BERJALAN di sebelah Aril rasa seperti seorang
pengapit pengantin. Apa tidaknya? Mereka mendapat perhatian yang sangat luar
biasa. Terutamanya pada Aril. Hadi pelik dengan Aril yang tiba-tiba berubah
fikiran untuk makan tengahari di kedai makan berhampiran ofis mereka. Bukan
kerana kondisi kedai itu tetapi Aril jarang makan di situ.
Sepanjang dia berkawan dengan Aril, Aril tidak pernah
menyombong atau riak dengan status yang dia ada. Aril seorang yang rendah diri
walaupun dia bekerjaya tinggi. Prinsip hidupnya adalah untuk hidup dalam serba
sederhana. Kadang-kadang itu, adalah dia membelanja Haikal dan dirinya makan
besar.
Dia dan Aril sudah seperti adik-beradik. Di kala kebosanan
pada hujung minggu, Aril akan mengajak Hadi untuk bersantai di rumahnya. Ibu
bapa Aril juga sudah menggangap Hadi seperti anak sendiri memandangkan Hadi
membesar di depan mata mereka. Setiap kali menjelang Hari Raya, pasti mereka
akan menyambut bersama kerana Hadi merupakan anak yatim piatu.
Sudah berulang kali Puan Liza dan Encik Nizam mengajak
Hadi untuk tinggal bersama mereka tetapi Hadi menolak secara lembut. Dia mahu
berdikari dan berdiri di atas kaki sendiri. Dia menghargai jasa baik Puan Rania
dan Encik Nizam namun, dia tidak mahu menyusahkan mereka.
“Kau biar betul nak makan sini?” tanya Hadi tidak percaya.
“Yalah. Kenapa? Tak boleh?” Aril sudah menapak masuk kedai
itu. Penuh dengan orang bekerja. Maklumlah, sekarang ini kan waktu makan.
Aril sudah temui sasarannya dari jauh. Dia menyuruh Hadi
mengikutnya walaupun ada meja kosong untuk dua orang. Tidak mahu bercakap
banyak, Hadi hanya menurut.
Aril dan Hadi kini sudah berada di meja yang diduduki
Hannah. Hadi sudah tidak kena gaya. Aril akan menghalau mereka keluar ke?
“Boleh kami duduk sini?” Aril menanya sopan.
Meja yang dikhaskan untuk enam orang itu masih ada tiga
tempat duduk kosong. Dia yakin mereka tidak akan menolak.
“Boleh.” Faz senang hati menjemput.
“Tak boleh!”
Hannah dan Faz menjawab serentak. Kemudian mereka
memandang sesama sendiri. Aduh Faz ni. Tahulah yang dia syok pada Aril tapi tak usahlah sampai ke tahap ajak duduk semeja.
Aril dengan senang hati menarik kerusi kosong bertentangan
dengan Hannah. Dia tersenyum melihat wajah Hannah yang bagaikan cacing
kepanasan. Jelas, Hannah tidak senang dengan kehadirannya.
“Saya tanya kawan awak, bukan tanya awak.” Aril memeluk
badan, memandang Hannah tepat di matanya.
“Awak tak boleh ke duduk meja lain? Tak penat asyik
pandang muka saya?” Dahi yang berkerut seribu itu menandakan dia marah dengan sikap Aril yang senang-lenang
membuat keputusan.
“Awak ingat saya nak sangat ke pandang muka awak? Makcik
jual nasi lemak tu lebih cantik kut.” Balas Aril penuh keyakinan.
“Pergilah duduk dengan dia. Duduk sini kenapa? Buat
menyemak aje. Buat sakit mata saya.”tutur Hannah, seakan menghalau.
Sesaat setelah mengeluarkan kata-kata itu, kakinya
ditendang oleh seseorang. Dari ekspresi wajah, Hannah sudah dapat meneka siapa
orangnya. Siapa lagi bukan Faz? Marahlah tu sebab Hannah sakitkan hati
‘Arilnya’.
Hadi, Nabil dan Faz tercenggang mendengar perbualan antara
Hannah dan Aril. Bergaduh tidak ingat dunia. Sekurang-kurangnya, pandanglah
kiri kanan, ingat orang. Ini tidak, mereka bagaikan tidak wujud saja.
Mereka juga pelik bagaimana Hannah dan Aril berbual
seperti mereka sudah kenal lama. Setahu Hadi, Aril tidak pernah bercerita
tentang mana-mana gadis yang baru ditemuinya. Faz dan Nabil juga termangu melihat mereka bertikam
lidah.
“Kau orang ni dah kenal ke?” Nabil bertanya, untuk menjawab soalan yang bermain di minda mereka
bertiga.
Hannah membisu. Sudah kenal kah mereka? Setakat tahu nama,
tahu kereta apa dia pakai, bolehkah itu dianggap sebagai kenal? Siapa orang tua
Aril, apa pekerjaan Aril, semuanya tidak tahu. Serba salah harus jawab apa.
“Kita kenal ke?” Aril bertanya Hannah memberi riak muka
yang keliru.
“Tak.” Hannah menggeleng kepala.
“Ha’ah, kita tak kenallah.” Aril menyokong jawapan Hannah.
Kemudian dia pura-pura sibuk dengan halnya sendiri.
Hadi, Nabil dan Faz nyata tidak percaya dengan kata-kata
mereka. Konon nak capai kata sepakatlah tu. Kata tidak kenal tetapi berbual
seperti orang sudah kenal lama. Pasti ada yang Hannah dan Aril sembunyikan
daripada mereka semua. Musykil mereka dibuatnya.
“Kau tak cerita pada aku pun pasal perempuan ni.” Hadi
mencelah.
“Tak penting pun.” Aril menjawab. Matanya sibuk membaca
menu yang ada. Mahu makan apa ya?
Tak penting dia kata? Diam-diam ubi berisi rupanya Aril ni. Tidak sangka,
dalam diam, dia sudah berkawan dengan perempuan cantik ini. Sayang, mengapalah
bukan dia yang bertemu dengan Hannah dulu? Wajah Hannah memang tidak jemu
dipandang setiap detik.
“Awak pesan apa?” Aril menolak menu itu ketepi. Wajahnya diangkat,
memandang Hannah.
“Tanya saya ke? Atau tanya kawan saya?” perli Hannah, menunding jari ke
dirinya sendiri dan kemudian ke Faz.
“Tanya awak, sayang.” Ucap Aril lembut.
Air yang baru saja diminum Nabil, tersembur tatkala mendengar perkataan
itu. Habis basah wajah Faz terkena dek tempias. Hadi yang sibuk memikirkan apa
yang harus dia pesan terus mengangkat muka Aril. Faz pula sibuk memarahi Nabil
kerana menyembur air limau ais ke mukanya. Dan Hannah? Diam tidak terkata.
Kenapa dia tidak mampu melawan Aril seperti biasa dia lakukan? Apakah
perkataan sayang itu memberi impak yang hebat kepada dirinya walhal dia dan
Aril tiada apa-apa hubungan. Yang dia tahu, ada sesuatu perasaan yang sukar
ditafsir menyelinap masuk ke kalbu hati, membuatkannya lena dibuai mimpi
seketika.
“Hish! Kau ni tak senonohlah. Habis basah baju aku. Bersemut nanti, siapa
nak jawab?” ngomel Faz bersungguh-sungguh.
“Sorrylah. Aku tak sengaja. Aku
terkejut!” Nabil kalut meminta maaf.
Bukan saja Nabil yang terkejut, semua orang di meja itu terkejut dengan
pernyataan Aril. Tadi beria-ia kata tidak kenal antara satu sama lain, sekarang
ini pula sudah memanggil sayang. Memang ada yang tidak kena antara mereka
berdua.
“Ahaha...Aril..Aril memang kuat bergurau.” Hannah buat-buat tertawa. Dia
cuba meredakan suasana dengan alasan Aril kuat bergurau. Apabila terjaga dari
lamunan, barulah dia sedar bahawa ini bukan bahan mainan.
“Tak. Aril tak pernah bergurau kalau...”
“Hadi.” Nama Hadi dipanggil tegas untuk menghalangnya dari terus
berkata-kata.
Sebaris ayat Hadi yang tergantung membuatkan Hannah tertanya-tanya apakah
kesudahannya. Apa maksud Hadi? Namun, dia tidak mahu mendesak. Berada di dalam
situasi ini memang kekok. Mana dengan
renungan tajam Faz, wajah lapar Nabil memandangnya. Kusut, kusut!
“Err, saya pesan kway teow goreng.” Ujar Hannah tatkala makanannya sudah
sampai.
“Kak, tunggu. Bagi saya kway teow goreng satu, milo ais satu. Kau, Hadi?”
Aril membuat pesanan.
“Saya nak nasi goreng kampung dengan bandung satu.”
Apa yang dimakan Hannah, Aril juga memesan yang sama. Sebenarnya, dia tidak
tahu apa yang sedap di sini. Dia jarang benar makan di sini kerana dia malas
menunggu. Memandangkan kedai ini berhampiran dengan ofis mereka, maka sesaklah
tempat ini sewaktu makan tengahari. Namun hari ini lain, dia membuat inisiatif
untuk keluar awal dan ekori Hannah.
USAI makan, Aril menyelesaikan bil. Alang-alang membayar untuk dirinya dan
Hadi, dia membelanja Hannah, Nabil dan Faz sekali. Bukan untuk mengampu atau
menunjukkan dirinya megah, tetapi saja dia hendak berbelanja. Duit menggunung
jika tidak digunakan, tidak guna juga. Kalau mahukan duit masuk, haruslah
keluarkan ia juga.
Faz, Nabil dan Hadi sengaja berjalan di hadapan untuk memberi ruang kepada
Aril dan Hannah. Hadi yang mulanya tidak berapa kenal dengan Faz dan Nabil kini
sudah seperti kawan rapat memandangkan mereka ini peramah orangnya.
“Ni duit saya makan tadi.” Hannah menghulurkan nota sepuluh ringgit kepada
Aril.
“Simpan ajelah. Kumpul buat kenduri kahwin.”
“Tengok tu. Melawak lagi. Ambillah, saya tak nak terhutang budi dengan
awak.” Duit yang ditolak oleh Aril,
dihulurkan kembali.
“Tak habis-habis dengan budi awak. Apa yang saya buat, saya ikhlas. Lagi
satu, awak betul nak balas budi saya?”
Hannah mengganguk. Rasanya sudah banyak kali dia katakan perkara yang sama.
“Tunggu petang ,balik saya cerita. Saya tunggu awak dekat kereta nanti.”
Aril sengaja membuatkan Hannah suspen dan ternanti-nanti.
“Saya suruh abang saya ambil nanti.”
“Awak memang suka saya kalau saya tekan hon kan?” soal Aril. Dia yakin,
kali ini Hannah pasti menurut. Gadis itu memang tidak tahan menjadi tumpuan
orang ramai.
“Gila lah awak ni! Menyampah saya!” bentak Hannah, berjalan laju ke
hadapan.
“Menyampah? Ke suka?” Aril tersenyum nakal.
“Benci!”
“Pantang nenek moyang saya kalau kata benci. Percaya tak kalau kita benci
seseorang tu, lama-lama kita jatuh sayang pada dia?” Aril berhujang. Hatinya
digeletek geli melihat wajah Hannah yang berubah cuak. Padan muka kau! Jangan
nak menyombong sangat dengan aku.
Psiko, Aril memang psiko! Semakin lama dia kenal dengan Aril, boleh jadi
gila dia dibuatnya. Melayan kerenah Aril yang selalu membuat hatinya panas.
Andai hatinya diperbuat dari biskut, pasti sudah retak dan berkecai seribu
kerana kegeraman.
‘Sabar ajelah aku dengan perangai Aril ni.’