Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 19

FAHMI mengetuk pintu bilik Aril sekali dua sebelum membukanya. Tanpa dipelawa masuk, dia duduk di sisi Aril yang terbaring di atas katil, memandang siling. Dia memukul lembut kaki Aril, menyuruh Aril ketepi sedikit.

“Aku dengar kau nak kahwin?” Fahmi berbasah-basi.

“Abang dengar dari mana?” Aril buat-buat tidak tahu.

“Hish kau jangan main-mainlah. Kau cakap dengan abang betul-betul, kau serius ke nak kahwin?” ujar Fahmi geram.

“Betullah. Takkan bergurau pula.”

“Kenapa terburu-buru? Ke...kau ada buat sesuatu pada dia?” Fahmi berprasangka. Musykil dia mengapa adiknya yang tidak ada kekasih tiba-tiba hendak berkahwin.

“Gila ke abang?! Aril tak seteruk tu okey. Peliklah Aril dengan korang semua. Aril nak kahwin pun tak boleh ke?”

“Aril tu yang pelik. Angin tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba nak kahwin. Hujung minggu ni masuk minang pula tu! Dah lama kau buat kerja gila macam ni?” tempelak Fahmi, ingin menyedarkan adiknya.

“Abang tengok muka Aril ni. Ada macam bergurau ke?” Aril mempamerkan wajahnya di hadapan Fahmi.

“Kau kalau tak buat lawak pun memang dah lawak. Siapa perempuan tu? Anak dato mana, anak VVIP mana, anak Tan Sri mana kau petik kali ni?” tanya Fahmi. Tidak sabar dia mahu tahu siapakah gadis yang telah berjaya memikat hati adiknya.

Adiknya ini dianugerahkan dengan rupa yang kacak, yang mampu memiliki mana-mana gadis jika dia mahu tetapi sehingga sekarang, tiada satu pun yang Aril berkenan. Ini tiba-tiba pula dia kata dia hendak berkahwin. Siapa yang tidak terkejut dengan berita ini?

“Dia seorang yang biasa-biasa tapi luarbiasa untuk Aril. Kerja sebagai barista kopi di kafe berhadapan dengan pejabat Aril.” Pendek penerangan Aril tentang Hannah. Memang Hannah seorang gadis yang istimewa.

“Berapa lama kau kenal dia?”

“Seminggu.”

“Apa?! Dia tahu ke tentang ni?” jelas Fahmi terkejut mendengar jawapan Aril.

“Nanti Aril bagitahu dia.”

“Ish, kau ni peliklah. Dahlah aku nak keluar. Makin lama aku dekat sini, nanti terjangkit penyakit pelik kau tu. Apa-apa pun, tahniah. Dah besar adik aku sorang ni.” Fahmi mengusap-ngusap rambut Aril dengan kasar, merosakkan rambut Aril.

"Hish, rambut aku tak payahlah nak buat main!" gerutu Aril, memperkemaskan kembali rambutnya. 

Aril duduk tersandar di katil. Apa yang pelik sangat jika dia mahu berkahwin dengan Hannah walaupun mereka berkenalan hanya seminggu lamanya? Tidak salah jika dia selami hati budi Hannah dan bercinta selepas kahwin kan? Bukankah itu yang digalakkan? Lagipun, dia tidak mahu melepaskan Hannah ke mana-mana lelaki. Nanti yang menyesal di kemudian hari, dia juga.

Dia bangkit untuk mencapai telefon bimbitnya. Dia berkira-kira untuk memberitahu Hannah tentang niatnya. Haruskah dia beritahu sekarang? Ataupun saja buat kejutan? Teringat kata-kata umi tadi untuk memaklumkan kepada keluarga perempuan. Nanti orang kata, datang tak dijemput, ada hati hendak meminang. Malu nanti.

Aril mendail nombor Hannah. Kenapa hatinya berdebar-debar sekarang ini? Tadi bukan main tenang saja memberitahu umi dan abah. Kalut tak tentu pasal pula kau ni, Aril. Sebaik sahaja talian disambungkan, Aril memulakan bicara.

“Saya ada sesuautu nak beritahu awak.” Suara Aril perlahan tetapi jelas.

“Apa dia?” tanya Hannah.

Aril terdiam seketika. Tarik nafas yang dalam, dan buang nafas. Bertenang Aril.

“Saya nak kahwin.” Terlepas juga batu yang dipukul di bahu semenjak tadi. Lega.

“Wah! Tahniah! Dengan siapa?” soal Hannah teruja. Berkahwin juga akhirnya Aril. Pasti banyak yang menangis mendengar berita ini. Terutamanya Faz.

“Dengan awak.” Jawab Aril tanpa selindung.

Hannah di hujung talian tertawa. Sudah-sudahlah Aril hendak menyakat dan mengusiknya.

“Saya serius ni. Hujung minggu ni umi dan abah saya datang rumah awak untuk masuk meminang.” Aril memaklumkan.

“Cubalah kalau berani.” Cabar Hannah, masih tidak percaya dengan kata-kata Aril.

“Saya tak akan cuba sebab saya memang akan lakukan. Saya cuma nak beritahu awak supaya awak lebih bersedia. Jangan kata saya tak beritahu awal-awal ya.” Aril memesan.

“Suka hati awaklah. Saya penat ni, saya nak tidur. Selamat malam!” Hannah mengakhiri perbualan itu.

Namun, jauh di dasar hatinya, perasaaanya berkecamuk. Betulkah Aril hendak berkahwin dengannya? Bagaimana kalau apa yang disampaikan oleh Aril tadi benar? Aduh Aril ni! Suka sangat buat hidupnya huru-hara.

Tidak mahu menyesakkan fikirannya, Hannah buang jauh-jauh tentang berita tadi. Dia menarik selimutnya dan memejam mata. Andai esok dia membuka mata, ini semua hanyalah mimpi semata-mata. Ia tidak benar dan hanyalah mainan tidur. Lampu bilik itu dipadam. Sama juga dengan akal yang kuat bekerja seharian.


MATAHARI sudah naik, menandakan pagi yang indah sudah tiba. Hannah mengemaskan katilnya sebelum mencapai tuala untuk ke mandi. Seronoknya tidak kerja pada hari Sabtu dan Ahad. Bolehlah dia luangkan masa seperti biasa dengan abang Aiman dan papa.

Memandangkan hari ini hari Ahad, maknanya mak Mah tidak bekerja. Sama seperti Hannah, cutinya juga pada hujung minggu. Hannah ke dapur untuk membuat sarapan bagi papa dan abang Aiman. Semenjak mama tiada, papa seringkali menasihati Hannah untuk rajin-rajin masuk dapur. Belajar apa yang patut dari mak Mah. Nanti kalau dah kahwin, tidaklah kekok sangat.

Peti ais dibuka dan bahan-bahan untuk memasak Nasi Lemak dikeluarkan satu-persatu. Dia bukannya jaguh memasak tetapi kalau yang biasa-biasa itu, bolehlah. Sekadar makanan untuk papa dan abang. Jika ada masa lapang, rajinlah dia ke dapur untuk mempelajari resepi baru.

“Wah, sedapnya bau. Hannah masak ke ni?” tanya Encik Nizam sebaik sahaja memijak kaki di dapur.

“Hannahlah masak. Siapa lagi?” Hannah tersenyum simpul. Dia menyendukkan nasi ke pinggan papanya.

“Papa, kalau papa nak tahu. Anak perempuan papa seorang ni dah ada boyfriend. Siap hantar balik lagi pa!” Aiman sengaja mencari pasal. Inilah topik hangat untuk pagi ini.

Seronok dia melihat muka Hannah yang sudah mulai memerah. Sempat Hannah menendang kaki abangnya di bawah meja. Abang Aiman saja ni nak cari pasal!

“Betul ke Hannah?” tanya Encik Nizam meminta kepastian. Nasi Lemak itu disuap ke dalam mulut.

“Papa percayalah dengan abang ni. Mana ada boyfriend, pa? Papalah satu-satunya boyfriend Hannah.” Geram Hannah dengan abangnya yang menjajah cerita. Aril tu hanyalah kawannya.

“Kalau ada pun apa salahnya? Sampai bila papa nak jadi boyfriend Hannah, hmm? Nanti kalau ada orang masuk meminang Hannah, papa terus terima.” Ujar Encik Nizam, tertawa kecil.

Namun ianya bukanlah perkara kelakar buat Hannah. Dia teringat kata-kata Aril semalam. Apakah yang akan terjadi seandainya Aril benar-benar mengotakan janjinya dan papa pula terima dengan rela hati? Dialah yang mati tersepit di tengah-tengah! Serabut kepala otaknya memikir tentang hal ini.

“Hish, papa suruh abang Aimanlah yang kahwin dulu.” Hannah menolak balak. Seram pula mendengar bab-bab kahwin ini.

“Eleh, abang lambat pun tak apa. Hannah tu, takkan selama-lamanya nak berkepit dengan papa?”

Hannah mencebik. Kenapa pula tidak boleh? Dia pun belum menemui mana-mana lelaki yang membuatnya jatuh cinta. Aril? Mustahil. Kenal Aril pun tidak lama, inikan pula mahu bersuamikan Aril.

“Alah Hannah tinggal dengan papa aje tak boleh ke?”

“Tak boleh. Kalau Hannah kahwin, Hannah kenalah ikut suami. Bagi papa peluang pula nak cari cinta.” Seloroh Encik Nizam.

Kali ini kedua-dua beradik duduk menegak. Papa mahu kahwin lagi satu ke? Sudu garfu yang dipegang diletak kembali di atas pinggan.

“Betul ke ni pa?” Aiman bertanya curiga.

Lebih gelisah mereka jadinya apabila melihat papa mereka tertawa senang.

“Gurau ajelah. Korang berdua ni. Relakslah!”

Hannah menarik nafas lega. Dia masih belum bersedia untuk menerima ibu tiri. Dia masih terbayang-bayangkan jika dia mendapat ibu tiri yang jahat, yang membencinya. Andai dia dapat yang begitu, dia lebih sanggup berkahwin dan tinggal bersama suami!

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.