Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 28

“TAK apa, biar saya yang cuci tanda terima kasih, esok lusa awak cuci ya.” Hannah memberi peluang.

“Oh pandai dah nak usik saya. Tak adanya. Tawaran saya terhad untuk hari ini saja.” Aril mencucuk pinggang Hannah, membuatkan Hannah menghincut badan kerana geli.

“Awak, saya tengah cuci pinggan ni.” Hannah merungut, nanti gelas terlepas, dia terkandas.

“Cepatlah cuci. Saya ada sesuatu nak beritahu awak ni.” Gesa Aril, berdiri di sebelah Hannah.

“Cakap ajelah dekat sini.”

“Tak boleh. Cepatlah.” Aril merenjis manja air ke muka Hannah. Dia suka melihat wajah Hannah yang berkerut marah itu.

“Habis tu janganlah kacau!” ngomel Hannah.

Aril tidak peduli. Dia tetap merenjis air ke muka Hannah, membuat Hannah bertambah marah. Geram, Hannah mengambil sebuah cawan dan mengisinya dengan air. Lantas dia menyimbah Aril dengan air tersebut.

Kedua-duanya terdiam seketika. Tersedar apa yang telah dia lakukan, Hannah menjadi takut. Aduh, bagaimana ni?

“Awak, awak...saya...saya tak sengaja.” Hannah meminta maaf saat Aril mengelap wajahnya dengan tisu.

“Tak sengaja...” Habis bajunya basah disimbah air.

Semakin Hannah mengundur, semakin itulah Aril datang mendekati. Takut dia diapa-apakan, dia terus berlari ke ruang tamu. Hannah ke kanan, Aril ke kiri. Hannah berlari, Aril mengejar.

“Main kasar ya!” Aril mengejar Hannah.

“Saya tak sengaja! Dahlah tu!” terjerit Hannah setiap kali Aril datang menghampiri dirinya.

Sudah seperti babak di dalam kartun Tom and Jerry sahaja mereka berdua ini. Menggunakan strategi tersendiri, Aril mengacah dan memerangkap Hannah, membuatkan Hannah berada di dakapan Aril.

“Awak nak minta maaf ke tak?” Aril bertanya, memeluk Hannah dari belakang. Setiap kali Hannah cuba berlari, setiap kali itu jugalah Aril mengetatkan pelukkannya.

“Nak. Awak, saya minta maaf ni. Lepaslah...” rengek Hannah manja, minta dilepaskan.

“Cakap, sayang saya minta maaf.” Aril tersengih. Inilah masanya jika dia hendak membuli Hannah. Lebih daripada berkuasa.

Bulat mata Hannah mendengar permintaan Aril. Melampau lelaki ini! “Hish, apa awak ni. Tak naklah!”

“Kalau tak nak, kita akan berpelukkan macam ni sampai esok pagi.” Ujar Aril, senang hati.

“Sayang, saya minta maaf.” Kata Hannah dalam keterpaksaan. Lembut dan lunak. Dia hanya akan kata sekali supaya tidak disuruh untuk mengulanginya.

Aril tersenyum. Jiwanya sejuk mendengar suara Hannah. Dia menepuk-nepuk sofa itu menyuruh Hannah duduk tetapi Hannah menggeleng. Dia ingin duduk jauh sedikit daripada Aril yang bahaya itu. Aril tertawa.

“Esok, kita ada kenduri doa selamat dekat rumah abang saya. Hari minggu pula saya ada function dan saya nak awak ikut sekali. Ballroom theme, sayang.” Beritahu Aril.

“Ballroom theme? Acara apa Aril?”

“Untuk menyambut ulangtahun Faruk Creative Works yang ke dua puluh. Tak perlu takutlah, semua orang dekat situ peramah. Awak perlu ada dengan saya saja.” ujar Aril.

Selama dia kenal Zafril, lelaki itu selalu memberi ketenangan dan kedamaian jiwa. Selalu menjaga dia dengan sempurna. Sungguh, dia bersyukur mendapat lelaki yang tulus menyanyanginya.

“Tapi Aril, saya tak ada baju yang sesuai nak pergi sana. Nanti buat malu awak saja.” kendur suara Hannah melahirkan kekesalan hati.

“Tak apa, awak cakap aje designer mana awak nak. Hatta Dolmat, Rizman Ruzaini, Jovian Mandangie?”

Mulut Hannah terngaga kecil ketika Aril menyebut nama pereka-pereka baju yang terkenal di Malaysia ini. Sebulan gajinya, belum tentu dapat beli sehelai baju mereka itu. Dan Aril bercakap seolah-olah harga baju itu bukanlah masalah baginya. Apabila difikirkan kembali, sesuailah mereka dengan taraf Aril yang berasal dari keluarga kaya.

“Err...” Hannah teragak-agak. Dia tidak kisah pun jika Aril membawanya ke butik biasa.

“Dah jom siap, kita keluar sekarang.” Aril memimpin Hannah untuk ke bilik.

Hannah terkebil-kebil mengikut Aril. Seriuskah Aril mahu ke sana?

HANNAH memandang bangunan yang tersergam di hadapannya. Kemudian dia memandang Aril. Tidak pernah seumur hidupnya, dia menjejakkan kaki di butik Jovian Mandangie yang terletak di Bangsar ini. Selain baju perkahwinnya, tidak pernah dia memiliki baju mahal. Bajunya semuanya ditempah sendiri, dan harganya tidaklah semahal mana berbandingkan dengan baju dari busana Jovian Mandangie ini.

“Aril, awak serius ke nak masuk sini?”

Anything for my most favourite woman.” Bangga Aril tersenyum

Hannah terpaku melihat baju-baju yang dipamerkan di butik itu. Semuanya cantik-cantik belaka. Jika Aril menyuruhnya pilih, pasti dia akan rambang mata. Melihat senyuman yang terukir di bibir Hannah, Aril tahu dia telah menggembirakan sang hati wanita itu.

“Awak boleh pilih yang mana awak suka. Pergilah tengok-tengok dulu.”

Teruja, Hannah tersenyum meleret memandang Aril. Seronoknya dapat berada di butik ini buat pertama kali. Selama ini, dia hanya dapat melihat rekaan-rekaan Jovian Mandangie dari jauh saja. Kini, dia dapat memilih sepasang baju untuk dirinya sendiri.

Hannah mencapai sepasang baju bewarna merah pekat. Potongan peplum yang amat terkenal sebagai rekaan Jovian sendiri, menarik perhatian Hannah. Hannah mengacukan baju itu ke badannya dan melihat cermin. Baru dia mahu memanggil Aril, Aril sudah ada di belakangnya.

“Sesuai tak warna ni untuk saya?” tanya Hannah, meminta pendapat.

“Awak pakai apa pun cantik sayang. Tapi, saya rasa warna Dusty Pink itu lebih sesuai dengan awak. Merah ni, biarlah pakai dekat rumah aje.” Usik Aril, membuatkan wajah Hannah berubah merah. Mujur pelayan tamu itu agak jauh daripada mereka. Jika tidak, mahu tidak malu Hannah dibuatnya!

Mengikut cadangan Aril, Hannah mencuba baju yang dipilih Aril. Benarlah warna itu lembut jadi ia membuatkan si pemakai tampak manis dan anggun. Hannah berdiri di hadapan Aril, memperagakan baju tersebut.

“Have I said this before? You look beautiful. And I meant every single dimension of beautiful, Hannah Natasha.” Aril memuji.

Hannah hanya mampu tersenyum. Sudahnya bukan sepasang baju yang dibeli Aril tetapi tiga! Katanya buat simpanan untuk acara-acara yang akan datang.

“Terima kasih.” Ucap Hannah, memberi senyuman yang paling manis kepada Zafril Reza. Bukan kerana baju-baju mahal ini tetapi kerana prihatinnya Aril terhadapnya.

“Sama-sama kasih.”

MATA Aril melekat pada wanita yang berdiri di hadapannya. Manis berbaju kurung, Hannah Natasha sudah siap untuk ke majlis cukur rambut anak buah Aril. Namun wajah Hannah yang tidak mampu menyembunyikan rasa gundah gulana itu menangkap perhatian Aril. Pasti ada yang tidak kena. Sudah lebih seminggu dia menjadi suami Hannah. Dia sudah mampu membezakan wajah Hannah merajuk, gembira, marah, sedih, takut dan gelisah. Hannah yang jujur ini tidak reti menipu.

Usai mengunci pintu rumah, dia menghidupkan enjin kereta. Sedari tadi, Hannah tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun. Selalunya, mulut itu petah bercerita, tidak pun suka mencari pasal. Melihat Hannah diam seribu bahasa, jiwanya turut kacau.

“Kenapa muka ketat macam tu?” terlepas jua soalan yang sekian lama bersarang di hati.

Mendengar soalan Aril, Hannah perlahan-lahan mengangkat muka sambil bermain jari.

“Awak, nanti dekat sana awak jangan tinggal-tinggalkan saya ya. Saya tak kenal sesiapa dekat sana kecuali awak, umi dan abah. Kalau dia orang buli saya macam mana?” Hannah bersuara lemah.

Aril tertawa. Itu rupanya yang membelenggu fikiran Hannah.

“Bukan ke selama ni awak kata awak berani? Kalau saya tinggalkan awak dekat sana, pandai-pandailah balik sendiri.” Bukannya hendak memujuk, Aril makin menakut-nakutkan Hannah.

“Kalau saya hilang betul-betul macam mana?” Hannah menduga.

“Saya kan ada dekat sini.” Aril tersenyum, memberi jaminan.

Apabila kereta Aril berhenti di rumah yang penuh dengan tetamu itu, tahulah Hannah bahawa mereka sudah sampai ke destinasi. Ramai betul orang dan rasanya satu yang di situ pun dia tidak kenal. Berdegap-degup jantungnya hendak memasuki rumah itu. Mahu tidak mahu, dia tetap harus menghadap saudara-mara Aril. Besar rupanya keluarga Aril.

“Dah sampai pun pengantin baru. Aril, umi pinjam sekejap isteri Aril ya. Nanti umi pulangkan.”

Baru saja mereka keluar kereta, mereka sudah berhadapan dengan Puan Liza. Wajah Aril berkerut mendengar kata-kata uminya. Hendak buat apa pula umi ni? Hannah pula, jangan cerita yang bukan-bukan sudahlah. Belum sempat dia menjawab, Hannah sudah dipimpin ke dalam oleh ibunya.

Puan Liza dengan bangganya memperkenalkan menantunya yang manis ini kepada saudara-mara. Mulanya, memanglah dia takut tetapi saudara-mara Aril semuanya ramah-ramah belaka. Jadi, tidaklah dia kekok atau janggal sangat. Sekejapan saja, mereka sudah berkenalan dan bertukar-tukar cerita.

Apabila dijemput makan, Hannah malu-malu. Apa dia harus makan seorang diri? Mana pula perginya Aril? Dia berjalan ke arah meja yang terhidangnya makanan secara bufet. Rambang mata dia jadinya hendak memilih makanan apa. Dia berharap sangat Aril akan datang sekarang ini. Dia malu untuk makan sendiri. Jika ada Aril, sekurang-kurangnya dia ada teman.

“Hai, seorang ke?” sapaan seorang lelaki membuatkan Hannah sedikit terkejut.

Aduh, siapa pula ini? Ingin saja dia menangis sekarang ini. Dia tidak selesa berbual dengan lelaki yang tidak dikenalinya. Akhirnya dia tidak menjawab, dia hanya memberikan senyuman.

“Nama siapa? Saya tak pernah nampak awak pun sebelum ni? Kawan Kak Sarah ke?” bertubi-tubi soalan ditanya kepada Hannah.

Kak Sarah yang dimaksudkan adalah isteri abang Fahmi. Jawab atau tidak? Kalau jawab, nanti dia makin tanya, kalau tidak jawab, digelar sombong pula. Aril, datanglah cepat.

“Hannah...Hannah Natasha.” Itu saja yang mampu Hannah jawab. Dia tidak mahu memberi informasi yang lebih-lebih. Teringat pesanan Aril tadi.

“Saya Karl. Awak ni...”

“Kat sini rupanya awak. Sayang dah makan?” kehadiran Aril bagaikan air yang diberi kepada orang yang hampir mati kehausan.

Berdiri saja Aril di sebelah Hannah, Hannah terus memegang erat tangan Aril untuk meminjam kekuatan. Terasa sesuatu perasaan yang sukar digambarkan apabila Aril membalas dengan memegang kejap tangannya.Sesungguh, pelindungnya datang tepat pada masanya. Wajah Karl usah diceritakan lagi. Perkataan sayang itu tidak memberi impak kepada Hannah kerana dia sangat mendambakan pertolongan tetapi bagi Karl, itulah kata azimat yang tidak seharusnya keluar. Siapakah Hannah kepada Aril?

“Eh Aril. Dah lama sampai?” Karl berjabat tangan bersama Aril, berbasah-basi.

“Boleh tahan lah. Oh ya, masa aku kahwin hari tu, kau masih dekat Indonesia kan? Kenalkan, ini isteri aku.” Saat Aril memperkenalkan Hannah kepada Karl, dia terasa dunia ini milik dia dan Aril. Sebelum ini tidak pernah dia berbangga untuk menjadi isteri Aril tetapi sekarang ya. Hanya kerana dia takut dengan Karl.

“Is...isteri? Eh jemputlah makan, aku nak masuk dalam sekejap.” Karl mempersilakan pengantin baru itu makan. Selebihnya, dia mahu keluar dari keadaan yang menyeksakan itu setelah mendapat tahu bahawa Hannah adalah isteri kepada Aril. Melepas peluangnya untuk berkenalan dengan wanita yang cantik dan manis ini.

Aril hanya mengganguk mengiakan manakala Hannah menarik nafas lega. Genggaman tangan itu serta-merta dilepaskan tatkala dia sudah kembali ke alam realiti.

“Tangan awak, bagi saya tengok.”

Apa-apa saja Aril ini mahu melihat tangannya. Entah apa yang ada di fikirannya sekarang.

“Nak buat apa? Dia tak pegang tangan sayalah. Tak ada bekas pun.” tanya Hannah pelik.

Kedua belah tangan Hannah diangkat ke paras dada untuk dilihat oleh Aril. Setelah Aril membelek-belek tangan itu, dia meletakkan kembali tangannya ke bawah.

“Dia tak nampak ke ada cincin di jari? Sajalah tu nak skodeng isteri orang. Yang awak ni pun satu, pergi layan dia kenapa?” ngomel Aril.

Menurut Aril, tiada sebab Karl boleh terlepas pandang cincin di jari Hannah. Kalau ya pun nak berkenalan dengan anak orang, tengoklah cincin di jari. Tiba-tiba dia berasa marah kerana isterinya hampir dikebas orang. Marahkan Karl, Hannah pula menjadi mangsa.

“Mana ada saya layan dia? Awak pun satu, hilang entah ke mana. Datang aje nak marah-marah orang.” Hannah sedikit terasa hati, mempertahankan diri sendiri.

Aril yang tersedar dia sudah melampui batas, terdiam. Tetapi salahkah dia mempertahankan haknya sendiri? Menunjuk sangatkah perasaan cemburu yang membuak di dada tatkala melihat Karl dan Hannah berdua-duaan?

“Ingat, jangan tanggalkan cincin ni.” Aril memberi amaran.

“Ya tahu! ”

Tidak mungkin dia memberitahu Hannah, ‘ya, saya cemburu’. Jatuh saham nanti! Yang dia tahu, dia tidak suka melihat mana-mana lelaki berdamping dengan Hannah selain dia. Tidak suka tetapi masih ingin mempertahankan haknya.

“Hannah! Sinilah, kita nak ambil gambar ni.” Kak Sarah memanggil.

“Nanti kita makan sama-sama okey.” Pesan Aril.

Hannah memandang Aril sekilas lalu meninggalkan lelaki itu di situ. Wanita kalau ada kamera di depan mata, kecoh maha kecoh jadinya. Terlalu banyak kamera di hadapan, sehingga mereka keliru yang mana yang memetik dahulu.

“Alalala comelnya...” Hannah mencuit lembut pipi bayi yang didukung, Kak Ija.

“Hah, kebetulan Hannah ada dekat sini. Hannah boleh tolong akak tak?”

“Tolong apa kak?”

“Tolong jagakan Ryan sekejap boleh? Hannah masuk dalam bilik hujung tu, ada penghawa dingin. Senyap sikit. ” Ujar Kak Ija.

Hannah dengan rela hati menolong. Seperti tahu-tahu saja ada orang lain yang hendak mendukungnya, Ryan tersengih menampakkan gusinya. Tercuit hati Hannah melihat telatah comel Ryan. Di dalam bilik yang cuma ada dia dan Ryan, Hannah bermain-main dan mengacah bayi itu.

Adakalanya Ryan tertawa menggeliat. Pipinya yang putih gebu itu membuatkan Hannah geram. Tidak sudah-sudah dia mencium pipi Ryan. Andai Ryan boleh bercakap, pasti dia menyuruh Hannah berhenti. Rimas katanya nanti. Namun Ryan yang murah dengan senyuman ini sentiasa tersenyum.

PUAS dicari, tetap juga tidak ditemui. Mana hilangnya Hannah kali ini. Sudah seperti biskut, sekejap ada, sekejap tak ada. Aril mulai panik apabila Hannah tidak kelihatan di antara tetamu yang bertandang. Paranoid, Aril mencari kasut Hannah. Andai kasut Hannah masih berada di situ, maka Hannah masih ada di dalam rumah ini.

Entah-entah Hannah betul merajuk dengannya kerana tidak menjaganya tadi. Sebaliknya, dia memarahi Hannah. Aduh, kuat betul merajuk isterinya ini. Hendak bertanya kepada orang-orang, kemana pergi isterinya, dia malu. Takut dikata tidak boleh berenggang dengan isteri walhal dia hanya mahu tahu dimana Hannah berada. Tidak dinafikan, dia risau kerana tadi Hannah melahirkan rasa gelisahnya kerana dia tidak kenal sesiapa di sini.

Menyesal pula dia tidak menjaga Hannah. Tangannya cepat mendail nombor telefon Hannah tetapi tidak diangkat. Resahnya semakin kuat. Hannah, dimanakah awak? Akhirnya, dia membuang malunya dan bertanyakan kepada Kak Ija jika-jika Kak Ija ada ternampak Hannah dimana-mana.

“AWAK ni kan...”

“Syhh...” Hannah meletakkan jari di bibir, seraya memotong kata-kata Aril.

Dia tidak mahu suara Aril membuatkan Ryan terjaga daripada tidur. Dia menepuk-nepuk lembut Ryan agar kembali tidur. Faham dengan isyarat itu, Aril mendekati Hannah. Dia melabuhkan punggungnya perlahan-lahan agar tidak menggangu Ryan.

Niat asal hendak memarahi tetapi apabila melihat Hannah begitu sayang dengan Ryan, dia membatalkan niatnya. Hatinya tersentuh melihat adegan itu. Bagaikan ada ciri-ciri keibuan di dalam diri wanita itu.

Tanpa bicara, Aril meninggalkan bilik itu. Kemudian, dia kembali ke bilik itu dengan menatang dua pinggan berisi makanan. Satu pinggan dihulurkan kepada Hannah.

“Saya boleh kebulur tunggu awak tau.” Sindir Aril, mengajak Hannah duduk di lantai agar tidak menggangu Ryan.

“Kenapa tak makan dulu?”

“Kan tadi kata makan sama-sama?” Aril mengingatkan. Lagipun, dia tahu Hannah belum makan. Jika suruh makan seorang, memang tidak bergeraklah jawabnya walaupun makanan di meja itu penuh.

So sweet!” Hannah mengejek Aril, kononnya hatinya cair dengan perbuatan Aril.

I know.” Balas Aril selamba. Aduh, perasaan pula dah Aril ni.

Pintu yang terkuak membuatkan Hannah dan Aril berpaling serentak. Kak Ija rupanya. Melihat Ryan tertidur lena di atas katil, dia tersenyum. Kemudian pandangannya jatuh kepada pasangan yang sedang menjamu selera.

“Terima kasihlah Hannah jagakan Ryan ni. Aril, kamu tu bila lagi nak ada anak? Dah kena sangat tu Hannah jadi ibu.”

Pertanyaan Kak Ija membuatkan Hannah tersedak. Anak? Mahu saja dia tertawa. Andai saja Kak Ija tahu apa yang sedang mereka lalui.

“InsyaAllah kak Ija. Kembar nanti saya kasi. Bolehlah kawan dengan Ryan ni.” Aril membalas.

“Eloklah tu, kamu berdua makanlah dulu. Kalau nak keluar, tinggalkan aje Ryan dalam sini. Nanti kak Ija suruh sesiapa tolong jagakan.” Kak Ija berpesan sebelum berlalu pergi.

“Kembar ya Aril?” kening Hannah terangkat.

“Boleh tak sayang?” Aril sudah tersenyum mengharap.

Sedar dirinya terperangkap, Hannah terus bangun meninggalkan Aril. Dia ingin mencuci tangan. Aril tersenyum menang melihat Hannah keluar dari bilik itu. Dia tidak menunggu lama untuk melakukan perkara yang sama.

Setelah bersalaman dengan semua orang, mereka meminta diri untuk pulang. Esok Aril akan mula kerja. Bulan madu? Nantilah, tunggu beberapa bulan lagi apabila mereka sudah kurang bergaduh.

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.