Seharian di tapak pembinaan dan mesyuarat yang
bersambung-sambung dengan pelbagai keputusan yang masih tergantung membuatkan
Faizal sedikit tertekan. Walau sudah beberapa tahun lamanya bergelumang dalam
bidang itu dan sungguh dia sangat mencintai kerjayanya, dia tidak dapat
mengelak untuk merasakan yang dia perlukan rehat dan mahukan kerjanya segera
selesai. Tapi, Faizal tahu selepas projek ini, dia akan segera berpindah dan
sibuk dengan projek lain pula. Dan dia kadang-kala lupa bagaimana untuk
berhenti dan berehat.
Namun, bila dipenghujung hari dan membuat
panggilan kepada Amira, dia seakan mendapat masa rehat yang paling bermakna.
Seakan segala tenaga yang sudah diperah seharian diisi semula perlahan-lahan
dengan suara lembut dan tawa riang Amira di hujung talian. Faizal tahu dia
benar-benar sudah jatuh cinta dengan gadis itu. Dia tidak tahu selama mana dia
akan bertahan. Dalam hati dia berfikir untuk segera berhenti agar ini semua
tidak terlajak lebih jauh. Namun, separuh hatinya meminta dia berdepan dengan
perasaan itu sebagai seorang lelaki. Tidak ada salahnya untuk jatuh cinta apatah
lagi wanita itu adalah isterinya.
Oleh sebab itu, Faizal terus menerus berdepan
dilema. Tamat saja panggilan bersama Amira, fikirannya melayang jauh memikirkan
segala macam kemungkinan. Kadang-kala wajah tangisan Amira menghantui mimpinya.
Dia resah. Bagaimana jika Amira terluka kerananya. Amira menangis dan menangis
kerananya. Gadis itu tidak pernah merasa sebuah percintaan. Jika percintaan
kali pertama dengan lelaki yang telah pun menjadi suaminya dan melukainya
terus-menerus. Faizal buntu.
Jadual Faizal terlalu padat sebenarnya. Dia
tidak fikir dia akan dapat pulang ke Kuala Lumpur minggu seterusnya. Jadi
hujung minggu ini dia pulang juga walaupun hanya satu malam. Dia tidak mahu
memberitahu Amira. Dia tidak pasti mengapa. Dia tidak mahu Amira kecewa. Walau
Amira akan kecewa juga bila dia terpaksa balik keesokan harinya. Dia juga tidak
pasti adakah Amira akan benar-benar kecewa. Dia mahu melihat sendiri kekecewaan
yang terpamer di wajah Amira bila dia ucapkan tentang itu. Tapi Faizal sekali
lagi buntu. Amira hanya membisu. Gadis itu juga sempat tersenyum dan berkata,
'Kalau awak sangat sibuk, awak tak perlulah
balik setiap hujung minggu. Saya akan bagitahu mak dan abah. Jangan risau ok?'
kata-kata itu, bicara Amira yang tenang itu mengecewakannya. Faizal tidak mahu
melukakan Amira tapi dalam masa yang sama dia berharap ada secebis hati Amira
untuknya.
Faizal pulang ke Pulau Perhentian dengan jiwa
yang bergolak seribu satu perasaan. Dan kerunsingan itu cuba diketepikan kerana
perhatian perlu diberikan kepada urusan kerjanya. Dalam hati Faizal mengutuk
diri sendiri betapa mudahnya untuk dia jatuh cinta dengan Amira. Walaupun dia
sedar mencintai seorang wanita bukanlah perkara mudah. Faizal memang menyebut
wanita satu makhluk yang merimaskan dan melemaskannya. Tapi, Faizal jarang
menyebut bahawa jatuh cinta dengan wanita hakikatnya lebih melemaskan dan
merimaskan seluruh jiwa raganya.
Panggilan dari Puan Jamilah lebih menambah
tekanan. Selain urusan jiwa dan perasaan, urusan persiapan majlis perkahwinan
turut membebani fikiran. Walaupun Puan Jamilah akan menguruskan keseluruhan
persiapan di pihaknya dengan bantuan saudara-maranya di kampung, namun dia
tidaklah mahu dilihat lepas tangan sahaja. Lebih-lebih lagi dalam persiapan
majlis di sebelah Amira.
Faizal mengeluh buat kesekian kalinya. Berada
di Pulau Perhentian dengan segala keserabutan yang membebani fikiran, lautan
yang luas terbentang masih tidak dapat memberi ketenangan kepada jiwa Faizal.
'Alangkah baik jika Amira juga ada di sini,'
Faizal terdiam dalam fikiran. Amira juga yang difikirkan. Faizal menggeleng
sendiri. Kegilaan apakah yang melanda dirinya saat ini?