"Amira!" suara Puan Fatimah menerjah gegendang
telinga. Amira berpaling melihat ibunya sudah berada di hadapan pintu. Faizal
yang sedang meneguk kopi, terhenti. Diletak kembali mug di atas meja kopi.
"Makan depan tv? Bukan mak dah pesan, hidangkan
elok-elok untuk Faizal atas meja makan?" Puan Fatimah menggeleng kepala
melihat dua pinggan kosong di atas meja kopi. Amira diam. Dia lantas menindih
kedua-dua pinggan yang kosong dan mugnya ke dapur. Dia sedar memang ibunya
sudah berkali-kali mengingatkan sebelum keluar pagi tadi untuk menyiapkan
sarapan dan menghidangkan di atas meja makan. Cuma, memang sudah tabiatnya
untuk makan di hadapan televisyen. Rasa janggal pula untuk berubah semata-mata
kerana Faizal. Lebih janggal lagi untuk makan berdua dengan Faizal di meja
makan yang panjang itu.
Faizal mengukir senyuman kepada ibu dan bapa mentuanya
sebelum turut mengekor Amira ke dapur dengan mug di tangan. Amira sedang
membassuh pinggan di sinki. Perlahan, Faizal meletakkan mugnya di dalam sinki.
Amira menjeling ke arah Faizal. Faizal hanya tersenyum sebelum kembali ke
hadapan. Tadi dia melihat banyak bungkusan yang di bawa ibu mentuanya.
Barangkali mereka baru pulang dari membeli barang di pasar.
"Mira, memang dah terbiasa makan depan tv. Mak dah
pesan tadi suruh dia hidang atas meja. Letak sekali mangkuk untuk tambah. Buat
air dalam teko," Puan Fatimah masih berleter. Faizal hanya tersengih
sambil membantu mengangkat bungkusan ke dapur.
"Amira dah siap masak spagetti?" Encik Amir yang
turut ke dapur bertanya. Amira tersengih sambil tangannya menunjukkan spagetti
di kuali.
"Dah, sedap bah. Saya makan dua pinggan," Faizal
sengaja memuji. Mahu mengalihkan perhatian Puan Fatimah yang masih tidak senang
dengan tingkah Amira. Puan Fatimah menjenguk kuali.
"Panaskan, lepas tu hidangkan dekat depan untuk
abah," Puan Fatimah memberi arahan. Amira hanya mengangguk sambil mencari
mangkuk yang sesuai untuk digunakan. Faizal dan Encik Amir berlalu ke hadapan.
"Abah beli barang dapur ke?" Faizal cuba memulakan
perbualan.
"Aah, selalu pagi sabtu ahad memang abah dengan mak
kamu akan pergi taman untuk bersenam. Lepas tu biasa sarapan dekat luar.
Kemudiaan kalau perlu singgah pasaraya beli barang dapur," Encik Amir
menerangkan rutin hujung minggunya kepada Faizal. Faizal mengangguk tersenyum.
"Amira tak ikut?" Faizal bertanya. Entah mengapa
dia mahu tahu lebih banyak tentang Amira. Encik Amir yang baru membuka surat
khabar terhenti untuk membaca. Pandangannya ditalakan kepada menantunya itu.
"Amira tak suka keluar. Kalau tak ada urusan penting
seperti pergi kerja dan pergi kelas, memang terperap dekat rumah," Encik
Amir menjawab. Faizal mengangguk.
"Sebab itu bila beberapa kali dia pulang lewat setelah
tamat kerja, abah tanya dan dia jawab keluar dengan kawan. Abah terkejut juga.
Lebih tak sangka bila kawannya lelaki," Encik Amir menyambung. Faizal
terdiam. Teringat temujanji bersama Amira yang berlaku beberapa kali sebelum
mereka berkahwin.
"Saya tak tahu masa tu Amira tak pernah keluar dengan
lelaki lain. Saya minta maaf kalau tindakan saya macam tak bersopan,"
Faizal menutur kata-kata. Serba salah juga bila Encik Amir masih merenungnya.
Tiba-tiba Encik Amir ketawa. Faizal terpinga-pinga.
"Bukan abah marah. Cuma terkejut sebab Amira tiba-tiba
berubah. Sebab itu bila kamu datang meminang, abah terus setuju sebab sangka
Amira memang benar-benar sukakan kamu. Yalah, tak pernah-pernah keluar dengan
lelaki, tiba-tiba keluar dengan kamu," Encik Amir menjelaskan setelah
tawanya reda. Memang itulah tanggapannya bila mengetahui Amira keluar dengan
lelaki buat kali pertama. Baginya, dia memang selalu mendoakan hati Amira
terbuka untuk menamatkan zaman bujang dan mendirikan rumah tangga seperti
adik-beradiknya lain.
Faizal hanya tersenyum. Amira sukakannya? Benarkah begitu?
Entah mengapa hatinya seperti berbunga-bunga pula. Jikalah benar. Atau mungkin
akan jadi benar?