercakap seolah-olah awak sudah kenal saya lama?”

“Saya Cuma tak nak dia ambil kesempatan atas awak. Saya kenal dia lebih lama dari awak, saya tahu dia lelaki yang macam mana.” Kata Aril. Keadaan di antara mereka semakin tegang.

“Dia bos saya Aril. Saya jumpa dia tiap-tiap hari. Awak dengan saya tak ada kaitan langsung. Jadi awak tak ada hak nak aturkan siapa saya boleh berkawan, dengan siapa saya tak boleh. Apa kata kita teruskan hidup kita masing-masing? Awak dengan kehidupan awak, saya dengan kehidupan saya.” Tutur Hannah marah. Panas hatinya mendengar kata-kata Aril sebentar tadi.

Aril menarik nafas dalam. Bagaimana caranya untuk memberitahu Hannah yang dia risaukan Hannah dipermainkan? Dia ingin memiliki Hannah. Dia mahu jadikan gadis itu suri hidupnya.

Melihat Hannah bangun dan keluar dari restoran itu, Aril dengan cepat mengeluarkan wangnya dan meletakkan di atas meja. Rasanya wang seratus ringgit itu lebih dari cukup untuk menyelesaikan bil mereka.Laju dia mengejar Hannah yang jelas menahan marah. Mujur Hannah tidak terlalu jauh darinya.

“Awak nak ke mana ni?” Aril menangkap tangan Hannah dari belakang, menghalang gadis itu daripada terus berjalan.

Hannah meminta tangannya dilepaskan, geram. “Lepaslah! Saya nak balik!”

“Saya hantar awak,” suara Aril lembut memujuk. Tidak marah-marah, membentak-bentak seperti tadi.

“Saya boleh balik sendiri.”

“Macam mana awak nak balik kalau beg awak ada dalam kereta saya?”

Hannah terdiam mendengar kata-kata Aril. Sekarang baru nak bercakap baik-baik? Tadi bukan main lagi bercakap tak ingat dunia. Mahu tidak mahu, terpaksa dia mengikuti Aril hingga ke kereta kerana begnya masih ada pada Aril. Kalau bukan kerana begnya, mahu saja dia menahan teksi untuk pulang sendiri.

Kereta itu dihuni sepi. Tiada seorang di antara mereka pun membuka mulut. Aril membiarkan Hannah melayan marahnya. Dia memandang Hannah sekilas. Wajah yang merah itu ditatap penuh sayang. Gadis itu sentiasa kelihatan cantik dalam apa jua keadaan. Dia bukannya hendak mencari pasal dengan Hannah tetapi dia meluahkan rasa hatinya.

Dia tidak mahu Hannah menyimpan sebarang perasaan terhadap Haikal sedangkan Hannah tahu dia cintakan Hannah.Dia tidak berniat pun ingin memarahi mahupun mengongkong hidup Hannah namun dia bercakap atas dasar fakta. Hannah tidak layak dilukai oleh Haikal.

Hannah membuang pandang ke luar tingkap,tidak sudi untuk memandang Aril. Takut tercetus lagi perang lidah buat kali kedua. Dia bagaikan air dan Aril bagaikan elektrik, jika terkena renjatan elektrik, sakit padahnya. Apabila difikirkan kembali punca mereka bertekak tadi, dia bertambah geram dengan Aril. Mengapa Haikal harus dikaitkan dalam hal ini?

Yang minta tempoh adalah dirinya sendiri, tiada siapa pun menghasutnya menyuruh dia terima ataupun tolak lamaran Aril. Semua itu dilakukan atas kehendak sendiri, jadi Aril tidak adil untuk mengheret Haikal ke dalam masalah ini. Mungkin Aril cemburu tetapi ia tidak bermakna yang dia boleh menghalang Hannah dari berkawan dengan sesiapa sahaja.

Halaman rumah Hannah terang dinyalakan dengan lampu. Aril melihat sosok tubuh seorang lelaki yang sedang duduk membaca buku. Kemungkinan bapa Hannah.

“Beg saya mana?” Hannah meminta begnya yang dijadikan taruhan di antara mereka. Disebabkan beg inilah dia terpaksa meninggalkan Haikal dan mengikuti Aril.

Aril melepaskankan tali pinggang keledar dan memanjangkan tangan untuk mencapai beg tangan Hannah di tempat duduk belakang.

“Papa awak ke tu?” tanya Aril sebelum mengembalikan beg Hannah.

“Ya.”

Aril kelihatan terangganguk-angguk. Dia membuka pintu kereta untuk bertemu dengan papa Hannah. Alang-kepalang sudah ada di sini, tidak manislah jika tidak bertemu. Nanti dikata tidak beradab pula.

‘Apa pula yang mahu dilakukan Aril kali ini.’ Hannah terdetik. Malas bertanya, dia mendahului Aril untuk mendapatkan papa. Encik Nizam menutup buku yang dibacanya apabila melihat seorang lelaki muda mendekatinya. Inikah Haikal yang keluar bersama Hannah tadi?

“Assalamualaikum pakcik. Saya Zafril.” Aril menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Encik Nizam. Senyuman mesra terukir di bibir supaya tampak ramah.

Encik Nizam terdiam seketika. Bukankah tadi Hannah kata dia keluar dengan Haikal? Mengapa pulang bersama orang lain pula? Zafril? Nama seperti dia pernah dengar. Adakah ini Zafril yang memasuk minang Hannah ke?

“Wa’alaikumsalam. Maaflah kalau pakcik bertanya. Ini ke Zafril Reza yang menghantar rombongan kelmarin?” Encik Nizam bertanya. Takut tersalah orang pula. Hannah di sisi mulai tidak selesa.

“Ya pakcik, sayalah Aril. Saya minta maaflah kalau saya dah banyak menyusahkan pakcik sekeluarga.” Penuh tertib Aril menjaga bicaranya untuk menunjuk hormat kepada orang tua ini.

“Tak ada apalah. Terima kasih sebab dah hantar Hannah balik. Marilah kita masuk, boleh borak panjang dekat dalam.” Encik Nizam mempelawa.

“Eh tak apa pakcik. Dalam malam ni, tak elok pula rasanya. Ganggu masa rehat pakcik pula. Saya minta diri dulu ya.” Aril menolak lembut. Sekali lagi tangan dihulurkan untuk bersalaman.

“Baiklah kalau macam tu. Hati-hati memandu. Kirim salam pada ibu ayahnya.”

“InsyaALLAH.”

Sebelum berlalu, Aril sempat memandang Hannah. Empat mata menjadi satu, hanya bulan dan bintang menjadi saksi kata hati mereka. Tanpa sebarang bicara, Aril melangkah pergi meninggalkan kekecewaan di hati gadis itu.

“Tadi kata keluar dengan Haikal, macam mana pula Aril yang hantar Hannah balik?” Encik Nizam bertanya sebaik sahaja kereta Aril menderu pergi.

“Panjang cerita pa...” Hannah malas bercerita. Tiada mood mahu bercakap tentang Aril.

“Papa bukannya apa, sekadar nak menasihat. Orang perempuan pun harus jaga perasaan lelaki. Jangan mempermainkan dan memberi harapan jika tidak ada perasaan pada si dia. Papa tengok Aril tu baik orangnya. Beradab, hormat orang tua...lelaki macam tulah boleh buat suami, Hannah. Jangan nak fikirkan kacak atau mengejar harta benda.” Nasihat Encik Nizam, mengiringi Hannah masuk ke dalam rumah.

“Hannah buatlah keputusan yang Hannah rasa baik.” Seiringan ayat itu, Encik Nizam melangkah naik ke bilik. Tadi dia membaca buku di luar hanya untuk menunggu Hannah pulang.

Hannah hanya mendiamkan diri. Papa seperti sudah berkenan dengan Aril yang pandai memikat hati orang tua. Tiba-tiba Hannah teringat kejadian siang tadi apabila dia mengajak Haikal berjumpa dengan papa. Lelaki itu menolak namun lain pula dengan Aril. Dengan rela hati dia menunjuk muka kepada papanya. Tidak takut, tidak gentar.

Hannah melepaskan badan yang sarat dengan bebanan. Mengapa Aril yang mengisi mindanya sedangkan dia sedang marah dengan lelaki itu? Telefon yang berdering mematikan lamunan Hannah. Haikal. Telefon itu dimatikan dan diletakkan di atas meja samping. Dia sudah tiada tenaga untuk berbahas dengan sesiapa. Nanti esok sajalah dia menjelaskan yang sepatutnya kepada Haikal.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.