Faizal tersenyum. Berpaling merenung Amira di sisi. Wajah
bujur sirih Amira dengan mata bulatnya, hidungnya, bibirnya... Faizal terhenti.
Ini kali pertama dia benar-benar memandang wajah Amira. Cantik. Amira tidak
memakai sebarang solekan. Tambahan lagi setelah baru pulang dari kerja, wajah
Amira kelihatan sedikit berminyak. Dia baru tersedar, selama dia mengenali
Amira, Amira tidak pernah begitu ambil kisah dengan penampilan. Keluar selepas
tamat waktu bekerja, Amira hanya menyarung baju kurung dan tudung yang dipin
dua di hadapan dengan kerongsang berbentuk bunga kecil. Tanpa tambahan aksesori
dan stail. Malah, Amira pernah selamba tidur di lobi hotel ketika menunggunya.
Faizal tersenyum sendiri.
"Apa yang awak tersenyum-senyum ni?" Amira
bertanya kasar bila Faizal masih diam dan hanya tersenyum memandangnya. Ketika
dia mula mahu bangkit, terasa pergelangan tangannya digenggam. Jantung Amira
berdegup tidak menentu, perlahan dia berpaling. Faizal mendongak sambil
tersenyum sebelum melepaskan genggaman di tangan Amira.
"Awak masih marahkan saya?" Faizal bertanya.
Pandangannya tidak lagi ke arah Amira. Amira masih berdiri. Marah? Bila pula
dia marahkan Faizal? Amira berfikir lama.
"Awak tak marahkan saya?" kali ini dia merenung
Amira bila gadis itu membisu. Amira menggeleng. Dia masih tidak pasti kenapa
Faizal bertanya begitu. Adakah Faizal sangka dia marahkan Faizal? Faizal
tersenyum.
"Ini yang saya risau bila saya ada kekasih, saya tidak
pasti apa yang ada dalam hatinya. Saya sangka dia marahkan saya, tapi tidak
rupanya. Bila saya tidak sangka dia tidak marahkan saya, rupa-rupanya dia
marahkan saya," Faizal mengeluh sendiri. Sedangkan hatinya sendiri dia
sukar untuk mengerti. Bagaimana mahu mengerti hati seorang wanita. Antara sebab
dia mengelak untuk bercinta dan memiliki kekasih hati. Tapi dengan Amira,
perhubungan yang bagaimana sewajarnya dia jalankan?
Amira tersenyum. Faizal dan fobianya dengan perempuan. Bila
difikir balik, Faizal bukan benci atau tidak suka pada perempuan. Tapi lelaki
itu hanya bingung dengan sensitiviti kaum hawa. Bukan Faizal sahaja, Amira
yakin semua kaum Adam menghadapi isu yang sama. Namun, Faizal untuk mengelak
dari mendepaninya. Amira kembali melabuhkan punggung di atas katil.
"Awak ada buat salah ke sampai buat saya marah?"
Amira menduga atau sebenarnya lebih mahu mengusik jejaka itu. Faizal merenung
Amira sambil mengerutkan dahi.
"Sebab saya setuju dengan cadangan ayah awak untuk
bermalam di sini. Saya sangka awak marahkan saya. Awak tak marah?" Faizal
menjelaskan. Amira menahan senyuman, wajahnya cuba diseriuskan. Dia tahu Faizal
tak bersalah, apa sajalah yang Faizal boleh katakan di hadapan mentua. Cuma dia
tidak berpuas hati dengan semua yang berlaku. Mungkin Faizal turut bersalah
kerana menyebabkan ini semua berlaku, namun, Amira sudah boleh menerima hakikat
yang berlaku. Cuma untuk benar-benar menerima, dia masih memerlukan masa.
Mungkin juga keyakinan daripada Faizal sendiri.
"Jadi apa rancangan awak?" Amira bertanya serius
sengaja mahu membiarkan Faizal merasakan dia masih marah. Faizal menghela
nafas. Wajah Amira direnungnya. Melihat baju kurung yang masih tersarung di tubuh
Amira, Faizal mula terfikir.
"Awak naik bas tadi?" Faizal bertanya.
Pandangannya masih jatuh pada baju kurung yang dipakai Amira setiap kali kerja.
Ya, Amira memang selalu dalam baju kurung, tidak pernah dia melihat Amira
dengan pakaian lain selain baju kurung. Malah, ketika bermalam di rumah
keluarganya di Kedah, Amira hanya memakai baju kurung. Faizal tertanya-tanya,
adakah Amira akan berbaju kurung juga di dalam rumahnya sendiri?
"Biasalah, saya malas nak memandu. Lagipun tak ada
tugas luar," Amira menjawab tenang.
"Minggu depan, jumaat lepas kerja, saya ambil awak dulu
di pejabat sebelum datang ke sini," Faizal tiba-tiba memutuskan.
Rancangan? Hanya itu yang terlintas di fikiran. Bagaimana dia boleh terlupa
Amira menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja? Hanya kerana terlalu mahu
bertemu Amira secepat mungkin, dia terus memandu ke rumah Amira. Faizal
tersenyum sendiri. Minggu depan, itu rencananya.