Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 20

HARI-HARI yang seterusnya berlalu seperti biasa. Namun kelibat Aril langsung tidak dilihat walau sehari dalam minggu ini. Selalunya, lelaki itu akan datang ke kafe, memesan kopi ataupun berbual dengan Haikal. Ini tidak. Lelaki itu hilang terus dalam bayangan setelah memaklumkan tentang berita perkahwinan itu.

Memandangkan tiada khabar tentang Aril, maknanya semua ini hanyalah gurauan semata-mata. Hannah jadi hairan mengapa papa begitu teruja untuk memasak hari ini. Memanglah hari ini hari Sabtu, mak Mah tiada tetapi, bukankah Hannah yang selalu masak?

Apabila ditanya mengapa, papa hanya katakan dia memasak mengikut naluri hati. Seperti ada tetamu yang hendak bertandang. Sudahlah masak dengan banyak seperti ada jemputan, siapa yang akan habiskan lauk itu semua pun Hannah tidak pasti.

Loceng rumah yang berbunyi menghentikan perbualan Hannah dan papanya. Hannah ke pintu untuk melihat siapa yang di luar. Namun, dia mendapat sebuah kejutan yang tidak disangka-sangka. Bagaikan ada rombongan di luar rumahnya. Tunggu. Maknanya Aril tidak bergurau tentang apa yang dia katakan?

“Papa, papa, papa! Tengoklah dekat luar tu. Banyaknya orang! Papa ajelah yang pergi tanya apa dorang nak.” Gesa Hannah, mulai panik. Tangan papanya digoncang-goncang menyuruh Encik Nizam cepat.

“Hannah ada ajak kawan datang ke?” tanya Encik Nizam ketika dia menyelak langsir di tingkap.

Sepantas kilat Hannah menggeleng. Kalaupun dia mengajak kawan, hanya Lia seoranglah yang dijemput. Mustahil Lia mengajak satu rombongan.

Ternyata, mereka adalah rombongan keluarga Aril yang datang untuk meminang Hannah Natasha. Sudahlah dia terkejut, ini pula mereka datang dengan hajat yang besar. Encik Nizam dan Aiman dengan tenang mengendalikan suasana itu. Mengajak mereka masuk dengan penuh adab dan sopan. Hannah pula diarahkan ke dapur untuk membancuh air untuk tetamu yang datang. Geram dengan sikap Aril, dia tidak menunggu lama untuk menelefon lelaki itu.

Tanpa menunggu lama, dia terus menyerang Aril.

“Apa ni Aril?”

“Apa yang tak kena?” Aril bertanya lembut.

“Awak hantar rombongan meminang ke rumah saya.” Ujar Hannah, mengawal nada suaranya.

“Apa masalahnya? Bukan ke hari tu saya dah beritahu awak? Awak tak bilang papa awak ke?” tanya Aril, bersikap tenang seperti selalu.

“Tak.”

“Habis tu kenapa salahkan saya?” soal Aril kembali.

“Saya ingatkan awak bergurau.” Suara Hannah mulai kendur, tidak marah-marah seperti tadi.

“Hannah...” nama gadis itu disebut penuh syahdu, membuatkan Hannah tersentuh. “Saya tak pernah bergurau tentang niat saya nak memperisterikan awak.”

“Tapi...”

“Awak, apa kata awak letak telefon ni dulu. Dengar apa papa awak nak katakan. Bila semuanya dah selesai, barulah saya datang jumpa awak ya.” Aril memujuk gadis itu penuh perasaan.

Hannah sekadar mengganguk tetapi tidak menjawab. Lemah jarinya memicit ikon tamat di telefonnya. Mengapa setiap kali dia marah, Aril sentiasa ada untuk menjadi pemadam apinya? Dia kalah dengan kata-kata memujuk Aril.

SEBAGAI tanda hormat kepada tetamu, Encik Nizam mengajak tetamunya untuk menjamu selera dengan apa yang tersedia. Hannah yang malu itu, terpaksa menolong abang Aiman untuk menghidangkan lauk-pauk. Sedar yang banyak mata memandangnya, dia mengukirkan senyuman bagi menjaga air muka papanya.

“Hannah tak bagitahu abang pun Hannah nak kahwin? Hari tu abang usik Hannah, Hannah kata semua tu tak betul. Tererlah Hannah ni!” Aiman mengusik, menuang air ke cawan-cawan yang tersedia.

“Hannah pun tak tahulah. Boleh gila Hannah dibuatnya!”

Aiman tertawa mendengar kekusutan yang dialami adiknya. Kasihan. Hendak berkahwin pun masih lagi binggung dan bercelaru. Papa dan abang Aiman sibuk melayan tetamu. Yang peliknya, papa kelihatan begitu senang bersama dengan mereka. Mengapa pula begitu?

SETELAH semuanya selesai, papa memanggil Hannah dan Aiman untuk duduk berbincang sebagai satu keluarga. Papa tidak marah atau melenting sama sekali. Malah, itulah perkara terakhir yang papa akan buat. Sebaliknya, Encik Nizam bertutur dengan cara yang sebaik mungkin kepada Hannah. Dia faham, mungkin Hannah juga terkejut.

“Papa nak tanya. Hannah tahu ke mereka nak datang?” soalan pertama Encik Nizam.

Keliru. Dia tidak tahu bagaimana harus dia menjawabnya.

“Minggu lepas Aril ada bagitahu Hannah tapi Hannah ingatkan dia bergurau masa tu.” Jawab Hannah serba-salah.

“Rasanya Hannah dah tahu kan hajat mereka kemari. Hannah setuju?” tanya Encik Nizam. Aiman di sisi hanya berdiam diri, tidak berniat untuk masuk campur.

“Hannah...Hannah tak tahu. Kalau boleh Hannah tak nak.” Hannah berterus terang.

“Hannah, Hannah dah besar untuk buat keputusan sendiri. Sampai bila Hannah nak papa ada dengan Hannah? Kalau boleh papa nak sangat tengok Hannah kahwin sebelum papa pergi. Tak adalah papa risau sangat tentang Hannah. Kalau papa tahu ada orang yang baik yang boleh jaga Hannah, papa pun gembira sayang.” Tutur Encik Nizam memeluk anak gadis kesayangannya.

Air mata Hannah mengalir tanpa henti. Dia sebak. Adakah ini bermakna papa menyuruhnya terima Aril sebagai suami?

“Tapi Hannah tak kenal siapa dia pa. Setakat keluar sekali, dua tu saja.”

“Walaupun papa tak kenal siapa dia tapi papa hargai apa yang dia buat. Papa lebih suka macam ni. Kalau dia nakkan anak papa, akhiri dengan sebuah ikatan. Bukannya bawa anak orang ke hulur ke hilir. Kalau dia boleh jaga batas dia sekarang ni, papa yakin dia boleh jaga Hannah nanti.” Panjang lebar Encik Nizam menasihati.

Ya, dia mungkin tidak kenal siapa itu Aril tetapi sekurang-kurangnya Aril mengambil inisiatif untuk memperisterikan Hannah. Bukannya dia menghalang Hannah untuk bercinta tetapi bukankah elok jika sudah ada hubungan yang sah?

“Papa dah minta mereka tempoh tiga hari untuk Hannah fikir dan buat keputusan. Apa pun keputusan Hannah, papa akan terima tapi cuma satu aje yang papa harap. Papa harap Hannah buat keputusan yang baik. Daripada ibu bapanya, papa tahu mereka dari keluarga baik-baik.” Nasihat Encik Nizam, mengesat air mata Hannah.

“Nantilah Hannah fikirkan.” Itu sahaja yang mampu dikeluarkan oleh Hannah.

Dia menaiki ke biliknya dengan perasaan yang bercampur. Papa kelihatan sangat senang dengan keluarga Aril. Kata-kata papa terngiang-ngiang di telinganya sehingga sekarang. ‘Sampai bila Hannah nak papa jaga Hannah? Papa bukannya nak menghalau Hannah tapi papa gembira kalau papa dapat lepaskan Hannah kepada orang yang bertanggungjawab dan yang sayang Hannah macam mana papa dan abang sayangkan Hannah.’

Di dalam hal ini, perasaan siapa yang harus dia utamakan? Papa atau dirinya? Akankah dia menyesal andai dia terima Aril di dalam hidupnya? Lelaki yang baru dikenal seminggu dan tidak tahu-menahu tentang dirinya. Dia buntu.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.