Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 31

HANNAHdan Haikal duduk bertentangan di restoran itu. Dia merasa kekok yang teramat apabila berdua-duaan begini dengan bos sendiri. Siapalah dia, siapalah Haikal. Nanti orang tuduh dia ada hubungan sulit dengan bos pula. Memang cari nahas namanya.

“Dah lama ke awak buka kafe tu?” Hannah berbasah basi agar suasana tidak kelihatan tegang.

“Dalam masuk lima tahun...”

“Habis tu bila nak kahwin? Lelaki berjaya macam awak ni mesti senang nak dapat perempuan kan?” usik Hannah. Haikal bukanlah muda untuk digelar bujang.

“Mana ada. Nak cari isteri bukannya senang tau tak.” Ujar Haikal.

‘Ya ke? Habis tu Aril senang-senang aje buatkan aku isteri dia? Sekelip mata saja bertukar status. Tak senang ke tu?’ desis Hannah di dalam hati.

“Ataupun awak memilih sangat?” ejek Hannah.

“Memanglah. Nak cari yang betul bukannya main-main macam cak cak kuti. Kenapa awak ada calon untuk saya ke? Atau awak nak daftar diri?” Haikal menduga.

“Mana boleh. Saya kan dah...” Hannah terdiam. Whoa! Mujur dia tidak terlepas cakap. Jika tidak, memang masaklah dia!

“Dah apa?”

“Maksud saya, saya kan pekerja. Awak bos. Mana boleh ada hubungan macam tu. Hah, tulah saya nak cakap.” Hannah menjawab gelabah.

Haikal hanya mampu tersenyum hambar. Dia agak kecewa dengan jawapan yang diberikan Hannah. Tidak layakkah dia untuk Hannah? Haikal memujuk hati untuk terus cekal dan tidak berputus asa.

ARIL mematikan suis komputernya. Telefon bimbitnya dicapai. Dia sudah bersedia untuk pulang. Hari ini, dia akan pulang bersama Hannah memandangkan Hannah juga habis kerja jam enam. Teruja dapat menjemput isteri buat kali pertama. Terasa bagaikan remeo Malaysia pula walhal dia sudah pernah menjemput Hannah dari kerja dahulu.

Nombor telefon Hannah didail tetapi seperti tadi, ia tidak dijawab. Haikal membuka pintu keretanya dan menunggu Hannah di dalam. Apa yang dia sibuk sangat sehingga telefon aku tak boleh nak jawab, mesej tak boleh nak balas?

Haikal mencuba untuk kali terakhirnya. Kalau tidak jawab juga, ke kafelah dia jawabnya. Namun, deringan telefon bimbit itu kedengaran kuat dan dekat. Tidak mungkin telefonnya berbunyi. Lagipun ini bukan lagu deringan telefonnya. Haikal mula mencari-cari dan akhirnya temui juga telefon itu.

Di tempat kaki tempat duduk Hannah! Tercicir rupanya. Aril menggeleng-geleng kepala. Termasuk kali ini, sudah berapa kali entah Hannah tertinggal barang di dalam kereta. Kelmarin tertinggal dompet. Mujur dia masih belum keluar dari kereta. Macam-macamlah Hannah ni!

Pintu kereta dibuka dan Hannah dengan cepat memasukinya. Dia sudah seperti orang pelarian yang tidak mahu orang melihatnya. Sudah dipesan kepada Aril agar parkir tempat lain tetapi Aril tetap dengan lot kesayangannya itu. Degil!

“Kenapa tak angkat telefon? Saya telefon awak banyak kali.” tanya Aril, sengaja ingin mempermainkan isterinya. Sempat dia mematikan telefon Hannah agar dia tidak mensyaki apa-apa.

Bulat mata Hannah mendengarnya. Hah, betul ke? Dia pun terlupa dengan telefon bimbitnya seharian hari ini. Dia membuka begnya dan kalut mencari telefon bimbit itu. Malangnya, ia gagal untuk ditemui. Mana pula dia meletaknnya?

“Tak jumpa?” tanya Aril.

“Tak. Cuba awak telefon nombor saya.” Pinta Hannah.

Aril tidak membantah kerana terang-terangan dia sudah mematikan telefon Hannah. Jadi tiada bunyi yang bakal berdering. Dengan lagak selambanya, dia menelefon. Tidak terjawab.

“Agaknya saya tertinggalkan dekat kafe kot. Sekejap eh.” Ujar Hannah.

Baru saja dia mahu membuka pintu, Aril mencapai tangannya. Kemudian dia menghulurkan telefon bimbit Hannah ke tangan Hannah. Mencerlung mata Hannah memandang Aril yang tersenyum bagai kerang busuk.

“Eii! Suka sangat main-mainkan orang!” Hannah mencubit lengan Aril geram. Sajalah tu nak buat orang panik tak tentu pasal.

“Aww, sakitlah!” Aril menggosok-gosok lengannya yang berlapiskan baju.

Hannah menghidupkan semula telefon bimbitnya. Wah! 10 missed call dan 7 mesej? Semuanya dari Aril. Sepertinya, Aril menelefonnya dari siang tadi. Terasa bersalah pula kepada lelaki ini. Namun, Aril sedikit pun tidak memarahinya. Malah Aril membuatkan ia sebagai bahan gurauan. Di dalam hati kecilnya, dia bersyukur diberi suami yang tidak cepat naik angin.

“Awak, saya ada perkara nak beritahu awak ni. Tapi awak nak kena janji, jangan panik. Jangan gelabah. Boleh?” Aril bertanya.

Hannah mengangguk dan kemudian menyatukan jari kelingkingnya bersama jari kelingking Aril sebagai tanda janji.

“Esok...umi dengan abah nak datang rumah kita. Tidur semalam.” Perlahan-lahan Aril memecahkan berita itu kepada Hannah.

Sekelip mata saja Hannah berubah panik. Matanya membulat memandang Aril.

“Jangan panik. Jangan.” Aril cuba menenangkan isterinya. “Awak pandai masak apa?”

“Eh awak carut saya ke?” Hannah berkerut kening. Jelas tidak senang dengan soalan Aril.

“Bukan, bukan itu maksud saya. Awak reti masak apa, itulah awak masak. Habis cerita.”

“Tapi saya pandai masak apa ya?”Hannah bertanya. Akibat terlalu gelabah, dia sendiri lupa dengan kebolehan sendiri.

Aril tertawa. Comelnya Hannah ni! Terasa ingin mencubit saja pipi gebu itu. Selama ini, elok saja dia masak untuk sarapan dan makan malam bersama. Ini tiba-tiba, otaknya bercalaru hanya kerana panik.

“Awak, saya takutlah kalau umi dengan abah tak sesuai dengan masakkan saya ke....Mereka tak...” belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, Aril sudah meletakkan tangannya di bahu Hannah, memeluk wanita itu seketika.

“Hannah. Cuma umi dengan abah aje kot nak datang esok. Yang awak takut semacam ni kenapa? Selama awak masak saya kata sedap kan. Jadi masak ajelah. Yang penting ikhlas.”Aril membisik ke telinga Hannah.

Terkejut dengan tindakan Aril, Hannah terdiam. Sebenarnya, dia terkaku dengan apa yang dilakukan Aril sebentar tadi. Satu sikap Aril yang dia pelajari selama menjadi suami isteri adalah, Aril akan sentiasa menenangkannya dalam apa jua situasi yang mereka hadapi.

“Jom kita balik.” Aril tersenyum.

Hannah memandang Aril dengan seribu satu persoalan di minda. Aril ini susah untuk dijangka. Mungkin kerana dia masih belum kenal sepenuhnya sikap Aril. Sepanjang perjalanan ke rumah,Hannah asyik terfikir apa yang harus dia masak esok. Senang-senang, telefon saja mak Mah minta resepi.

NOVEL di tangan Hannah ditarik perlahan oleh Aril. Kemudian dia membetulkan posisi Hannah agar memandang dirinya. Seronok sangat membaca novel sehingga dia di sini pun tidak dihiraukan. Angin malam di luar ini sangat mendamaikan. Sofa yang diletakkan di balkoni bilik mereka menjadi tempat kegemaran Hannah. Luas pemandangnnya tiap kali malam menjelang.

“Awak, Aiman tu tak ada kekasih ke?” Aril bertanya.

“Kenapa tiba-tiba tanya pasal abang ni?” Hannah menoleh, memandang Aril.

“Saja nak kenal abang ipar saya.”

“Abang masih solo dan tak ada kekasih.” Ringkas jawapan yang diberikan oleh Hannah.

“Bekas kekasih?”

Lama Hannah menyepikan diri sebelum dia menjawab.

“Dulu ada tapi tak ada jodoh. Perempuan tu meninggal dalam kemalangan masa dia tinggalkan majlis perkahwinan dia.” Hannah bercerita. Fikirannya terus melayang ke arwah kak Alisya.

“Majlis perkahwinan kak Alisya dengan lelaki lain. Dahlah, tak baik cerita pasal orang yang dah tak ada.” Hannah tidak berniat untuk memanjangkan cerita.

Aril akur dan tidak mahu memaksa. Semua orang ada kisah kehidupan mereka tersendiri. Ada yang manis, ada yang pahit. Ada yang bahagia, ada yang merana.

“Awak sebelum ni ada kekasih ke?” tanya Aril ingin tahu.

Sepi dan bahunya terasa berat.

Dia menoleh. Sudah tidur rupanya! Penat orang bertanya, dia lena tertidur. Aril mengejutkan Hannah tetapi tidak berhasil. Penat sangat agaknya sampai tidak berganjak.

“Awak kalau tak bangun, saya angkat awak masuk bilik tau.” Gertak Aril.

Namun, ianya tidak berjaya. Hannah tetap terlentok di bahunya. Tidak sampai hati ingin meninggalkan Hannah di sini, Aril bercadang mendukungnya masuk bilik.

“Saya dukung ni...” ujar Aril buat terakhir kali sebelum mendukung. Senyap. Sah, dia sudah nyenyak tidur.

Aril mendukung badan Hannah dan menggunakan kakinya, dia menolak pintu balkoni bilik Hannah. Saat dia mahu memasuki bilik itu, dengan tidak sengaja dia terhantukkan kepala Hannah di pintu itu. Hannah yang tertidur, sedikit terganggu.

Opps, sorry!

Perlahan-lahan, dia meletakkan Hannah di atas katil dan menggosok-gosok kepala yang terhantuk itu.

“Selamat malam, sayang.”

Dahi itu dikucup penuh kasih.

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.