Amira masih bertudung. Puan Fatimah mengerutkan wajah. Tahu
saja Amira masih mahu menjaga aurat di hadapan Faizal. Sudah ditegur, masih
tidak dipedulikan Amira. Oleh kerana Faizal ada, Amira rajinkan diri membantu
persiapan makan malam selepas solat maghrib, selalunya dia hanya mengambil
giliran mengemas selepas makan. Tapi rasa tidak selesa pula membiarkan ibunya
di dapur sendiri menyiapkan juadah yang agak istimewa kerana pertama kali
Faizal bermalam di situ. Namun, mendengar leteran Puan Fatimah yang menegurnya
masih bertudung buatnya lebih lagi tidak selesa. Tidak tahu mahu membalas bagaimana.
Amira hanya berdiam dan terus saja menghidangkan lauk-pauk di meja makan.
Faizal turun selepas solat maghrib. Dia hanya mengenakan
kemeja t lengen pendek dan kain pelekat. Memang dia selesa begitu. Teringat
kali pertama Amira melihatnya berkain pelikat di Kedah, terbeliak juga mata
gadis itu. Memang Amira mengenalinya sebagai lelaki metropolitan yang
bekerjaya. Malah, ketika keluar bersama, Faizal hanya membawa Amira ke
restoran-restoran makanan barat yang eksklusif. Cuma Amira terlupa, dia lahir dan
dibesarkan di persekitaran kampung selama hampir 18 tahun. Selepas itu, barulah
dia mengenali kemodenan, ketika melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat dan
bekerja di Kuala Lumpur. Bagi Faizal, dia selesa dengan kedua-duanya, bandar
dan desa, kehidupan moden dan tradisional, baginya kedua-duanya adalah
sbahagian dari hidupnya. Ada ketika dia perlu menjadi moden dan nampak
kebaratan lebih-lebih lagi dalam urusan perniagaan. Tapi bila bersama keluarga
dan dalam lingkung masyarakat tempatan, dia tidak kekok beradab susila seperti
lelaki melayu dan timur.
Amira yang bertudung litup. Faizal tersenyum sendiri. Memang
beranganla nak melihat aurat Amira. Fikiran nakalnya ada juga terbayang itu
semua selepas Encik Amir memintanya bermalam di situ. Tapi, nampakanya Amira
tidak mudah mengalah. Bilik tetamu yang asing disediakan, malah terus bertudung
di dalam rumah.
"Awak dah turun? Kejap lagi boleh makan," Amira
memandangnya dengan senyuman. T-shirt lengan panjang dan seluar panjang.
Walaupun bukan baju kurung. Hanya wajah dan tapak tangan saja yang dapat dijamu
mata Faizal. Sama saja kalau berbaju kurung pun. Hati Faizal mendesis. Adakah
dia kecewa? Bukan dia tidak pernah
melihat aurat perempuan, malah selalu saja bertemu klien perempuan sama ada
dari bangsa asing yang pastinya tidak menutup aurat atau bangsa melayu sendiri
yang tidak menjaga aurat. Pekerjanya juga, kawan-kawan perempuannya juga.
Namun, entah mengapa dia jadi teringin untuk melihat Amira. Keinginan yang
hadir tiba-tiba, lebih-lebih lagi setelah bernikah. Adakah dia mahu menuntut
haknya sebagai suami pula? Faizal menggeleng sendiri. Punggung dilabuhkan di
sofa yang menghadap televisyen. Berita jam 8 sedang berlangsung. Walaupun
pandangannya ditalakan ke televisyen di hadapan, ingatannya masih pada Amira.
"Selesa biliknya Faizal?" pertanyaan dari Encik
Amir yang baru duduk di sebelah Faizal segera memadamkan bayangan Amira dari
fikiran. Faizal tersenyum sambil mengangguk.
"Amira berkeras sungguh mahu kamu tidur di bilik
tetamu. Nanti cubalah pujuk dia perlahan-lahan. Amira tu memang degil, tapi
kalau kena caranya dia lembut juga," Encik Amir menerangkan tiba-tiba.
Faizal yang mengangguk dan tersenyum. Hakikatnya bukan Amira saja yang perlukan
masa, dia juga masih tidak bersedia.
"Insya Allah Abah. Nanti kami akan bincang macam
mana," Faizal membalas. Itu sajalah yang mampu terluah dari mulutnya.
Encik Amir mengangguk sambil perhatian diberikan pada rancangan berita di
televisyen.
"Amira tak pernah bercinta, dengan kamu pun sekejap
sangat berkawan. Mungkin kamu berdua boleh cuba dulu bercinta dan kenal hati
budi masing-masing," Encik Amir menyambung bicara. Faizal diam. Segan pula
bicara soal cinta dengan bapa mertuanya. Dia teringat kata-kata Amira dahulu
yang tidak pernah punya teman lelaki, bukan kawan lelaki. Dia, adalah kawan
lelakinya yang pertama. Dia juga turut mengakhirkan hubungan persahabatan itu
dengan sebuah perkahwinan. Jika Amira terluka dengan perkahwinan ini, akan
bertambahlah tidak percayanya kepada lelaki. Ya, Amira yang tidak percaya pada
perkahwinan dan takut pada lelaki. Hati dan jiwa Amira bergantung kepada
bagaimana dia melayan Amira selepas ini. Faizal mengeluh di dalam hati. Dia
sedar, betapa dia tidak yakin untuk membahagiakan Amira.
"Abah, jom makan," Amira tiba-tiba mampir dengan
senyuman.
"Mari Faizal," Encik Amir mengajak sambil bangkit
dari sofa. Faizal hanya mengangguk dan menurut. Senyuman Amira masih terukir
untuknya. Manisnya. Faizal berbicara sendiri. Hatinya serba tak kena. Benarkah
dia benar-benar sudah jatuh hati dengan isterinya ini? Atau memang begini
perasaannya bila baru berumah-tangga, segalanya indah, penuh kerinduan dan
dibayangi kemanisan. Tapi, setelah beberapa ketika akan pudar, yang tinggal
hanya luka dan penderitaan. Amira melangkah seiring dengan Faizal ke meja
makan. Puan Fatimah dan Encik Amir yang sudah mengambil tempat tersenyum senang
melihat pasangan itu.
"Makanlah Faizal. Tak pasti sesuai ke tidak masakan mak
dengan selera Faizal," Puan Fatimah mempersilakan. Faizal hanya tersenyum.
Lauk-pauk yang terhidang terasa begitu menyelerakan.
"Nampak sedap semuanya mak. Saya jenis tak kisah, tolak
batu dengan kayu, semua benda saya makan," Faizal bersuara ceria. Amira
tersenyum lucu.
"Semua mak masak ke? Amira tak ada masak apa-apa?"
semua yang sedang menyuap terhenti dengan pertnyaan Faizal yang tiba-tiba.
Amira mengerutkan dahi. Apa sajalah lelaki ini cuba mengenakannya. Amira
berbicara di dalam hati kurang senang.
"Amira jarang masak. Hari ni sebab Faizal ada baru
rajin menolong di dapur. Mira, dah kahwin kena rajin masak untuk suami. Tak
malu ke suami tanya macam tu," Puan Fatimah berterus-terang. Muka Amira
sudah merah menahan malu. Memang dia tidak gemar memasak. Tapi dia ada juga
membantu di dapur. Malah setiap kali makan, dia juga yang mengemas. Amira
memasamkan muka tidak puas hati. Dijeling Faizal di sisi yang sudah
tersenyum-senyum.
"Amira pandai masak, abah suka Mira masak spagetti
dulu. Dah lama juga Mira tak masak spagetti tu," Encik Amir sengaja mahu
membela anaknya bila dilihat wajah Amira sudah berubah. Amira hanya diam.
"Amira pandai masak spagetti? Saya suka makan spagetti,
kenapa awak tak bagitahu awak pandai masak spagetti masa kita makan spagetti
dulu," pandangan Faizal sudah berpaling kepada Amira. Amira hanya
menjeling. Buat apa bagitahu? Nak suruh dia masak? Jangan harap!
"Esok, Mira masakkan spagetti boleh?" entah
mengapa laju saja Faizal membuat permintaan yang menyebabkan pandangan Amira
menikam pandangannya. Faizal masih tersenyum.
"Eloklah tu, esok sarapan Mira masak spagetti. Ada
sebungkus lagi atas almari. Dah lama tak terusik. Dekat rumah ni, Mira saja
yang masak spagetti ni," Puan Fatimah pantas menyarankan. Amira
mengerutkan dahi mahu memprotes. Tapi tidak bertemu kata-kata yang sesuai
dilafazkan.
"Mira masak yang letak lada hitam tu ye, abah suka yang
jenis tu," Encik Amir pula membuat permintaan. Amira memandang ibu bapanya
tidak puas hati. Tapi hanya mampu berdiam. Masak sajalah, esok pun bukan ada
apa-apa. Faizal di sisi terus tersenyum senang. Senang dapat mengenakan Amira.
Senang dapat merasa masakan Amira esok pagi.