Faizal memandu memasuki kawasan sebuah apartmen. Amira
mengerutkan dahi. Ingin bertanya, namun, melihat wajah serius Faizal dan sikap
Faizal yang hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan membuatkan Amira
ragu-ragu untuk bertanya.
"Awak nak ke mana?" Amira bersuara juga bila
kereta sudah memasuki ruang tempat letak kereta apartment tersebut. Faizal
menoleh sejenak ke arah Amira.
"Hmm?" Faizal masih memikirkan apa yang perlu
disediakan di dalam apartmen 4 biliknya. Amira perlu diberi bilik sendiri.
Tidak mungkin Amira setuju untuk untuk berkongsi bilik. Kalau Amira setuju
sekalipun, dia sendiri tidak boleh menerima. Ruang bilik tidur dirasakan
terlalu peribadi untuk dikongsikan. Perlukah untuk berpindah ke rumah yang
lebih besar. Barangkali Amira lebih selesa. Apartmennya tidaklah terlalu kecil
namun, bila tinggal berdua, mungkin mereka perlu lebih ruangan.
"Awak nak ke mana? Bukan kita nak pergi makan ke?"
Amira terus menyoal bila Faizal hanya berdiam. Faizal memarking kereta sambil
memandang Amira.
"Bukan kita nak pergi tengok rumah saya?" Faizal
menjawab tenang. Amira membeliakkan mata. Bila masa pula? Dia tak dengar pun
Faizal bercakap soal itu.
"Mak awak telefon saya tengahhari tadi tanya bila kita
nak tinggal bersama. Bukan mak awak dah bagitahu awak ke?" Faizal
memandang Amira hairan dengan riak terperanjat Amira. Amira pantas menggeleng.
"Mana ada! Awak pun, bagitahu lah dulu kalau nak buat
apa-apa pun," Amira mengerutkan dahi tidak puas hati. Faizal tertawa
kecil.
"La... saya ingatkan awak yang mengadu pada mak awak
sebab saya tak bawa pindah rumah baru lagi. Awak tak tahu ke? Tak ada cakap
dengan mak awak?" Faizal menambah usikan bila melihat wajah masam Amira.
Amira menjeling. Teringat perbualan dengan Puan Fatimah semalam.
"Mak ada tanya. Tapi saya kata nak duduk rumah mak ayah
dulu," Amira menjawab lambat-lambat. Faizal merenung Amira.
"Kalau mak awak setuju, mesti dia tak hubungi saya dan
suruh bawa anak perempuan dia ni keluar dari rumah tu," Faizal bersuara
tegas. Dia sedar, biar apa pun, Amira kini isterinya dan menjadi
tanggungjawabnya. Kalau dia biarkan Amira terus tinggal di rumah keluarga
mentuanya, pasti mentuanya akan beranggapan yang bukan-bukan. Amira menjeling
Faizal dan memuncungkan mulut. Masih tidak puas hati.
"Dah la, turun dulu. Awak tengok rumah, esok boleh bawa
barang dari rumah awak dan beli barang-barang lain yang perlu. Kalau awak masih
tak puas hati, kita beli rumah baru.
Atau awak nak saya reka rumah khas untuk awak?" Faizal bersuara memerli.
Amira menjeling dan tidak berganjak.
"Memanglah awak kahwin dengan arkitek, tapi janganlah
cerewet sangat pasal rumah," Faizal terus berbicara. Amira mengerut dahi,
bila masa dia cerewet. Dia cuma mahu tinggal bersama ibu bapanya. Dia tidak
mahu tinggal bersama Faizal!
"Cepat!" Faizal sudah membuka pintu di sebelahnya,
menunggu Amira untuk melangkah keluar. Amira menghembus nafas berat.
"Awak, tak boleh ke saya tinggal dekat rumah mak ayah
saya je?" Amira berdiri di sisi kereta tidak berganjak. Faizal menarik
nafas merenung wajah masam Amira.
"Apa yang awak risaukan, kita duduk bilik asing-asing.
Saya tak akan ganggu hidup awak, awak boleh hidup macam biasa. Kitaa hidup
macam biasa," Faizal meyakinkan. Amira masih membatu. Jujurnya, Faizal
sendiri tidak pasti bagaimana keadaannya selepas hidup bersama. Dia tidak
pernah berkongsi rumah dengan sesiapa kecuali ibu bapanya. Ketika belajar di
Amerika Syarikat juga, dia tinggal di hostel dengan bilik yang tidak berkongsi.
Namun, dia sedar, kehidupanya sudah berubah dan mahu tidak mahu dia perlu
menerima perubahan ini. Dia perlu belajar menerima Amira. Walau, Amira masih
tidak mahu menerima Faizal dalam hidupnya.
"Kita tengok rumah dulu ye? Lepas tengok, baru awak
fikir lagi," kali ini nada Faizal seperti memujuk. Faizal berbicara dalam
hati, kini dia perlu memujuk dan berlembut dengan Amira. Ya, Amira bukan lagi
kawan dan teman biasa. Amira adalah isterinya. Biarpun dia tidak gemar bersikap
seperti itu, dia perlu juga memaksa diri. Bukankah dia juga yang memaksa Amira
untuk mengahwininya.
"Saya tengok je, tapi saya tak janji untuk setuju
pindah," Amira mengalah namun masih tidak menerima keputusan untuk
berpindah. Mana mungkin untuk dia tinggal bersama lelaki yang baru dikenali
sebulan lebih itu. Biarpun lelaki itu telah sah menjadi suaminya. Faizal
tersenyum dan mengangguk.