Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 16

“AMBOI! Cantik berbaju kurung ni nak pergi mana hah?” Hannah yang baru turun tangga itu berjaya menarik perhatian Aiman.

Hannah berjalan menuju ke abangnya. Hari ini dia berbaju kurung berwarna biru turqoise. Apabila Hannah yang jarang mengenakan mekap di muka bersolek untuk majlis ini, Aiman turut terpukau melihat kecantikkan adiknya ini.

Hannah memang dianugerahkan dengan wajah putih mulus yang cantik tanpa sebarang solekkan. Soalannya sekarang, kemana Hannah mahu pergi bersiap bagai hendak memasuki pertandingan perempuan Melayu terakhir ini?

“Nak teman kawan Hannah pergi majlis perkahwinan.”

“Kawan yang mana? Lia?” Aiman meneka. Hannah mana ada kawan ramai? Yang dia kenal, hanya itu sajalah. Lia.

“Bukan.” Hannah menjawab sepatah.

“Habis tu yang mana? Lelaki ya?”

“Ha’ah lelaki yang menyakitkan hati tu. Hannah bukannya nak pergi sangat pun.” Hannah memuncung, teringat kembali bagaimana dia cuba mencari alasan untuk tidak pergi.

“Dia ada nama kan? Panggil nama dia.” Aiman menegur adiknya. Dia juga mahu bertemu dengan lelaki yang banyak membantu adiknya walaupun dia digelar lelaki paling menyakitkan hati di dunia ini oleh Hannah. “Kalau tak mahu, kenapa pergi juga?”

“Dia tu! Memaksa aje. Orang dah kata tak mahu, masih tak faham bahasa.” Rungut Hannah tidak puas hati.

“Abang rasa Hannah suka kan pada dia?” Aiman meneka, cuba menyelamni hati satu-satunya adik yang dia ada.

“Apa abang ni! Memandai saja buat cerita.” Melenting Hannah mendengar soalan Aiman.

“Kalau tak suka, kenapa tetap pergi? Hannah sebenarnya tak sampai hati nak kata tidak pada dia kan? Padahal, hakikatnya Hannah boleh aje beri seribu satu alasan sampai dia percaya dan putus asa.” Aiman berhujah, mengukuhkah tafsirannya.

“Dia tu jenis tak faham bahasa bang. Cakaplah berjuta-juta kali, mesti dia tetap tak peduli.” Kenapa pula abangnya hendak menyebelahi Aril?

“Kalau mahu seribu daya, tak mahu seribu dalih. Kalau betul Hannah tak suka pada dia, boleh aje Hannah reka cerita supaya tak usah pergi. Hannah ni kan jaguh berdalih...”Aiman memerli.

“Mana ada!” Hannah sudah berdiri. Malas dia mahu melayan abangnya yang tidak habis-habis dengan kesimpulan sendiri. Hannah memanjangkan leher untuk melihat jika-jika Aril sudah sampai.

“Tengok tu berdalih lagi.”

Bila pula Aril sampai? Tidak tekan hon pun? Bukan itukah hobinya, asal sikit saja tekan hon. Sakit telinga dibuatnya. Hannah meminta diri daripada abangnya. Dia harus pergi sekarang.

“Eh tunggu! Abang pun nak jumpa lelaki ni. Hebat sangat ke sampai Hannah boleh mengalah dengan dia.” Aiman menyarung selipar ingin berkenalan dengan lelaki itu, mengejar Hannah yang sudah ke hadapan.

ARIL setia menunggu di dalam kereta. Songkoknya diletak di tempat duduk belakang. Nanti kalau sudah sampai barulah dia memakainya. Tadi di rumah, banyak betul polis pencen menanyakannya itu dan ini. Mungkin pelik kerana dia berbaju kurung dan samping.

Yang paling teruja, semestinyalah umi. Apabila ditanya pergi bersama siapa, dia hanya menjawab kawan. Tidak diberitahu tentang kehadiran Hannah di dalam hidupnya baru-baru ini.

Tatkala dia menoleh, memandang ke kanan, dia terlihat seorang lelaki berjalan menuju ke keretanya. ‘Eh, siapa pula ni? Kata tidak bersuami lagi?’ Aril sudah gementar. Kalau betul itu suaminya, masaklah dia kali ini. Bukan sahaja masak tetapi dicincang, ditumbuk sampai lumat! Mahu tidak mahu, dia terpaksa keluar dari kereta atas dasar hormat.

Berpeluh dia seketika walaupun baru sahaja keluar dari kereta berhawa dingin. Nadi jantung tidak usah dikatakan lagi, laju mengalahkan harimau yang sedang berlari. Letaklah lelaki semacho mana pun, kalau berhadapan dengan situasi sebegini, pasti akan pengsan!

“Aril?” Aiman bertanya tegas. Raut wajahnya garang memandang Aiman.

Aril mengganguk. Masa-masa macam nilah suaranya ditelan anak tekak. Tidak mampu menjawab sepatah perkataan. Kalau dia ditumbuk, hendak elak mana ya?

“Aku Aiman. Abang Hannah.” Aiman memperkenalkan diri kemudian dia tersenyum ramah. Tangan dihulur untuk bersalaman.

Phew! Leganya di dada hanya TUHAN saja yang tahu. Mahu saja dia mengelap peluh di dahi! Sekarang ini, barulah dia dapat bernafas dengan sempurna. Manalah tahu Hannah hendak mengenakannya?

Aril menyambut salam Aiman. “Saya minta izin bawa dia keluar sekejap. Nanti saya hantar dia balik.”

Hannah memandang Aril dan mendengus. Amboi, dengan abangnya bukan main sopan lagi berbual. Kalau dengannya, tidak bertekak memang tidak sah! Pandai berdrama rupanya Aril ni.

“Guna aku-kau pun boleh, aku tak kisah. Tak apa, kalau nak bawa dia ke mana pun boleh, bosan aku tengok muka dia hari-hari. Asalkan kau hantar balik sebelum pukul 9 malam. Jangan risau, aku ni sporting. Pergilah.” Aiman menepuk bahu Aril lembut. Dia faham jiwa lelaki.

Sempat mereka berborak tentang permainan bola sepak semalam. Semuanya gara-gara Aiman memakai jersey Manchester United. Hannah yang berdiri di sisi, mengetap bibir. Tiada apa yang boleh dia lakukan sekarang ini. Cepat betul lelaki beramah mesra.

“Okeylah. Aku pergi dulu.” Aril meminta diri.

“Eh apa pergi dulu? Pergi sekaranglah...” sempat Aiman mengusik.

“Abang!”

“Bye Hannah!” Aiman melambai tangan, mengusik. Bukannya dia tidak lihat wajah Hannah yang merah menahan geram.

Hannah memasuki kereta itu dengan hati yang sebal. Boleh pula kedua lelaki itu menjadi kawan? Berborak bagai tiada salahnya. Sempat lagi mereka bergurau. Bertukar pendapat tentang bola sepak. Hish geram!

“DAH lama sampai ke?” soal Hannah setelah memakai tali pinggang keledar.

“Bolehlah, dalam 10 minit.”

“Kenapa tak hon? Bukan hobi awak ke tu?”

“Saya ni orangnya penyabar. Tunggu seribu tahun pun saya sanggup.” Ujar Aril, tersengih sendiri.

Terasa mahu muntah saja sebaik saja mendengar pengakuan poyo dibuat oleh Aril. Aril sudah pandai masuk bakul angkat sendiri nampak gayanya. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Hal yang dibincangkan dengan Faz dan Nabil semalam di pejabat.

“Dia tu solo lagi ke dah berpunya?” Faz bertanya.

“Manalah aku tahu.” Hannah menjongket bahu. Takkan dia perlu ke tahap itu? Nampak terdesak sangat nanti.

“Dia tu dahlah kacak, mesti ramai peminat. Kalau dah terlajak bercinta, baru dapat tahu dia dah berpunya, menangis kau nanti! Lelaki zaman sekarang, kalau dah beristeri pun masih mengaku solo!” tambah Faz lagi. Andai dia belum bertunang, dia tidak akan teragaka-agak untuk mengambil langkah pertama mengenali Aril.

“Eh, eh mulut kau. Jaga sikit eh. Tak semua lelaki macam tu.” Bangkang Nabil, mempertahankan hak lelaki.

Hannah terdiam, memikirkan kebenaran kata-kata Faz. Bagaimana jika dia sudah beristeri, atau mempunyai kekasih? Benar, lelaki kacak pasti didampingi perempuan-perempuan cantik. Namun, siapa yang boleh tahan mamat sombong, berlagak dan menyakitkan hati macam Aril ni?

Aril tersenyum penuh makna memandang Hannah. Dia terpesona melihat kecantikkan Hannah hari ini. Bukannya Hannah tidak cantik pada hari-hari biasa tetapi inilah kali pertama dia melihat Hannah sopan berbaju kurung dengan sedikit solekkan. Tampak ayu dan elegan.

Yang paling penting, baju mereka sedondon. Sekarang barulah dia terperasan. Mungkin tadi dia terlalu kalut sehinggakan tidak terperasan akan Hannah langsung. Apabila difikirkan kembali, mereka bukannya berjanji pun untuk memakai warna yang sama. Adakah itu kebetulan atau ketentuan? Kan dia sudah kata, mereka mempunyai talian hati yang kuat.

“Kenapa senyum?” Hannah bertanya. Apa baju dia koyak, atau dia pakai baju terbalik? Dia memeriksa bajunya andai ada yang tidak kena.

“Tak ada apa.” Aril menggeleng, masih tersenyum.

Oh senyuman itu membuatnya hampir lemas. Melihat Aril tersenyum, dia juga ingin turut tersenyum. Dia merasakan seluruh alam ini turut tersenyum bersamanya. Sukakah dia pada Aril? Eh tidak. Habis tu mengapa jantung ini dag dig dug tidak menentu?

“Betul tak ada apa-apa. Pandanglah depan, saya nak memandu ni.” Ujar Aril apabila Hannah melihatnya dengan wajah tidak yakin. Jika Hannah terus memandangnya, tidak boleh fokus dia dibuatnya!

Hannah memandang Aril pelik. Apa kena mengena dia memandang Aril dengan Aril memandu? Semakin lama dia kenal Aril, semakin aneh sikap lelaki ini. Dia teragak-agak untuk bertanyakan hal yang dikemukakan oleh Faz. Takut dituduh menyibuk pula. Tapi, kalau tidak tahu, dia juga yang susah. Bagaimana ni?

Lama dia memikir, akhirnya dia mengumpulkan keberaniannya untuk bertanya. Dia berdehem untuk menghilangkan gementar di dada.

“Kenapa awak ajak saya? Kenapa tak ajak tunang awak ke, kekasih ke?” Hannah bertanya akhirnya.

Terasa ingin keluar dari kereta ini dan lari saja. Malu tahap maksima! Dia memejam mata, memujuk dirinya untuk bertenang. Tidak pernah dia membayangkan dirinya bertanyakan soalan ini kepada Aril. Ingin saja dia menghentak kepalanya di dashboard. Menyesal betul kerana bertanya.

“Kenapa saya tak boleh ajak awak?” Aril membalas soalan Hannah dengan soalan.

‘Aik? Dia tak jawab soalan aku. Main pusing-pusing pula mamat ni. Memang padan dengan muka kau. Kau pun tanya dia soalan indirect kan Hannah? Apa nak jawab ni?’

Akhirnya, Hannah hanya membisukan diri. Tidak tahu harus menjawab apa. Takut tersalah jawab, menjeratkan diri sendiri pula nanti.

Hannah memarahi diri sendiri kerana sudah terlanjur kata. Dia diam, Aril juga diam. Mungkin Aril tidak mahu menjawab soalannya kerana tidak mahu dia ambil tahu tentang kehidupan peribadi lelaki itu. Ataupun Aril marah dengannya?

Kekok benar rasanya apabila sunyi menghuni kereta ini. Rindu dengan suasana kecoh dan bising yang mereka selalu lalui. Semua ini berpunca dari mulutnya yang gatal dan hati yang ingin tahu. Haruskah dia memohon maaf kepada Aril? Hatinya ditambah gusar apabila Aril memasuki ruang parkir di hotel itu. Dia tidak mahu ke majlis ini dalam keadaan ini.

Aril menekan brek setelah keretanya sudah terparkir. Songkok di tempat duduk belakang dicapai. Saja dia mendiamkan diri tadi kerana ingin menguji Hannah. Nyata, gadis itu seperti cacing kepanasan. Dia sebenarnya faham maksud soalan Hannah itu. Dalam diam, dia gembira kerana Hannah masih ingin mengambil tahu tentang dirinya.

“Aril, saya minta maaf kalau saya...”

“Saya tak akan ajak awak kalau saya dah ada kekasih atau bertunang sebab saya... tak akan khianati cinta saya.”

Hannah kaku di tempat duduk. Ungkapan yang baru didengar itu membuatkan lemah tanpa bicara. Seribu satu perasaan bercamput aduk. Antara gembira kerana Aril tidak berpunya dan ungkapan lelaki itu sebentar tadi. Dia keliru.

Mengapa Aril berkata begitu kepadanya? Apa maksud Aril? Namun, jauh di dasar hatinya, dia sempat bersorak riang kerana dia bebas berkawan dengan Aril. Apabila difikirkan balik, tiada sebab untuk dia gembira pun kerana dia bukannya ada hati terhadap Aril. Lainlah jika dia sudah suka kepada lelaki yang dia menyampah ini. Menyampah tapi suka?

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.