Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 12

KEMEJA merah pekat bercorak kotak-kotak kecil menjadi pilihan Aril. Memandangkan dia ada mesyuarat penting hari ini, dia memadankan tali leher dan sut hitam. Tampak bergaya dan formal di masa yang sama. Rambutnya dipacak-pacakkan sedikit agar dilihat kemas. Apabila gayanya sudah rapi, dia turun ke bawah, bersedia untuk ke kerja.

Handsomenya anak umi hari ni, ada mesyuarat ke?” tegur Puan Liza ketika meletakkan jag berisi teh panas di atas meja makan. Dia sudah mengerti dengan cara pemakaian Aril. Anak lelakinya itu hanya akan memakai sut jika dia ada mesyuarat. Andai tiada, dia hanya akan berpakaian biasa.

Aril menarik kerusi untuk duduk. “Hari ini aje kacak? Hari-hari lain tak?”

“Mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi kan Aril?” giliran Encik Faruk pula bersuara.

“Mulalah tu. Kalau bab-bab begini, mesti kata anak ikut abahnya. Kalau bab degillah, keras kepala, mesti tolak dekat kita.” Ngomel Puan Liza.

Aril menyisip teh panas itu dan kemudian menyalam ibu bapanya. Dia melihat jam di dinding. Sudah jam 7.30 pagi. Semalam dia sudah berjanji untuk menjemput Hannah. Andai dia lambat, adalah senjata untuk Hannah mengata dia nanti. Biar dia yang tiba dahulu, siang pun tak apa.

“Awalnya keluar hari ini Aril? Tak sempat makan pun.” Ujar Puan Liza turut memandang jam.

“Ada kerja umi. Assalamualaikum.” Ucapnya lalu pergi.

Mujurlah rumahnya dan rumah Hannah tidak jauh mana. Tidak perlu melalui lebuh raya yang semestinya sangat sesak dengan kereta. Muzik di keretanya dimainkan. Lagu Bubbly oleh Colbie Caillat yang berentak perlahan membuatkan suasana kereta itu tenang.

KURANG lima minit sebelum jam 8 pagi, Aril sudah tiba di hadapan rumah Hannah. Tepat jam lapan barulah dia akan menekan hon. Buat sekarang ini, dia hanya bersantai dan menunggu. Matanya liar memandang rumah yang tersergam indah. Rekaannya dari luar saja sudah nampak menarik.

Jam di dashboard sudah menunjukkan jam lapan pagi. Aril menekan hon dengan isyarat kepada Hannah yang dia sudah tiba.Hannah yang sedang menyematkan peniti di tudung terkejut mendengar hon itu. Nasib baiklah dia tidak mencucuk kepalanya. Jika tidak, sia-sia saja kepalanya berlubang kecil.

Langsir di bilik, dikuak untuk melihat siapa yang menekan hon itu. Terkejut dia melihat kereta Aril terparkir elok di luar rumahnya. Lelaki itu benar-benar mengotakan janjinya! Sudah diberitahu yang dia tidak mahu, masih lagi datang ke sini. Geram dia dengan sikap Aril yang tidak faham bahasa ini.

“Saya dah kata dengan awak semalam, saya boleh pergi sendiri.” Sebaik saja panggilan diangkat,Hannah terus bercakap.

Aril menjauhkan sedikit telefon itu dari telinganya. Tiada salam, tiada sapaan tiba-tiba saja berbual laju bak keretapi.

“Assalamualaikum.” Aril memberi salam, lunak dan mampu menggetarkan jiwa.

Hannah terdiam mendengar ucapan salam Aril. Antara perasaan serba salah dan terjatuh hati, dia keliru. Aril saja ni, nak buat dia begini. Salam itu dijawab lambat-laun.

“Sekarang dah pukul 8.02 pagi, kalau awak nak terus berbual dengan saya dekat telefon macam ni, makin lambat awak ke kerja nanti.” Saja Aril bertutur dengan lembut, ingin membuat Hannah naik darah pagi-pagi sebegini. Tahulah dia gadis itu sedang marah.

“Saya boleh suruh abang saya hantar. Awak boleh pergi kerja sekarang kalau takut lambat.”

Abang? Abang tiada di rumah pun!

“Awak boleh tak berhenti protes dengan saya dan turun sekarang? Habis cerita.” Aril melawan kembali. Keras kepala Hannah Natasha ni. Kalau perempuan lain, agaknya tidak dijemput pun mereka sanggup tunggu di luar rumah Aril. Ini tidak, liat sangat setiap kali mahu dijemput atau dihantar.

“Saya tak nak.” Hannah menjawab tenang.

Aril menarik nafas. Sabar sajalah dengan perangai Hannah ini. Dia menekan hon dua kali sebagai wakil jawapannya kepada Hannah.

Bulat mata Hannah mendengar bunyi hon itu. Malunya kalau jiran tahu itu daripada Aril dan mengapa dia lakukan sebegitu!

“Aril, stop!”

“Turun sekarang.” Seraya dengan kata-kata itu, Aril menekan hon bertalu-talu. Dia tersenyum. Pasti berbakul-bakul sumpah Hannah lontarkan kepadanya. Namun, dia tidak peduli. Selagi Hannah tidak turun, selagi itulah dia menekan hon itu.

“Okey! Okey! Saya turun sekarang.” Hannah mengalah. Nasib baik abangnya sudah keluar ke kerja awal pagi tadi. Jika tidak, mahu kena soal siasat siapa lelaki itu nanti.

Aril keluar dan bersandar di keretanya. Dia masih belum terlambat tetapi saja ingin menghuru-harakan pagi Hannah. Tidak seronok jika tidak dapat menyakat gadis itu. Banyak lagi gadis di luar sana yang inginkan perhatian Aril tetapi dia sendiri hairan kenapa Hannah jadi sasaran.

“Assalamualaikum.”

Aril berdiri tegak mendengar salam yang diberikan. Hannah tiada di depannya sekarang. Siapa pula yang beri salam padanya pula ni? Ternaik bulu romanya dia siang hari mengenangkan hal itu.

“Encik cari siapa?”

Aril mengerut dada melihat seorang wanita separuh abad muncul di sebelahnya. Lah, wanita ini ke yang berikan salam tadi? Buat suspen saja. Nak kata takut, tidaklah. Buat malu saja kalau anak jantan sepertinya takut pada benda-benda sebegini.

“Saya tunggu Hannah.” Aril menyalam wanita itu tanda hormat. Siapa pula wanita ni, tiba-tiba tanya dia cari siapa? Mak Hannah ke ni?

Mak Mah mengganguk faham.

“Encik nak saya panggilkan Hannah?”

“Eh tak payah berencik-encik dengan saya makcik. Panggil saya Aril aje.” Segan apabila seseorang lebih berumur darinya memanggilnya Encik tanda hormat.

Mak Mah tersenyum. ‘Tidak sombong budak ni. Elok benar sikapnya.’

“Makcik ni mak Hannah ke?” soalan yang bermain di fikirannya, dilepaskan jua.

“Eh tak, mak Mah ni pembantu rumah ini aje. Aril ni...boyfriendHannah ke?” mak Mah mengusik nakal.

“Bukan...bukan. Saya ni kawan dia.” Laju Aril menidakkan perkara itu. Kekasih? Berkenalan pun belum sempat mak Mah! Namun dia terusik dengan sikap peramah mak Mah itu.

Tunggu. Boyfriend? Kalau mak Mah dengan tidak bersalahnya memikir yang dia ini kekasih Hannah, maknanya Hannah belum lagi berkahwin? Jadi semalam tu...hah, dia saja nak uji aku tu.

“Hannah tu dah kahwin ke makcik?”

Mulanya, memanglah dia malu untuk bertanya tetapi malu bertanya sesat jalan. Sebenarnya, dia cuak juga semalam apabila Hannah tidak menjawab soalannya tentang siapa ‘abangnya’.

Mak Mah tertawa dengan soalan diajukan oleh Aril. Dia memandang wajah Aril yang seakan tidak sabar untuk menantikan jawapan darinya. Dalam diam, dia memuji Aril yang prihatin dengan status Hannah. Baguslah, andai dia ingin berkawan dengan Hannah, biar dia tahu asal usul Hannah dahulu.

“Kalau dia tu dah kahwin, tak adanya mak Mah melayan kamu dekat luar ini. Siang-siang lagi, mak Mah suruh kamu balik. Jangan ganggu isteri orang. Tak perlu risau, Hannah ni masih belum berpunya.” Panjang lebar mak Mah menjawab soalan Aril sambil mengenyet mata.

Di dalam hati, Aril menarik nafas lega. Dia bebas untuk mengenali hati budi Hannah kerana Hannah tidak terikat pada sesiapa. Senang sedikit kerjanya kalau hendak ajak keluar atau sebaliknya.

“AWAK ni kan...” kata-kata Hannah terhenti sejurus melihat mak Mah berdiri di sisi Aril. “Mak Mah! Bila mak Mah sampai?”

Aril dan mak Mah sama-sama memandang ke arah suara itu mendatang.

Hannah meluru mendapatkan mak Mah. Wanita ini sudah dianggap seperti emaknya. Tiada istilah pembantu rumah untuk mak Mah. Jasa wanita itu akan dikenang sampai bila-bila.

“Baru aje sampai.”

“Abang awal pergi dah pergi kerja. Macam mana cucu mak Mah? Dah sihat?” soal Hannah prihatin.

Aril yang berdiri di situ bagaikan patung cendana. Tidak tahu-menahu tentang topik perbualan mereka. Kesempatan itu dia ambil untuk curi-curi pandang gadis yang berdiri di hadapannya. Hatinya senang melihat kemesraan antara mak Mah dan Hannah walaupun wanita itu hanya pembantu rumah.

Jika Hannah melayan mak Mah dengan baik, tidak salahlah jika dia melabel Hannah sebagai seorang yang menghormati orang tua. Jika dia hendak mencari seorang isteri, ciri-ciri itu perlu ada di dalam gadis itu. Tidak guna dianugerahkan rupa yang cantik tetapi akhlaknya kepada orang tua tidak menyenangkan.

“Biasalah. Bayi kan, nak membesar. Hannah nak ke kerja ya?”

Hannah mengganguk, memandang Aril. Sakit hatinya mengingati Aril yang tidak memberinya peluang langsung untuk menolak pelawaanya.

“Dah sarapan?” soalan mak Mah kali ini dijawab dengan gelengan. Tidak sempat bersarapan pun.

“Lah...kenapa tak sarapan? Nanti perut tu kosong, Hannah pitam dekat kerja macam mana?”

“Mana ada pitam. Hannah kuatlah mak Mah. Okeylah Hannah gerak dulu ya. Bye.” Hannah meminta diri. “Jom.” Dia mengajak Aril.

Aril menyalam mak Mah dan terus memasuki kereta. Cermin kereta diturunkan untuk melambai mak Mah. Hon ditekan sekali lagi untuk mengistiharkan yang mereka akan pergi sekarang.

Mak Mah melihat kereta itu pergi dari jauh. Dia tersenyum. Dia sedar dia bukan sesiapa untuk menghalang atau mengizinkan Hannah dari berkawan dengan sesiapa. Namun, dia berkenan dengan Aril. Perbualan yang sekejap tadi membuatkannya rasa bahawa Aril ini daripada keluarga yang baik-baik. Jika ini pilihan Hannah, dia tumpang gembira.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.