Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 11

SUASANA pusat makanan itu kelihatan meriah dengan kunjungan pelanggan yang datang dengan perut kosong. Degil Aril ni. Sudah dikata tidak mahu, masih mahu memaksa. Namun, tiada apa yang boleh dikata Hannah kerana mereka sudah pun tiba di sini.

“Tak nak keluar ke?” Aril membongkokkan badan, bertanya kepada Hannah apabila dia sedar Hannah masih lagi berada di dalam kereta.

Mendengar itu, Hannah menjeling. Memang pun dia tidak mahu keluar walaupun perutnya lapar minta diisi. Saja mahu tunjuk protes kepada Aril kerana lelakii itu membuat keputusan sesuka hati dia. Membentak sana sini, mengarah kanan kiri.

“Kat sini tak ada servis hantar makan sampai ke kereta. Yang ada layan sendiri. Tolong jangan nak mengada-ngada. Kalau nak layan perasaan, balik nanti boleh.” Tutur Aril, melihat wajah Hannah yang ketat.

“Membebel!” ejek Hannah geram.

“Eh, eh budak ni. Dah bagus aku ajak makan.” Ngomel Aril apabila Hannah pergi meninggalkannya.

Walaupun tempat itu padat dengan orang, masih ada lagi ruang untuk mereka berdua duduk. Mata Aril meninjau-ninjau melihat kedai yang menjual makanan. Perut lapar tetapi tidak tahu mahu makan apa.

“Saya tahu tengahari tadi awak tak makan. Pergilah pesan makan, nanti pitam saya yang susah.” Ujar Aril dengan nada yang prihatin. Tidak membentak seperti tadi.

‘Dia tahu aku tak pergi makan tengahari tadi? Macam mana dia tahu? Dia intip aku ke? Tak mungkin! Ke dia upah orang? Bahaya ni. Gerak-geri aku sekarang diperhatikan. Tapi..mengapa?’

Mahu tak mahu, Hannah bangun untuk membuat pesanan. Ada betulnya apa yang dikata Aril. Jangan kerana kita ikutkan perasaan, kita mendera diri, menjejaskan kesihatan. Dalam diam, hatinya berbunga kerana Aril mengambil berat tentangnya. Tunggu, bukankah tadi perasaan marah berseramarak di dalam hati? Aneh.

“Berapa kak?” tanya Hannah, ingin membayar.

“4 ringgit.” Penjual itu tersenyum sambil menjawab. Cantik gadis yang berdiri dihadapannya. Manis dan sedap mata memandang.

Namun, tangan Aril lebih pantas untuk menghulurkan nota lima ringgit kepada penjual itu. Kemudian tangannya menolak lembut tangan Hannah yang menghulurkan duit.

“Saya bayar.” Aril bersuara untuk tidak mengelirukan keadaan. Penjual itu kelihatan terangguk-angguk lalu mengembalikan baki. Seorang cantik, seorang kacak. Memang padan.

“Kenapa bayar? Saya ada duit sendiri.” Soal Hannah ketika mereka kini sudah kembali duduk di meja yang sama.

“Saya belanja, sebab awak belum dapat gaji pertama.” Jawab Aril acuh tak acuh, menyisip air bandungnya.

Hannah mengeluarkan dompetnya dan menghulurkan empat ringgit kepada Aril tetapi Aril buat tidak endah. Tangan kanan memegang sudu, tangan kiri memegang garfu. Tiada tangan lagi untuk mengambl duit itu.

“Saya tak nak terhutang budi dengan awak.”

“Awak memang banyak terhutang budi dengan saya pun. Tak gitu?” Aril mengangkat kening, tersenyum.

“Saya...”

“Dahlah. Depan rezeki tak baik berbahas. Makanlah.” Jari telunjuk hinggap ke bibir dengan isyarat suruh senyap.

Hannah akur.

“Kalau daripada tadi tak degil macam ni kan senang hidup saya?” dalam diam Aril memerli, membuatkan Hannah mengangkat muka. Matanya mencerlung memandang Aril. Ada saja nak cari pasal dengan orang.

Sepanjang sesi makan, masing-masing diam. Tidak tahu apa yang harus dibacarakan. Seperti dikatakan oleh Aril, tidak baik bergaduh depan rezeki kerana setiap butir yang bakal keluar dari mulut masing-masing akan mencetuskan pergaduhan.

Telefon Aril yang berlagu berbunyi selagi tidak diangkat. Dia melihat skrin itu sebelum mengangkatnya. Perbualan yang ringkas itu membuatkan Hannah malas untuk mengambil tahu. Itu urusan Aril, dia tidak mahu masuk campur.

“Kereta awak dah ada dekat bengkel. Safe and sound.” Beritahu Aril. Acad yang menelefonnya tadi untuk memaklumkan yang mereka sudah pun mengambil kereta Hannah.

“Terima kasih.” Ucap Hannah ikhlas.

“Kasih diterima.”

Ungkapan Aril itu berjaya membuatkan Hannah terpana. Apa yang baru dia dengar sebentar tadi? Benarkah itu yang Aril katakan? Semakin pelik dia lihat Aril ni. Sekejap marah, sekejap okey, sekejap prihatin, sekejap ni...romantis pula. Aneh-aneh saja.

“Esok pergi kerja macam mana? Ada kekasih, tunang, suami atau cik abang yang hantarkan?”

Hannah kembali ke alam nyata kerana Aril sudah mula mencarut.

“Pakcik teksi kut yang hantar.”

“Eloklah tu.” Aril melayankan. “Kenapa tadi balik lambat? Haikal bagi banyak kerja ke?”

“Buat apa nak tahu? Tak ada kena mengena dengan awak.” Jawab Hannah bersahaja.

“Balik sendiri lepas ni.” Gertak Aril lalu berdiri, ingin berlalu pergi.

Terbeliak mata Hannah dengan reaksi Aril. Mujur mereka berdua sudah selesai makan. Lelaki ini memang sukar dijangka. Kelam-kabut Hannah mengejar Aril yang sudah jauh ke hadapan. Sentap pula dah!

“Jalan cepat sikit boleh tak? Terkedek-kedek!” ajuk Aril, membuka pintu kereta.

Hannah hanya menahan sabar mendengar ajukkan Aril. Terasa ingin menghayun beg itu ke mukanya saja.

“Cepat-cepat, ada isteri ke tunggu dekat rumah?” sindir Hannah, menarik tali pinggang keledar untuk disematkan ke tempatnya.

“Buat apa nak tahu? Tak ada kena mengena dengan awak pun.” Aril memulangkan paku batu keras. Ambil kau!

Fine. Satu sama sekarang.” Hannah akur dengan sindiran yang dikembalikan kepadanya.

“Cik nak ke mana?” tanya Aril dengan lagak seperti pemandu teksi.

“Ergh!”rengus Hannah geram. Aril suka sangat mengusik dan menyakatnya. Senyuman nakal Aril membuatnya panas hati apabila bersama lelaki itu.

Bersama Aril, dia perlu banyak bersama. Ini merupakan hari pertama mereka keluar berdua. Mengenali Aril setakat ini memang membuat hatinya semakin kecil. Sering dimakan, dibakar dan panas membara. Beberapa jam yang diluangkan masa bersama Aril bagaikan beberapa hari. Tidak tahan rasanya berlama-lamaan lagi. Dia hanya mahu pulang!

“ESOK saya jemput awak jam lapan. Jangan lambat walau seminit.” Arah Aril ketika mereka sudah sampai di hadapan rumah Hannah.

“Saya tak suruh awak ambil.” Bangkang Hannah terkejut. Setahunya, dia tidak memberikan sebarang persetujuan.

“Suka hati sayalah.”

“Gilalah awak ni! Saya tak nak, awak faham tak?”

“Tak faham. Saya mengantuk dah ni. Nak balik.” Aril membuat aksi mengantuk untuk memendekkan cerita. Lagi lama dia melayan, selagi itulah Hannah akan terus memprotes.

“Hey awak ingat awak ni siapa hah. Suka-suka nak atur hidup saya?”Hannah sedikit marah dengan sikap Aril yang kononnya rasa dirinya besar sangat.

“Dah habis cakap? Jumpa esok.” Balas Aril, tidak mengambil hati dengan kata-kata Hannah. Malah, dia seronok melihat Hannah marah-marah sebegitu.

“Tunggu....” Hannah bersuara sebelum Aril sempat pergi. Sedar yang dia tidak akan menang dalam hal ini, dia mengalah. Penat melayan kerenah Aril. “Abang saya ucapkan terima kasih sebab hantar saya sampai depan rumah.”

Ayat Hannah yang ini menarik perhatian Aril. Dia tersenyum.

“Abang yang mana satu eh? Abang suami atau abang kandung?”

“Selamat malam Encik Aril. Terima kasih untuk hari ini, moga ALLAH membalasnya.” Hannah memilih untuk tidak menjawab. Dia ingin mempermainkan Aril kembali. Seraya dengan kata-kata itu, dia menutup pintu kereta Aril dan masuk ke dalam rumah.

Aril tertawa kecil sambil menggeleng-geleng. Hannah sangat mencabar dan dia sukakan cabaran. Walau apapun, dia bersyukur kerana kereta Hannah memilih untuk rosak hari ini. Disebabkan kereta itulah, mereka dapat keluar bersama hari ini. ‘Terima kasih kereta, jasa kau akan ku kenang sampai bila-bila.’

Malam ini, dia tidur dengan bayangan gadis yang bagaikan anak patung ini. Cantik di matanya membuat dia terpesona. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia memilih untuk bergaduh dengan Hannah walhal dia boleh saja memikat Hannah dengan auranya tersendiri. Hannah berbeza dengan wanita-wanita yang dia pernah kenal sebelum ini.

Tanpa pengetahuan Hannah, setiap hari dia melihat Hannah dari jauh, memerhatikannya. Senyumannya, gelak tawanya mampu mengukir senyuman di bibir Aril dengan serndirinya. Hati sudah jatuh suka? Entah, dia pun tidak tahu. Mungkin terlalu awal untuk ditafsirkan.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.