Home Novel Cinta ENCIK KEMBAR JATUH CINTA
PROLOG

PROLOG

“Engku, saya ni pun dah sakit-sakit, hutang Engku saya rasa macam tak mampu nak bayar…”

Ucap Pak Atan lembut. Sesekali kedengaran Pak Atan terbatuk kecil. Tengku Zainal Arifin hanya mengukir senyum dibibirnya.

“Atan, jangan di fikirkan hutang –hutang tu semua, saya tak minta kamu bayar pun. Yang penting kamu kena teruskan hidup. Ni harta yang kat sebelah kamu ni lagi bernilai. Hutang tu, kalau kamu mampu kamu bayar, kalau tak, tak mengapa saya halalkan.”

Balas Tengku Zainal Arifin sambil mengusap kepala Nurul Iffah yang kini sudah masuk ke alam remaja. Setelah kematian isteri tercinta, keadaan kesihatan Atan semakin buruk. Batuknya semakin menjadi-jadi. Iffah lah tempat Pak Atan berkongsi kasih kini.

“Mulia sungguh hati Engku, semoga Allah yang membalas segalanya.”

Sebak nada yang dituturkan Pak Atan. Tengku Zainal Arifin memang terkenal dengan sifat pemurahnya, hartawan yang dermawan. Tapi itulah yang sepatutnya dilakukan oleh orang kaya, barulah rezeki berkat.

“Iffah, jaga ayah baik-baik, nanti suruh ayah makan ubat.”

Terangguk – angguk kepala Nurul Iffah bila menerima nasihat daripada Tengku Zainal. Nampak wajah penat Iffah. Ingin ke pejabat Tengku di pekan ni pun mengambil masa satu jam. Perlu menunggu bas, perlu berhimpit dalam bas, baru sampai di pejabat Tengku Zainal Abidin. Sekarang ini lebih dikenali sebagai Syamraa Holdings.

Kebosanan melanda diri Iffah, habis majalah di pejabat Tengku Zainal di baca. Seronok bila dapat baca majalah orang kaya-kaya ni, ada macam –macam info. Helaian demi helaian diselak. Tiba-tiba, Iffah terselak satu article yang berjudul Pewaris Tunggal Kekayaan Syarifah Al Bahiyah dan disitu terselit gambar keluarga Tengku Zainal Arifin bersama isteri dan anaknya. Baru Iffah tahu Tengku Zainal berkahwin dengan kerabat Syarifah. Yelah, padan sangat lah tu, Tengku dengan Tengku Syarifah.

Mata Iffah tertancap pada gambar putra tunggal Tengku Zainal, tiba-tiba mulut mungil Iffah berbunyi.

“Handsome!”

Tengku Zainal dan Pak Atan serentak memandang Nurul Iffah yang berada di atas sofa. Menyedari mata-mata yang memandangnya lantas dia menyelak helaian lain dan menunjukkan article sekumpulan band yang tengah hangat ketika itu. Kumpulan wings.

Nurul Iffah keluar dari bilik Tengku Zainal. Sengaja membiarkan bapanya yang ingin berbual panjang. Entah apa butirannya, malas Nurul Iffah mengambil tahu. Otaknya masih lagi teringat jejaka tampan yang menjadi pewaris kekakayaan Syarifah Al Bahiyah yang ingin melanjutkan pelajaran di Universiti tersohor dunia. Unversiti Cambridge! Iffah pun ada cita-cita nak ke sana. Walaupun agak mustahil, tapi tak salahkan kalau berangan. Pandai pun kadang-kadang perjalanan terbatas kalau duitnya tak ada. Macam Nurul Iffah ni lah, dengan hutang keluarga lagi. Lain lah Tengku Zahid Harith! Iffah cemburu.

“Tengku, saya ada wasiat. Iffah tu satu-satunya harta yang saya ada, jika terjadi sesuatu pada diri saya, Tengku ambil lah Nurul Iffah sebagai orang gaji. Saya nak dia lunaskan hutang keluarga saya ni. Saya mohon dengan Tengku, tolong jangan tolak permintaan saya. Saya tahu Iffah masih mentah, tapi dia akan faham. Saya yakin.”

Sambung Pak Atan bila melihat Iffah keluar dari pejabat Tengku Zainal. Membulat mata Tengku Zainal bila mendengar permintaan Atan. Belum sempat Tengku Zainal membuka mulut, Pak Atan menambah lagi.

“Kalau nak diikutkan, saya banyak sangat menyusahkan Tengku, nak jadi orang gaji Tengku pun sebenarnya keluarga kami ini memang tak layak, tapi saya mohon dengan Tengku tolonglah terima”

Ucapan sebak dari Pak Atan. Banyak masalah yang sedang membelenggu fikirannya. Hutangnya dengan Tengku Zainal, anaknya yang masih bersekolah dan dirinya yang sudah sakit-sakit. Atan merupakan anak yatim sejak kecil, berjodoh dengan Ibu Iffah tidak lama. Nak-nak pula Ibu Iffah seorang cina mualaf yang baru sahaja memeluk islam sejak berkahwin dengan Pak Atan. Saudara mara jauh sekali, entah kemana. Iffah tidak pernah berkenalan dengan saudara maranya.

#######################################################################

Mata Iffah masih segar membulat menghadap atap rumah yang kian usang. Hatinya resah memikirkan kesihatan Pak Atan. Lagi resah bila memikirkan bait-bait ayat yang keluar di mulut ayahnya petang tadi.

Jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi, otak masih lagi ligat berfikir, air mata menderas laju seperti hujan. Kudrat yang ada digagahi juga. Masih banyak yang harus difikirkan. Iffah bangun dari tempat tidurnya yang beralaskan tilam nipis dan berbantalkan kain-kain lama. Iffah menuju ke dapur seawal jam 3 pagi untuk menyediakan nasi lemak untuk dijual. Setelah kematian ibunya empat tahun lalu, Iffah mengambil alih tugas ibunya membuat nasi lemak bagi membantu Pak Atan.

Kata-kata Pak Atan yang menerjah ke telinga Iffah seperti satu arahan mati.

“Maafkan ayah Iffah, ini permintaan terakhir ayah, juga merangkap wasiat. Sekiranya terjadi sesuatu pada ayah, kamu lah satu-satunya yang boleh ayah harapkan untuk melunaskan hutang keluarga kita. Jika ayah pergi suatu hari nanti, biarlah ayah pergi dengan aman”

“Pap!”

Cawan yang berisi air terlepas dari tangan Iffah, Lamunan terhenti. Nasib baik cawan plastik. Kata muktamad ayahnya yang menyuruh dia menjadi orang gaji di kediaman Tengku Zainal menjadi mainan dalam fikiran. Bayangkan gadis remaja yang baru sahaja berusia 15 tahun disuruh menjadi pembantu rumah. Kalau anak orang lain, dah meraung, merajuk dengan mak ayah dia. Tapi, Nurul Iffah lain, dia lebih banyak diam dan menggangguk.

Basikal yang bersandar di tepi rumah papan di pandang dengan pandangan kosong. Kaki mula melangkah menuruni anak tangga. Pak Atan sudah keluar sejak awal pagi lagi. Menoreh demi sesuap nasi. Bakul yang penuh berisi nasi lemak di sangkut di bahagian tempat duduk belakang. Di ikat kemas dan rapi. Iffah mulakan kayuhan dengan bismillah, Semoga jualannya laris. Tapi memang hari-hari laris pun, sebab memang sedap. Air tangan ibu jatuh pada satu –satunya puteri tunggal Keluarga Pak Atan.

“Nasi lemak, nasi lemak, nasi lemak…”

Sayup-sayup kedengaran suara Iffah di Kampung Berlian 69. Pelik nama kampung. Entah kenapa 69? Mungkin yang buka kampung ni dulu ada 69 batu berlian. Agaknya lah. Sibuk jugak si Iffah fikir nama Kampung yang mencecah 15 tahun dia dan keluarga nya menjalani hidup. Lambaian Mak cik Sari sudah kelihatan dari jauh. Kayuhan Iffah dilajukan sehabis mungkin. Tamat kisah berlian 69, nasi lemak nya wajib dihabiskan cepat hari ini, kerana ada misi yang penting harus dilakukan Iffah.

“Bagi makcik lima bungkus ye.”

Minta Makcik Sari. Salah satu pelanggan tetap juga merangkap kawan baik ibu Iffah suatu ketika dahulu.

“Banyaknya sampai lima bungkus makcik”

Balas mulut mungil Iffah sekadar membalas perbualan. Dalam hati, bersyukur kerana pelanggan pertama membeli lima bungkus nasi lemak. Selalunya Mak Cik Sari beli dua bungkus je. Hari ni nak makan lebih sikit kut. Iffah meneka.

“Semalam Saiful kata nak makan nasi lemak, tu yang mak cik beli lebih sikit.”

Anak tunggal Mak cik Sari si Saiful ni, beruntung juga dia, semua nak dapat. Cemburu lagi si Iffah.

Jam mencecah pukul 10 pagi. Jualan Iffah habis. Duit di tangan berjumlah RM30. Tolak modal, untung bersih RM 10. Cukuplah untuk meneruskan hidup hari ini. Esok lusa cari lagi. Basikal yang dikayuh disandar semula di tepi Rumah. Tersenyum pak Atan bila melihat anak daranya yg berpeluh membasahi tudung itu. Jauh di sudut hati, hanya Allah sahaja yang tahu betapa pedih hati Pak Atan bila melihat anaknya yang sangat gigih membantu dirinya.

Langkah dimatikan bila si ayah memanggil. Iffah merebahkan punggung disebelah Pak Atan. Keringat Pak Atan yang hampir jatuh ke bumi di lap menggunakan tangannya yang sudah berkedut. Hati anak mana yang tidak tersentuh bila orang tuanya berkelakuan begitu.

“Maafkan ayah nak.”

Ucapan ringkas lantas mati begitu sahaja. Wajah tua Pak Atan direnung Iffah. 16 tahun perkahwinan, penantian yang cukup lama bagi keluarga Pak Atan untuk bertemu dengan puteri tunggalnya. Nurul Iffah! 11 tahun hidup bahagia bersama dengan anak tercinta, Allah menguji dengan kehilangan seorang isteri tercinta. Umurnya kini mencecah 63 tahun, kulit semakin kendur. Tubuhnya kurus. Tambahan kerja sebagai penoreh getah membuatkan badan Pak Atan lebih tua daripada umur.

“Ayah jangan risau, Iffah akan pastikan hutang kita tu langsai, dan ayah boleh sihat semula, kita boleh hidup bahagia sama-sama. Naik basikal sama-sama. Mancing sama-sama. Iffah mintak sangat dengan ayah, bagi Iffah berhenti sekolah, biar Iffah cari kerja, ayah duduk rumah.”

Balas Iffah dengan nada yang diceriakan. Melihat wajah tua ayahnya, hatinya seperti di sagat. Pedih. Air bikinan Iffah yang masih bersisa pagi tadi, di hirup Pak Atan. Tenang wajahnya. Senyum dilemparkan untuk puterinya.

“Ayah tak mampu nak sekolahkan Iffah jauh-jauh, ni sahaja yang ayah mampu. Kalau ayah dah tak da sekalipun, Iffah wajib habiskanlah belajar sampai Tingkatan 5. Sekurang-kurang Iffah ada ilmu. Walaupun kita tak kaya, kita akan di pandang bila ada ilmu nak.”

Lembut pak Atan berbicara. Iffah lemah dalam kata ayahnya. Kaki mula melangkah masuk ke dalam rumah papan yang dibina dengan kudrat Pak Atan sendiri suatu ketika dahulu. Ada keluhan kecil di bibir Iffah saat kaki mula melangkah masuk. Biarkan masa yang membawa segalanya pergi. Iffah hanya mampu berserah. Bilik yang dihuni Iffah, tempat menghamburkan tangisan. Empangan mata tidak dapat lagi dibendung. Otak ligat memikir kenapa ayahnya suka sangat bicara soal kematian, seolah –olah dia sudah benci melihat Nurul Iffah. Celaru fikiran Iffah dalam tangisan. Baju kurung Ibunya dipeluk kemas. Basah dek air mata. Iffah tertidur dalam resah.

#########################################################################

“Hai Iffah!!”

Laungan Saiful memecah lamunan semalam. Sibuk betul mamat ni, otak baru nak menghadam semua ceramah ayah Atan semalam. Muka Iffah mencuka, air sirap di tangan di habiskan dengan laju. Loceng tamat waktu berehat sudah berbunyi. Laungan Saiful tidak dihiraukan.

“Iffah, kenapa moody ni?”

Soal Saiful yang sedang membuntuti Iffah sejak dari perkarangan kantin sekolah. Iffah diam seribu bahasa. Hatinya resah. Mungkin juga faktor tidak boleh solat sekarang ini.

“Not in the mood.”

Balas Iffah tegas. Ketidakhadiran cikgu Musa merangkap guru matematik pada hari itu memanjangkan lagi langkah Iffah ke perpustakaan. Rumah kedua untuk mengisi masa terluang. Saiful masih lagi membuntuti langkah Iffah sehingga ke perpustakaan sekolah. Iffah mengambil beberapa jenis bacaan ilmiah untuk menambah ilmu di dada. Peperiksaan PMR juga sudah hampir tiba. Saiful faham benar perangai Iffah, dia turut mendiamkan diri. Masing-masing tenggelam dalam dunia ilmu. Sesekali hanya kedengaran bunyi selakan buku helaian demi helaian. Fikiran Iffah mula stabil.

“Allah”

Iffah teriak kecil, seperti terlupa sesuatu. Leka dengan dunia bacaannya. Iffah bingkas bangun meninggalkan Saiful. Kaki berlari menuju ke bilik guru.

“Sorry cikgu saya terlupa tadi, mana latihan yang cikgu nak bagi tu”

Ucap Iffah di hadapan cikgu Syamira. Redup sahaja mata cikgu memandang gadis putih bersih dihadapannya itu. Peluh mula kelihatan di dahi Iffah dek kerana berlari ke bilik guru. Sepatutnya dia perlu mengambil latihan sains di bilik guru dan mengedarkan pada rakan-rakan. Mungkin disebabkan fikirannya yang bercelaru menggangu ingatannya untuk ke bilik guru.

“Cikgu dah suruh Amir, tadi cikgu terserempak dengan dia masa dekat tangga. Cikgu tunggu Iffah tak sampai-sampai.”

Balas Cikgu Syamira bersama senyuman dibibir. Iffah tersengih. Sesi pembelajaran seterusnya akan bermula lagi 5 minit. Iffah melajukan langkah dan menuju ke kelas Tingkatan 3 Arif. Kelas pertama di sekolah tersebut. Belum sempat Iffah menuju ke dalam kelas, kedengaran lantang pembesar suara sekolah memanggil namanya.

“Nurul Iffah binti Atan !!!”

Seperti kilat Iffah melangkah semula masuk ke pejabat sekolah. Namanya telah dipanggil oleh kerani am pejabat. Kak Aida.

Tubuh Iffah seperti terkena renjatan elektrik apabila mendengar khabar tersebut. Pak Mail yang merangkap suami kepada Mak cik Sari melihat Iffah dengan sebak. Gugur juga air mata jantannya disebabkan terlalu sedih melihat nasib gadis remaja dihadapannya. Iffah terjelopok menyembah bumi. Tangan dipaut oleh kak Aida serta staff yang lain. Iffah longlai. Sayup-sayup kedengaran suara Saiful memanggil nama Iffah. Pandangannya gelap. Iffah pengsan.

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.