Amira tidak
dapat melelapkan mata malam itu. Telefon bimbitnya direnung lama. Faizal masih
tidak menghubunginya. Pedalaman sungguhkah tempat yang Faizal pergi hingga kini
masih tidak menghubunginya. Hatinya resah. Memang dia marah bila Faizal tidak
menepati janji. Dia lebih-lebih lagi marah bila Faizal menghilang tak dapat
dikesan. Membiarkannya tertanya-tanya dan resah sendiri.
Dia
berkira-kira untuk menghubungi lagi. Namun, memandangkan jam sudah menunjukkan
lewat malam, dia tahankan hasrat hati. Jauh di sudut hati dia bimbangkan
Faizal. Memang dia jarang-jarang menghubungi Faizal. Malah sebelum berkahwin
lagi, Faizal yang lebih dahulu menelefonnya menetapkan janjitemu. Seingatnya,
ini kali pertama dia menghubungi Faizal terlebih dahulu.
Sebelum ini
jika dia ingin memberitahu Faizal, dia hanya akan menghantar mesej. Mesej!
Bagaimana Amira boleh terlupa tentang itu? Amira kembali menghidupkan telefon
bimbitnya. Dia mula mahu menaip. Tapi dia buntu seketika. Apa yang ingin
ditulisnya? Di tengah malam begini?
Amira mengeluh
sendiri buat kesekian kalinya. Telefon bimbit dipadamkan semula. Tunggulah pagi
untuk merungkai segalanya. Ini kali pertama Faizal tiba-tiba menghilang.
Walaupun mendengar khabar dari Zaman sedikit melegakan. Namun, selagi tidak
bertemu atau sekadar mendengar suara Faizal, hati Amira masih tidak akan
tenteram.
Tanpa Amira
sedari, dia berdoa mentari segera terbit dan pagi cepat hadir. Entah mengapa
kerisauan itu menimbulkan rasa aneh dalam diri Amira. Dia mahu segera bertemu
lelaki itu. Hatinya seakan menanggung satu beban rasa yang sukar dimengerti.
Adakah ini maknanya rindu?
Malam makin
larut dan Amira tenggelam dalam seribu rasa yang membelenggu kerana Faizal.
Sehingga tidak sedar bila terlena, namun dalam mimpinya masih hadir bayangan
Faizal.