"Masuklah," Amira menunjukkan bilik tetamu. Dia
sudah berbincang dengan Puan Fatimah dan Encik Amir. Dia tidak mungkin akan
berkongsi bilik dengan Faizal. Walaupun Puan Fatimah tidak bersetuju, Encik
Amir membenarkan. Amira perlukan masa. Anak perempuannya yang seorang ini tidak
pernah rapat dengan mana-mana lelaki selain daripada ahli keluarganya. Faizal
adalah lelaki pertama yang muncul dalam hidupnya, malah, dia sedar, Amira masih
belum yakin untuk mencintai dan menerima Faizal sepenuhnya.
Faizal memerhati bilik yang berkeluasan sederhana itu.
Lengkap dengan perabot asas untuk sebuah bilik tidur. Namun kelihatan kosong.
"Ni bilik tetamu, awak tidur la di sini. Saya tidur di
bilik saya. Saya dah bincang dengan mak dan abah tentang ini. Saya tak mungkin
boleh kongsi bilik dengan awak dan saya rasa awak pun lebih selesa begitu
kan?" Amira bersuara tenang sambil memandan Faizal yang sudah pun
melabuhkan punggung di atas katil.
"Okey, saya pun risau kalau kena tidur atas lantai
kalau kongsi bilik dengan awak," memang itu pun yang Faizal fikirkan bila
diminta bermalam di rumah Amira. Tidak menyangka Amira telah menyusun rancangan
yang lebih baik. Faizal tersenyum memandang Amira. Setelah seminggu, Amira
langsung tidak menghubungi. Dia tahu Amira marah bila dia hanya diam dan
bersetuju dengan cadangan Encik Amir. Dia mahu menghubungi Amira berkali-kali
namun, dia buntu untuk meluahkan kata-kata yang bagaimana. Petang itu sengaja
dia datang awal setelah tamat kerja. Malah, dia sudah membawa beg pakaian sejak
keluar awal pagi lagi. Entah mengapa dia mahu segera bertemu Amira. Adakah dia
sudah mula merindui Amira?
"Awaklah rehatla dulu, bolehla nak mandi ke. Awak terus
datang dari tempat kerja ke?" Amira bertanya bila melihat kemeja dan
seluar slack yang masih tersarung di badan Faizal. Faizal mendepangkan tangan
seraya menghempas tubuh ke atas katil. Penat. Dia memang mahu merehatkan diri
setelah bertungkus lumus seharian. 2 mesyuarat di sebelah pagi dan semakan
kepada hasil lakaran untuk projek yang perlu disiapkan sebelum berehat di
hujung minggu. Malah masih belum selesai dan dia membawa salinan di dalam
komputer ribanya untuk menyambung tugas di rumah. Namun, dia mahu segera bertemu
Amira, maka dia bergegas ke rumah Amira. Tapi Amira masih belum pulang. Maka
dia melayan pula ibu mertuanya, senang juga berbual dengan ibu mertuanya namun
hakikatnya dia kepenatan. Faizal memejamkan mata. Amira mengerutkan dahi
melihat tingkah Faizal. Penat sangatkah? Bila Faizal masih tidak juga
berganjak. Amira membuat keputusan untuk keluar. Biarlah, mungkin dia terlalu
penat. Selalunya pulang kerja boleh terus berehat di rumah, tapi hari ini perlu
datang ke rumah Amira dan terpaksa pula melayan ibu Amira dahulu.
"Amira," belum sempat Amira menutup pintu suara
Faizal membuatkannya kembali berpaling. Faizal bangkit. Menyeluruhi wajah Amira
yang merenungnya penuh persoalan. Hati Faizal sedikit lega setelah menemui
Amira. Seminggu ini terasa tidurnya seperti tak lena. Dia tahu, sedikit
sebanyak dia meyukai Amira. Cuma dia masih tidak pasti untuk hidup berumah
tangga. Jauh di sudut hati, Faizal bimbang Amira akan terluka seperti
wanita-wanita yang pernah dia dekati sebelum ini. Jika sebelum ini, ketika
hanya bercinta, mudah sahaja untuk memutuskan hubungan bila merasakan tidak
sesuai. Tapi kini setelah bernikah, adakah nanti bila mereka berdepan satu perselisihan
dan merasakan tidak serasi untuk bersama, adakah mereka boleh dengan mudahnya
berpisah? Bercerai?
Amira mengerutkan dahi bila Faizal masih merenungnya tanpa
sebarang suara. Apa sajalah yang lelaki itu fikirkan. Faizal walaupun mudah
mesra, jarang meluahkan apa yang terbuku. Kalau ditanya barulah akan dikatakan.
Lelaki itu terlalu banyak berfikir, hingga barangkali menyangka apa yang
difikirkannya mampu ditelah orang lain. Amira mula mengerti sikap Faizal itu.
"Kenapa Faizal?" Amira merapatkan pintu dan
melangkah menghampiri Faizal. Punggung dilabuhkan di sisi Faizal di atas katil.
Ini kali pertama berada di dalam bilik berdua bersama Faizal. Walaupun masih
ragu, Amira sedar, dia perlu berani untuk cuba menerima Faizal. Mungkin dia
boleh membincangkan apa sebenarnya rancangan Faizal. Apakah Faizal sekadar
mahukan perkahwinan ini untuk sementara atau Faizal mahu mencuba untuk hidup
bahagia seperti orang lain. Entah mengapa, walau sebelum berkahwin dia
merasakan perceraian bukanlah satu yang mustahil, setelah selamat
diijabkabulkan, Amira sentiasa dilanda bimbang. Jika benar dia akan benar-benar
bercerai. Oleh sebab itu dia sukar menerima Faizal. Bimbang terluka. Takut pada
perpisahan.