Sebaik sahaja Huzaiman tiba di
rumah, segera di sambut oleh Meh Teh yang memang setia menanti kehadiran
tuannya itu.
“Kenapa dengan Sha, Mek Teh?”
tanya Huzaiman. Dia segera mengambil kunci pendua di bilik bacaan. ‘Tak payah
nak ketuk-ketuk pintu dah, mesti minah tu tak nak buka pintu. Ambil kunci
pendua terus.’ Sikap gila kuasa Huzaiman
telah meresap masuk ke dalam dirinya.
“Sejak Man pergi kerja, Sha tak
keluar dari biliknya sampai sekarang. Mek Teh cuba juga panggil tetapi diam
sahaja.” Jelas Meh Teh.
Amman dan Ammar hanya mengikut
Huzaiman dari belakang. Hamdan yang ikut sekali hanya memerhati sahaja.
“Biar aku seorang je masuk.”
Arah Huzaiman. Mereka semua hanya tunggu di luar sahaja.
“Sha, kenapa ni sayang?” dia
menarik selimut yang menutupi tubuh gadis itu.
“Abang....” Natasha terkejut
dengan kehadiran suaminya. ‘Kenapa laki aku pulang awal pula ni?’ dia masih
pening.
“Kenapa abang call tak jawab?”
soal Huzaiman. Dia ternampak bateri telefon bimbit Natasha di tepi katil.
Huzaiman mengutip bateri telefon tersebut.
“Kenapa sampai buat camni?”
soal Huzaiman lagi sambil menunjukkan bateri tersebut.
Natasha terdiam. Dia
benar-benar tidak tahu mahu menjawab apa. ‘Kenapa terlalu ramai lelaki jahat
dalam dunia ini? Yang suka mengambil kesempatan di atas kelemahan seseorang
perempuan itu?’ Kini dalam fikirannya timbul wajah abang Hamz.
“Kalau tak sihat, kita ke
klinik kawan abang, sekarang!” Huzaiman tidak boleh sabar dengan kebisuan
Natasha. Dia memakaikan tudung isterinya yang Natasha gantung dalam almari.
“Abang...” lagi sekali Natasha
terkejut.
“Jom!” Huzaiman menarik tangan
Natasha keluar dari bilik tersebut. Natasha hanya mengikut sahaja.
“Isteri adik okey ke?” tegur
Hamdan yang sememangnya menanti di luar bilik tersebut.
Natasha berpaling untuk melihat
milik siapa suara tersebut. Tiba-tiba air matanya mengalir. Kepalanya terasa
berat. Denyut nadinya tidak senada. Bila-bila masa sahaja dia boleh rebah.
Akhirnya dunia Natasha gelap. Dia hanya mendengar suara Huzaiman yang memanggil
namanya.
“Sha!” jerit Huzaiman.
*****
Natasha terasa kepalanya sangat
sakit apabila tersedar. Dia memandang sekelilingnya, dia masih di bilik
Huzaiman. Pandangannya terhenti apabila ternampak kelibat seseorang.
“Abang...” panggil Natasha.
“Hai Sha.” Sapa lelaki yang
disangka Huzaiman tetapi...
“Abang Hamz.” Jelas Natasha
terkejut. Dia amat kenal lelaki ini. Lelaki ini yang cuba memusnahkan hidupnya
setelah dia menolak cinta lelaki itu.
Beberapa tahun yang lepas,
Natasha berkenalan dengan Hamdan secara kebetulan. Pertemuan pertama membuat
Hamdan jatuh cinta pada Natasha. Puas Natasha menolak kerana itu bukan
matlamatnya. Matlamat hidupnya hanya sebuah dendam, bukannya cinta.
“Abang Hamz, saya hidup bukan
untuk bercinta atau bahagia. Selagi matlamat saya tak tercapai, saya takkan
tenang.” Jelas Natasha.
“Aku akan bantu kau. Kita
kahwin dulu.”
“Tidak!” Natasha berkira-kira
mahu meninggalkan Hamdan
Pantas tangan Hamdan menyambar
lengan Natasha. Natasha pula cuba menarik semula tangannya tetapi tidak
berjaya. Hamdan jug cuba mencium wajahnya tetapi dengan kudrat yang ada,
Natasha menolak tubuh itu dan berlari sekuat hati.
Sejak hari itu, Hamdan terusan
memaksa Natasha supaya bersamanya tetapi Natasha berusaha melarikan diri.
Sekarang lelaki itu sudah
menemuinya.
“Sha, kau masih cantik macam
dulu. Yang sentiasa membuat aku rasa tak mahu melepaskan kau.” Hamdan memandang
Natasha penuh minat.
“Macam mana kau tahu aku kat
sini?” soal Natasha.
“Melalui gambar yang Huzaiman
tunjukkan. Aku tahu itu kau. Kata tak mahu berkahwin tapi kahwin dengan adik
tiri aku pula tu.” Sedikit keras suara Hamdan. Dia menahan marahnya.
“Itu aku punya hal. Kau tak
payah nak masuk campur.” Natasha kuatkan hati berbicara dengan lelaki yang
susah diramal. Lelaki ini lebih teruk berbanding dengan Huzaiman.
Hamdan tersenyum sinis lalu
menghampiri Natasha.
“Jangan dekat dengan aku!”
jerit Natasha.
“Sha dah sedar.” Huzaiman yang
baru masuk ke bilik tersebut, segera memeluk Natasha.
Hamdan yang sudah terlajak
menghampiri Natasha segera berpura-pura menuang air dalam jag yang ada tepi
katil.
“Nah, air untuk isteri adik.”
Ramah Hamdan dengan senyuman penuh makna.
Natasha berasa takut dengan
senyuman itu. Hamdan memang seorang lelaki yang tidak boleh dijangka. Dia
memeluk Huzaiman. Entah mengapa dia yakin yang Huzaiman akan melindungi dirinya
dari lelaki itu.
“Terima kasih abang.” Ucap
Huzaiman. Dia menyambut huluran gelas yang berisi air itu.
“Sama-sama adik. Abang keluar
dulu. Apa-apa nak abang tolong, beritahu je.” Kata Hamdan sambil berlalu pergi.
“Siapa tu abang?” soal Natasha.
“Oh, itu abang tiri Abang.”
Kata Huzaiman. Dia memberi gelas itu kepada Natasha tetapi Natasha menolaknya.
Dia tidak ingin minum minuman pemberian lelaki itu.
“Abang tiri? Ayah abang kahwin
lain ke?”
“Ya, kiranya, mama isteri
nombor dua. Isteri pertama papa sudah meninggal dunia.” Jelas Huzaiman lagi.
“Tapi kenapa syarikat dapat
pada abang bukan pada abang tiri?” sengaja Natasha.
Tersentap hati Huzaiman dengan
persoalan itu tetapi dia jawab juga.
“Sebab papa ada hubungan tak
baik dengan abang Ham. So, tak dapat buat apa-apa la.” Kata Huzaiman. “Sha
rehat ye? Nanti Mek Teh hantar makanan. Wajib makan tau. Abang ada hal dengan
abang Ham sekejap.” Sambung Huzaiman lagi.
“Baiklah.” Jawab Natasha. Dia
hanya melihat sahaja pemergian Huzaiman.
Telefon bimbitnya sudah
dimasukkan bateri. Tiba-tiba telefon itu berbunyi.
“PK!” Natasha terkejut.
“Macam mana dengan rancangan
kita?” soal PK.
“Okey PK. Memang si Huzaiman tu
dah jatuh cinta dengan saya tapi masalah baru datang. Musuh lama saya, abang
Hamz. Saya tak tahu nak hadapinya macam mana.” Luah Natasha kepada PK.
“Okey, lelaki tu Sha serahkan
sahaja pada PK. PK tahu nak buat apa dengan lelaki tu. Sha fokus pada rancangan
kita seterusnya. Dato Ismail dan Datin Isma. Mereka harus diselesaikan dengan
kadar segera. Rancangan ke dua kita ini tak boleh berundur lagi.” Serius
kata-kata PK.
“Sha....” Natasha serba salah
pula.
“Sha nak teruskan rancangan ini
kan?” soal PK. Bimbang juga kalau Natasha ubah fikiran.
“Baiklah. Lagi pun ini
rancangan kita yang terakhir. Lepas ni dendam
di hati akan terpadam.” Kata Natasha. Dia yang meminta rancangan ini. PK
hanya melaksanakan sahaja. Dia bimbang jika perkara ini terbongkar, dia juga
yang susah.
“Baiklah kalau macam tu. Nanti
PK call lagi dan masa tu, Sha bersedia dengan rancangan kita. Okey?”
“Okey...” talian ditamatkan.
Natasha termenung. Selepas
masalah Hamdan, kini rancangan terakhirnya akan terlaksana. Sudah lama dia
menanti masa ini tetapi dia rasa bersalah pada masa yang sama.
“Betul ke tindakkan aku ni?”
Natasha termenung. Dia rindukan ayah dan ibunya.
‘Ayah... Ibu... Betul ke dengan
tindakan Sha? Sha Cuma nak balas dendam dengan apa mereka dah buat pada ayah
dan ibu. Sha... Sha rindu ayah! Ibu!’ hati Natasha merintih. Air matanya
mengalir.
Huzaiman yang baru sahaja masuk
ke dalam bilik dengan membawa makanan, terkejut melihat Natasha menangis.
“Abang...”
“Kenapa menangis? Ada sakit
mana-mana ke?” soal Huzaiman. Dia memeluk tubuh isterinya.
Wajah pucat itu dipandang
dengan penuh kasih sayang.
“Abang sayangkan Sha. Tolong
jangan buat abang risau macam ni?” luah Huzaiman. Natasha tersentap. Dia
memandang wajah suaminya itu. Tiap kali Huzaiman meluahkan perasaan sayang dan
cinta padanya, hatinya akan berdebar kuat. Bagaikan ada getaran dalam jiwanya.
‘Kenapa lelaki ni baik dengan
aku?’ soal hati Natasha. Dia sendiri tiada jawapan bagi persoalan itu.