Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 33

MALAMitu, Hannah mengambil kesempatan yang ada untuk berkenalan lebih dengan mertuanya. Umi yang cantik dan wajahnya yang sejuk mata memandang itu membuatkan Hannah bertambah rindu dengan mama. Andai mama ada masa akad nikahnya, pasti mamalah orang yang gembira. Namun dia pasti, mama pasti turut senang dengan keputusan papa. Baik untuk papa, baiklah untuk dirinya.

Sementara abah dan Aril duduk di ruang tamu menonton bola, Hannah dan Puan Liza duduk di amben rumah di luar. Saja mengambil angin malam sambil bercerita. Wanita yang murah dengan senyuman itu membuatkan Hannah rasa dihargai dan disayangi. Beruntung dia dapat ibu mertua seperti umi.

“Kalau Hannah nak tahu, Aril tu tegas orangnya tapi tidaklah seperti yang suka memerintah.Kalau dia mahukan sesuatu, pasti dia akan berusaha untuk mendapatkannya. Sama seperti dia berusaha untuk dapatkan Hannah.” Puan Liza membuka cerita.

Hannah hanya diam dan mendengar. Tidak berniat untuk menyampuk kata-kata umi.

“Senang saja nak jaga Aril sebenarnya. Jaga hati dia, jaga makan makan minum dia dan jaga nama baik dia sebagai suami, insyaAllah kamu berdua kekal hingga ke akhir hayat. Kita sebagai isteri ni Hannah, perlu banyak bersabar dan mengalah.” Nasihat Puan Liza.

Hannah sekadar mengganguk.

“Umi, betul ke Aril tu tak pernah masuk dapur?” tanya Hannah. Musykil dia dengan kata-kata umi dan tindakan Aril yang bercelaru.

Puan Liza tertawa. Entah apa yang lucu sangat pun Hannah tidak pasti.

“Betul. Tulah bila umi dengar dia goreng ikan, terkejut juga umi. Kalau teman ke pasar tu, biasalah tapi bab masak-memasak ni, tak pernah dia buat.” Puan Liza tersenyum. Sudah matang anak lelakinya yang seorang ini.

“Tapi Hannah tak paksa dia umi. Dia yang tawarkan diri,” jelas Hannah. Takut pula umi kata dia buli suami.

“Hannah tahu apa maknanya?”

Hannah menggeleng.

“Maknanya, dia sayang kita. Orang lelaki ni, susah nak luahkan kata-kata cinta. Jadi, mereka luahkan perasaan cinta mereka melalui perbuatan. Bukan senang untuk seseorang lakukan sesuatu yang tidak pernah dia lakukan. Perlukan pengorbanan dan penghargaan.” Hujah Puan Liza panjang.

Hannah terfikir sejenak. Sayang? Aril sayangkan dia? Mustahil. Sukar untuk dia percaya meskipun ia keluar dari mulut umi yang sudah merasakan asam garam kehidupan lebih lama darinya. Semua ini mengelirukan dia. Aril tidak pernah kata pun yang Aril sayangkan dia?

Tiba-tiba Hannah sebak. Andai mama ada, akankah mama kata perkara yang sama seperti umi? Adakah pendapat mereka sama? Jika mama ada, bolehlah dia mengongsi perasaanya kepada mama. Tetapi, mama tiada.

“Umi, Hannah dah lama hilang mama. Hannah bersyukur sebab dapat mak mertua seperti umi. Boleh tak kalau Hannah nak peluk umi? Hannah cuma nak rasa pelukkan seorang ibu.” Pinta Hannah bersungguh-sungguh. Air mata yang bertakung ditahan agar tidak gugur.

“Boleh, sayang.” Puan Liza dengan senang hati menarik Hannah ke dalam pelukkan. Erat,kemas dan penuh kasih sayang. Dia juga tidak ada anak perempuan. “Umi harap Hannah tak segan-segan lagi dengan umi. Kita boleh jadi kawan baik kan?”

Hannah mengganguk pilu. Air mata itu diseka dengan hujung jari. Jika inilah rasanya untuk berada di dalam dakapan seorang ibu, maka dia tidak akan sia-siakan insan yang bernama umi ini. Mama, Hannah rindu!

Tidak lama selepas itu, umi mengajaknya masuk. Malam pun sudah larut. Mereka juga ingin berehat. Hampir-hampir saja Hannah membuka pintu biliknya tetapi Aril cepat menarik tangannya masuk ke dalam bilik.

“BORAK apa dengan umi lama sangat kat luar tu?” tanya Aril sebaik saja pintu bilik dikuncikan.

“Rahsia.” Hannah memejam mata sambil tersenyum. Saja ingin mengusik Aril. Pasti lelaki itu penasaran ingin tahu apa yang mereka bualkan. Bukannya dia tidak nampak Aril yang terjenguk-jenguk ke luar ketika dia borak bersama umi tadi. Kepo!

“Rahsia?” Aril mengangkat kening. “Kalau rahsia tidur atas lantai.”

“Eh! Mana boleh macam tu. Tak adil.” Protes Hannah.

“Mengaku ajelah tak boleh berenggang dengan saya.” Aril mengejek membuat Hannah panas hati.

“Jangan nak merapu!”

“Habis tu nak macam mana?”

“Kita oh som. Siapa menang dia tidur atas, siapa kalah, dia tidur bawah.” Cadang Hannah.

“Kalau sama, tidur atas sama-sama?” usik Aril.

“Seriuslah Aril!” geram Hannah dengan sikap Aril yang selalu main-main itu.

Aril tertawa. Takut rupanya. Aril dan Hannah masing-masing sembunyikan tangan di belakang badan.Ini adalah saat-saat genting yang menjadi penentu siapa tidur di atas katil malam ini. Hannah tidak boleh kalah!

“Hah! Saya menang! Awak tidur atas lantai! Wohoo!” sorak Hannah riang. Namun, dengan cepat Aril menutup mulut Hannah dengan tangannya. Meronta-ronta Hannah minta dilepaskan.

“Diamlah. Umi dengan abah boleh dengar tau tak!”

Alamak. Dia terlupa yang umi dengan abah di rumah. Telefon bimbit Hannah yang berdering menjadi orang perantaraan mereka.Hannah melihat skrin. Haikal? Apa yang dia mahukan malam-malam sebegini? Hannah teragak-agak untuk mengangkat panggilan itu.

“Siapa telefon?” tanya Aril, melihat Hannah tiba-tiba diam.

Hannah tidak menjawab, sebaliknya dia menunjukkan skrin telefon itu kepada Aril.

“Apa dia nak telefon awak malam-malam ni? Tak tahu ke awak ni isteri orang?” ngomel Aril, tidak puas hati.

“Memang dia tak tahu pun.”

“Oh ya.” Aril seakan terlupa tentang hal itu. “Tapi tetap tak manis kalau nak telefon perempuan malam-malam macam ni.”

“Saya angkat ya?” Hannah meminta izin.

“Lima minit aje. Oh ya, maklumkan pada dia awak nak masuk lambat esok.” Pesan Aril. Dia melihat jam. Lima minit, bermula sekarang!

Hannah berjalan agak jauh dari Aril untuk menjawab panggilan itu. Aril mendengus. ‘Macamlah aku heran sangat nak dengar apa diaorang berbual.’ Namun, di dalam hati, terdetik juga ingin tahu mengapa Haikal menelefon Hannah malam-malam sebegini.

“Awak sibuk ke?” Haikal di hujung talian bersuara.

“Err...ya. Sibuk jugalah. Ada apa Haikal?” bohong Hannah.

“Tak ada apa, cuma nak tanya awak tengah buat apa. Dah makan ke belum?”

“Oh ya ke? Dah, saya dah makan.”

Tiba-tiba Aril berdiri di hadapan Hannah dengan sehelai kertas yang tertera...

TINGGAL SEMINIT SAJA!

Hannah tertawa melihat aksi lucu Aril. Lelaki ini tiada idea lain ke selain itu? Apabila dia memandang wajah Aril, jelas lelaki itu serius. Siup berkerut kening, beria-ia suruh mematikan talian.

“Kenapa ketawa? Apa yang lucu sangat?” soal Haikal pelik. Setahu dia, dia tidak buat jenaka pun tadi. Hanya bertanya jika Hannah sudah makan ataupun belum saja.

“Tak ada. Alang-alang awak dah telefon ni, boleh tak saya masuk shif petang esok? Saya ada hal sikit nak uruskan.” Hannah bertanya takut.

“Boleh tak masalah. Nanti saya uruskan.”

“Okeylah Haikal, jumpa esok ya. Selamat malam.” Ucap Hannah sebelum mengakhir perbualan itu.

Hannah terjerit kecil melihat Aril di belakangnya yang sedang memeluk tubuh. Wajah serius Aril menggeletek hati Hannah. Cemburu ke dia? Cemburu kan tandanya sayang. Dia lalu di sebelah Aril tanpa rasa bersalah dan melabuhkan punggungnya di birai katil.

“Dia tu nak mengorat awak ke?”

Terhambur ketawa Hannah mendengar soalan Aril itu. Itukah yang membelenggu fikirannya sehingga dia diberikan lima minit sahaja untuk berbual dengan Haikal.

“Hey, tak lawak okey. Saya tanya ni, jawablah.”

“Manalah saya tahu. Awak kan kawan dia, awak tanyalah dia sendiri.” Jawab Hannah acuh tak acuh. Baru sahaja dia mahu menarik selimut, Aril merentapnya dengan kuat.

“Awak tu, jangan nak melayan dia sangat.” Aril memberi amaran.

“Kenapa?” Hannah menahan senyum, menduga perasaan Aril.

Aril yang melompat ke atas katil membuatkan Hannah kalut seketika. Hish, apa dia nak buat ni?

“Masih nak tanya kenapa?” Aril mengangkat kening, mendekatkan wajahnya ke wajah Hannah.

“Okey, tak. Tak.” Hannah menolak lembut wajah Aril agar dijauhkan. Takut Aril mengapa-apakannya.

“Awak tu isteri saya, hak saya. Saya tak rela kalau lelaki lain pandang awak, sentuh awak. Saya mungkin tak sesempurna lelaki idaman awak, tapi saya akan jaga awak selagi saya mampu.” Ucap Aril romantis.

Terkedu Hannah mendengar ucapan Aril itu. Sungguh dia tidak sangka Aril berkata begitu kepadanya. Memang lelaki ini sering membuatnya sakit hati tetapi lelaki ini jugalah yang sering membuat jantungnya berdetak tidak seirama. Sekejapan saja, dia membuatkan Hannah lena dengan kata-katanya.

Malam itu, malam yang indah. Hannah tidur dengan senyuman di bibir. Terasa seperti di dalam drama pula apabila Encik Suami berkata begitu. Apakah perasaan ini? Cintakah namanya? Jika ya ini cinta, maka dia hanya mampu katakan...Cinta itu halus, yang mampu meresap ke dalam jiwa.

Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.