Kereta Faizal sudah terdampar di halaman. Amira baru pulang
dari kerja. Hari ini Jumaat. Faizal akan bermalam di sini buat kali pertama.
Awal sungguh sampai! Amira berbicara dalam hati. Separuh hatinya masih tidak
berpuas hati.
Terdengar suara gelak ketawa dari dapur. Amira melangkah
perlahan. Kelihatan Faizal bergelak ketwa dengan Puan Fatimah yang sedang
mengacau kuali. Amira berdehem agak kuat. Seraya memalingkan wajah Faizal dan
Puan Fatimah ke arahnya. Amira tersenyum kecil.
"Awalnya awak sampai?" pandangan Amira jatuh kepada
Faizal yang tersengih. Masih tersisa keceriaan dari perbualan bersama Puan
Fatimah.
"Faizal nak belajar masak, dia kata dah banyak kali dia
cuba masak tapi selalu tak menjadi. Mak kata tak payah susah-susah nak beajar.
Amira kan ada, sebut je nak apa, semua Amira boleh masakkan," Amira
mengerutkan wajah mendengar bicara Puan Fatimah yang masih menghadap kuali.
Sebelum beralih pula ke arah Faizal yang tersenyum lebar sambil mengenyitkan
mata.
"Mira naik dulu la," Amira malas mahu melayan.
Masak? Memang dia mahir sebab Puan Fatimah sudah mengajaknya membantu di dapur
sejak kecil lagi. Tapi memasak bukanlah kegemarannya, dia hanya menolong Puan
Fatimah sekali-sekala sahaja jika ada tetamu yang datang dan perlu memasak
dalam kuantiti yang banyak. Hari-hari biasa hanya Puan Fatimah yang memasak,
dia cuma membantu mengemas pinggan dan mangkuk sahaja. Amira sedar, mahu tidak
mahu kalau sudah berkahwin, tidak lagi tinggal bersama ibu dan bapanya, perlu
juga dia rajin ke dapur, menyiapkan juadah untuk suami dan anak-anak, namun,
dia tidak lagi memikirkan itu semua. Dia masih terlalu sibuk menguruskan
kerjayanya.
"Mira, tunjuk Faizal bilik sekali. Faizal tak naik
lagi, balik kerja terus tengok mak kat dapur," Puan Fatimah memberi
arahan. Nadanya lembut tapi Amira tahu arahan yang tidak boleh dibantah. Amira
memandang Faizal sambil memberi isyarat mengikutnya.
"Saya naik dululah mak," Faizal meminta izin. Puan
Fatimah memandang Faizal sambil tersenyum. Menantunya itu kalau dilihat dari
segi mata kasar tak ada cacat celanya, kacak, bergaya malah arkitek dan
usahawan yang berjaya. Barangkali kerana terlalu sibuk dengan kerjaya, Faizal
tidak sempat mencari jodoh. Barangkali juga memang sudah ditakdirkan Faizal
jodoh Amira. Puan Fatimah berdoa semoga anak dan menantunya itu bahagia.
Walaupun dia masih baru mengenali Faizal, dia merasa senang
dengan Faizal. Anak muda yang sopan dan menghormati orang tua. Faizal juga
tidak banyak bicara, malah patuh juga. Teringat bila dia menghubungi Faizal
bertanya soal bila mahu mengambil Amira tinggal bersama. Faizal segera meminta
maaf dan berjanji akan menghubungi Amira. Malam itu juga dia datang ke rumah
walaupun cuba memberi alasan untuk tidak tinggal bersama, Puan Fatimah
merasakan Faizal sentiasa mahu cuba untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai
suami. Cuma Amira masih tidak biasa dan keberatan untuk terlalu cepat menerima.
Puan Fatimah juga tahu Amira memang tidak ramai kawan lelaki, jadi, memang
Amira perlukan lebih masa untuk mengenali dan menerima Faizal.
Tidak seperti Faiza, adik Amira yang setelah tamat sekolah
saja membawa pulang teman lelaki untuk diperkenalkan dengan keluarga dan
meminta untuk berkahwin. Namun Encik Amir hanya membenarkan Faiza untuk
bertunang, setelah tamat pengajian di peringkat diploma, baru dibenarkan Faiza
untuk berkahwin. Ketika Faiza berkahwin, ada juga Puan Fatimah bertanyakan
Amira kalau sudah mempunyai calon. Namun, anak gadisnya yang sedang melanjutkan
pengajian ketika itu terlalu fokus belajar dan seringkali mengelak pertanyaan
tentang perkahwinan. Encik Amir juga tidak begitu menggalakkan Amira untuk
berkahwin awal, dia senang bila perhatian Amira lebih tertumpu pada pelajaran.
Sebaliknya Puan Fatimah dilanda sedikit bimbang sebab Faiza melangkah bendul.