Amira membasuh wajahnya. Bagaimana boleh tertidur sehingga
Faizal sampai dan mengejutkannya. Sungguh memalukan. Amira membasuh wajah
berulang-kali membuang rasa pening dan mengantuk.
Usai solat, mereka bertemu di kereta Faizal. Amira memang
tidak bawa kereta. Selalunya dia memang menaiki kenderaan awam ke tempat kerja,
sesekali jika dia perlu menemuramah atau ada tugasan luar baru dia membawa
kereta.
"Awak nak makan apa?" Faizal membetulkan cermin
kereta. Amira diam. Dia masih memikirkan betapa malunya dia terhadap Faizal.
Tapi, dia perlu berlagak selamba. Amira berbicara dalam diri sambil
mengangguk-angguk.
"Amira, kenapa?" Faizal hairan dengan tingkah
Amira. Tidak dijawabnya soalan tapi mengangguk-angguk pula.
"Ha? oh,tak ada apa," Amira segera menjawab.
Faizal mula menghidupkan enjin dan tersenyum sendiri. Apa sajalah yang Amira
sedang fikirkan.
"Saya suka makan spagetti, kita makan spagetti
ok?" Faizal memutuskan. Dia memang lebih suka memutuskan sendiri, cuma
bila terkenangkan Amira yang kepenatan menunggu, dia terfikir untuk untuk
memberi ruang untuk Amira memilih. Tapi bila Amira masih diam juga, dia malas
untuk bertanya lanjut. Amira cuma mengangguk.
Sejak perbualan mereka di pejabat Faizal, sudah hampir
sebulan berlalu. Ini adalah kali ketiga mereka keluar bersama. Mereka setuju
untuk keluar selepas kerja pada hari jumaat setiap minggu. Sebab sabtu tidak
bekerja dan masing-masing mahu menghabiskan hujung minggu dengan urusan
peribadi masing-masing. Jadi jumaat malam, adalah waktu yang paling sesuai.
Setiap kali juga Faizal akan tentukan tempat dan acaranya.
Amira tidak banyak soal dan hanya mengikut. Bagi Amira, dia memang tidak suka
membuat pilihan, dia senang bila Faizal yang membuat setiap pilihan. Ya, jika
soal yang remeh-temeh seperti memilih restoran dan tempat untuk berjumpa, dia
memang tidak gemar untuk memikirkannya. Berbeza jika ia berkaitan isu yang
besar seperti perkahwinan dan kerjaya. Itu sesuatu yang akan dia fikirkan, dia
akan memilih dan bila dia mula berfikir untuk memilih, masa yang diambil adalah
lama dari biasa. Amira mula berfikir sejauh mana hubungannya dan Faizal akan
berlangsung. Dia tidak pasti sampai bila dia akan berfikir sebelum membuat
keputusan. Perlahan Amira mengeluh sendiri.
"Kenapa?" Faizal bertanya. Amira baru tersedar
kembali yang dia kini di dalam kereta bersama Faizal. Dia menoleh ke arah
Faizal dan senyum sekilas sebelum menggeleng kepala. Hakikatnya, dia sendiri
tidak pasti untuk berbicara bagaimana dengan Faizal. Ya, memang mereka berdua
berkongsi kepercayaan bahawa perkahwinan bukan penghujung kebahagian tapi
mereka sama sekali berbeza.
Sejak kali pertama merek mula keluar bersama 3 minggu yang
lalu, Amira sudah rasakan mereka tidak mungkin serasi. Faizal, walaupun dia
katakan yang dia tidak suka pada perempuan, hakikatnya punya ramai teman dari
kalangan wanita. 2 kali temu janji mereka, 2 kali mereka ditegur oleh beberapa
teman perempuan Faizal. Bukan seorang dua, kali kedua temu janji mereka,
sekumpulan wanita yang merupakan pekerja syarikat hiasan dalaman menegur
mereka. Mereka berbual dengan Faizal hampir setengah jam. Ketika pertemuan
pertama, seorang wanita menegur Faizal tapi tidak lama berbual dan kali kedua
mereka ditegur sepasang pasangan, teman sekampus Faizal semasa dia menuntut di
Amerika Syarikat. Faizal, walaupun tidak sukakan perempuan ternyata sangat
popular di kalangan perempuan.
Keduanya, Faizal, hanya memilih restoran makanan barat.
Setahunya, Faizal dibesarkan di kampung di Kedah. Hanya melanjutkan pengajian
di Amerika Syarikat setelah tamat persekolahan. Tapi, nampaknya lidah Faizal
dah bertukar selera dari melayu kepada barat. Amira mula berkira-kira, jika dia
pergi ke Amerika sejak usia 20 tahun, sudah 15 tahun meninggalkan kampung
halaman, belajar di luar negara dan bekerja di Kuala Lumpur. Sedikit sebanyak
mungkin mengubahnya. Mungkinkah, perempuan bermata biru lebih sesuai untuknya.
Amira terfikir adakah Faizal pernah miliki teman wanita 'mat salleh'? Amira
menoleh Faizal yang kelihatan fokus dengan pemanduan.
"Erm, Faizal, awak pernah ada teman wanita 'mat
saleh'?" Amira meluahkan pertanyaan sambil memandang tepat ke arah Faizal.
Faizal menoleh sekilas kepada Amira sebelum kembali memandang ke hadapan.
"Kenapa tanya?" Faizal tidak terus menjawab,
matanya masih fokus dengan pemanduan. Amira menarik nafas.
"Saya terfikir, mungkin awak tak suka perempuan melayu
tapi mungkin awak suka perempuan mat saleh?" Amira berandaian sambil
memandang ke hadapan. Faizal masih memandang ke hadapan namun wajahnya berkerut
cuba memahami kata-kata Amira.
"Sebab, saya tengok, awak suka makanan barat, mungkin
selera awak ada pada wanita barat," Amira tenang berbicara. Faizal mula
mengukir senyuman sebelum perlahan-lahan ketawa besar. Amira menjeling. Terasa
seperti Faizal mentertawakan kata-katanya.
"Kalau saya suka makan makanan cina, saya suka
perempuan cina ke? atau kalau saya suka makanan jepun, saya suka perempuan
jepun?" Faizal membalas bicara sambil tetap memandang ke hadapan. Amira
mencebik. Benar, Faizal memang sedang mempermainkannya.
"Tak adalah, saya tanya je. Mana tahu boleh bantu
selesaikan masalah awak," Amira menjeling tidak puas hati bila Faizal
masih tersenyum-senyum.
"Kenapa? Awak masih tak nak kahwin dengan saya?"
Faizal serkap jarang. Amira diam. Ada benarnya. Jauh di sudut hati dia masih
ragu lagi. Bagaimana lelaki ini begitu mudah mengucapkannya.
"Tak adalah, saya cuma hairan, awak layan kawan-kawan
perempuan awak dengan baik. Cara awak layan saya pun ok, tak adalah teruk
sangat. Jadi saya keliru, apa yang buat awak tak suka sangat dengan
perempuan?" Amira meluahkan rasa hati. Faizal membelokkan kereta. Dia
tidak menjawab pertanyaan Amira. Dalam hati dia terfikir, adakah Amira fikir
layan kawan dan kekasih adalaj sama? Atau mungkin benar Amira memang tidak pernah
punya kekasih?
Apabila Faizal mematikan enjin dan membuka pintu. Amira
menuruti sahaja. Ya, dia memang tidak suka memaksa. Kalau Faizal mahu menjawab,
pasti dia akan berbicara. Jika tidak biarkan saja.
Restoran makanan itali yang kelihatan eksklusif. Amira memandang
persekitaran. Ya, selera Faizal bukan sahaja makanan barat, pilihan restoran
pun berbeza. Menu yang harganya berjumlah puluhan ringgit untuk dua orang
makanan. Amira menghela nafas. Memang Faizal yang akan membayar, malah ketika
kali pertama mereka keluar dan dia mencadangkan untuk bayaran dibahagi dua,
Faizal membantah seakan menengking. Amira agak kecut perut dan diam sahaja
selepas itu. Cuma, dia rasa tidak sedap hati pula jika setiap kali begitu.
"Lain kali kita pergi restoran makanan melayu pula,
manatahu selera saya pada perempuan melayu boleh kembali," Faizal bersuara
sambil tersengih merenung Amira yang masih tercegat di pintu kereta. Amira
mencebik sambil menuruti langkah Faizal ke dalam restoran.
"Amira memang tak pernah bercinta sebelum ini?"
Faizal bertanya setelah membuat pesanan. Amira yang sedang asyik memerhatikan
persekitaran restoran, memandang ke hadapan. Faizal yang duduk di hadapannya
tersenyum. Amira sedar, Faizal akan mula mempermainkannya. Benar, memang dia
tidak punya pengalaman bercinta!
"Saya sekolah agama berasrama, masa sekolah dulu,
peraturan antara lelaki dan perempuan agak ketat. Bagi kami, bercinta tu haram.
Tapi bila masuk universiti, saya dah agak ok cuma sebab saya tak biasa sangat
dengan lelaki jadi saya tak ada ramai kawan lelaki dan tak berani untuk
bercinta," Amira seakan memberikan penerangan sejarah ringkas hubungannya
dengan lelaki. Ya, memang sangat ringkas.
"Sekarang? Maksud saya kenapa Amira tak suka pada
perkahwinan?" Faizal seakan mahu lanjutan dari sejarah yang ringkas itu.
"Bila dah kerja, memang terpaksalah untuk berhubung
dengan lelaki. Macam temuramah yang saya lakukan, kebanyakannya memang perlu
bertemu lelaki. Cuma, saya suka hidup sendiri, mungkin macam Faizal, sebab saya
selesa hidup sendiri. Saya dapat rasakan, perkahwinan dan hidup bersama orang
lain seperti perlu pecahkan privasi sendiri. Lagipun, kebanyakan orang akan ada
masalah rumah tangga. Kenapa saya nak kena fikir itu semua?" Amira
memberikan alasan mudah.
"Jadi, kenapa Amira setuju kawan dengan saya?"
Faizal bertanya. Amira diam sejenak. Spagetti yang dipesan tiba. Setelah
pelayan menghidangkan dan berlalu. Faizal kembali bertanya.
"Apa sebab Amira setuju untuk berkawan dan
mempertimbangkan untuk berkahwin dengan saya?" Amira memandang spagetti
yang dihidang dan Faizal silih berganti. Tak boleh ke bagi peluang untuk makan
sesuap dulu? Faizal masih tidak mengusik spagettinya dan memandang Amira. Amira
menarik nafas sambil mengerutkan dahi seakan berfikir.
"Sebab, saya fikir, awak nampak kacak dan kaya dan
mungkin boleh belanja saya makan spagetti yang sedap ni?" Amira tersengih
sambil mengangkat garpu seakan meminta izin untuk makan dahulu. Faizal tertawa
sambil menyuakan isyarat tangan mempersilakan.
"Sebab pertama kali ada orang ajak saya
berkahwin," setelah beberapa suap, Amira meluahkan kata-kata. Faizal turut
berhenti menyuap dan memandang Amira yang sedang tersenyum.
"Ketika masih sekolah, macam yang saya katakan, waktu
itu saya percaya bercinta itu haram jadi saya tetapkan yang saya akan berkahwin
tanpa bercinta terlebih dahulu. Macam yang awak buat, tanpa perlu bercinta,
awak ajak saya kahwin. Cuma, bila dah makin dewasa, urusan perkahwinan bukan
sesuatu yang mudah untuk dibuat keputusan. Jika dulu saya takut untuk berkawan
dengan lelaki, sekarang saya takut untuk berkahwin tanpa mengenali siapa lelaki
itu," Amira meneruskan suapan. Faizal diam. Amira bukan benci pada
perkahwinan, hakikatnya Amira seperti perempuan lain juga, mengharapkan perkahwinan
bukan suatu penderitaan tetapi penuh kebahagian. Kerana ketakutan kemungkinan
akan menderita menyebabkan dia tidak percaya pada perkahwinan. Adakah Amira
akan menderita jika perkahwinan yang dirancangkannya berjalan juga?
"Ada beza cara layanan seorang kawan dan seorang
kekasih," Faizal berbicara tiba-tiba. Amira berhenti menyuap dan memandang
Faizal.
"Soalan awak di dalam kereta tadi, layanan saya yang
baik kepada kawan perempuan dan kenapa saya tidak boleh layan kekasih seperti
itu. Sebab, kawan dan kekasih berbeza," Faizal menjelaskan. Amira
mengerutkan dahi. Beza? Memanglah beza cuma apa bezanya ya?
"Bila awak tengok saya layan kawan-kawan perempuan
saya, apa yang awak rasa?" Faizal bertanya pula. Amira diam dan berfikir
sejenak.
"Erm... saya rasa awak popular di kalangan perempuan,
dan saya hairan yang awak boleh layan perempuan dengan baik walaupun awak
berulang kali kata awak tak suka prempuan," Amira memberikan jawapan.
Faizal tersenyum.
"Jika awak seorang kekasih, perasaan awak cuma satu,
awak akan cemburu," Faizal memberikan jawapan. Amira terdiam seketika
sebelum mengangguk-angguk kepala mengiyakan pendapat Faizal.
"Tapi, saya cemburu juga," Amira memandang Faizal
serius. Faizal terhenti menyuap dan menatap wajah serius Amira.
"Kenapa awak boleh ada ramai kawan perempuan tapi saya
tak ada seorang pun kawan lelaki?" Amira tersenyum sebelum kembali menyuap
spagettinya. Teras dia kembali mengenakan Faizal. Faizal tersenyum sebelum
ketawa besar.
"Awak memang tak ada langsung kawan lelaki?"
Faizal bertanya apabila tawanya kembali reda. Amira diam berfikir sebentar
sebelum menggelengkan kepala.
"Tak ada. Ada teman sekuliah dan sekerja tapi saya tak
begitu rapat, hanya berhubung kalau ada urusan. Kalau teman sekuliah memang
sudah tidak berhubung langsung sekarang," Amira menjelaskan. Faizal
memandang Amira. Sama ada Amira seorang yang naif, suci atau sekadar
anti-sosial?
"Kalau macam tu, saya akan jadi kawan lelaki pertama
awak," Faizal memandang Amira sambil tersenyum. Amira turut tersenyum.
"Terima kasih sebab sudi jadi kawan lelaki saya,"
Amira membalas dengan mimik seperti anak kecil. Faizal tertawa lagi. Sedar
tidak sedar, malam itu berkali-kali Faizal ketawa bersama Amira. Sengaja dia
memilih restoran yang jarang dikunjungi supaya tidak terserempak dengan
teman-temannya seperti 2 malam sebelum ini. Berbaloi rasanya dapat berbual
dengan tenang bersama Amira. Faizal terdiam sejenak, apa yang dia sedang
fikirkan? Gembira berbual dengan Amira?