Keadaan ayah Faizal semakin tenat. Ibunya, Puan Jamilah
berulang-kali mendesak agar Faizal membawa pulang calon menantu dan mengasihani
bapanya yang akan pergi tanpa sempat menatap wajah isteri Faizal. Faizal
dihambat serba-salah. Ketika itu hanya wajah Amira yang terbayang di ruang
mata. Sanggupkah Amira membantunya?
Teragak-agak Faizal mebuat panggilan kepada Amira.
Barangkali Amira akan merasa kasihan dan sudi membantunya.
"Amira, awak sibukke?" Amira yang sedang asyik
mengikat telur pada bunga telur terhenti sejenak melihat nama Faizal di telefon
bimbitnya.
"Saya tengah siapkan bunga telur," Amira menjawab.
Namun jawapan itu menimbulkan tanda tanya kepada Faizal. Bunga telur? Amira nak
kahwin ke? Tak mungkin la, Amira kan tak percaya pada perkahwinan.
"Esok kenduri adik saya, ingat tak? Saya ada bagi kad jemputan
dulu," Amira menjelaskan bila Faizal seakan membisu seketika. Faizal
menghembus nafas lega. Sungguh, dia benar-benar bimbang Amira yang berkahwin.
"Hello, Faizal. Awak ada lagi ke? Kenapa diam? Awak
ingat saya ke yang kahwin?" Amira tertawa kecil di hujung bicara. Faizal
berdehem sebelum membalas.
"Yelah, tiba-tiba buat bungan telur. Risau saya,"
Amira tersenyum sendiri, terfikir mahu mengusik Faizal lagi.
"Awak tak hantar rombongan meminang lagi, macam mana
saya nak kahwin," Amira menahan tawa. Faizal terdiam. Terasa jantungnya
berdegup tidak menentu.
"Kalau saya hantar esok boleh?" Faizal bersuara
serius. Ya, dia serius, malam ini dia akan berbincang dengan ibu bapanya. Dia
akan meminang Amira esok dan Amira, adakah Amira akan menerima?
"Faizal, saya main-main sajalah. Awak jangalah ambil
serius pula," Amira mulai bimbang. Faizal sengaja mengusik atau
benar-benar serius.
"Saya seriuslah, esok saya datang ye," Faizal
mematikan sebelum sempat Amira menjawab.
"Esok kenduri..." panggilan sudah dimatikan. Amira
merenung telefon bimbitnya. Faizal, biar betul.
"Amira, cepatlah, siapkan bunga telur ni, dah mengantuk
la," Liza, sepupu Amira memanggil. Amira tersedar dan menyahut sambil
melangkah menuju mereka. Langsung terlupa tentang Faizal.