Home Novel Cinta Hati Suamiku GK
Bab 27

Telinga Huzaiman rasa panas mendengar apa yang dikatakan oleh Natasha. Rasa ingin ditampar wajah cantik itu tetapi dia cuba bertenang. Entah mengapa dia rasa kasihan melihat wajah yang pucat itu.

“Keluarga aku tak tahu apa-apa pun tentang keluarga kau. Apa yang berlaku pada kau dan keluarga kau, kau tak boleh salahkan keluarga aku. Itu takdir Allah keluarga kau meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Jangan nak salahkan orang lain demi nak sedapkan hati kau.” Kata Huzaiman. Dia benar-benar kecewa dengan sikap Natasha.

Natasha tersentap. Dia tidak dapat menahan air matanya dari terus mengalir. Dia rasa bersalah. Hanya membisu sahaja yang mampu dilakukannya.

“Apa yang kau dah buat pada mama dan papa aku? Mereka tak bersalah Sha.” Huzaiman meraup wajahnya dengan tangan. Pening kepala memikirkan permasalahan ini. Hendak berlembut pun dia terasa payah.

“Aku cuma..... Cuma...” Natasha teragak-agak apabila berkata. Dia menelan liurnya. Kepalanya mula rasa pening.

Natasha sendiri hilang punca. Tidak tahu mahu membalas kata-kata Huzaiman. Hanya mampu menundukkan wajah sahaja.

“Apa kau buat dengan mama dan papa aku?!” jerkah Huzaiman lagi kuat dari tadi.

Tersentap Natasha rasakan kini. Air matanya makin deras mengalir. Tidak pernah dia dimarahi sedemikian.

‘Perlukah aku memberitahu Huzaiman mengenai rancangan aku? Kenapa aku begitu lemah saat ini? Sepatutnya aku lebih kuat dan bersemangat. Kan dendam aku sudah terbalas. Aku sepatutnya gembira...’

“Jika kejahatan dibalas dengan kejahatan, maka itu adalah dendam. Jika kebaikan di balas dengan kejahatan, itu adalah satu kehinaan dan jika kejahatan di balas kebaikan, itu adalah satu kemuliaan,” kata-kata arwah ayah Natasha hadir lagi di telinganya. ‘Adakah aku ni jahat? Kejahatan akan dibalas dengan kejahatan? Allah hukum aku kerana berdendam dengan orang yang salah?’

Natasha rasa makin bersalah.

“Aku cuma kurung mereka dalam pondok dan upah orang bakar pondok tu.” Kata Natasha. Terbongkarlah rancangan yang dirancangnya selama ini.

Mata Huzaiman merah kerana menahan marah yang maha hebat. Di dalam hatinya berperang dengan pelbagai rasa. Cinta, marah, kecewa dan sebagainya.

“Tak guna kau!” serentak dengan kata-kata itu, tangan Huzaiman diangkat tinggi. Dia ingin menampar pipi Natasha tetapi perasaan cinta dan kasih pada isterinya begitu utuh walaupun mereka baru berkahwin.

Huzaiman mencengkam kuat bahu Natasha.

“Dah berapa lama kau kurung mereka?” mata Huzaiman merenung tajam Natasha.

“Dah... Dah... Dua... Jam...” terketar-ketar suara Natasha. Perasaan bersalah mencengkam jiwa Natasha. Air mata masih setia mengalir. Dia benar-benar rasakan tindakannya adalah salah.

“Apa?!” terkejut Huzaiman mendengar kata-kata Natasha. Belum sempat dia menyambung kata-katanya, telefon bimbitnya berbunyi.

Pantas Huzaiman menjawab panggilan tersebut.

“Ya saya. Apa? Ibu dan ayah saya di hospital?” kata Huzaiman. Dia menjeling tajam ke arah Natasha.

Natasha terkejut. Mungkin Huzaiman mendapat panggilan dari pihak hospital.

“Kau ingat dengan apa yang kau lakukan sekarang ni, mak dan ayah kau akan gembira kat dunia sana? Mereka lebih kecewa dengan sikap kau! Mereka harapkan kau hidup bahagia bukannya membalas dendam sebab dendam hanya akan melukakan diri sendiri.” Jelas Huzaiman. Memang dia seorang yang gila kuasa tetapi dia tiada simpan dendam dengan sesiapa. Asalkan dia berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang dia ingini. Usaha sahaja.

Makin laju air mata Natasha mengalir. Tidak mampu lagi menahan perasaan bersalah.

Huzaiman juga kasihan melihat Natasha menangis. Dia ingin memeluk wanita itu. Memujuk hati dan perasaannya tetapi rupanya ada sebab dia berkahwin dengannya. Biarlah masa yang menentukan segala-galanya.

“Kalau apa-apa yang terjadi dengan mama dan papa aku, aku tak kan maafkan kau, Natasha. Tak akan! Walaupun aku mencintakan kau selamanya.” Kata Huzaiman dan terus meninggalkan Natasha sendirian.

Natasha terdiam. Dia tergamam. ‘Apa yang aku dah buat? Aku dah bunuh orang. Aku bunuh orang yang tidak bersalah. Aku kejam! Aku teruk! Aku dah buat sesuatu yang salah. Ada apa yang boleh menebus kesalahan aku? Tak ada! Akulah yang menjadi punca segala-galanya.’

“Aku... Aku....” bibir Natasha menggigil. Matanya sudah bengkak. Dari tadi dia menangis. Kepala Natasha juga makin terasa pening.

Perlahan-lahan dia bangun dan mengambil pakaiannya. Natasha meninggalkan rumah tersebut tanpa pengetahuan siapa. Biarlah dia pergi. Walaupun mereka baru sahaja berkahwin tapi dia tidak layak lagi untuk hidup bersama Huzaiman yang gila kuasa itu tetapi...

“...Tetapi mencintaiku,” bisik Natasha perlahan.

*****

Huzaiman tiba di hospital di bahagian kecemasan. Kelihatan Datin Ismah dan Dato Ismail terbaring lemah tetapi dalam keadaan sedar. Rupa-rupanya Dato Ismail sempat menghubungi Ammar ketika dia dan Datin Isma diculik. Ammar bertindak pantas menghubungi orang Dato Ismail yang ditugaskan melindungi Dato Ismail.

“Alhamdulillah!” ucap syukur Huzaiman. “Mujurlah mama dan papa tak apa-apa tapi...” Huzaiman terdiam.

“Kalau apa-apa yang terjadi dengan mama dan papa aku, aku tak kan maafkan kau, Natasha. Tak akan! Walaupun aku mencintai kau selamanya.” Kata kata Huzaiman bergema dalam ingatannya.

“Sekarang mama dan papa aku dah selamat. So, secara automatik aku dah maafkan Natasha.” Huzaiman tersenyum. Dia rasa senang. Dia tahu yang Natasha itu seorang gadis yang mudah dibentuk. Dia akan ajar Natasha nanti untuk menjalani hidup yang lebih baik terutamanya bersama dia.

Huzaiman keluar dari kawasan kecemasan dan menuju ke taman yang ada. Dia duduk lalu mengeluarkan telefon bimbitnya.

Beberapa kali dia menghubungi Natasha tetapi masih tidak dijawab. Dia benar-benar risau. Akhirnya dia mengeluh.

“Kenapa tak dapat call ni? Mana dia pergi?” soal Huzaiman sendirian. Huzaiman teringat wajah Natasha kali terakhir dia meninggalkan wanita itu sendirian dan dalam keadaan terkejut.

“Ah, Natasha!” Huzaiman kegeraman. “Mana minah ni pergi?” soalnya lagi. Dengan pantas dia menghubungi Ammar.

“Ammar, kamu tolong cari Natasha untuk saya sekarang juga! Ini arahan dan jika kamu tak jumpa, sedialah untuk mati!” arah Huzaiman dengan nada yang tegas dan serius.

Ammar terkejut dengan arahan mengejut daripada Huzaiman. Baru pagi tadi dia melihat wajah ceria ketuanya itu tetapi petang ini amat berbeza pula. ‘Ada masalah ke mereka ni? Atau ada kaitan dengan penculikan Dato Ismail dan Datin Ismah?’ Ammar juga tertanya-tenya.

“Baiklah bos!” jawab Ammar.

“Adik, kenapa ni?” soal Amman. Dia terasa pelik melihat wajah pucat adiknya itu.

“Kita ada tugas baru. Bos suruh cari Natasha. Kalau tak jumpa, habis kita abang. Sampai mati-mati pula Putra kita sebut,” jelas Ammar.

Amman tergamam. Dia bagaikan dapat merasakan apa yang adiknya rasa saat ini.

“Marilah kita pergi cari isteri tersayang Putra tu.” Ajak Amman. Mereka bergerak pulang ke rumah.

Seluruh rumah sudah di carinya. Apabila tanya Mek Teh. Dia tidak tahu, dia hanya duduk di dapur sahaja. Tidak sedar bila Natasha keluar.

“Macam mana ni abang?” soal Ammar. Macam-macam yang dia bayangkan.

Ammar dan Amman masuk dalam bilik bosnya itu. Mereka melihat almari pakaian terbuka dan pasti pakaian Natasha tiada di situ.

Mereka berdua sudah dapat menjangka apa yang berlaku. Natasha sudah menghilangkan dirinya.

Ammar dan Amman saling berpandangan. Mereka benar-benar takut untuk melaporkan pada Huzaiman.

“Abang yang cakap ya?” pinta Ammar.

“Tak nak la. Adik la.” Amman memberi telefon bimbitnya tetapi tidak disambut oleh Ammar.

“Abang la. Abang yang sulung patut didahulukan.” Ammar menolak telefon bimbit itu.

Tiba-tiba telefon bimbit tersebut berbunyi. Amman dan Ammar terkejut. Hampir terjatuh telefon bimbit itu.

“Putra yang call. Macam mana ni?” soal Amman. Dia pun takut juga.

“Hah, bos call abang, jadi abang la yang jawab.” Balas Ammar. Dia menarik nafas lega apabila abangnya itu mula menekan butang jawab.

“Kenapa jawab lambat?” Huzaiman bertanya tetapi hatinya lebih bimbang tentang Natasha. “Mana Natasha?” soalnya pula.

“Dah tak ada.” Jawab Amman. Ringkas. Tepat. Mudah.

“Maksud kamu, Amman?” hati Huzaiman berdebar hebat masa itu. Menanti jawapan dari Amman.

“Dia dah pergi. Buktinya pakaiannya dah tak ada.” Perlahan sahaja suara Amman. Dia takut betul kalau Huzaiman marah.

“Apa?!” terkejut Huzaiman. Peluh mula mengalir di dahinya. Tubuhnya rasa lemah dan tidak bermaya. ‘Sha tinggalkan aku tanpa meluahkan perasaan sayangnya pada aku? Kenapa perkara ini terjadi?’

Akhirnya Huzaiman pengsan.

“Bos! Bos!” jerit Amman apabila Huzaiman tidak menjawab panggilannya.

“Kes berat ni. Bos tak jawab panggilan ni.” Kata Amman pada Ammar. Mereka berdua mengambil keputusan untuk segera ke hospital semula.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.