Faizal
memeriksa telefon bimbitnya setelah tiba di bilik hotel. Memang sepanjang di
tapak pembinaan, dia tidak dapat dihubungi akibat rangkaian perhubungan telefon
yang masih tidak ada di kawasan tersebut.
Melihatkan nama
Amira yang menghubungi sebanyak 15 kali membuatkan Faizal mengerutkan wajah.
Faizal memeriksa kalendar di telefon bimbitnya. Jumaat! Bagaimana dia boleh
terlupa janji dengan Amira. Malah dia langsung terlupa untuk memberitahu Amira
tentang pemergiannnya ke Pulau Perhentian tersebut. Dia memang tidak pernah
memaklumkan segala gerak-gerinya kepada seseorang sebelum ini. Malah, Faizal
tahu, sikapnya seperti itu yang membuatkan ramai kekasih hatinya marah dan
merajuk dahulu. Amira, apakah perasaan Amira? Melihat panggilan sebanyak 15
kali yang tidak terjawab, Amira pasti marah. Mungkin juga Amira risau? Risau?
Faizal senyum sendiri. Entah mengapa hatinya senang bila terkenang jika benar
Amira risaukannya.
Faizal
menggeleng sendiri. Bukan dia tidak pernah jatuh cinta. Memang indah sahaja
pada permulaannya. Namun, dua hati yang berbeza tak akan selamanya setuju dan
rela dalam semua perkara. Sampai masa, pasti ada saja yang tidak kena, pasti
ada saja yang berbeza. Dan lelaki seperti dia tidak begitu mudah untuk beralah,
menerima dan bertolak-ansur. Baginya itu hipokrit. Namun, dia sedar juga,
sikapnya itu hanya melukakan hati kekasihnya. Faizal mengeluh.
Setelah mandi dan
bersalin pakaian Faizal merebahkan tubuh di atas katil. Dia menjeling jam di
dinding. Sudah hampir sebelas malam. Setelah selesai kerja di tapak pembinaan,
dia menghabiskan masa pula berbincang dengan pekerja-pekerja dari syarikat
kontraktor dan jurutera. Masih banyak yang perlu diputuskan berikutan projek
ini masih di peringkat awal. Tambahan lagi, pada awalnya Zaman yang terbabit
menguruskannya. Namun, bila mengenangkan sahabatnya itu yang baru menimang
cahaya mata, dia setuju juga untuk mengambil alih projek itu. Zaman pula
bertukar menyiapkan projek pembinaan di Kuala Lumpur yang diuruskannya.
Hingga dia
terlupa, selain Zaman yang memiliki anak baru, dia juga punya isteri yang baru
dikahwini. Ya, Zaman juga masih belum tahu soal Amira. Dia masih berkira-kira
waktu yang sesuai untuk berterus-terang dengan Zaman. Pasti sahabat baiknya itu
terkejut dengan berita tersebut. Amira. Faizal menghela nafas. Sewajarnya dia
menghubungi Amira. Sudahlah dia tidak datang ke rumah Amira pada hujung minggu
seperti yang dijanjikan. Lagi pula, dia mungkir janji untuk mengambil Amira
dari pejabat petang tadi.
Tiba-tiba
telefon bimbitnya berbunyi. Faizal segera bangun mencapai peranti komunikasi
tersebut. Nama Zaman tertera. Baru terfikir tentang sahabatnya itu. Faizal
tersenyum sambil menekan skrin telefon untuk menerima panggilan.
"Seronok
ke duduk pulau?" suara Zaman menerpa agak kuat. Faizal tahu, lelaki itu
turut menghubunginya beberapa kali petang tadi.
"Assalammualaikum,"
Faizal bersuara tenang, dalam hati mahu menyindir Zaman yang tiba-tiba bertanya
tanpa salam. Zaman ketawa.
"Waalaikumussalam,
aku ada soalan cepu mas nak tanya kau ni," Zaman tidak mahu berbasa-basi
lagi. Hatinya sudah tidak sabar mahu melepaskan persoalan yang sejak petang
tadi bermain di fikiran. Faizal mengerutkan wajah. Apa sajalah yang mahu
ditanyakan Zaman. Memang sahabatnya itu selalu menghubungi lewat malam begini.
Selalunya mereka akan berbual soal kerja, tapi selalu juga soal peribadi
dibangkitkan.
"Kau
dengar tak Zal?" Zaman bertanya lagi bila Faizal hanya membisu.
"Hmm...
apa benda kau nak tanya?" Faizal mula menguap. Seakan malas mahu melayan
Zaman yang rasanya cuba mahu menyakatnya. Bukan dia tidak kenal Zaman yang suka
mengusik.
"Ngantuk
ke? Malam masih muda la... Malam ni aku tak tidur jaga baby. Jadi, boleh la aku
borak dengan kau," Zaman ketawa lagi. Faizal mencebik. Zaman memang sangat
gembira dengan kelahiran anak ketiganya. Perempuan. Masih belum diberi nama.
Sedetik ada juga rasa cemburu kepada Zaman. Mereka sebaya, namun Zaman suddah
beranak tiga dan dia? Sekurang-kurangnya dia sudah berkahwin. Faizal senyum
sendiri. Bayangan Amira kembali memenuhi ruang mata.
"Cuba kau
teka siapa call aku petang tadi?" Zaman bertanya. Kali ini suaranya seakan
serius. Hilang langsung bunyi ketawanya sebentar lagi. Faizal diam. Manalah dia
tahu. Hatinya berbicara sendiri.
"Nak main teka-teka
apa pula malam-malam buta ni?" Faizal seakan tidak berminat.
"Kau ni,
tak thrill la. Tu pasal perempuan semua lari. Kadang-kadang kau kenala pandai
sikit bab-bab megayat ni," Zaman bersuara lagi. Faizal hanya diam. Malas
mahu membalas. Memanglah perempuan lari.
Tapi, dia sendiri tak minat nak simpan perempuan lama-lama. Tapi, kalau
Amira lari macam mana? Faizal menggeleng. Amira lagi! Dia ni memang dah angau
ke apa?
"Amira,"
Zaman bersuara. Faizal terdiam. Zaman sebut Amira?
"Ingat tak
Cik Amira yang kecil molek yang interview kita dulu? Dia call aku," Faizal
tersentak dengan bicara Zaman. Jantungnya berdegup laju tiba-tiba. Amira
telefon Zaman? Faizal menyentuh dadanya. Degupan itu seakan mahu meletupkan
dadanya. Dia rasa... cemburu?
"Hei, kau
kenapa? Dah ngantuk sangat ke?" suara Zaman sedikit keras.
"Hmm...
kenapa dia call?" Faizal bertanya serius. Sedayanya dia tidak mahu Zaman
mengesan perubahan dalam hatinya.
"Kau agak
kenapa?" pertanyaan Zaman seakan menghilangkan sabar di hati Faizal. Kalau
sahabatnya itu di depan mata, mahu melayang penumbuk sebiji. Namun, Zaman hanya
ketawa selepas memberikan pertanyaan itu.
"Manalah
aku tahu," Faizal menjawab setenang mungkin. Kenapa agaknya Amira
menghubungi Zaman? Amira memang ada nombor Zaman. Semasa menetapkan masa
temuramah dulu pun Amira lebih banyak berhubung dengan Zaman. Faizal tahu, saat
itu, dia merasa cemburu dengan Zaman yang mengenali Amira lebih awal walaupun
hubungan itu sebatas tugasan kerja Amira. Tapi, Amira tak pernah lagi hubungi
Zaman selepas itu. Jika Amira tiba-tiba menghubungi Zaman...
Faizal
menjarakkan telefon dari telinganya. Dia merenung telefon itu. 15 panggilan
tidak berjawab dari Amira. Faizal ssenyum sendiri. Amira telefon Zaman. Hanya
ada satu sebab saja gadis yang tidak reti berkawan dengan lelaki itu tiba-tiba
menghuubungi lelaki tanpa sebab. Ya, kerana ada sebab! Dan sebanya...
"Kenapa?
Dia tanya pasal aku ke?" Faizal terus bersuara sebelum sempat Zaman
menjawab.
"Hoho...
kau memang ada hubungan dengan dia ke?" Zaman masih ketawa. Dalam
diam-diam sahabatnya itu memadu kasih rupanya.
"Apa dia
tanya kau?" Faizal bertanya tanpa mengendahkan pertanyaan Zaman.
"Dia tanya
kau ada dekat mana? Dia call kau tak dapat-dapat" Zaman menjawab. Dia tahu
Faizal tidak akan menjawab persoalannya itu yang dia seakan yakin jawapannya.
"Apa kau
jawab?" Faizal bertanya. Bibirnya menguntum senyum. Amira mencarinya
sampai sanggup menghubungi Zaman.
"Aku
jawabla kau dekat kawasan pedalaman, tak ada line," Zaman berterus-terang,
pertanyaan Amira tidak lah pelik. Cuma, gadis itu yang menghubungi dan bertanya
seperti itu. Terasa pelik juga.
"Jadi, kau
dah call dia balik ke? Cara dia tanya macam banyak kali juga la dia call kau
tak dapat? Berapa missed call kau dapat dari dia?" Zaman bertanya tenang.
"Lima
belas..." Faizal tersedar dia sudah terlepas cakap.
"Lima
belas? kenapa banyak sangat? Kau dah buat apa pada dia?" Zaman agak
terkejut. Tiba-tiba dia ragu sejenak. Mungkin Faizal bukan bercinta dengan
Amira. Macam nak kutip hutang pula dengarnya kalau call berkali-kali seperti
itu.
"Tak ada
apalah, nanti aku balik KL la cerita. Aku dah ngantukla. Aku tidur dulu,"
Faizal terus mematikan panggilan membiarkan Zaman terus dihurung pertanyaan.
Faizal
meletakkan telefon bimbitnya di meja sisi. Dia merenung syiling biliknya.
Amira. Dia tersenyum sendiri. Entah kenapa dia rasa mahu terbang sekarang juga
menemui gadis itu.