Amira membaca satu-satu petanda yang ada. Dewan C. Faizal
beritahu dia ada pembentangan untuk dapatkan mendapatkan kontrak pembinaan
sebuah hotel di Pulau Perhentian. Mereka berjanji untuk bertemu selepas Faizal
tamat pembentangannya. Faizal cadangkan kalau Amira berminat, dia boleh datang awal
untuk saksikan pembentangan itu. Ada pelbagai syarikat dan firma pembinaan yang
turut serta. Firma Faizal cuma mahu dapatkan pengalaman dan tidak terfikir
untuk menang.
Amira habis kerja agak awal dan dia terfikir yang dia memang
gemarkan seni bina bangunan. Cuma dia tidak ada bakat dalam melukis. Dia lebih
kepada seni menulis. Amira terfikir, cadangan Faizal agak menarik dan mengambil
keputusan untuk hadir awal menyaksikan persembahan cadangan pembinaan hotel
dari pelbagai syarikat dan firma pembinaan di Malaysia. Ya, Faizal ada juga
menyebut, barangkali ada juga syarikat dari luar negara yang datang melobi.
Tiba di hadapan Dewan C, Amira menolak perlahan pintu,
suasana agak gelap. Kelihatan pembentangan sedang berlangsung. Kata Faizal
pembentangan itu bermula jam 4.30 sehingga jam 6 petang. Amira hairan juga
mengapa pembentangan itu dibuat sebelah petang. Jam sudah menunjukkan jam 5
petang. Ada sejam lagi. Agaknya Faizal sudah buat pembentangan ke?
Dengan bantuan lampu dari pentas, Amira mengambil tempat
kosong di bahagian belakang. Lihat dari susunan kerusi yang diduduki,
barangkali tidak sampai 50 orang di dalam dewan sederhana besar itu. Suasana
yang gelap tidak membenarkan Amira mengenal-pasti di mana Faizal berada. Amira
menumpukan perhatian kepada pembentangan di hadapan.
Rupanya, pembentangan itu telah pun tamat. Pembentangan
seterusnya pula bermula. Kelihatan Faizal naik ke atas pentas. Amira tersenyum
sendiri. Apa agaknya idea Faizal untuk hotel tersebut? Amira tertanya-tanya
sendiri.
Dengan menggunakan hologram, Faizal meunjukkan hotel
rekaannya yang mengambil inspirasi penyu. Ya, Terengganu terkenal dengan
penyunya. Amira mendengar penuh minat. Rekaan hotel penyu Faizal sangat
menarik.
Setelah 3 lagi syarikat membuat pembentangan, acara itu selesai.
Amira membandingkan antara 3 syarikat terakhir dan rekaan Faizal, rekaan Faizal
adalah yang paling unik. Lampu sudah dipasang kembali. Kelihatan Faizal dan
Zaman sedang berbual dangan beberapa orang yang hadir. Amira memandang jam di
telefon bimbit. Hamir 6 setengah. Mujur dia sudah solat asar di pejabat sebelum
datang.
Pandangan Faizal jatuh kepadanya. Amira tersenyum dan
menunjukkan telefon bimbit.
'Saya tunggu di lobi' Amira menaip pesanan dan melangkah ke
lobi. Pasti Faizal sibuk berurusan dengan pelbagai rakan perniagaannya.
Amira memerhatikan ada sofa kosong yang agak tersorok di
penjuru. Dia berfikir kalau dapat melelapkan mata sebentar. Menonton
persembahan dalam gelap dengan subjek pembinaan yang agak asing itu sebenarnya
agak membosankan. Ya, dia memang suka melihat rekaan bangunan yang unik. Tapi
mendengar pembentangan berkaitan pembinaan yang sangat teknikal sifatnya
bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.
Faizal memerhati satu persatu sofa di lobi. Amira tidak
kelihatan. Dia sudah pulang kah? Faizal memandang jam di tangan. Sudah pukul 7
lebih. Dia pergi solat di surau ke?
Faizal menekan nombor telefon Amira. Kedengaran bunyi nada
dering, Faizal memerhati keliling. Sofa di hujung sekali. Faizal mendekati dan
nada dering itu makin kuat kedengaran.
Sofa itu agak besar dan melindungi tubuh kecil Amira yang
terlena. Faizal tersenyum melihat Amira. Bagaimana dia boleh tidur di sini?
Faizal memandang keliling, ya, sofa itu agak tersorok dan tidak kelihatan.
"Amira," Faizal cuba memanggil nama Amira. Amira tersedar. Dia memang benar-benar
tertidur. Saat mengangkat wajah, Faizal sedang duduk di atas meja kopi di
hadapannya dan merenungnya dengan senyuman.
"Oh, maaf, saya tak sedar dan tertidur pula,"
Amira menggosok wajahnya dengan tangan sambil membetulkan tudung.
"Maaf, banyak pula yang hendak dibincangkan,"
Faizal masih memandang wajah Amira yang masih mamai itu. Gadis itu cuma
memberikan satu pesanan ringkas dan tidur di atas sofa di lobi hotel. Tidak
pernah ada perempuan yang begitu menunggunya dengan begitu tenang dan selamba
seperti Amira. Seringkali jika ada yang menunggu, berkali-kali telefonnya akan
berbunyi.
"Pukul berapa sekarang?" Amira bertanya dan
mematikan lamunan Faizal. Faizal memandang jam tangannya.
"7 setengah. Jom solat maghrib di sini. Lepas tu kita
pergi makan. Awak nak makan apa?" Faizal mencadangkan dan mula berdiri.
Amira cuba berdiri tetapi dia masih pening. Tidur slepas asar memang tidak
baik. Faizal pantas memaut lengan Amira bila dilihat Amira massih tidak boleh
berdiri dengan stabil. Amira segera tersedar dan menarik lengannya. Cuba
menggeleng-gelengkan kepala membuang rasa pening.
"Jom," Amira berbicara perlahan sambil melangkah
perlahan. Faizal menuruti di belakang sambil memerhati langkah Amira. Bimbang
juga Amira tiba-tiba jatuh pengsan.