Faizal diam di sisi Amira yang turut diam.
Faizal sebenarnya tidak suka dengan suasana seperti ini. Berdepan dengan
perempuan yang menangis seakan menagih perhatian. Tanpa sedar, keluhan perlahan
yang terhembus di bibir Faizal dapat dikesan Amira. Amira berpaling. Faizal
sudah rimaskah dengannya?
Faizal segera mengukir senyuman bila dilihat
pandangan mata Amira seakan memanah matanya. Amira seakan dapat meneka apa
terlintas di hatinya. Dia tidak mahu buang masa memujuk Amira. Apa sajalah yang
menyedihkan hati gadis itu? Sukar sangatkah untuk diluahkan? Membiarkannya
terus tertanya-tanya sendiri.
"Boleh saya tanya awak sesuatu?"
Amira mengatur kata-kata setelah hatinya sedikit tenteram. Faizal sekadar
mengangguk dengan senyuman.
"Masa awak minta saya kahwin dengan awak
dulu, awak ada sebut, apa pun permintaan saya, awak akan tunaikan bukan?"
Amira mengingatkan janji Faizal itu. Dia tidak pasti janji itu disebut hanya
sekadar mahu melepaskan diri atau lelaki itu benar-benar bermaksud demikian.
Amira sebolehnya tidak mahu mengungkit tentang janji itu yang baginya diucap
sekadar angin yang lalu. Malah, bukanlah kerana janji itu, Amira setuju dengan
perkahwinan mereka. Namun, Amira perlu mencari umpan yang sesuai untuk menagih
sesuatu daripada Faizal. Dia terpaksa menggunakan janji yang diungkap sendiri
oleh Faizal.
Faizal diam. Dia ingat janji itu. Dan dia
bukanlah lelaki yang akan memungkiri janji. Cuma menatap wajah serius Amira
saat itu buat Faizal tertanya-tanya apakah permintaan yang Amira mahukan.
Faizal bimbang juga jika Amira meminta yang bukan-bukan. Faizal juga tidak
pasti maksud permintaan yang bukan-bukan itu.
"Awak, dengar tak saya cakap ni?"
Amira melayangkan tapak tangan di depan Faizal bila melihat lelaki itu seperti
termenung jauh sahaja. Faizal yang rimas dilayan seperti itu tidak sengaja
menangkap tangan Amira membuatkan mereka saling terkedu. Segera tangan itu
dilepaskan.
"Ehem, cakaplah apa yang awak nak,"
Faizal cuba berlagak selamba. Dalam hati dia kesal sendiri. Semakin lama,
semakin banyak yang tidak sengaja dia lakukan. Kalau ketika bercinta dahulu,
dia memang sangat hati-hati bila berdepan wanita. Walaupun dia bukanlah
golongan alim dan wara', dia juga tahu hukum dan dia bukanlah lelaki yang suka
mengambil kesempatan. Walaupun dia selalu merasakan wanita adalah merimaskan,
dia seorang yang sangat menghormati wanita. Tetapi dengan Amira lain pula
jadinya. Mungkinkah kerana sudah bernikah dan segalanya halal, dia selalu
terlupa yang hakikatnya dia masih tidak memberi sebarang jaminan sejauh dan
setakat mana perhubungan itu. Dia tidak mahu melukakan Amira. Dia sendiri tidak
mahu terluka juga.
Amira menelan air liur. Dia ragu-ragu untuk
berbicara. Bagaimana mahu diucapkan. Dia bimbang Faizal akan menganggapnya mahu
mengongkong. Lebih parah, Faizal akan menuduhnya jatuh cinta. Amira sendiri
tidak pasti apakah yang melanda hatinya. Namun, lelaki itu sedikit demi sedikit
mulai mengisi ruang jiwanya. Walau dia masih belum bersedia untuk menerima
Faizal seratus peratus. Malah, dia yakin Faizal juga tidak akan menerimanya.
Amira mengeluh sendiri. Dia tahu perkahwinan bukanlah perkara mudah, namun, dia
tidak menyangka ia begitu membebankan perasaannya.
"Erm.. boleh tak lain kali awak maklum
pada saya bila awak nak pergi mana-mana?" Amira bersuara juga. Tidak
sanggup memandang wajah Faizal. Faizal mengerutkan wajahnya sejenak sebelum
perlahan-lahan mengukirkan senyuman.
"Saya bukan nak kongkong awak atau nak
ambil tahu pasal urusan awak. Cuma, kalau mak dengan abah tanya tidaklah saya
macam orang yang tak tahu apa-apa," Amira cuba memberi alasan. Pandangan
terarah kepada Faizal. Senyuman di bibir Faizal menghentikan bicaranya. Amira
diam sejenak menanti jawapan balas dari Faizal. Setujukah Faizal? Adakah Faizal
akan menganggapnya cuba menjaga tepi kain lelaki itu?
Faizal menarik nafas panjang. Pandangannya
dialih ke arah buku-buku yang tersusun di atas rak di hadapan mereka.
"Ok. Itu saja?" setelah Amira diam
beberapa ketika Faizal menjawab. Itu sajakah? Mungkin adalagi cuma tidak
terluah oleh Amira. Kalau setakat memaklumkan Amira tentang pemergiannya
bukanlah perkara sukar. Dia juga sering memaklumkan ibunya jika dia ada tugasan
luar kawasan. Walaupun jarang pulang ke kampung, Faizal selalu berhubung dengan
kedua orang tuanya. Walaupun dia tidak begitu gemar untuk menambah lagi tempat
laporan yang perlu diberikan, namun, permintaan Amira sebenarnya wajar. Memang
sudah sepatutnya Amira sebagai isteri tahu di mana suaminya. Amira kini bukan
sekadar teman, sahabat dan kekasih. Dia adalah isteri yang juga keluarganya.
Walau dia sendiri sukar memahami sejauh mana perhubungan antara mereka dapat
berjalan.
Amira diam dengan jawapan Faizal. Semudah
itukah Faizal setuju? Amira cuma mengangguk. Ya, setakat ini, itu sahaja
permintaannya. Dia cuma tidak mahu lagi resah menanti Faizal. Faizal tersenyum.
Adakah perkara ini yang mengganggu perasaan gadis ini sejak dia pulang dari
Terengganu subuh semalam? Faizal merenung wajah Amira yang nampak lebih tenang.
Tiba-tiba kerinduan menyapa perasaan. Esok dia perlu ke Pulau Perhentian lagi.
Kalau pun tidak ke Pulau Perhentian, dia perlu pulang ke rumah. Perlu tunggu
seminggu lagi untuk bertemu Amira pada Jumaat minggu hadapan.
Faizal tersenyum dalam hati dan membiarkan
kesunyian membelenggu antara mereka. Dia tidak pasti bagaimana mahu lakukan
dengan Amira. Mahu mengajak berpindah ke rumahnya, Amira pasti tidak akan
setuju. Dia sendiri tidak pasti untuk tinggal bersama seseorang yang asing.
Namun, tidaklah teruk sangat tinggal bersama Amira. Malah semalam dia boleh
tertidur di atas lantai sambil memeluk Amira. Dia tersenyum sambil menjeling
Amira yang masih membisu. Bagaimana pula malam ini? Faizal tertanya-tanya
sendiri.