Setelah selesai
solat subuh. Faizal melihat dia sendirian di bilik Amira. Gadis itu sudah
menghilang. Faizal memerhati ruang bilik itu. Matanya tertancap pada beberapa
rak yang penuh tersusun buku pelbagai genre yang mengambil ruang hampir satu
perempat bilik itu. Faizal bangun dan membelek tajuk-tajuk buku yang ada.
Sebuah buku
autobiografi seorang tokoh politik Eropah ditarik. Dia membawa buku itu ke
katil, membaca beberapa muka sebelum terlena. Namun, lenanya tidak begitu
mendamaikan dia didatangi mimpi yang meresahkan.
Wajah Amira
yang merah dengan tangisan. Amira menangis tidak berhenti. Dan dia hanya kaku
memandang. Dia ingin menghampiri. Membawa gadis itu dalam pelukan dan meredakan
segala duka yang mengalirkan air mata. Tapi dia masih tidak berganjak. Dan
tangisan Amira kedengaran semakin sayu dan menyayat perasaan.
Faizal terjaga.
Dia masih di bilik Amira. Masih kosong. Amira tiada. Perlahan dia melafaz
istighfar. Hatinya resah dengan mimpi itu. Resah dengan tangisan Amira subuh
tadi.
Dia bingkas
bangun. Menghalau segala pemikiran yang bukan-bukan. Barangkali tidur selepas
subuh yang membawa kepada mimpi yang kurang menyenangkan. Faizal berfikir untuk
mandi dan menyegarkan diri. Pandangannya tertumpu kepada beg luggage di depan
pintu bilik.
Malam tadi
selepas menamatkan panggilan dengan Zaman, Faizal tidak dapat menangguh lagi
hasrat untuk pulang. Nasib baik dia tidak menginap di hotel di Pulau Perhentian
dan memilih untuk menempah hotel di tanah besar. Malam itu juga dia mendaftar
keluar dan mendapatkan kereta sewa menuju ke lapangan terbang. Untung mendapat
penenrbangan awal pagi. Sebelum subuh di sudah tiba di KLIA2 dan terus
mendapatkan teksi ke rumah Amira. Ketika tiba Encik Amir yang membuka pintu.
Walaupun agak terkejut, ayah mentuanya itu tidak banyak bertanya bila Faizal
memberitahu dia masih belum menunaikan solat subuh. Segera saja Encik Amir
menggesanya naik.
Faizal membuka
beg dan mengambil pakaian. Dia mahu bertemu Amira. Tapi kurang manis pula jika
turun tanpa mengemaskan diri dahulu Sudahlah mampir ke rumah subuh-subuh lagi.
Faizal mengeleng kepala dengan sikapnya di rumah mentua. Nasib baik dia lelaki,
kalau perempuan pasti lebih segan.