Pintu bilik Amira
dikuak perlahan. Amira masih ralit menaip di komputer ribanya. Bila mengangkat
wajah, dia tersenyum memandang Puan Fatimah yang sudah pun mengambil tempat
tepi katil. Amira masih terus menaip. Kebetulan idea tengah datang mencurah,
sukar pula kalau dah terhenti nanti.
"Mak ada
perkara nak bincang dengan Mira," Puan Fatimah memulakan bicara. Amira
menoleh sekilas dan tersenyum.
"Mak cakaplah,
Mira dengar," jemarinnya masih setia menaip di papan kekunci komputer
riba.
"Mira tak nak
anak ke?" pertanyaan Puan Fatimah menghentikan gerak jemari Amira.
"Mak risau
sebenarnya, Mira tahu kan, masa mak kahwin dulu, lima tahun tunggu untuk dapat
along. Faiza pun, walaupun kahwin awal, lima tahun baru dapat Fairuz,"
Puan Fatimah meluahkan. Ada nada resah dalam bicaranya. Amira diam. Dia tahu.
Memang dia selalu fikirkan itu semua. Dia memang mahukan anak. Walaupun dia
masih ragu pada perkahwinan, namun naluri wanitanya meronta-ronta untuk
memiliki cahaya mata sendiri. Dia juga sedar masalah yang dihadapi oleh ibu dan
adiknya untuk mendaptkan zuriat. Amira mengeluh perlahan.
"Amira cubalah
terima Faizal dan fikirkan soal anak. Amira tak muda dah, bila dah makin tua
ni, lagi banyak perkara boleh jadi. Mak risaulah," kebimbangan yang
melanda hatinya diluahkan juga. Puan Fatimah sangat risaukan Amira. Dia tahu
Amira sukakan kanak-kanak. Walaupun tidak pernah terluah, hati kecil sentiasa
kuat merasakan betapa Amira juga teringan menimang anak sendiri. Amira masih
diam. Apa saja yang perlu dibalasnya. Dia sendiri resah jika memikirkan soal
itu.
"Mira fikirlah
elok-elok. Mak cuma risaukan Mira," Puan Fatimah mengalah juga dengan
sikap membatu Amira. Dia melangkah ke luar bilik. Amira masih terpaku merenung
komputer riba.
Anak? Dia teringat
angan-angannya dahulu. Berkahwin, beranak dan bercerai. Namun, bila sudah
berkahwin banyak pula keresahan yang melanda. Realiti ternyata tidak semudah
khayalan. Amira teringat Faizal, apakah tanggapan lelaki itu jika dia timbulkan
soal anak? Tapi bersediakah Amira untuk berbicara soal anak dengan Faizal?
Amira buntu. Bagaimana dia mungkin menyelesaikan semua ini. Benar kata Puan
Fatimah, masa berlalu begittu pantas dan dia semakin meningkat usia.
Hatinya meronta
kini. Sungguh, Amira sangat teringin untuk punya anak sendiri!