"Jadi bila Mira cadang nak pindah ke rumah
Faizal?" Puan Fatimah tiba-tiba bertanya. Setelah pulang dari Kedah, sudah
seminggu berlalu. Amira sudah mula bekerja seperti biasa dan urusan pendaftaran
perkahwinan mereka juga telah selesai. Tinggal kenduri sahaja dalam
perancangan. Masih belum ada keputusan kerana Faizal dan Amira masing-masing
sibuk dengan tugasan kerja. Cuti kecemasan yang diambil minggu lalu menyebabkan
kerja-kerja Amira semakin menimbun. Faizal juga begitu.
Pertanyaan Puan Fatimah agak mengejutkan Amira, Amira memang
tidak pernah terfikirkan semua itu. Amira diam. Memikirkan apa yang perlu
dijawab. Faizal tidak pernah bertanya soal itu. Jujurnya, Amira lebih selesa
tinggal di rumah ibu bapanya. Namun, adakah ibu bapanya akan benarkan?
"Amira dengan Faizal ada bincangkan?" Puan Fatimah
bertanya lagi bila Amira masih berdiam. Amira mengalih pandangan kepada ibunya
sebentar sebelum kembali membasuh pinggan.
"Kalau Mira tinggal dekat sini je tak boleh ke?"
Amira bersuara perlahan. Namun masih jelas kedengaran di telingan Puan Fatimah.
Wajahnya berkerut mendengar jawapan Amira. Hatinya terdetik. Seperti ada yang
tak kena.
"Tak boleh ke mak? Kalau Mira tinggal sini je?"
Amira kini menghadap Puan Fatimah dan meluahkan kata-kata dengan lebih yakin.
"Kenapa? Mira ada masalah ke dengan Faizal?" Puan
Fatimah menyoal ingin tahu. Sejak mereka bernikah, belum penah lagi Amira dan
Faizal bermalam bersama. Cuma ketika pulang ke Kedah sahaja. Itupun Puan
Fatimah maklum mereka tidak tidur sebilik. Kata Amira, selagi urusan
pendaftaran nikah dengan pejabat agama tak selesai, kurang sesuai untuk tinggal
bersama. Tapi bila selesai, Amira dan Faizal masing-masing berdiam diri dan
sibuk dengan urusan masing-masing. Sejak menghantar Amira pulang dari Kedah,
ahad lalu. Faizal sudah tidak menunjukkan diri ke rumah itu. Apa sebenarnya
yang sedang berlaku? Adakah mereka masih tidak boleh terima perkahwinan yang
berlaku secara tiba-tiba ini?
"Sebab, kami baru sangat kenal. Mira tak biasa lagi la.
Sementara ni Mira rasa lebih baik Mira tinggal sini dulu. Faizal pun tak ada
cakap apa-apa pasal pindah rumah. Dia pun tengah sibuk. Sebab kahwin tiba-tiba,
Faizal mungkin tak sempat nak sedia dan fikir pasal rumah ni," Amira cuba
memberi penjelasan. Itulah kebenarannya. Tidak ada yang perlu disembunyikan.
Memang hakikatnya mereka masih terlalu awal dalam perkenalan dan perkahwinan
yang berlaku tiba-tiba ini pasti memerlukan masa untuk mereka fikirkan langkah
bagaimana yang perlu diambil selepas ini
Puan Fatimah dia mendengar bicara Amira. Memang ada
benarnya. Namun, Amira dan Faizal bukan muda lagi untuk berfikir lama-lama
dalam mendirikan keluarga. Alang-alang sudah selesai menikah, mereka perlu
fikirkan soal memperoleh anak pula. Faizal sudah berusia 35 tahun, Amira pula
lagi 2 tahun menginjak usia 30 tahun. Apa lagi yang nak difikirkan panjang
lebar. Kahwin dan hidup berumah-tangga saja seperti orang lain. Namun, Puan
Fatimah tidak meluahkannya. Hanya mengangguk dan berlalu. Amira, walaupun
nampak lembut, tapi hatinya keras, bukan mudah untuk menukar keputusan yang
telah dibuatnya. Barangkali perlu diselesaikan di pihak Faizal. Faizal pun
satu, sudah lupakah yang Amira itu isterinya, dibiarkan saja tinggal di rumah
ibu bapa tanpa bertanya khabar berita.