"Boleh awak tolong basuhkan baju saya?
Saya tak pasti pula nak buat macam mana. Tak biasa, kalau rumah sendiri, saya
boleh buat sesuka hati," setelah berkira-kira, Faizal meluahkan juga
permasalahan dalam kepala. Dia perlu bertolak esok ke Terengganu. Sedangkan
pakaiannya semua masih belum berbasuh. Dia juga tidak sempat untuk pulang ke
rumahnya untuk mengambil pakaian bersih. Mahu hantar ke dobi, apa pula jika
mentuanya nampak nanti. Dia juga sedar, Amira sewajarnya yang mengurus
pakaiannya. Tapi, dia sendiri sedar, Amira seakan janggal dengan tugasan
sebagai isteri. Dia juga sebenarnya tidak mahu Amira bersusah kerananya. Cuma,
dia tidak jumpa cara lain lagi.
Amira memandang luggage Faizal yang telah
terbuka dan dipenuhi baju yang sudah dipakai. Amira terpegun sebentar. Dia
memang tidak terfikir langsung tentang pakaian Faizal. Baginya, bukankah Faizal
lelaki yang berdikari dan tidak suka barangan peribadinya diganggu. Tambah lagi
Amira tidak pernah menguruskan pakaian orang lain selain dari pakaiannya
sendiri. Ibu bapanya memang sudah melatih dia dan dan adik-beradiknya untuk
berdikari dan bertanggungjawab dalam menguruskan diri masing-masing. Puan
Fatimah hanya menguruskan pakaian suaminya bila mereka sudah melangkah ke alam
persekolahan. Semua kerja perlu dibuat sendiri kerana mereka tidak memiliki
pembantu rumah. Puan Fatimah cuma memasak untuk sekeluarga dengan mengerah
Amira dan Faiza turut membantu bersama. Along dan adik lelaki Amira pula akan
diajar Encik Amir urusan kerja rumah seperti membersihkan halaman dan membaiki
kerosakan jika ada.
"Bolehkah? Awak bagitahu mesin basuh saja
pun tak apa. Tadi saya turun di dapur, tak jumpa mesin basuh. Atau, tak ada
mesin basuh? Awak basuh baju guna tangan
ke?" Faizal mula bimbang Amira tidak mahu membantu bila Amira masih
membisu. Bimbang lagi bila memikirkan jika benar tidak ada mesin basuh di rumah
itu. Tidak mungkin dia akan membasuh tangan pakaiannya. Tidak mungkin juga mahu
menyuruh Amira membasuhkan. Mungkin dia perlu menghantar ke dobi jika masih
sempat untuk di siapkan sebelum dia bertolak. Atau, jalan terakhir, pulang ke
rumahnya mengambil pakaian bersih.
"Tak apa, saya boleh tolong. Ada je mesin
basuh dekat laundry room. Tepi dapur. Awak tak perasan sebab pintu tu biasa
tertutup," Amira mengukir senyuman menatap wajah serba-salah Faizal. Salah
dia juga yang langsung tidak memikirkan keperluan suaminya. Bagaimana dia dapat
memikirkan, ini kali pertama dia mempunyai suami. Kali pertama dia perlu
memikirkan tentang urusan orang lain selain dirinya. Ya, memikirkan soal Faizal
benar-benar perkara aneh dalam hidupnya. Amira mengeluh sendiri. Faizal masih
tidak menunjukkan tanda mahu berbicara soal perancangan masa depan. Adakah dia
yang patut memulakannya?
Amira mula memasukkan pakaian Faizal ke dalam
bakul untuk dibawa turun. Agak kekok sebenarnya. Amira seakan rasa terpaksa
untuk menguruskan sesuatu yang bukan miliknya. Wajahnya berkerut tanpa sengaja.
Faizal yang memerhati turut tidak senang. Dia
sendiri tidak pernah membiarkan barang peribadinya diuruskan orang lain.
Melihat kerutan di wajah Amira yang perlahan-lahan memasukkan pakaiannya ke
dalam bakul menimbulkan rasa yang pelbagai di dalam hatinya. Amira juga tidak
selesa menguruskan halnya. Ya, tentu saja gadis seperti Amira berasa tidak
senang diminta menguruskan pakaian lelaki.
"Erm, biar saya buat la. Awak tunjukkan
saja mesin basuh dan cara guna," Faizal menarik perlahan bakul dari tangan
Amira. Amira dengan rela hati melepaskan. Faizal dengan pantas memasukkan semua
pakaian ke dalam bakul. Amira terpegun saja memandang tingkah Faizal yang
sekelip mata berdiri di hadapannya.
"Jom," Faizal tersenyum dengan bakul
yang penuh di tangan. Amira cuma mengangguk. Hatinya dilanda serba-salah.
Nampak sangatkah yang dia tidak ikhlas mahu membantu Faizal? Amira mengatur
langkah menuruni tangga diikuti rapat oleh Faizal.
"Okey, kat sini rupanya mesin
basuh," Faizal tersengih bila melihat mesin basuh di dalam bilik kecil
itu. Amira cuma tersenyum tawar. Dia rasakan betapa teruknya dia sebagai
isteri. Pakaian suami pun tak mampu diuruskannya. Amira menunjukkan cara
penggunaan mesin basuh kepada Faizal.
Walaupun cuba berlagak tenang, jiwanya tidak
tenteram. Dia sepatutunya melayan Faizal, kalaupun tidak sejatinya sebagai
isteri sebenarnya, soal makan dan pakai Faizal yang singgah beberapa ketika di
rumahnya patut diambil berat.
Amira menggetap bibir. Sukarnya mahu berlagak
sebagai isteri. Dia sendiri tidak mengerti apa yang tersirat dalam hatinya.
Rasanya, perkenalan dengan Faizal terlalu awal. Segalanya masih asing. Amira
resah sendiri. Adakah dia berdosa kerana tidak mampu melaksanakan tugasnya
sebagai isteri dengan baik? Faizal pasti terasa bila dia seakan tidak selesa
dan ragu-ragu bila diminta unntuk membasuh pakaian lelaki itu. Amira cuba mengangkat wajah untuk menatap
wajah Faizal.
Faizal hanya tersenyum sebelum memberi isyarat
untuk keluar dari bilik basuhan itu setelah selesai menetapkan suis di mesin
basuh sesuai dengan jenis basuhan yang dikehendaki. Amira masih terpaku.
Barangkali Faizal tidak kisah. Faizal sendiri tidak menganggapnya sebagai
isteri. Hati Amira sebak sendiri.
"Hey, Mira... awak nangis lagi ke?"
rupanya Faizal berpatah balik bila Amira tidak kelihatan mengikutinya saat dia
keluar dari bilik itu. Bila dilihatnya Amira yang sedang tertunduk, dia resah
sendiri. Saat dia menyentuh wajah Amira dan mengangkatnya, mata yang berair itu
buat dia tidak keruan.
"Erm, tak," Amira menafikan.
Melarikan pandangan dan menolak jemari Faizal yang masih melekat di wajahnya.
Segera dia keluar dari bilik itu menuju biliknya di tingkat atas. Faizal turut
melangkah pantas mengekori Amira.