Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 5

SEDAR tidak sedar, hari ini hari terkahirnya di Bali. Jika diberi peluang,dia ingin ke Bali sekali lagi. Kali ini untuk bercuti dan menggembara lebih tentang Bali. Duduk di tepi pantai tanpa memikirkan apa-apa. Bermacam-macam sudah dia lakukan di Bali ini termasuk bertemu dengan lelaki yang menyakitkan hati. Walaupun hatinnya terasa berat untuk meninggalkan Bali, dia juga tidak sabar untuk pulang ke Malaysia setelah sekian lama tidak bertemu dengan keluarganya.

Rindu dengan nasi lemak Malaysia! Di lapangan terbang Bali, hampir semua pegawai menanyakan soalan yang sama iaitu adakah dia melancong sendirian. Mungkin orang tidak percaya yang gadis ini mampu berjalan sendirian di Bali walhal mereka tidak tahu cerita sebenar. Tidak mahu memanjangkan cerita, Hannah hanya mengiakan saja. Banyaklah kau punya berani Hannah!

Baru saja Aiman hendak keluar dari rumah, mak Mah memanggilnya dari dapur. Hendak ke mana si bujang tu sorang? Awal-awal lagi sudah mahu keluar. Mak Mah meletakkan begnya dan terus mendapatkan Aiman. Takkan keluar jumpa kekasih seawal ini?

“Aiman nak pergi mana tu?” mak Mah bertanya.

“Lah, hari ni kan Hannah balik. Aiman nak pergi ambil dialah ni.” Jawab Aiman.

“Oh ya lah. Mak Mah lupa...”

“Mak Mah nak ikut tak?” alang-kepala mak Mah sudah bertanya, apa salahnya dia mempelawa.

“Eh boleh jugak. Jomlah, mak Mah dah siap dah ni.” Mak Mah merapikan tudungnya.

“Tapi naik motor, boleh?”

“Ya ke?” mak Mah seakan mati kutu mendengar Aiman hendak menaiki motor.

Mak Mah terdiam seketika. Dia seorang tua lagi berumur. Naik motor pula dengan anak muda yang kacak ini. Anak majikkannya pula tu! Buruk benar rasanya. Meski dia sudah menggangap Aiman seperti anaknya sendiri, perasaan malu tetap ada. Mahu pergi atau tidak ya? Hatinya berbelah bagi.

“Lamanya nak menjawab...” tegur Aiman.

“Err...”

Kemudian dia terdengar Aiman tertawa.

“Aiman gurau aje kot. Lagipun mana ada motor dekat rumah ni mak Mah?” Aiman tertawa sekali lagi. Seronok dia mengusik mak Mah.

Geram, mak Mah memukul lembut lengan Aiman. “Bertuah punya budak! Mainkan mak Mah ya!”

Apabila difikirkan kembali, memang betul pun di rumah itu tidak ada motor. Menjawab tidak menggunakan akal. Main hentam saja. Mak Mah mengambil beg tangannya di dapur dengan segera. Aiman sudah menunggunya di dalam kereta. Setelah mengunci pintu, dia terus memasuki kereta, tidak mahu terlambat untuk mengambil puteri mereka seorang itu.

SETIBANYA di lapangan terbang Malaysia, perasaan rindunya kepada abang membuak-buak . Setelah mengambil bagasinya, Hannah terus keluar untuk mencari abang. Dia memanjangkan lehernya untuk mencari kelibat Aiman.

Aiman melambai-lambai ke arah adiknya. Rindu dia dengan Hannah. Sudahlah dia bosan tiada kawan untuk berborak di rumah, tiada juga teman untuk bergaduh. Nak gaduh dengan mak Mah? Silap hari, senduk dan sudip mak Mah yang singgah di kepalanya.

Hannah mempercepatkan langkahnya meluru untuk mendapatkan abangnya. Dipeluk penuh rindu abangnya itu. Kemudian dia menyalam mak Mah dan hadiahkan pelukkan yang sama untuk mak Mah. Amboi, seperti pulang dari London setelah bertahun-tahun belajar saja lagaknya.

“Abang, jom makan nasi lemak!” Hannah mengajak tatkala dia sudah berada di hadapan abangnya.

“Adik apalah macam ni. Tak tanya khabar abang, khabar papa, terus ajak makan.”

Hannah tergelak kecil. Abangnya, semakin dewesa semakin sensitif pula. Dia melenset manja ke Aiman.

“Alah maaflah. Okey, abang sihat? Oh ya, papa mana?” mata Hannah meliar mencari papa kesayangannya itu.

“Papa pergi Penang seminggu.” Beritahu Aiman.

“Kalau macam tu, Hannah boleh guna kereta papalah?” senyuman Hannah meleret. Bila lagi kan dia mahu merasa untuk memandu kereta sendiri?

“Siapa cakap? Tak boleh!” Aiman memberi kata putus bagi pihak papanya.

“Alah tak apa, nanti Hannah telefon papa sendiri. Mesti dia kasi.” Hannah mengejek abangnya. Kalau dia yang menelefon, pasti papa akan berkata ‘ya’.

“Eeii! Mengada betul budak satu ni. Mentang-mentanglah anak bongsu!” gerutu Aiman.

“Sudah-sudah! Korang ni kalau tak bergaduh memang tak sah kan?” mak Mah akhirnya cuba mendamaikan suasana.

“Mana ada mak Mah. Kita ni saling menyayangi kan Hannah?” Aiman memeluk erat adiknya, membuatkan Hannah sedikit lemas.

Sekuat tenaga Hannah menolak tangan abangnya yang hinggap di bahu. Namun, tidak berjaya. Mereka bertiga berjalan menuju tempat letak kereta. Keghairahan Hannah untuk makan nasi lemak adalah seperti kali pertama dia memakannya. Macamlah dia tidak pernah makan nasi lemak sebelum ini.

“Mak Mah, selama Hannah tak ada, abang menangis tak sebab rindukan Hannah?” Hannah bertanya, membuka pintu kereta abangnya.

“Hari-hari dia rindu Hannah! Sampaikan makan tak lalu, mandi tak basah.” Mak Mah bertokok tambah, mereka cerita.

“Tolong sikit ya. Abang suka lagi adalah. Aman dunia ni buat lima hari.” Aiman tidak setuju.

Aiman memandu keluar dari lapangan terbang itu. Gigih mereka mencari gerai yang menjual nasi lemak pada waktu sebegini. Sayang adik punya pasal, apa pun sanggup dia lakukan. Di dalam kereta, Hannah seronok bercerita tentang pengalamannya di sana.

ARIL meletakkan begnya di lantai. Badan yang penat itu direbahkan ke sofa yang empuk. Puan Liza meletakkan segelas air sejuk di atas meja untuk anak bujangnya. Kasihan Aril penat. Umur sudah 26 tahun, bila hendak kahwin pun tidak tahu. Mahu dicarikan, Aril tidak mahu.

Anaknya itu bukannya tidak ada yang mahu, malah banyak tetapi Aril sahaja yang menolaknya. Aril dan Fahmi, perbezaan watak mereka sangat ketara walaupun jarak umur mereka hanyalah dua tahun. Fahmi seorang yang peramah dan banyak bicara manakala Aril pula lebih suka berdiam diri dan memikir. Fahmi juga bebas bergaul daripada Aril yang tidak banyak bersosial.

“Banyak belanja, Aril?” tanya Puan Liza, membelek beg Aril.

“Yang banyak ni untuk umilah, siapa lagi kan?” Aril bersandar manja.

“Untungnya umi!” Puan Liza terharu.

“Memanglah. Lagi untung kalau siapa jadi isteri Aril. Tak gitu umi?” Aril bergurau senda.

“Amboi! Cemburu umi macam ni. Tapi tak apa, umi aminkan ya. Jiran sebelah kita ni nak tak Aril?” Puan Liza mengusik, ingin melihat reaksi Aril.

Daripada bersandar, Aril terus duduk menegak.

“Tak boleh umi! Dia tu banyak cakaplah, susah nak kawal nanti.” Aril laju menggeleng. Tidak mahu sama sekali digandingkan dengan gadis sebelah yang bermama Nina itu.

“Bolehlah tu Aril. Pendiam lawannya bising.” Puan Liza terus-terusan menyakat.

“Bagi ajelah dekat si Fahmi tu. Dia pun belum kahwin. Yang tua didahulukan, umi.” Aril menolak balak.

Daripada dia kahwin dengan si Nina jiran sebelah tu, lebih baik dia tunggu sampai umurnya 30 tahun. Katakanlah dia memilih tetapi Nina jauh daripada ciri-ciri gadis yang dia mahukan. Lagipun, hati tidak berkenan. Buat apa pun tetap tidak akan berkesan.

Aril membuka begnya dan mengagih-agihkan harta masing-masing. Dalam erti kata lain, buah tangan dari Bali yang dia borong di sana. Umilah orang paling gembira kerana dapat banyak cenderahati. Begini hidup orang bujang. Tiada isteri untuk dimanjakan, dia manjakanlah uminya. Tidak mengapa, dapat pahala juga senangkan hati umi.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.