Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 1

PAGI-PAGI Encik Nizam sudah bersiap untuk menghantar Hannah ke lapangan terbang. Aiman tidak dapat menghantar adiknya kerana ada mesyuarat penting pagi itu. Namun di rumah, dia sudah mengucapkan selamat tinggal siap pesan yang pulang saja Hannah dari Bali, dia akan mendapat kejutan. Setelah bersalaman dengan papa dan mak Mah, Hannah memasuki ruang berlepas.

Sayu hatinya melihat mak Mah dan papa melambai ke arahnya. Dia memang tidak pernah berjauhan dengan orang tuanya. Inilah kali pertama dia akan menjelajah ke negara orang sendirian. Dia harus jaga diri, jaga adab dan jaga sopan. Itulah pesanan mama sebelum mama pergi meninggalkan dunia. Pesanan abang pula, jangan main lantak saja makanan di situ. Tanya halal atau tidak. Pening kepalanya mendengar pesanan-pesanan itu.

Hannah sudah tidak sabar untuk menjejakkan kaki di negera orang. Dari Malaysia dia pergi sendiri, sampai ke Bali barulah berteman. Sudah masanya dia merehatkan minda daripada kesibukkan kota dan hilangkan stres setelah berbulan-bulan belajar. Destinasi kali ini adalah ke Bali. Harapannya hanya satu, supaya tidak sesat di lapangan terbang Bali. Maklumlah, ini pertama kali dia ke sana.


AKHIRNYA, sampai juga di ke sini. Berdiri di tengah-tengah lapangan terbang itu, dia tidak tahu harus kemana sehinggalah dia didatangi seorang pegawai yang bertanya dia dari mana. Jika tidak, berdiri tegaklah dia sampai esok. Setelah selesai semua, Hannah keluar dari ruangan itu. Tidak susah mencari Lia yang sudah lama menunggunya. Berpelukkan sebentar untuk melepaskan rindu dan mereka terus ke kereta.

Sepanjang dia berada di Bali, Lialah akan menjadi pemandu pelacongnya. Lia memang asal dari Malaysia tetapi ayahnya warga negara Bali. Sekali-sekala jika ada cuti, dia akan pulang ke Bali. Terpegun dia seketika dengan vila Lia. Sudah seperti resort! Pagi itu mereka berborak lama untuk melepaskan rindu dan bertukar cerita. Maklumlah sudah sebulan dia tidak berjumpa dengan Lia. Kadang-kadang itu, adalah dia berchatting dengan Lia.

Walaupun sudah menetap di Malaysia untuk beberapa tahun, loghat Indonesia Lia masih pekat di lidah. Dari segi penampilan, Lia memang kelihatan lebih agresif dari Hannah. Malah perwatakkannya juga agak kasar. Perbezaan antara mereka yang membuat persahabatan ini kekal sehingga sekarang.

Kata Lia, sebentar lagi barulah mereka akan keluar bersiar-siar. Sekarang ini, mereka berehat dulu. Seronok Hannah apabila mendengar dia akan ke pantai Kuta. Dia sememangnya suka dengan pantai. Tenang rasanya melihat air yang bergelombang. Lebih-lebih lagi air laut di Bali jernih dan biru!


HANNAH berdiri di pantai Kuta sambil mengamati keindahan air yang biru itu. Jika boleh dia ingin membina rumah di sini, jauh dari kota. Pasti dia dapat mencari ketenangan yang dia inginkan selama ini. Pengunjung di sini, ada yang duduk mengamati ombak yang memukul pantai, yang mat saleh pula dengan sukan papan lungsur mereka. Sememangnya pantai Bali terkenal dengan orang-orang yang melunsur air di sini.

Rugilah jika sudah datang jauh-jauh dia tidak memetik gambar. Kamera di dalam begnya dikeluarkan dan dihulurkan kepada Lia. Dia menghadiahkan Lia senyuman nakalnya. Fahamlah Lia dengan senyuman itu jika sudah diberi kamera. Hannah mengundur diri seperti diarahkan Lia. Mundur, mundur, mundur sehinggalah terlanggar seseorang.

Untuk seketika, kedua-duanya terdiam melihat wajah masing-masing. Lidah kelu tidak terkata. Jantung mereka bergelora seperti ombak ganas di pantai Kuta. Sepatah perkataan pun tidak terluah.

“Ehem! Nak mundur tu agak-agaklah. Jangan nak langgar orang aje,” Aril bersuara. Aduh! Lain di hati, lain pula di mulut.

Apasal mulut ni celupar sangat nak cari gaduh ni? Terasa ingin menyepak-nyepak mulutnya yang bagai tiada insurans itu. Lain di hati, lain pula di mulut. Dia melihat wajah Hannah yang tercenggang dengan kata-katanya. Ah lantaklah, bukannya dia faham pun bahasa Melayu. Aril cuba bertenang dan memujuk diri.

Hello? Awak pun salah juga okey. Nak ambil gambar tu ingat-ingatlah sikit dengan orang sekeliling,” giliran Hannah pula menjawab. Mulanya dia hanya mahu mengucapkan maaf kepada lelaki kacak ini tetapi ternyata kacak pada rupa saja. Hatinya berkocak! Menyakitkan hati betul! Orang Malaysia rupanya. Beria-ia nak meminta maaf tetapi bergaduh pula.

“Tau tak pantai ni besar? Dari hujung ke hujung, kat sini juga awak nak berdiri kan. Kalau nak ambil gambar dengan saya...cakap aje, tak payah nak langgar-langgar.” Aril membuat kesimpulan sendiri, menyakitkan hati Hannah lagi. Dia juga terkejut apabila mendengar Hannah berbahasa Melayu. Orang Malaysia juga ke?

Hey, tak ada masanya lah saya nak ambil gambar dengan awak. Jangan nak perasaan. Awak tu, pergilah hujung sana. Sibuk dekat sini kenapa?” Hannah mencabar Aril kembali.

“Okey korang berdua, berhenti! Tak payahlah nak gaduh-gaduh dekat sini. Minta maaf sesama sendiri. Habis cerita!” Lia yang sedari tadi diam bagaikan menonton drama di televisyen akhirnya bersuara untuk menghentikan sketsa antara Aril dan Hannah. Dia berdiri di antara Hannah dan Aril dengan tangan yang memisahkan kedua insan itu.

“Minta maaf dengan dia? Hish, tolonglah!” Hannah mendengus seraya menarik tangan Lia untuk pergi dari situ.

Kalau dia beredar dari pantai Kuta, maka sia-sia sajalah dia kedatangan ke Bali. Hanya kerana lelaki itu, dia tidak jadi bergambar. Ah lelaki itu, perosak mood orang saja! Dia tidak akan pergi, dia hanya akan ke tempat yang lebih jauh dari lelaki itu. Apa ingat dia ada kamera lagi besar dari aku, dia besar sangatlah? Terasa bagaikan mahu mencampak saja lelaki itu ke dalam laut.

Aril hanya mampu melihat gadis itu pergi. Nampak lembut tetapi kalau marah, bagaikan gunung sedang berapi. Sepatutnya mereka berkawan apabila berada di negara orang ni. Maklumlah, sama-sama orang Malaysia. Ini tidak, gaduh pula. Aril duduk di pantai itu sambil tersenyum. Seronok dia bergaduh kecil dengan gadis itu. Nama pun tak sempat nak tahu, inikan pula siapa dirinya. Semuanya berpunca daripada mulutnya yang celupar. Benarlah orang tua kata, tidak sayang mulut betul.

Kalau dari pandangannya, Hannah itu masih muda. Mungkin baru masuk 23 tahun. Tidak pun masih 21 tahun. Entah mengapa dia mahu sangat mencari pasal dengan gadis itu. Buat hatinya gembira. Tidak mengapa, kalau ada jodoh, kita jumpa lagi. Aril cuba berfikiran positif. Dia meneruskan sesi mengambil gambar yang terhenti dek terlanggar Hannah tadi.

SETELAH puas mengambil gambar dan berseronok di pantai, Hannah dan Lia kembali ke kereta. Mujurlah cuaca hari ini tidak seterik mana. Masih boleh diatasi. Jika sudah berpeluh dan penat, cari tempat makanlah jawabnya. Nikmatnya berada di dalam kereta yang berhawa dingin! Hannah melihat kembali gambar-gambar yang dipetik tadi. Cantik gambar-gambarnya semua. Untung ada Lia, jika tidak, siapa yang mahu memetik gambarnya? Punat di kamera itu ditekan untuk melihat gambar satu-persatu sehinggalah fokusnya terhenti kepada satu gambar.

Dengan pantas dia memandang Lia dan menunujukkan gambar itu. Sempat Lia menangkap aksi pergaduhan antara dia dan lelaki itu. Sekarang barulah dia perasan yang dia tidak tahu-menahu pun nama lelaki itu. Jika diikutkan, memanglah kacak tetapi kalau menyakitkan hati buat apa?

“Hannah kau jangan buang gambar itu okey, tolongl!” larang Lia cepat, seakan-akan tahu apa yang berada di kotak fikiran Hannah.

“Yang kau nak simpan sangat gambar ni kenapa? Buat semak kamera aku aje. Ni mesti kau syok dekat dia kan?” Hannah membuat kesimpulan sendiri. Pelik dia kenapa Lia mahu sangat menyimpan gambar lelaki ini.

“Eh eh kau ni. Sedap aje mulut ni dok mengata orang kan? Aku nak kau simpan gambar ni buat kenangan. Ingat senang ke nak jumpa lelaki Malaya yang kacak minta ampun ni dekat Bali? Buatnya kau jatuh dengan dia...aku gelak guling-guling tau tak!” Lia mengusik. Di Malaysia pun belum tentu dapat jumpa dengan lelaki sekacak ini.

“Aku dengan dia? Tak mungkin. Lelaki kacak macam tu, mana nak dekat aku? Lagipun, mesti dia jenis perempuan keliling pinggang kan?” Suara Hannah tiba-tiba kendur, memikirkan jarak di antara mereka jika terjalinnya hubungan itu.

“Janganlah negatif sangat. Jodoh, tiada siapa yang tahu. Tapi kalau kau dengan dia mesti comel kan, hari-hari gaduh...” Lia sudah mula berangan jauh.

Hannah terdetik. ‘Kenapa ya mulut aku gatal sangat nak gaduh dengan dia tadi? Kalau aku minta maaf kan habis cerita. Boleh buat kawan dekat sini.’ Hannah menyambung kembali melihat gambar-gambar tadi. Ada satu gambar menarik minatnya. Hannah berdiri memandang laut dan lelaki itu kebetulan sedang duduk di pasir. Cantik betul gambar ini! Benarlah kata orang bahawa satu gambar boleh membawa seribu kenangan dan boleh dibuat cerita. Akhirnya, dia tidak jadi membuang gambar-gambarnya dengan lelaki itu. Biar jadi ‘kenangan terindah’.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.