"Maaf Amira, saya perlu pulang ke kampung hari ini, ayah
saya sakit tenat," panggilan telefon dari Faizal membatalkan temujanji
mereka malam ini. Sedang dia juga baru ingin maklumkan yang dia turut tidak
dapat memenuhi temu janji mereka kerana kenduri adiknya yang akan di adakan
pada hari sabtu ini.
"Maklumkan saya ya keadaan ayah awak nanti," Amira
sempat berpesan sebelum menamatkan panggilan. Terbit rasa simpati pada ibu bapa
Faizal yang teringin melihat Faizal membina keluarga. Teringat babak-babak
kahwin paksa apabila ibu atau bapa hendak meninggal dunia dalam drama dan novel
melayu. Menonton drama dan membaca novel memang seakan indah belaka. Tapi
hakikatnya, dia sendiri tidak pasti dia sanggup melakukannya. Amira berdoa
semoga ayah Faizal beransur sembuh dan sihat semula.
Malam ini semakin ramai ahli keluarga akan datang ke rumah
smpena kenduri kahwin adiknya esok. Ramailah akan bertanya gilirannya pula.
Amira mengeluh sendiri. Jika ibu bapanya tidak kisah, ramai pula
saudara-maranya yang kisah.