BARU tiga hari
menetap di rumah umi dan abahnya, Aril mengajak Hannah pindah ke rumah mereka
sendiri. Katanya dia mahukan hidup berdikari dan dambakan privasi. Aneh-aneh
saja Aril ni. Terdetik di dalam hati Hannah ingin tahu rumah siapa yang
dimaksudkan Aril. Rumah Aril sekwatu bujang ke? Tapi tidak mungkinlah. Bilik
Aril terlalu sempurna untuk dia tinggal di rumah sewa.
Di dalam
kereta, Hannah hanya mendiamkan diri. Dia sendiri tidak tahu kemana Aril mahu
membawanya walaupun sudah berkali-kali dia bertanyakan Aril. Lebih baik dia
melayankan diri daripada bertekak dengan Aril. Dengan Aril, dia pasti tidak
akan menang. Lelaki itu ada saja caranya untuk mematikan kata-katanya.
Teringat
segala pesanan umi kepadanya sebelum mereka berangkat pergi tadi. Kata umi,
gelaran seorang isteri itu tidaklah hanya termaktub dalam surat nikah sahaja.
Bukan hanya keperluan suami harus disediakan tetapi suami isteri harus
melengkapi satu sama lain. Salah faham itu biasa tetapi jangan dijadiakn
kebiasaan. Masalah suami isteri, janganlah berlarutan malah duduklah berbincang
untuk mencari jalan penyelesaian.
Hannah
tertanya diri sendiri. Bersediakah dia untuk menjalani perkahwinan ini? Memang
dia terima untuk menjadi isteri Aril tetapi hatinya belum mampu untuk ungkap
cinta kepada Aril. Mampukah dia mencuba?
Melihat
Hannah tidak berganjak dari tempat
duduknya, Aril membuka pintu dan mencapai tangan Hannah. Dia memimpin Hannah
keluar dari kereta dan kini mereka berdiri di hadapan rumah itu.
“Rumah siapa ni?”.
“Rumah kitalah
sayang,” jawab Aril ringkas namun jelas untuk Hannah fahami bahawa di sinilah
dia akan melayari hidup barunya.
Hannah
menolong Aril mengangkat beg-begnya dari but kereta. Selesai sudah mengangkat
kesemua begnya ke dalam rumah, Hannah tercegat berdiri memandang sekeliling. Inikah
rumah yang bakal dia tinggal berduaan bersama Aril? Dari hari pertama dia
bernikah, kejutan demi kejutan dia dapat. Dia memandang Aril yang sedang
berpeluk tubuh memandangnya. Aril memang lelaki yang tidak boleh dijangka.
“Awak ni
pindah rumah ke pindah negeri?” ngomel Aril, memunggah beg-beg dari kereta.
Hannah mendengus.
Hannah
mempersilakan diri sendiri untuk melihat rumah itu. Mulai hari ini, inilah
rumah yang akan menjadi saksi kepada rumah tangga dia dan Aril. Melayari
bahtera rumah tangga, menjadi tunggak cinta mereka.
Dia tidak
boleh membayangkan hidupnya sekarang ini. Menjadi isteri kepada Aril. Namun,
dia bukan sesiapa untuk mempersoalkan takdir. Mungkin Aril sudah tertulis
untuknya sejak kali pertama dia berjumpa dengan Aril di Bali.
Aril mengajak
Hannah menaiki ke atas untuk menunjukkan bilik mereka.
“Awak, bilik
saya dekat mana?” tanya Hannah sebaik saja Aril sudah berada di lantai yang
sama dengannya.
“Yang hujung
tu,” Aril menunjukkan ke arah bilik yang dimaksudkan.
“Bilik awak?”
“Yang hujung
tu juga,” jawab Aril selamba. Kemudian dia menyambung, “Saja kan nak uji saya?”
Hannah
tergelak. Sekali-sekali, mahu juga dia mempermainkan Aril. Asyik dia saja yang
dikenakan setiap masa.
“Bila awak
beli rumah ni?” tanya Hannah. Rasanya bentuk rumah ini agak lain daripada
rumah-rumah yang lain.
“Lama dah.
Cuma tak ada teman nak tinggal sini.”
“Awak yang
hias rumah ni ke?”
Aril
menggeleng. “Ingat tak lelaki Cina yang saya bawa pergi kafe dulu? Ini kerja
Mr.Vincentlah. Tapi arkitektur rumah ni, saya yang reka.”
“Patutlah...”
“Patutlah apa?
Awak tu lambat sangat nak mulakan kerja dengan papa. Kalau tak saya dah ambil
awak kerja untuk hias rumah ni.”
Hannah
meneroka bilik itu. Dia suka dengan hiasan bilik ini. Sangat mententeramkan
jiwa. Pandai Aril menghias dan mengubah rumah ini. Jika selama ini, dia mahu
menghias rumahnya sendiri, kini dia tidak usah lagi. Serumah dengan lelaki yang
bekerja sebagai arkitek membuatkannya terpegun dengan binaan rumah ini. Unik.
“Pintu ni,
pintu bilik apa?” tanya Hannah.
“Bilik ni,
kalau awak masuk awak tak boleh keluar balik.” Tipu Aril, selamba.
Hannah
menggaru kepala yang tidak gatal. Kalau begitu, untuk apalah Aril buat bilik
ini? Namun keinginan hati untuk tahu melebihi segala hal yang berada di
fikiran.
“Saya gurau
sajalah. Bilik ni saya reka khas untuk awak.” Aril menolak pintu gelangsar itu
dan mengajak Hannah masuk.
Hannah
memandang Aril tidak percaya. Bilik pakaian yang dia idamkan selama ini menjadi
kenyataan? Bagaimana Aril tahu yang bilik pakaian ini adalah bilik idamannya?
“Tapi kan
awak, baju saya tak adalah banyak sangat sampai boleh isi semua almari ni.”
“Tak apalah.
Kalau awak merajuk, sekurang-kurangnya ada juga tempat awak sembunyi kan?”
gurau Aril, tergelak. Hannah tergelak sama mendengar cadangan mengarut Aril.
“Aril, saya
setuju jadi isteri awak bukan sebab harta atau kemewahan yang awak ada. Saya...”Hannah
mengambil nafas. Sukar untuk meluahkan isi hati kepada orang yang kita tidak
berapa kenal kan? “Saya perlukan masa untuk kenal hati awak, untuk cintai
awak.”
Cinta adalah
perasaan indah yang tidak ternilai walau ditukar dengan wang ringgit. Perasaan
itu terlalu halus untuk ditafsirkan. Kita mungkin tidak sedar entah bila
masanya kita sudah jatuh hati tetapi saat ia mula menyelami jiwa, percayalah
tiada yang lebih indah daripada dicintai.
“Saya akan
tetap tunggu dan saya akan sentiasa di sini. Having you as my wife is the best thing that has happened in my life.”
Aril berjanji, meneliti Hannah Natasha yang sudah sah miliknya. Penat dia
berlari mengejar Hannah dahulu namun semua itu berbaloi saat Hannah menyarung cicin,
memegang pangkat isteri kepadanya.
“Jadi, lepas
ni awak masih nak terus kerja dekat kafe tu lagi?” Aril bertanya.
Hannah
mengganguk.
“Okey. Cuma
boleh tak minta Haikal tukar awak syif pagi? Saya nak awak ada dekat rumah bila
saya balik kerja. Dan...kalau awak tukar fikiran, awak nak gunakan sijil awak
tu, bilang aje saya. Saya boleh recommend
awak kepada kenalan saya. They are all
top shots company, inclusive papa’s company.”
“Awak ni kerja
apa sebenarnya Aril? Takkanlah arkitek biasa boleh ada kenalan syarikat hebat
antarabangsa?” Hannah agak musykil dengan jawapan Aril. Malah kalau dilihat umi
dan abah juga mereka tidak kelihatan seperti calang-calang orang.
Namun, dia
bersyukur kerana keluarga Aril tidak sombong meskipun mereka berada. Cara mereka
melayan tetamu di majlis perkahwinan Hannah dan Aril tempoh hari saja
menunjukkan sikap rendah diri mereka. Yang paling penting, hubungan antara
mertuanya dan papa sangatlah baik.
“Dalam bidang
ni, kita mestilah lebarkan sayap Hannah. Kalau malu untuk ke hadapan, sampai
bila-bila pun tak akan maju.”
“Oh ya, saya
nak tanya awak sesuatu. Haikal tu kan kawan baik awak tapi kenapa awak tak
jemput dia ke majlis perkahwinan kita?” Hannah beralih topik.
“Saya akan
beritahu awak bila sampai masanya. Buat masa ni, bila awak pergi kerja buat aje
macam biasa. Tapi jangan bagi dia menggatal lebih sangat dengan awak ya.” Ujar
Aril, memberi Hannah peringatan.
“Tengoklah
macam mana.” Acuh tak acuh Hannah menjawab, ingin melihat respons Aril. Sengaja
dia berlagak selamba berkata begitu.
“Tak apa, saya
orangnya penyabar. Saya tak cepat melatah.” Kata Aril, tidak terasa dengan
jawapan Hannah. Nak main-mainkan orang ya? Hah, ambil balik.
Hannah tertawa
senang mendengar kata-kata Aril. Sajalah
tu Aril hendak menunjukkan yang dia itu seolah-olah lelaki yang paling memahami
di dunia. Dengan ekspresi wajah yang bersahaja, Aril memang pandai berlakon.
Aril memang hebat bab mengambil hati wanita.
Memandangkan
Aril sedang mengendalikan satu projek besar buat masa ini, Aril memohon maaf
kerana bulan madu terpaksa ditangguhkan. Hannah tidak kisah, dia hanya menurut.
Tidak menggesa mahupun memaksa.