Wafa Natasha tersedar dalam
pukul 10 pagi. Sepatutnya hari ini mereka pergi ke Taming Sari. Tengok
keindahan bandar Melaka tetapi Natasha rasa malas pula.
“Morning!” ada ciuman hinggap
di pipi Natasha.
Natasha tidak sedar akan
kehadiran Huzaiman. Lelaki itu sedang berbaring di sebelahnya.
Pantas tangan Huzaiman memeluk
Natasha yang ingin bangun.
“Lepaslah. Tak suka!” Natasha
cuba melepaskan diri.
“Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan
di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya
beristighfar untuknya selama mana dia taat kepada suaminya,” bisik Huzaiman di telinga Natasha.
Natasha berhenti meronta.
“Beruntungnya jadi seorang
isteri kan? Allah beri banyak kebaikan kepadanya.” Huzaiman berkata lagi.
Padahal dia baru terbaca di internet mengenai itu.
Hati Natasha berdebar hebat.
Dia baru tahu mengenai perkara itu. Betapa indahnya.
“Agak-agak berapa banyak ikan
dalam laut tu? Berjuta-juta? Tak kan pupus kan? Bertuahnya Sha...” Huzaiman
cuba memancing Natasha dengan kata-kata itu.
“Kita nak pergi mana hari ni?”
Natasha mengubah topik. Dia berkahwin dengan Huzaiman hanya kerana dendam,
bukan untuk mendapatkan keistimewaan yang Allah berikan kepada HambaNya.
“Hari ni kita kena balik.”
Huzaiman berwajah sedih.
“Kenapa?” Natasha terkejut. Dia
belum puas lagi mengenakan Huzaiman.
“Ada pelanggan dari Jepun
berminat dengan loket yang sayang buat tu. Dia nak buat pelaburan pagi esok.
Nampaknya kena balik hari ni lah.” Huzaiman berkata.
“Kalau macam tu, abang balik,
Sha duduk sini. Masih tak puas kat Melaka,” kata Natasha.
“Mana boleh! Sha kena ikut ke
mana suami Sha pergi. Ikut suka hati dia je.” Huzaiman sudah berdiri dan menuju
ke almari baju. Dia mengemas beg untuk pulang ke Shah Alam semula.
“Barang Sha tak payah kemas,”
pantas Natasha berlari ke almarinya.
“Cepat kemas. Nanti lambat pula
sampai rumah.”
“Baru pukul 12 tengah hari,”
lambat-lambat Natasha mengemasnya.
“Cepatlah.”
“Kalau nak cepat, abang kena
pakai baju ni?” Natasha menunjukkan baju couple yang dibelinya semalam.
Huzaiman menelan liur.
“Yalah!” akhirnya dia
bersetuju. “Tapi, apa-apa yang berlaku pada abang, Sha kena bertanggungjawab.”
“Okey!”
Mereka bertolak balik
bersama-sama. Baru sekejap Huzaiman memakai baju couple itu, dia mula rasa
gatal-gatal.
‘Baju je kot. Takkan gatal
macam nak mati.’ bebel Natasha dalam hati. Tanpa dia sedar, dia bimbang jika
Huzaiman betul-betul mati kegatalan.
Huzaiman memandu dengan tenang.
‘Tak gatal pun, cuma wajah dia merah je. Kenapa ya?’ Natasha merenung Huzaiman.
Lelaki itu tidak bercakap sepanjang perjalanannya.
Sebaik sahaja tiba di rumah,
Huzaiman pengsan.
Natasha terkejut.
“Abang...”
Datin Ismah yang kebetulan ada
di rumah, terkejut melihat anak kesayangannya pengsan. Bergegas dia menghampiri
Huzaiman yang sudah rebah di lantai.
“Baju apa ni?” Datin Ismah
bertanya. “Ini kain murah!” dia berkata.
Amman dan Ammar yang baru tiba
terkejut.
“Amman, tolong tanggalkan baju
ni!” arah Datin Ismah. Sebaik sahaja ditanggalkan Datin Isma buang ke tepi.
“Baju ni menyusahkan anak aku
je!” dia ekori Amman dan Ammar yang memapah tubuh Huzaiman.
Air mata Natasha mengalir.
Entah mengapa dia rasakaan dirinya terlalu hina di mata keluarga itu. Dia
menghampiri baju yang dicampak kasar oleh DatinIsmah. Dia mencium baju itu. Ada
bau minyak wangi Huzaiman.
“Sha, kamu buat apa tu? Tak
nampak suami sendiri tengah sakit. Kamu pergi jaga.” Arah Datin Ismah dengan
nada kasar. “Baju ni lagi! Buang je! Menyusahkan anak aku!” Datin Ismah
merampas baju tersebut di tangan Natasha lalu mencampaknya dalam tong sampah.
Natasha tergamam.
Baru dia teringat. Walaupun
Huzaiman tidak memakai baju ini tetapi dia jaganya dengan baik. Dia gantung
baju itu dalam almari. Dari situ Natasha nampak yang Huzaiman menghargai
pemberiannya walaupun dia tahu kesan pada dirinya.
“Abang...” panggil Natasha di
sisi Huzaiman. Lelaki itu masih tidak sedarkan diri. Kalaulah Huzaiman dapat
melihat kerisauan Natasha terhadap dirinya, pasti dipeluknya Natasha.
Selepas doktor menyuntik ubat
tahan sakit, ruam-ruam merah itu beransur hilang. Doktor juga meminta Natasha
menyapukan ubat sapu pada tubuh Huzaiman.
Selepas mengucapkan terima
kasih kepada doktor, Natasha menyapukan ubat sapu di seluruh badan Huzaiman
yang masih beruam. Suaminya masih tidak sedarkan diri.
Dia merenung lembut wajah Huzaiman. Entah
mengapa dia teringat kata-kata ayahnya.
“Sha nak tahu tak macam mana
kita nak tahu dia jodoh kita atau tidak?” soal Iskandar. Ketika itu dua hari
sebelum emak dan ayahnya kemalangan.
“Tak tahu la ayah.”
“Melalui tigaM...” kata
Iskandar.
“Tiga M? Malas, malas dan malas
ke ayah?” Natasha buat lawak.
Iskandar ketawa kecil dengan
gurauan anaknya itu. Dia yakin yang Natasha tidak mengambil serius mengenai apa
yang ingin disampaikannya.
“Tiga M tu ialah memahami,
memaafkan dan memotivasikan...”
“Maksud ayah?” Natasha
sememangnya tidak faham.
“Jika ada tiga M ini dalam diri
lelaki yang Sha cinta, insya Allah, dialah lelaki terbaik untuk Sha.”
“Kenapa mesti tiga M ni ayah?”
“Sebab pertama memahami. Setiap
pasangan mestilah memahami antara satu sama lain. Ini penting, Sha. Mungkin
orang yang Sha suka tu mempunyai latar belakang yang berbeza. Jadi, memahami
antara satu sama lain dapat melahirkan perasaan percaya dalam diri
masing-masing.”
“Kalau memaafkan?”
“Sebut sahaja lelaki,
sememangnya tidak lepas dari ego kan?” soal Iskandar pada anak perempuannya
itu.
“Betul tu ayah!” Natasha
setuju. Dalam bayangnya saat ini ialah lelaki pengawas yang gila kuasa itu.
“Jika seseorang lelaki yang ego
boleh memohon maaf dan memaafkan, dia adalah lelaki terbaik. Kemungkinan dia
boleh menjadi ketua keluarga yang tegas bukannya ego.”
“Ketiga ayah?” Natasha masih
setia menunggu penerangan Iskandar.
“Ketiga ialah memotivasikan. Dalam
rumahtangga, kita tidak akan terlepas daripada rasa stres, tekanan kerja dan
masalah kewangan yang mungkin akan menyebabkan keretakan. Jadi, sikap
memotivasikan ini mampu menaikkan dan memulihkan kembali semangat Sha.”
“Oh, macam mak yang selalu
memotivasikan ayah kan?”
“Shhhhhh!” Iskandar meletakkan
jari telunjuk di bibirnya. “Jangan cakap kuat-kuat, malu ayah kalau mak dengar,”
gurau Iskandar.
Akhirnya dua beranak itu ketawa
dengan riangnya.
Natasha tersenyum mengenangkan
kenangan antara arwah ayah. Masih segar ingatan itu. Air matanya mengalir lagi.
Kali ini air mata kerinduan pada seorang insan bergelar ayah. Dia terusan
mengalir sehingga Huzaiman tersedar.
Tersentap hatinya melihat Natasha
menangis begitu bersungguh. Lantas dia memeluk Natasha agar isterinya sedikit
tenang.
“Jangan risau, abang tak
apa-apa. Abang kan kuat.” Pujuk Huzaiman.
Tanpa dia sedari yang Natasha
tidak menangis kerana Huzaiman sakit tetapi kerana kerinduan yang sarat di dada
terhadap arwah ayahnya itu.
Natasha hanya membiarkan
Huzaiman memeluknya begitu. Dia rasa tenang.