Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 18

ARIL tidak mahu berlama di majis itu. Selepas bertemu dengan pengantin saja, dia mengajak Hannah pulang. Tidak berniat untuk duduk lama-lama, berjumpa kawan lama. Katanya di dalam situ ramai sangat orang sehingga sesak dia dibuatnya. Baguslah, Hannah juga ingin pulang. Tidak tahan rasanya berada di situ sehingga malam.

“Awak pernah jadi model ke?”

“Model hijab. Sambil-sambil belajar, nak dapat duit belanja.”

Benar dia adalah model untuk Safiya Hijab tetapi itu zaman kolej yang baru berakhir. Safiya Hijab adalah busana yang menjual shawl dan selendang mengikut trend masa kini. Dia bermula sebagai seorang pekerja di dalam butik itu tetapi semakin Safiya Hijab mengembang, mereka juga meleluasasa bisnes mereka di laman sesawang.

Oleh kerana itu, bosnya bertanya jika Hannah boleh menjadi model yang memperagakan tudung mereka. Mulanya dia takut-takut tetapi setelah habis fikir dan dengan izin abang dan papa, dia setuju akhirnya. Lagipun, tidak salah mencari pengalaman. Bolehlah dia dapat wang jajan lebih.

“Tak bilang saya pun?”

“Awak tak tanya. Lagipun, awak nak ke ambil tahu tentang saya? Tak penting pun.” Selamba Hannah menjawab. Untuk apa dia memberitahu Aril tentang dirinya sedangkan lelaki itu tidak pernah bertanya.

“Semua tentang awak, penting untuk saya.”

Senyap. Hannah mencebik. Poyo ungkapan Aril itu. Bagai hendak termuntah dia mendengarnya. Kata-kata Aril berbaur seperti dia penting di dalam hidup lelaki ini sedangkan hakikatnya mereka tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa.

Mereka tidak saling mengenali tetapi ada saja ruang yang membuatkan jarak di antara mereka semakin dekat. Semakin dia ingin menjauh dari Aril, semakin dekat dia ditarik. Kuasa apa yang ada pada Aril? Tidak mengertikah bahawa dia menyampah dengan lelaki ini?

“Awak kata kerja sambil belajar? Kenapa? Rumah awak sikit punya besar, mesti mak ayah awak kaya. Entah-entah dalam garaj tu ada Ferari, tapi saja pakai kereta biasa.” Aril bersuara untuk mengusir keheningan di antara mereka.

“Eh tolong sikit ya, tak ada Ferari dalam situ. Memang dari kecil mama dan papa didik saya dan abang untuk berdikari. Simpan duit sendiri untuk beli barang yang kita nak sebab mereka nak kami rasa susah.” Hannah bercerita.

“Ya ke?”

“Saya tahu papa bukannya kedekut, dia nak saya menghargai sesuatu yang datang dari titik peluh kita sendiri. Tapi sekarang , saya tak marah dengan mereka sebab buat macam tu. Sebab saya percaya yang kalau kita tak merasakan susah, kita tak reti untuk bersyukur.”

“Maknanya proses saya yang susah untuk mengenali awak ni awak berbaloi dan ia akan membuatkan saya insan yang bersyukur sebab memilik awak?”

“Mungkin.”

Sweet. Tapi saya nak awak tahu, semahal mana awak jual, sejauh mana awak lari, saya tetap akan kejar dan genggam awak sampai saya dapat.”

Hannah memandang Aril, tidak percaya yang Aril mengeluarkan kata-kata itu. Adakah semua itu hanya gurauan semata-mata atau dia sebenarnya serius? Aril selalu membuat hatinya bergelogak. Entah berapa kali hatinya berdegup kencang dengan ungkapan Aril. Lidah buaya Aril ni.

Dia memujuk diri sendiri. Lelaki ini kacak, pasti dia sudah mengatakan ayat ini kepada ramai wanita. Aku tidak seharusnya terpedaya dengan apa yang dia kata. Tidak Hannah, tidak. Dia hanya ingin mainkan perasaan kau.

Tiba-tiba telefon Hannah berdering, sekaligus menjadi penyelamatnya untuk keluar dari suasana yang kekok ini. Laju tangannya mencapai telefon bimbit yang berada di dalam beg tangannya. Punat hijau ditekan untuk menjawab panggilan dari abang Aiman.

“Hannah dekat mana?”

“Hannah dah nak balik ni, kenapa?”

Kalau abang sudah menelefon, pasti dia mahukan sesuatu. Agaknya tidak tahu dimana letaknya makanan yang berada di peti ais. Ataupun, tidak tahu menghidupkan api. Yang mana satu? Cuba teka.

“Hannah, abang nak makan cucur udang yang Hannah selalu buatlah.” Aiman merengek manja, seperti anak kecil meminta gula-gula.

“Alah, Hannah tumpang Aril balik ni. Nanti hari Isnin, Hannah suruh mak Mah buat okey?” terasa segan pula jika hendak meminta tolong dengan Aril buat sekian kalinya.

Aril berpaling memandang Hannah apabila terdengar namanya disebut. Apa kena pula dia terbabit sama?

“Tak samalah mak Mah buat dengan Hannah buat. Abang sanggup siang udang!”

Tidak sampai hati mendengar permintaan abang kesayangan, Hannah akhirnya mengalah. Lagipun bukan selalu abang memintanya untuk masak. “Okeylah nanti Hannah pergi beli jagung. Kopek kulit dia bagi bersih tau!”

“Taulah.”

Hannah mengakhiri perbualan itu dengan hati yang berkocak. Macam mana nak tanya Aril ni? Aduh malunya! Nanti dia kata, aku ni tak habis-habis nak susahkan dia. Asyik nak minta tolong, pasti pada dia.

Dan mengapakah setiap kali dia inginkan pertolongan, Aril selalu ada bersamanya. Apa maksudnya? Adakah semua ini kebetulan atau ketentuan? Hadirnya Aril di dalam hidupnya sebagai penyelamat setiap kali dia berada di dalam keadaan terumbang-ambing.

“ARIL, awak keluar ke mana-mana ke selepas ni?” Hannah berlapik ketika bertanya.

Aril tersengih. “Kenapa? Nak ajak saya dating?”

Perasan pulak dah si Aril ni. Tidak ada maknanya dia mahu mengajak Aril berdating.

“ Ya atau tidak?”

“Tak. Kenapa?” Aril masih mendambakan jawapan dari gadis ini.

“Boleh tak kalau awak hantar saya ke mana-mana kedai runcit?” tanya Hannah takut-takut.

“Boleh.” Aril bersetuju tanpa banyak soal.

Jauh di dasar hati, dia senang hati dengan panggilan diterima Hannah. Jika orang itu tidak menyuruh Hannah ke kedai, tidaklah dia dapat meluangkan lebih masa dengan Hannah. Namun, berkali-kali dia memesan dirinya agar tidak terlalu menunjukkan perasaannya. Ego? Tidak, hanya berhati-hati agar tidak gopoh di dalam sesuatu hubungan.

Kereta BMW itu berhenti di tepi jalan. Hannah melihat keliling. Dia jarang ke kedai ini, tetapi tidak mengapalah. Dia tidak mahu menyusahkan Aril lagi. Dia pasti di kedai ini ada menjual bahan-bahan yang dia perlukan.

“Saya tunggu dalam kereta.” Beritahu Aril, ketika Hannah mahu membuka pintu kereta.

“Tak apa, awak boleh balik kalau awak nak. Nanti saya balik naik teksi aje.”

Malangnya, Aril tidak mengambil pusing kata-kata Hannah. Tidak mungkin dia membiarkan Hannah di sini keseorangan dan dia pulang ke rumah. Dia tidak sesenang itu melepaskan tanggungjawab. Sudahnya, Aril hanya berdiam diri.

“Saya cakap dengan awak ni.”

“Saya tahu. Awak nak saya temankan awak ke?” pelawa Aril, menghiraukan Hannah yang sedang marah kerana Aril tidak mengambil peduli tentang kata-katanya.

Faham yang Aril tidak akan berganjak dari situ, Hannah memilih untuk mengalah. Terserah Arillah hendak buat apa. Bagus juga kalau dia tidak ditinggalkan di sini seorang diri. Sudahlah tempat ini begitu asing. Tadinya, dia hanya berbasa-basi. Mujur Aril tidak mengambil serius.

Hannah menggeleng kepala seraya memberi jawapan kepada soalan Aril.

“Jalan baik-baik.” Usik Aril tersenyum, membuatkan Hannah mengecilkan mata. Apa dia ingat orang tak reti jaga diri sendiri ke? Pandang rendah ya!

Aril menghantar Hannah melalui pandangan sehinggalah dia memasuki kedai itu. Namun, matanya menangkap sesuatu yang lebih menarik dari Hannah. Seorang lelaki yang kelihatan begitu gelisah dan tidak kena gaya. Pandang kiri, pandang kanan. Sekejap-sekejap, melihat ke dalam kedai itu. Perangainya sangat mencurigakan.

Terbit perasaan risau untuk si gadis di dalam kedai itu. Janganlah lelaki itu mengapa-apakah Hannah. Aril tahu dia tidak mampu melihat saja adegan itu dari jauh. Jika sesuatu terjadi kepada Hannah, maka ianya sudah terlambat. Lantas dia mengambil keputusan untuk menemankan Hannah.

Saat dia melalui lelaki itu, lelaki itu sedang sibuk melihat jam di tangan. Kemudian dia bermundar-mandir di hadapan kedai itu. Sudah kenapa dengan lelaki ini? Sesekali, lelaki itu mengerling ke dalam kedai. Lihat apa pun Aril tidak pasti.

“Mari saya tolong awak angat barang tu semua,” pelawa Aril dengan suara yang kuat daripada biasa. Sengaja untuk memberitahu kepada lelaki itu, Hannah datang berteman.

Mendengar kata-kata Aril, lelaki itu hanya menunduk dan tidak berani lagi melihat ke dalam kedai. Hah, tahu pun takut!

“Kenapa keluar?” tanya Hannah. Pelik dia melihat perangai Aril yang resah gelisah.

“Saja.”

Hannah mengerut kening. Aneh-aneh sahaja si Aril ni. Malas hendak melayan, dia mengambil telur. Rasanya semua bahan sudah cukup. Sekarang tinggal membayarnya sahaja. Aril berdiri di sebelah Hannah sewaktu gadis itu sedang beratur. Sambil-sambil itu, dia mengawasi lelaki itu.

Semakin mereka menghampiri kaunter, semakin itulah lelaki itu semakin gelisah. Ikutkan hati memang Aril tidak mahu menghantar Hannah ke kedai ini. Dia sanggup menghantar Hannah ke Jusco ataupun Giant.

“Awak cuba tengok lelaki kat luar kedai tu. Daripada tadi dia asyik tenungkan awak. Gelisah tak menentu aje saya tengok.” Tidak dapat menampung rahsia untuk lebih lama, Aril akhirnya mengongsi.

Hannah melihat lelaki yang dimaksudkan Aril itu. Yalah! Sangat mencurigakan dan menakutkan. Mujur Aril ada di sini bersamanya. Kalau tidak, mahu dia meletakkan semua barang-barang itu dan keluar dari kedai itu.

“Seramnya!” ujar Hannah.

“Sebab tu saya suruh awak berhati-hati.”

Setelah membuat pembayaran, mereka keluar dari kedai itu. Namun ada seorang wanita berdiri di hadapan mereka, membataskan perjalanan mereka. Kenapa pula dia berhenti di tengah-tengah dunia? Berdiri di tepi lelaki mencurigakan itu pula tu!

“Hish lambatlah awak belanja! Saya dah tak tahan nak kencing, awak boleh terhegeh-hegeh pula dekat dalam tu. Dahlah jom, balik!” sungut lelaki itu.

Lelaki itu menunggu isterinya rupanya! Dan aksi-aksi pelik yang dia lakukan adalah kerana dia sudah tidak mampu menahan kencing? Hannah dan Aril memandang sesama sendiri. Kemudian, tidak sampai sesaat, mereka tertawa mengenangkan kebodohan sendiri.

Semuanya berpunca daripada Aril yang paranoid tidak menentu. Sepanjang pulang ke rumah. Mereka tidak habis-habis menggelakkan diri sendiri mengingati cerita tadi. Ada masanya, Arillah penghibur hatinya yang ada saja caranya untuk membuatkkan Hannah tersenyum.

SETELAH memastikan Hannah telah masuk ke rumah dengan selamat, Aril terus memecut pulang. Dia tidak sabar untuk memberitahu berita ini. Dia yakin, inilah keputusan yang paling berat tetapi dia yakin dengan semua ini. Dia hanya berharap umi dan abah akan terima berita ini dengan hati yang terbuka.

Elok saja kereta itu terparkir di garaj rumah, Aril berjalan ke taman rumah, menyertai umi dan abahnya yang sedang minum petang itu. Dia menarik kerusi kosong itu dengan penuh debaran.

Dengan ungkapan Bismilah, Aril sudah bersedia.

“Umi, abah, Aril nak kahwin.” Tenang saja Aril memberitahu orang tuanya tentang hajat di hati.

“Okey!” Puan Liza menjawab laju,

Wah! Senangnya penerimaan umi? Namun, Puan Liza terdiam untuk seketika.

“Aril cakap apa tadi? Cuba ulang sekali lagi?” baru tersedar yang apa yang dikatakan Aril bukanlah sesuatu yang biasa. Fikirnya Aril meminta izin untuk keluar atau sebaliknya.

Aril tertawa melihat gelagat uminya. Tadi bukannya hendak mendegar betul-betul apabila dia sedang menjawab. Bukan main laju umi menjawab okey. Dia juga terperanjat seketika.

“Aril nak kahwin.” Aril mengulangi untuk kali kedua.

Puan Liza duduk menegak. Rasa seperti tidak percaya pula Aril membawa pulang berita itu. Dia sebagai seorang umi, sangat teruja apabila Aril akhirnya bersetuju untuk mendirikan rumah tangga. Selama ini, puas dia memujuk Aril tetapi Aril tetap tidak mahu berkahwin. Katanya, dia belum bersedia.

“Alhamdulilah. Tapi dengan siapa Aril?” tanya Puan Liza.

“Yalah, abah pun tak pernah dengar Aril keluar dengan mana-mana perempuan?” Encik Faruk pula bersuara. Semestinya, ini juga berita gembira untuknya.

Aril tersenyum. Sudah dia jangka soalan ini akan timbul. Lantas, dia menyeluk poketnya untuk mengeluarkan telefon bimbitnya. Jarinya sibuk menekan sesuatu di skrin telefon. Mengambil gambar bersama pengatin dan Hannah tadi ada agendanya tersendiri. Dia bukannya suka-suka hendak memetik gambar. Dia mahu menunjukkan kepada umi dan abah gambar Hannah.

Pasti semua orang akan kata yang dia ini gila. Kenal baru seminggu, terus mahu berkahwin. Katakanlah apa saja, dia tidak kisah. Yang penting, dia yakin dengan keputusannya. Dia mahukan Hannah sebagai isterinya. Aril menunjukkan gambar itu kepada uminya.

“Siapa dia Aril?” soal Puan Liza.

“Nama dia Hannah Natasha. Aril nak kahwin dengan dia.”

“Cantik!” puji Puan Liza, menyerahkan telefon bimbit Aril kepada Encik Faruk untuk melihatnya.

“Manis.” Komen Encik Faruk pula.

“Kalau boleh Aril nak kahwin dengan dia secepat mungkin. Aril tak nak buat majlis besar-besar. Cukup sekadar untuk kaum keluarga saja.” Tutur Aril serius. Dia mungkin suka mengusik, menyakat dan nakal dengan Hannah tetapi dia tidak bergurau saat dia mahukan Hannah sebagai isteri.

“Bila Aril nak kita masuk meminang dia?” Puan Liza menyisip tehnya.

“Hujung minggu ni?”

“Cepatnya! Kenapa terburu-buru ni Aril? Dia tahu ke tentang ni?” terkejut Encik Faruk mendengar jawapan anak bujangnya.

“Aril tak nak dating lama-lama umi, abah. Hannah tak tahu lagi.”

Puan Liza dan Encik Faruk semakin binggung dibuat Aril. Benarkah Aril mahu berkahwin?

“Kalau dia tolak?”

“Dia tak akan tolak.” Jawab Aril penuh yakin.

Dia tersenyum lalu meninggalkan umi dan abahnya di taman itu. Dia memasuki rumah untuk menaiki bilik. Hannah tidak bakal menolak pinangannya. Lega hatinya kerana sudah meluahkan hasrat hati kepada kedua orang tuanya. Satu langkah telah selesai. Malam ini, malam yang indah.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.