Pagi itu Faizal
mengikut Encik Amir bersenam di taman. Sejak Faiza tiba bersama Fairuz, Puan
Fatimah tidak berengggang dengan cucu kesayangannya itu. Faizal juga sengaja
mahu meninggalkan rumah dan mengelak dari bertemu Amira. Tidak sangka dia boleh
tidur dengan Amira dalam pelukan di atas lantai yang hanya beralaskan
comforter.
Faizal cuba
memadamkan ingatan yang berlaku malam tadi. Mujur tidak ada apa-apa yang
berlaku. Jika tidak, pasti Amira menuduhnya mengambil kesempatan dari kesedihan
yang dihadapi gadis itu. Namun, tangisan Amira masih menjadi tanda-tanya. Sebab
dia kah? Atau ada sebab lain? Jika dia bertanya lagi, bimbang Amira menangis
lagi. Faizal mengeluh sendiri.
Setelah
beberapa lama mengenali Encik Amir, Faizal semakin selesa untuk bersembang
pelbagai perkara dengan ayah mentuanya. Topik yang paling digemari pastinya
berkaitan pembinaan, bidang di mana kedua-duanya terlibat. Faizal tidak kekok
lagi bercerita kepada Encik Amir tentang pandangannya berkaitan perniagaannya
dan firma binaannya. Malah, Faizal merasakan banyak ilmu yang dapat ditimba
daripada ayah mentuanya yang lebih lama bergelumang dalam bidang tersebut.
Amira juga lega
bila Faizal menghilang selepas solat subuh. Bila Puan Fatimah memberitahu Faizal
pergi bersenam dengan Encik Amir, Amira hanya diamkan saja. Dia tidak menyangka
akan tidur dalam pelukan Faizal. Kali pertama sejak menginjak dewasa berada
dalam pelukan seorang lelaki. Masa kecil-kecil dahulu, adalah ayahnya
memeluknya, tapi bila sudah masuk sekolah menengah, batas sentuhan dengan
ayahnya sekadar bersalaman sahaja. Faiza sahaja yang lebih manja dan sering
memeluk Encik Amir.
Amira menghela
nafas panjang. Dia tidak tahu bagaimana mahu berbicara dengan Faizal hala tuju
hubungan mereka. Dia memang mudah menangis. Tapi, bila sudah semakin dewasa,
dia sudah jarang-jarang menangis, tidak sseperti zaman kanak-kanaknya. Walaupun
Faiza nampak lebih manja, tapi Amira lebih mudah menangis. Tapi, dia sudah
buang tabiat cengengnya itu lama dulu. Tapi, kerana Faizal, tangisannya seperti
tidak dapat ditahan.
"Nanti Ija
tolong ya untuk persiapan kenduri Kak Mira," bicara Faiza mematikan
lamunan Amira. Cadangan tarikh kendurinya akan berlangsung sebulan lagi. Baru
sahaja selesai kenduri adik bongsunya, kini, mereka sekeluarga akan sibuk lagi
dengan persiapan kendurinya pula. Puan Fatimah mahu buat besar-besaran sebab
Amira adalah anaknya yang terakhir mendirikan rumah tangga. Amira dapat rasakan
Puan Jamilah juga mempunyai pendapat yang sama kerana Faizal adalah
satu-satunya anak mereka. Amira mengeluh perlahan. Dia sebenarnya tidaklah
begitu kisah tentang urusan majlis perkahwinannya. Buat yang ringkas saja sudah
memadai. Dia tidak pernah terfikir tentang majlis perkahwinan yang mewah dan
bertema yang bukan-bukan.
"Kak Mira, dengar tak Ija cakap ni? Kita
tempah baju dekat Butik Karmila. Kawan Ija yang baru kahwin tu guna khidmat
butik tu, memang cantik pakaian yang disediakan," Faiza cuba meraih
perhatian Amira yang seakan tenggelam dalam khayalan.
"Erm.. ok
je. Cuma jangan yang mahal sangat, takut terlebih bajet pula," Amira
membalas acuh tak acuh. Faiza bukan boleh dikira sangat. Adik perempuannya itu
kalau bab membeli-belah pakaian, kasut dan aksesori wanita memang nombor satu,
nasiblah suaminya seorang jurutera di syarikat multi-nasional dan bergaji
besar. Bolehlah memenuhi kehendak Faiza yang memilih untuk menjadi suri rumah
sepenuh masa setelah berkahwin. Faiza yang berkahwin sebaik sahaja tamat
pengajian itu memang tidak pernah bekerja, namun, Faiza tidaklah keterlaluan
dalam berbelanja, anak perempuan kedua Encik Amir dan Puan Fatimah itu
sebenarnya bijak dan berhemah dalam mengatur hidup sehariannya. Malah, dia juga
sudah bercadang untuk menyambung pengajian apabila anaknya agak besar untuk
mula ditinggalkan di rumah asuhan.
Cuma kehidupan
Amira memang berbeza berbanding Faiza. Amira lebih gemar membelanjakan wangnya
untuk membeli buku berbanding barangan lain. Puan Fatimah juga sering menegur
buku yang dibeli Amira yang terlampau banyak memenuhi ruang bilik tidurnya.
Amira yang memang tidak punya teman lelaki, memilih untuk menjadi wanita yang
bekerjaya. Sebelum menjawat jawatan tetap dengan Majalah Muslim, Amira telah
berkerja sementara di beberapa buah syarikat lain. Kini, selain menjadi editor,
Amira turut mengajar separuh masa setelah tamat pengajiaannya di peringkat
sarjana yang diambilnya secara separuh masa setahun yang lalu.
Amira masih
punya banyak impian selain membina keluarga. Bukan dia tidak teringin, fitrah
untuk berkahwin itu memang sentiasa ada. Cuma dia tidaklah terlalu memikirkan
soal itu sehingga Faizal muncul dalam hidupnya. Ketika ini Amira sepatutnya
sedang sibuk menulis, dia mahu menghasilkan buku pertamanya. Memang impiannya
mahu menjadi seorang penulis sejak kecil lagi, namun, dia sendiri tidak
mengerti mengapa sehingga hari ini dia masih gagal merealisasikan impiannya
itu. Namun, jadual menulisnya jadi tidak menentu dengan masalah yang hadir
bersama pernikahan tiba-tibanya itu.
Dia perlu
berbincang dengan Faizal hala tuju hubungan mereka. Amira berbicara sendiri.
Dia tidak boleh selamanya meneka-neka apa yang ada di dalam hati Faizal serta
memendam segala rasa yang membuku di dalam hatinya. Amira mengeluh. Sejak
berkahwin, rasanya dia tidak bebas untuk meluah bicara seperti janjitemu yang
berlangsung selama mereka belum ada sebarang ikatan. Dia teringat perbualan
kali pertama bersama Faizal di pejabatnya. Mereka berbicara tanpa ragu meluah apa
yang terlintas di fikiran. Amira tersenyum mengenangkan detik itu. Detik ketika
Faizal melamarnya buat kali pertama.