"sesiapa yang tidak pernah merasai kepahitan tidak akan
mengenal kemanisan......... " kata seorang gadis yang tidak akan Natasha
lupakan. Sehingga kini, Natasha tabah menghadapi segala kepahitan. Hidup
keseorangan tanpa sesiapa walaupun seorang teman. Sungguh hina diri ini. Air
matanya mengalir lagi. Ya Allah kuatkan hatiku.
Wajah Huzaiman
merah. Dia sedang menahan marah terhadap pekerjanya terutamanya bahagian reka
bentuk produk. Semua idea dan lakaran kerja yang dibuat sangat mendukacitakan.
Dia benar-benar tidak suka dengan hasil kerja yang dibuat.
“Apa semua ni?!”
Marah Huzaiman. “Tiada kualiti dan tak menarik langsung! Kamu berdua ingat, dengan
idea sedemikian akan mendatangkan keuntungan pada syarikat ini? Saya rasa
tidak. Tidak profesional.” Dia menolak dokumen tersebut.
Azman dan Natasha
hanya mendiamkan diri. Dia tahu yang Huzaiman mementingkan kualiti dan
idea-idea yang baru dalam menghasilkan produk tetapi itu sahaja tahap kemampuan
mereka boleh berikan.
“Azman, kamu
pergi ambil dokumen berkaitan dengan hasil jualan kita untuk bulan ni. Sekarang
juga!” suara Huzaiman memberi arahan bagaikan berada di padang kawat. Kali
pertama Natasha melihat Huzaiman mengamuk. Besar sangat ke kesalahan kami?
“Baik bos!” Azman
segera keluar dari bilik yang seperti dalam ketuhar sahaja. Panas! Dia menuju
ke biliknya.
“Natasha, kamu ni
pandai buat kerja ke tidak? Kamu jangan ingat dengan ciptaan produk kamu yang
pertama mendapat sambutan, kamu rasa sudah cukup bagus? Sedar diri sikit!
Banyak lagi yang kamu kena baiki. Kamu tengok ni?” Huzaiman menunjukkan lakaran
yang ada itu pada Natasha. Matanya jatuh di lakaran tersebut.
“Bentuknya tidak
seimbang, besar sebelah. Kenapa perlu bentukan aksesori seperti ini? Kita kena
buat bentuk loket rantai yang baru dan terkini. Kalau macam ni? Ada ke
permintaan nanti? Saya tidak mahu sebarang kerugian apabila menghasilkan
sesuatu produk.” Terang Huzaiman tetapi dia berasa pelik kerana Natasha tidak
menjawab persoalannya. Segera dia mendongak. Gadis itu sedang merenung komputer
riba milik Huzaiman. Komputer itu berada di sebelah kanannya.
Telinga Huzaiman terus
bertukar warna merah. Marah!
Natasha hanya
memandang Huzaiman dengan pandangan orang yang tidak bersalah.
Kalau perempuan
mengamuk dengan tiba-tiba mungkin Allah bagi cuti tapi kalau lelaki yang
mengamuk tiba-tiba disebabkan apa ya? Kena kaji ni. Hati Natasha sempat
berkata.
“Natasha!” Tengking
Huzaiman. Natasha terkejut. Minah ni memang nak kena. Aku membebel, dia buat
tak tahu aje.
“Ya bos!” Natasha
tersentap dengan tengkingan Huzaiman. Aku berangan apa ye tadi? Natasha
bagaikan terlupa seketika.
“Kamu dengar tak
apa yang saya cakapkan? Jabatan kamu tak buat kerja ke? Mana idea yang menarik.
Mujur ada Garden Love yang masih
kekal di pasaran. Jabatan kamu kena fikir idea yang lebih baik. Saya tak nak
idea cincai dan berserabut macam ni.” Nada Huzaiman masih serius walaupun
‘volume’nya sudah menurun.
Sedap hati kata
idea ni cincai. Nak pecah kepala aku fikirkan. Tau tak?! Natasha tak puas hati
tetapi dia sabarkan diri. Sabarkan diri itu lebih baik daripada marah.
“Faham tak?” soal
Huzaiman.
“Faham bos...”
mendatar sahaja suara Natasha sambil menundukkan pandangannya. Tak payah nak
melawan. Angguk aje kepala.
“Cuba bercakap tu
pandang saya. Macamlah saya ni hantu.” Kata Huzaiman dengan selamba.
Hantu gila kuasa.
Sesuai juga tu. Jawab Natasha sekadar dalam hati.
“Saya tak sanggup
nak tengok muka orang gila kuasa ni.” Perlahan sahaja suara Natasha tetapi
Huzaiman dapat menangkap apa yang dikatakan.
“Apa Natasha?
Saya rasa ada orang nak kena cuci tandas ni.” Huzaiman berkata. Sakit hatinya
mendengar kata-kata Natasha walaupun perlahan.
“Eh, siapa bos?
Bos ke? Baiknya bos. Bos boleh jadi bos contoh sedunia sebab tak pernah lagi
bos dalam dunia ni cuci tandas syarikatnya sendiri.” Natasha berkata. Habislah
aku sebentar lagi. Kena sembelihlah.
“Wafa Natasha!!”
jerit Huzaiman.
Ketika itu Azman
baru sahaja masuk ke bilik, terkejut melihat Huzaiman menjerit seperti itu.
“Natasha, saya
mahu reka bentuk yang baru. Saya beri tempoh masa hingga esok pagi. Apa yang
saya tahu, reka bentuk tu ada atas meja saya dan saya nak awak berikan
penerangannya pada saya. Faham?” Disebabkan terlalu geram pada Natasha,
Huzaiman memberi arahan tersebut.
“Baiklah bos.
Saya cuba.” Apa lagi yang mampu Natasha boleh buat. Tersenyum.
“Bukan saya cuba
tapi saya akan buat!” Huzaiman membetulkan ayat Natasha.
“Baiklah bos.
Saya akan buat.” Natasha hanya mengikut kata-kata Huzaiman.
“Kamu boleh
keluar. Azman, kamu ke mari. Saya masih ada urusan yang belum selesai dengan
kamu.” Kata Huzaiman apabila ternampak Azman masih terpaku di pintu.
“Baik bos.” Kata
Azman. Natasha terus keluar.
“Apa aku nak buat
ni?” pening kepala Natasha. “Esok kena siap? Aku nak buat loket bentuk apa
pula?” Natasha memegang kepalanya. Amman dan Ammar hanya memerhati dari jauh.
“Sha okey? Nak
abang Amman hantar ke hospital ke?” kata Amman tanpa rasa.
“Hospital?”
Natasha tidak pasti.
“Yalah! Hospital
sakit jiwa. Macam tak boleh diselamatkan lagi aje.” Gurau Amman. Ammar pula
sudah ketawa terbahak-bahak.
Natasha
tersentap. Gurauan? Natasha mengepal-gepal tangannya. Rasa mahu ditumbuk sahaja
wajah mereka berdua.
“Abang-abang
berdua ni memang nak kena belasah dengan Sha ya?” soal Natasha.
“Sorry. Abang boleh wish good luck. So, jangan putus asa.” Kata Amman. Ammar membuat
gaya yakin boleh dengan menggenggam tangan.
“Terima kasih.
Sha pergi dulu.” Sedikit tenang yang dia rasa kini. Dia di bilik kerjanya. Natasha
berdiri tegak menghadap pemandangan luar yang penuh dengan bangunan.
“Apa yang menarik
ye?” otaknya ligat berfikir.
“Apa tu?” Natasha
ternampak sesuatu di angkasa. “Idea yang bagus! Terima kasih Allah. Kau
permudahkan urusanku.” Natasha duduk dan melakar sesuatu.
Huzaiman sudah
bersiap sedia untuk pulang. Dia sengaja menjenguk ke bilik Natasha. Perempuan
itu masih di sana. Huzaiman tersenyum dalam diam.
“Jom Amman dan
Ammar. Nanti ada yang mengamuk kat rumah tu kalau kita pulang lambat hari ni.”
Kata Huzaiman.
“Baik bos!”
kembar mengikut arahan ketuanya.
“Sikit lagi nak
siap ni.” Natasha menaip ulasan tentang produk yang diciptanya. Hari semakin
petang. Dia harap dapat siapkan sebelum esok.
Seseorang
mengetuk pintu bilik Natasha.
“Masuk!” arah
Natasha tetapi pandangan matanya masih di skrin komputer.
“Cik Natasha...”
tegur pengawal keselamatan.
“Pak cik J.
Kenapa ya?” terkejut Natasha dengan kehadiran lelaki tua itu.
“Bos suruh pakcik
belikan kopi panas untuk kamu. Pak cik pergi dulu.” Pak cik J letak kopi panas
atas meja Natasha dan terus berlalu
pergi.
“Eh!” lambat
sedikit respon Natasha. Dia terkejut apabila Huzaiman meminta Pak cik J buat
sedemikian. Tidak sempat Natasha nak ucap terima kasih pada Pak Cik J yang
menghantar minuman tersebut.
Akhirnya dia
tersenyum dan menyambung semula kerjanya.
Huzaiman juga
tersenyum apabila mendapat panggilan daripada Pak cik J. Dia berharap hasil
kerja Natasha adalah terbaik. Tidak sabar menanti esok.
Huzaiman sampai
di rumah. Dia merentap kasar tali lehernya. Terasa penat hari ini. Amman dan
Ammar sudah ke bilik masing-masing. Dia pula masih selesa di ruang tamu. Dia
bersandar seketika di sofa. Tenang.
Perlahan-lahan Huzaiman bangun dan
ke dapur.
“Mama....”
Huzaiman mencium pipi Datin Ismah.
“Man... anak mama
dah pulang. Tak perasan pula.” Datin Ismah berkata sambil tersenyum manis.
“Mana papa?” soal
Huzaiman. Dia balik dari pejabat waktu petang, mesti tak nampak Dato Ismail.
“Papa kau tu,
sejak bersara ini, merayau aje. Geram juga mama ni.” Datin Ismah berasa geram.
Kembang kempis hidungnya.
“Kenapa mama?”
dahi Huzaiman sudah berkerut.
“Merayau tak ajak
mama.” Lawak Datin Ismah. Huzaiman ketawa geli hati. Pandai juga Datin Ismah
bergurau.
“Malam ni kita
ada tamu. So, jangan lupa mandi.” Tiba-tiba moodnya bertukar gembira.
Sebenarnya Datin Ismah tidak ambil hati pun dengan tindakan suaminya. Dia
selesa duduk di rumah ini.
“Eh, mama ni!
Mestilah mandi. Man naik dulu.” Huzaiman terus berlalu. Melekit pula tubuh ini.
Lagi pun dia tidak solat Asar lagi. Lambat lagi aku hari ini. Dosa!