Amira terjaga,
matanya memandang ke jendela. Masih gelap. Pantas disambar telefon bimbit di
meja sisi. Sudah jam enam pagi. Dan tiada panggilan mahupun mesej dari Faizal.
Amira resah lagi. Amira masih pening kerana kurang tidur. Rasanya semalam dia
tertidur jam 3 atau 4 pagi. Ah, semuanya kerana Faizal! Ke mana sahaja Pulau
Perhentian itu sehingga begitu sukar untuk menelefonnya. Amira tidak pernah
tiba ke sana. Namun, Amira yakin masih ada kawasan yang boleh menggunakan
telefon bimbit di pulau peranginan yang popular di pantai timur itu.
Amira bangkit
perlahan. Dia perlu solat subuh. Berdoa dan menenangkan perasaan. Sewajarnya
dia habiskan malam tadi dengan qiammullail dan berdoa agar Allah sentiasa
menjaga Faizal. Ini dia resah dan memikirkan yang bukan-bukan tentang Faizal.
Amira menggeleng sendiri. Sedar dengan kelalaiannya yang terlalu mengikut
perasaan.
Usai solat
Amira membaca al-Quran supaya dapat menenangkan perasaan. Dalam hatinya
sentiasa berdoa agar Faizal selamat. Serasanya selepas ini dia perlu meletakkan
syarat unutk Faizal sentiasa memaklumkan kepadanya jika ada tugasan luar
seperti ini. Dia tidak sanggup rasanya untuk menunggu dan resah begini.
Namun, mahukah
Faizal memenuhinya? Lelaki itu bukankah rimas dan lemas dikongkong wanita.
Amira resah memikirkan. Dia bukanlah mahu masuk campur dalam urusan Faizal,
malah selagi Faizal tidak melakukan sesuatu di luar batas syariat, Amira tidak
kisah dan boleh menerimanya. Tetapi, hatinya? Kebimbangan dan keresahan ini
perlu dirungkai. Amira mengetap bibir. Entah mengapa dia seakan mahu menangis.
Dia tersedu
sambil terus membaca al-Quran. Sungguh dia rindu dan bimbangkan keselamatan
lelaki itu. Terlalu. Adakah ini maksud Faizal? Beza antara teman biasa dan
kekasih. Adakah rasanya yang begitu memberat dalam hati ini kerana dia mula
mengasihi lelaki itu? Ya, Faizal adalah suaminya, tidak salah untuk dia
mengasihi lelaki itu! Amira menangis lagi.
"Amira?"
Bunyi pintu dibuka memalingkan wajah Amira. Amira terpempan. Tangisannya masih
belum reda. Malah semakin menjadi-jadi pula.
"Amira?
Kenapa ni?" Faizal mendekati. Wajah Amira yang kemerahan dan lencun dengan
air mata ditatapnya sayu. Amira menangis kerana diakah?
Amira
menggeleng. Cuba meredakan tangisan. Al-Quran ditutup perlahan sebelum
meletakkan di rak. Dia berpaling memandang Faizal yang masih kaku berdiri.
Faizal kah? Dia tidak bermimpi bukan? Amira merenung lelaki itu ragu-ragu.
"Erm...
maaf, saya baru sampai. Saya nak solat subuh dulu, abah suruh naik atas terus.
Mula ingat nak ke bilik tetamu. Tapi, saya nak jumpa awak dulu... walau
sekejap...," Faizal cuba menjelaskan. Dia masih keliru melihat wajah Amira
yang sembab kerana tangisan. Amira yang tangisannya mula reda kembali menangis.
Dia juga mahu bertemu Faizal walaupun sekejap.
"Amira..."
Faizal mula serba-salah melihat tangisan Amira yang kembali semula. Amira
sekali lagi cuba menahan tangisan.
"Awak pergilah
solat dulu, itu bilik air," Amira bersuara tersekat-sekat antara sendu
tangisannya. Faizal mengangguk sambil teragak-agak memasuki bilik air.