Home Cerpen Cinta Teman Lelaki Sewaku!
Teman Lelaki Sewaku!
Qaseh Husna Husna
25/12/2012 01:22:27
4,692
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Tercungap-cungap Dina berlari mengejar Natasha yang sudah jauh di hadapan. Kalau dia tidak sampaikan salam lelaki itu, habislah dia. Natasha pula, jalan seperti berlari-lari anak! Ataupun, dia yang jalan lambat? Apabila sudah dekat, Dina menjerit-jerit nama Natasha menyuruh Natasha berhenti. Sesungguhnya dia sudah tidak kuat berlari. Jika dia saja sebagai seorang wanita tepersona dengan kecantikkan Natasha, apalagi lelaki. Wajah Natasha yang putih mulus tanpa mekap sepadan dengan hatinya yang baik. Untung lelaki yang beristerikan gadis seperti Natasha.

“Tasha, apa laju sangat kau jalan ni! Penat aku kejar kau dari tadi. Ni hah, ada orang kirim salam dan dia suruh aku bagikan ni kepada kau.” Ujar Dina dengan nafasnya yang tercungap-ngucap. Sampul kertas itu sudah bertukar tangan.

“Dari siapa?”

“Bila kau baca, kau tahulah siapa.” Dina tersenyum nakal sambil mengenyit mata. Sekejapan saja Dina sudah menghilangkan diri.

Natasha berkerut dahi. Zaman sekarang pun ada orang pakai surat? Vintage! Belum sempat dia mahu menanya lebih tentang surat itu kepada Dina, Dina sudah lesap. Ah Dina ni, betullah! Natasha curiga dengan surat yang baru didapat. Dia mencium sampul surat itu, manalah tahu sampul itu ditabur dengan bedak. Kolotlah kau ni Tasha! Akhirnya, dia tertawa sendiri.

Sampul itu dibuka dan dia mula membacanya. Inti surat itu adalah lelaki yang bernama Sufyan ini ingin berkenalan dengannnya? Siapa Sufyan? Kata Dina tadi kalau dia baca surat itu, tahulah dia siapa pegirimnya, tetapi dia tidak kenal dengan sesiapa yang bernama Sufyan. Buat pening kepala saja memikirkan siapa pengirimnya. Akhirnya surat itu dibuang ke dalam tong sampah.

Natasha, nama saja pelajar kolej tetapi dia hanya kenal rakan sekelasnya saja. Luar daripada lingkungan kelasnya, dia langsung tidak kenal. Kadang-kadang, dia jadi pelik bagaimana orang-orang ini boleh kenal dengan dia sedangkan dia langsung tidak kenal dengan mereka. Baru saja dia mahu buka pintu keretanya, dia didatangi seseorang. Lelaki.

“Hi!” sapa lelaki itu.

Melihat Natasha diam, lelaki itu bersuara.

“I, Sufyan, yang kirim salam dan kirim surat tu.” Dia menjelaskan siapa dirinya sambil tersenyum. Kening Natasha terangkat.

Kemudian Natasha tersenyum dan meloloskan diri ke dalam kereta. Tiada jawapan, tiada sapaan untuk Sufyan yang beria-ia ingin berkenalan. Katakanlah dia sombong atau apa tetapi dia langsung tidak kenal dengan lelaki itu. Justeru mengapa dia harus berkenalan dengan Sufyan? Berikan dia sepuluh alasan, baru dia akan pertimbangkan.

Sufyan terngaga. Pergi macam tu saja? Tiada hi, tiada bye? Sawan ke apa minah ni? Dia buat tak kenal dengan lelaki yang bernama Sufyan, biar betul? Tidak mengapa, esok hari masih ada. Tunggu dan lihat Natasha, you akan jatuh cinta pada I.

**

KEESOKKAN paginya di kolej, Dina kecoh sedunia gara-gara Natasha buat tidak endah kepada Sufyan. Sudah sememangnya dia tidak kenal, mahu apa lagi? Dina terlongo mendengar jawapan Natasha. Natasha tidak kenal dengan Sufyan? Lelaki paling popular yang menjadi idaman ramai di kampus! Kalau ditanya Dina, sudah pasti dia mahu tetapi Sufyan yang tidak mahu. Cerewet benar si Sufyan ni!

Hi, I nak ajak you makan tengahari. Jom? - Sufyan

Natasha terbeliak melihat mesej yang baru diterima. Ini kerja gila namanya! Dari mana Sufyan dapat nombor telefonnya? Setahu dia, dia tidak pernah memberi nombor telefonnya kepada sesiapa kecuali pada yang kenal. Serta-merta, dia memandang suspek utamanya. Dina!

“Bukan aku! Bukan aku!” Dina mengangkat kedua belah tangan membela diri.

“Dina...” Natasha mengecilkan mata memandang tepat ke wajah Dina.

“Dia yang ceroboh telefon aku, aku kata jangan tapi dia tak peduli.” Akhirnya kebenaran terbongkar.

Natasha bungkam. Mahu marah Dina juga tidak guna. Nasi sudah menjadi bubur. Habislah hidupnya nanti dikacau Sufyan. Mesej tadi tidak dibalas, malah dia hapuskan. Lelaki itu tidak faham bahasa ke. Kalau orang sudah tak layan, maknanya tidak mahulah. Lagipun Natasha langsung tidak tertarik kepada lelaki ini. Mungkin lelaki idaman gadis lain tetapi bukan dia. Dina pula, pandai-pandai saja layan lelaki gila ini. Geram Natasha dibuatnya.

**

RUPANYA mesej itu tidak berhenti di situ. Natasha mendapat mesej demi mesej daripada Sufyan. Dia bukannya hendak melayan tetapi sekadar ingin mengingatkan lelaki itu bahawa dia tidak berminat. Dina tidak habis-habis mengusik Natasha mengatakan bahawa Sufyan sudah berjaya memikat hatinya. Hakikatnya tidak. Dia tidak terjatuh hati kepada lelaki ini walaupun seinci. Dari pertama kali dia mendapat surat dan bertemu dengan Sufyan, dia dapat merasakan bahawa Sufyan tidak ikhlas. Dia hanya sekadar ingin berfoya-foya.

Mungkin kepada Sufyan, ada peluang cerah untuk Natasha jatuh cinta dengannya. Salah Sufyan, engkau salah! Bagaimana dia hendak hindar dari Sufyan? Natasha berlalu balik ke kelasnya. Di luar kelas, Dina, Adi dan Haizad sedang berborak dengan seorang lelaki yang Natasha sendiri tidak kenal. Apabila dia mendekati mereka, semua orang berpaling, termasuk lelaki itu.

Natasha diperkenalkan dengan lelaki yang bernama Fahim itu. Menurut mereka, Fahim adalah senior mereka. Natasha hanya tersenyum. Lelaki itu berperah tenaga menggantikan tayar keretanya yang pancit. Tiba-tiba, idea nakalnya menjelma. Natasha menarik Dina ke suatu sudut dan mengongsi ideanya itu. Mulanya Dina tidak percaya tetapi akhirnya dia mengalah kerana Natasha sudah benar tidak tahan dengan bayang-bayang Sufyan.

Sudahlah mengacau hidupnya, saban hari di kampus, pasti akan ada jelmaannya dengan kejutan yang berbeza. KeLmarin, dia datang dengan bunga. Dua hari lepas, dengan coklat. Tolong lah, tidak usah berlagak romeo sangatlah Sufyan, aku tak berminat! Rimas Natasha dibuatnya. Kata Dina, kalau benar Natasha mahu meneruskan dengan rancangannya itu, dia harus bersemuka dengan Fahim sendiri. Malu memanglah malu, tetapi untuk hidupnya juga!

Sufyan sama sekali tidak percaya apabila Natasha mengatakan bahawa dia ada teman lelaki. Katanya harus ada bukti. Mulanya dia buntu harus bagaimana, tetapi apabila bertemu Fahim, dia tahu sudah apa yang harus dia lakukan.

Natasha ikut duduk di tar jalan di tepi Fahim. Fahim hanya tersenyum sambil mengelap peluhnya. Ah, Fahim ternyata lebih kacak daripada Sufyan si kasanova itu. Tidak perlu berlagak lebih kerana dia sememangnya sudah ada aura.

“Fahim...boleh tak saya sewa awak untuk sehari jadi teman lelaki saya?” Natasha memberanikan diri untuk bertanya. Malu bertanya sesat jalan. Ini saja caranya untuk melepaskan diri daripada Sufyan.

Dengan tenangnya Fahim memandang Natasha dengan kerutan di dahi.

“Apa awak ingat saya ni kereta nak sewa-sewa bagai? Jadi teman lelaki awak pula tu!” Fahim mengejek.

“Amboi awak ni! Tak sayang mulut kan, memang patut pun tayar awak pancit! Biar hati awak yang busuk tu pancit sekali. Orang minta tolong cari baik, macam ni pula!” omel Natasha. Geram dia apabila Fahim mengejeknya. Macamlah dia teruk sangat.

“Dina, bawa balik kawan kau sorang ni!” laung Fahim.

Natasha tidak boleh putus asa. Dia sendiri pelik bagaimana dia boleh cepat mesra dengan Fahim walaupun pada hakikatnya dia baru berkenalan dengan Fahim. Fahim harus bantu dia!

Bermacam-macam dia mencuba menyogok Fahim, belanja makanlah, cucikan bajulah, angkat buku dan beglah, isi minyak untuk sehari. Semuanya tidak berkesan. Fahim ni mengada-ngada betul!

“Hello Cik Natasha, awak ingat senang-senang saya nak sewakan diri saya? Awak nak sewa saya, sayalah tetapkan syaratnya.” Fahim bersuara setelah penat menggeleng ke semua cadangan Natasha.

“Okey, apa dia?”

“Senang aje. Syarat saya cuma satu. Awak jadi driver saya untuk ke mana saya nak pergi selama sebulan dan kalau awak jatuh cinta dengan saya, awak jadi tunang saya. Kalau tak, saya anggap ini kontrak dan saya akan bayar ganti rugi awak. Macam mana?” Fahim tersenyum senang selepas meletakkan syaratnya.

Terbeliak mata Natasha mendengar syarat Fahim. Berat tu! Kasihan dirinya. Namun tidak mengapa, ini semua Sufyan punya pasal. Akhirnya, dia setuju kerana dia yakin dia tidak akan jatuh cinta kepada Fahim sesenang itu.

KEBETULAN, Sufyan pula berada di kawasan itu. Dia mendekati Natasha ingin mengajak keluar menonton wayang. Natasha memijak kaki Fahim dengan isyarat menyuruh dia menjadi teman lelaki sewanya. Lembab betul Fahim ini. Dengan cepat Fahim berdiri. Namun, giliran Fahim dan Sufyan pula terperanjat melihat sesama sendiri.

“Kenalkan teman lelaki I, Fahim.” Natasha mengenalkan Fahim. Untung dia tidak menyebut teman lelaki sewa. Nahas dia nanti!

“Fahim?”

“Abang?”

Natasha yang berdiri di tengah-tengah jadi bingung. Fahim memanggil Sufyan abang? Akhirnya apabila dijelaskan, Sufyan adalah abang kepada Fahim dan Fahim pula adik. Mulanya Sufyan ragu-ragu untuk percaya yang adiknya dan Natasha sedang bercinta tetapi lakonan Fahim amat berkesan. Sudahnya, Sufyan menggigit jari. Dia melepas.

**

“BOLEH tak saya tarik balik kontrak kita?” Natasha menanya takut-takut.

Fahim membalas dengan gelengan. Termasuk hari ini, sudah dua puluh hari dia menjadi driver Fahim. Mengenali Fahim dengan lebih rapat membuatkan Natasha lebih takut kerana dia seakan-seakan sudah jatuh hati kepada lelaki ini. Fahim seorang yang kuat berjenaka dan pandai mengambil hatinya. Bagai langit dan bumi dengan Sufyan.

Semakin hari dia mengenal Fahim, semakin hari dia kagum dengan sikap Fahim. Lelaki ini menghormati keputusannya jika dia mengata tidak kepada sesuatu. Tidak memaksa dan tidak mendesak seperti Sufyan.

Fahim mengetap bibir. Dia bukannya saja-saja menetapkan syarat tersebut. Semuanya bermakna. Sebenarnya dia sudah lama memerhatikan Natasha cuma belum memberanikan diri untuk berkenalan. Alang-alang Natasha menyatakan hasrat ingin menjadi teman lelaki sewa, dia terus bersetuju. Dia yakin dia dapat memperolehi hati Natasha dalam sebulan.

“Dah bersedia untuk jadi tunang saya?” soal Fahim ketika mereka berada di restoran makan.

“Awak jangan nak perasan. Ini semua kontrak,” Natasha cuba menafikan hakikat.

“Orang yang menipu selalunya tak berani bertentangan mata...” Fahim mengusik.

Natasha menyahut cabaran Fahim untuk memadang wajahnya. Namun dia kalah. Dia tertawa melihat wajah poyo Fahim.

“Tak payah tunang ya? Kahwin terus.” Fahim tersengih nakal.

Fahim, engkau hanya memberikan sedikit masa untuk jatuh cinta. Sesungguhnya kuasa cinta engkau terlalu magis.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.