Home Novel Cinta Cinta Tanpa Syarat
Bab 32

PETANGitu, pulang saja dari kerja, Hannah terus ke pasar yang berdekatan untuk membeli bahan masak. Seharian di kerja dia memikirkan tentang menu yang harus dimasak. Sampai Faz pun ditanya untuk meminta pendapat. Haru-biru jadinya apabila umi dan abah mahu datang.

Sebelum ini, dia bukannya kenal dengan umi dan abah. Maka dengan itulah dia tidak tahu makanan jenis apa yang mereka makan. Adakah mereka seperti Aril yang tidak cerewet bab makan? Memanglah dia pernah berborak dengan umi tetapi tidak seperti hari ini. Siap tidur malam di sini. Masak untuk mertua paling menggerunkan! Bagaimana kalau masakkannya tidak menepati selera mereka?

Fikir punya fikir, menu sudah pun ditetapkan. Dia akan masak sambal tumis udang, ikan goreng, telur dada dan sayur chap chai. Untuk pencuci mulut pula dia akan membuat jelly buah-buahan. Semoga semuanya berjalan dengan lancar. Maklumlah ini kali pertama dia memasak untuk mertua. Sebelum ini, mana ada mertua? Masak untuk papanya saja.

Bunyi kereta di luar membuatkan Hannah menghentikan segala apa yang dia lakukan. Siapa pula yang datang ke rumahnya waktu sebegini? Umi dan abah ke? Habislah dia macam ni. Masak satu lauk pun belum! Tapi bukankah mereka kata akan datang jam 7?

Hannah membuka pintu untuk melihat siapa gerangan orang itu. Aril rupanya. Eh, awalnya dia balik hari ini. Bukankah dia selalu habis kerja jam enam? Sekarang baru jam empat petang.

“Awalnya awak balik hari ini?” tanya Hannah ketika Aril menjejakkan kaki ke dalam rumah.

“Saya nak tolong isteri saya dekat rumahlah, sebab tu pulang awal.” Aril menjawab.

“Eii, poyonya awak ni!” Hannah berkerut kening dan terus berlalu ke dapur. Malas melayan Aril yang entah apa-apa itu.

“Eh betullah. Saya takut awak kalut lepas tu dapur saya terbakar. Baikkan saya?” Aril memuji diri sendiri.

“Hish, tolonglah! Kalau awak tak ada pun saya boleh buat sendiri.” Ujar Hannah memotong kepala udang.

“Nak tolong buat apa ni?”

“Betul ke nak tolong?” tanya Hannah, mendapatkan kepastian.

Aril mengganguk.

“Pergilah tukar baju dulu. Nanti berminyak susah nak hilangkan tanda.” Nasihat Hannah.

Aril tidak membantah. Dengan cepat dia meninggalkan dapur dan menaiki bilik. Sekejapan saja, dia sudah berada di dapur kembali. Orang ghairah menolong! Ataupun, takut Hannah merosakkan makan malam bersama umi dan abahnya? Cepat-cepat dia menepis sangkaannya. Tidak baik bersangka buruk. Perbanyakkan istighfar.

“Cepatlah, nanti tak tolong awak bising pula.”

“Awak reti goreng ikan?” tanya Hannah.

Aril menelan liur. Goreng ikan? Dengan minyak yang bakal meletup-letup itu? Memang tidak berani. Namun, ego lelaki. Dia gagahkan diri jua untuk berkata ya. Hannah menghulur sepinggan ikan yang sudah digaul dengan kunyit dan garam.

Aril menarik nafas dalam. Tidak pernah seumur hidupnya dia disuruh goreng ikan. Hannah punya pasal, terpaksa dia goreng juga. Dia memicit-micit ikan itu dengan jarinya sebelum dipegangnya. Satu, dua, tiga! Ikan itu terus dicampak ke dalam minyak yang panas. Dengan cepat dia mengambil dulang di atas meja untuk menjadi pelindung dirinya.

“Awwww!” Hannah mengadu kesakitan dek terkena percikkan minyak yang panas di pipinya.

Aril memandang Hannah yang sudah memegang pipinya dengan kedua belah tangan. Kemudian dia menuju ke sinki untuk membasahkan wajah. Terasa bersalah, dia menghampiri Hannah.

“Awak memang sengaja kan?” bentak Hannah geram.

“Sumpah tak sengaja! Maaflah, mari sini saya tengok.” Aril mengalihkan tangan Hannah untuk melihat kesan di pipi itu. Merah pipi mulus itu.

“Sikit aje ni.” Aril mengusap pipi Hannah perlahan dengan ibu jarinya. Sempat dia mencium pipi itu, membuatkan Hannah tersentak dengan tindakan Aril.

“Lain kali masukkanlah perlahan-lahan. Jangan main campak aje!” gerutu Hannah, memuncung.

“Nah, kalau tak nak kena minyak panas. Pakai tudung saji ni. Kalau nak lebih selamat, pakai topi keledar.” Aril memberi cadangan, siap menghulurkan tudung saji kepada Hannah.

“Tak kelakarlah Aril,” mencerlung mata Hannah memandang lelaki itu. Sajalah tu buat lawak bodoh.

“Saya bagi cadangan aje. Tak nak dengar sudah...” Aril mencebik.

Tiba-tiba.

“Oh mak kau!” Aril melatah, menutup wajahnya dengan kedua belah tangan saat minyak itu mercik. Terkejut dia dibuatnya.

Mulanya Hannah ternganga mendengar Aril melatah. Kemudian, dia tertawa teringatkan betapa lucunya reaksi Aril. Hah, tadi kenakan orang. Sekarang dia yang terkena.

“Tak payah nak gelak sangatlah.” Jeling Aril.

“Mana ada gelak?” nafi Hannah. Sesaat kemudian, tawanya terhambur semula.

“Hannah stop it okey.” Aril memberi amaran. Sakit hati pula dia mendengar tawa Hannah yang jelas tertuju buat dirinya.

Hannah mengganguk tanda setuju. Namun, kedua belah tangannya menutup mulut untuk menahan gelak. Setiap kali dia melihat wajah Aril, pasti ia mengingatkannya tentang tadi.

“Saya salut juga muka awak dengan kunyit ni!” ugut Aril apabila melihat senyuman Hannah.

Riuh dapur itu dengan suara mereka walhal Cuma ada dua orang sahaja di dapur itu. Setelah menggoreng ikan, Aril menolong membuat jelly yang perlu disejukkan. Hannah hanya mampu tersenyum melihat Aril yang terlebih rajin hari ini. Memang inikah sikap Aril sebelum ini?

Kini semua hidangan sudah pun tersedia. Aril dan Hannah naik ke atas untuk membersihkan diri bagi menyambut kedatangan umi dan abah. Hannah mengambil kesempatan ini untuk solat Asar sebelum terlambat.

Hannah dan Aril berpandangan. Seperti ada talian berhubung di hati saja. Sekarang sudah pun jam 6.30. Sekejap lagi umi dan abah akan sampai. Sejak dia berumur tujuh tahun, dia terlupa bagaimana rasanya untuk mempunyai seorang ibu.

Yang selalu manjakannya, yang keluar membeli-belah dengannya dan semestinya tempat untuk dia bercerita. Umi Aril tidaklah seteruk mana tetapi dia belum begitu kenal saja.

Bunyi loceng rumah yang berbunyi menandakan ada tetamu yang datang. Serta-merta Hannah dan Aril berdiri. Pasti umi dan abah sudah sampai. Hannah bermain dengan jarinya. Gementar. Aril pula sudah membuka pintu utama.

Orang tuanya disambut dengan penuh hormat. Beg yang diangkat abah bertukar tangan. Aril menyalam umi dan abah yang kemudian diikuti dengan Hannah. Puan Liza melemparkan senyuman manis kepada menantunya. Dia sangat teruja saat Aril memilih untuk berkahwin dengan Hannah. Gadis ini kelihatan seperti baik-baik orangnya.

Tanpa membuang masa, Aril mengajak umi dan abahnya menjamu selera. Jauh perjalanan, pasti abah penat memandu. Hannah ke dapur untuk menghidangkan makanan manakala Aril melayan umi dan abah. Puan Liza bangkit untuk menolong tetapi disuruh duduk saja oleh Hannah. Bukannya susah pun buat semua ini.

“Hannah ke yang masak semua ni?” tanya Dato Faruk. Terliur dia melihat lauk-pauk di atas meja ini.

“Masak yang termampu aje abah. Hannah tak tahu umi dengan abah suka makan apa.”

“Tak payah susah-susah Hannah. Kita ni makan apa saja, tak cerewet.” Ujar Puan Liza, membuatkan Hannah lega.

“Umi, Aril pun tolong masak okey!” Aril campur daun. Umi dan abah kalau berbual dengan menantunya seorang ini, dia seperti diabaikan.

“Ya ke?” tanya Puan Liza tidak percaya.

Hannah tertawa sambil pandang Aril. Dia teringat peristiwa tadi.

“Dia tolong goreng ikan dengan buat jelly, umi.” Beritahu Hannah. Eh, eh si Aril ni. Nak juga dipuji.

“Biar betul?” Puan Liza tanya sekali lagi. Benarkah apa yang dia dengar ini?

“Kenapa umi?” Hannah mulai takut.

Adakah Aril tidak dibenarkan memegang ikan ataupun umi mahu memarahinya kerana menyuruh suami masuk dapur? Lagipun bukan dia yang suruh tapi Aril yang merelakan diri.

“Kalau Hannah nak tahu. Aril ni, seumur hidup tak pernah masuk dapur kecuali nak ambil makanan. Pegang ikan tu pun dia geli. Nak goreng ikan, lagilah. Takut minyak tepercik dekat muka!” hujah Puan Liza.

Bagaikan mimpi pula. Aril yang dicerita dan Aril yang tadi sangatlah berbeza walaupun dia takut terkena percikkan minyak. Namun, dia tetap melakukannya. Apa motif Aril sebenarnya?

Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.