Selepas solat subuh, Faizal tertidur semula. Malam tadi, dia
terlena lebih lewat menyelesaikan kerja pejabat yang dibawa pulang dan masih
terbengkalai. Bimbang cuti hujung minggu ini ada pula agenda mertuanya. Tidak
sedap pula menolak dengan alasan kerja.
Bila terjaga jam sudah menunjukkan hampir 10 pagi. Faizal
beristighfar perlahan. Memerhati ruang bilik itu, dia sedar dia masih di rumah
mentuanya dan dia boleh terjaga lewat begitu. Apa pula kata mentuanya. Faizal
segera menuju ke kamar mandi untuk membersihkan diri.
Faizal turun ke bawah, tapi suasana ruang tamu sunyi sahaja.
Dia menjenguk ke luar. Kelihatan kereta kenari merah Amira masih di laman. Tapi
kereta honda accord ayah mentuanya sudah tiada. Sudah keluarkah semua orang?
Faizal bertanya dalam hati. Dia melangkah pula ke dapur. Terasa lapar
sebenarnya bila bangun dari tidur. Teringat spagetti Amira. Masih disimpankah
untuknya?
Faizal terpegun. Melihat Amira tanpa bertudung. Asyik sekali
mengacau kuali, tidak sedar kehadiran Faizal di dapur. Rambutnya yang panjang
di sanggul tinggi. Kelihatan lehernya yang jinjang dan putih melepak. Faizal
diam memerhati. Amira sedang menggau spagetti. Sudah pukul 10 pagi, baru Amira
hendak selesai memasak? Dia bertanya sendiri. Ke mana pula mentuanya pagi-pagi
begini? Persoalan demi persoalan melanda fikiran namun pandangannya masih
terpaku pada Amira. Masih dengan T-shirt lengan panjang dan seluar.
Amira berpuas hati. Lega juga bila dia mengetuk pintu Faizal
pukul 7 pagi tadi, Faizal tidak menyahut dan dia membuka pintu melihat Faizal
terlena dengan sejadah yang masih terbentang. Penat sangatke terus tidur lepas
subuh sampai tak sempat lipat sejadah? Amira tertanya sendiri. Di atas meja
solek, komputer riba terbuka dan beberapa kertas dan fail turut bersepah di
situ. Barangkali tidur lewat menyiapkan kerja pejabat. Amira meneka sendiri.
Dia turun memaklumkan yang Faizal masih keletihan kepada ibu
bapanya dan berkata dia akan masak lewat sedikit. Puan Fatimah membuat muka.
Encik Amir hanya tersenyum. Tahu saja sikap anak perempuan sulungnya yang liat
ke dapur. Lalu dia mengajak isterinya bersarapan di luar. Memang bila hujung
minggu dia sering ke taman untuk bersenam ringan bersama Puan Fatimah dan
mengambil sarapan di luar. Baginya, itulah masanya untuk diluangkan bersama
isteri tersayang bila sudah seminggu sibuk bekerja. Amira tersengih. Dia faham
benar rutin orang tuanya itu. Dia juga tidak berhasrat untuk berpencak di dapur
seawal itu. Pagi-pagi begini dia lebih gemar menulis. Idea di awal pagi lebih
segar dan tumpuan lebih baik.
Jam sembilan pagi, dia memeriksa lagi bilik Faizal. Masih
kaku di atas katil. Masak dululah baru kejutkan Faizal. Dia memutus di dalam
hati sambil turun menuju ke dapur. Ibu bapanya memang akan pulang agak lewat.
Selalunya lepas bersarapan, mereka akan ke pasaraya membeli barang keperluan
harian. Barangkali jam 11 atau kalau ibunya mahu membeli-beli barang-barang
lain, hampir tengahhari juga baru tiba di rumah.
Mulanya, Amira menyarung juga tudung di kepala. Tapi bila
mula memasak, terasa panas dan berpeluh pula. Lalu ditanggalkan tudung dan di
sangkut pada penyidai di tepi bilik air di dapur. Kiranya Faizal pasti akan
terus dibuai mimpi sehingga dia datang mengejutkan. Namun, saat dia berpaling,
dia terkejut melihat Faizal tegak berdiri di belakangnya sambil merenung tajam.
"Awak, terkejut saya!" Amira menjerit kecil.
Pandangan Faizal jatuh pula pada leher sebelah hadapan. Jelas di matanya lekuk
tulang leher Amira. Matanya masih tidak berkelip memandang. Amira segera
tersedar. Lantas dia menuju ke penyidai di tepi bilik air sambil menyarung
tudungnya. Hatinya merungut sendiri. Bagaimana dia boleh cuai sebegitu. Percuma
saja Faizal dapat melihat auratnya yang terjaga selama ini. Namun, separuh
hatinya menjawab pula. Bukan berdosa pun, Faizal kan suaminya.
"Kenapa senyap je? Ingat awak tidur lagi," Amira
bersuara selamba. Faizal tersenyum dengan telatah Amira yang kelam-kabut
menyarung tudung. Tidak mahu memberi sebarang komen, dia menjenguk kuali yang
berisi spagetti yang baru siap dimasak Amira. Nampak menyelerakan melihat
spagetti berwarna putih dengan rencah makanan laut, udang dan sotong. Carbonara
seafood ke? Macam spagetti goreng. Faizal mencari-cari nama masakan spagetti
yang Amira sediakan.
"Awak masak spagetti apa ni?" terluah juga
pertanyaan bila dia tertanya-tanya dalam hati. Amira yang sedang mengambil
pinggan berpaling.
"Spagetti Amira," Amira tersenyum memandang
Faizal. Resepinya sendiri. Amira memasak mengikut selera dan sesuka-hatinya.
Spagetti dengan makanan laut adalah kegemarannya, rencahnya kadang-kadang
dengan sos tomata bolognese yang ditumis dengan cili kering kisar atau
kaang-kala di masak spagetti hanya dengan sos lada hitam. Tapi kali ini,
kebetulan ada setin sos carbonara, maka dia masakkan saja sos carbonara dengan
serbuk lada hitam bersama bawang putih yang telah ditumis terlebih dahulu.
"Nah, pegang jap saya sendukkan," dia memberi satu
pinggan kosong kepada Faizal. Dia menyenduk dahulu ke dalam pinggannya sebelum
menukar pinggan yang telah berisi spagetti dengan pinggan kosong di tangan
Faizal. Melihat spagetti yang masih berasap itu, perut Faizal semakin
berkeroncong pula.
"Tunggu kejap, belum siap lagi," Amira tersenyum.
Dia menuju peti ais dan mengeluarkan 2 keping keju chesdale dan diletak setiap
satu dalam setiap pinggan. Faizal hanya memerhati. Amira memasukkan satu pinggan
ke dalam microwave, menekan masa 1 minit. Dia tersenyum.
"Saya baru terfikir idea ni bila tengok ada keju dalam
peti ais tadi," Faizal hanya mengangguk. Perutnya sudah lapar. Banyakla
pula idea Amira.
"Awak nak air apa?" Amira sudah beredar mengambil
2 mug. Faizal yang terpegun pada microwave tidak sabar menanti untuk masakan
itu siap berpaling.
"Kopi ada? Saya siapkan kerja sampai lewat malam tadi.
Kepala pun masih pening lagi. Mak, Abah ada tanya pasal saya tak tadi?"
Faizal bertanya sambil mendekati Amira yang sedang memilih beberapa peket
minuman 3 dan 1 yang ada. Amira menunjukkan 3 jenis kopi yang ada. Faizal
memerhati satu-satu. Banyak pula pilihan. Faizal menunjuk salah satu. Amira
menghulur mug yang telah dimasukkan serbuk kopi pilihan Faizal kepadanya.
"Air panas ada dekat hujung sana," Amira memberi
petunjuk. Kena layan diri rupanya. Amira berlalu membuka microwave dan
mengeluarkan pinggan berisi spagetti dengan berhati-hati. Lalu memasukkan
pinggan yang kedua. Faizal yang sedang menuang air panas ke dalam mugnya
memanjangkan leher melihat hasil spagetti Amira. Kelihatan keju chesdale
mencair mengikut permukaan spagetti. Nampak unik pula.
"Ada sudu? nak kacau," Faizal bertanya. Amira yang
sedang menuangkan susu segar dari peti ais berpaling.
"Carila kat tempat sudu tepi microwave tu," Amira
hanya memberi arahan. Faizal memerhati. Ada laci kecil di sebelah microwave. Dibukanya dan diambil sudu kecil untuk
mengacau kopinya. Dia memerhati Amira yang sudahpun membuka microwave yang
telah siap untuk pinggan kedua. Ada senyuman terukir di bibir Amira.
"Jom," Amira menghulur satu pinggan kepadanya
setelah diletak garpu. Dia menyambut dan mengekor Amira ke hadapan. Sangkanya
Amira akan berhenti di meja makan di ruang tengah. Tapi Amira terus ke hadapan
meletakkan pinggan spagetti dan mug di atas meja kopi di hadapan televisyen.
Amira mencapai alat kawalan dan televisyen di pasang. Faizal ragu-ragu
mengambil tempat di sofa yang menghadap televisyen. Mug diletakkan perlahan di
atas meja kopi di sebelah mug Amira.
Amira mengambil tempat di sebelah Faizal. Tangannya masih
menekan-nekan punat alat kawalan jauh. Masih tidak ada rancangan yang menarik
perhatiannya. Akhirnya, setelah beberapa kali menukar siaran, dia berhenti pada
rancangan kartun. Faizal hanya memerhati sambil menyuap perlahan spagetti di
mulut. Pagi sabtu begini, memang kebanyakan siaran hanya menyiarkan rancangan
untuk kanak-kanak.
Sedap. Faizal menyuap tidak berhenti. Tidak sampai 10 minit,
pinggannya sudah licin. Terasa mahu menambah tapi segan pula mahu bertanya
kepada Amira bila dilihat pinggan Amira masih ada separuh lagi. Pandangan Amira
masih tertancap di kaca televisyen.
Dia meletakkan pinggan kosongnya di atas meja kopi. Bunyi
pinggan berlaga dengan kaca di permukaan meja menarik perhatian Amira ke arah
Faizal.
"Dah habis? Nak lagi?" Amira menyua pinggannya.
Faizal kaget. Memang mahu lagi, tapi Amira mahu memberi yang sedang dimakannya
ke?
"Saya tak larat la pula, awak habiskan boleh?"
Amira memandang Faizal meminta simpati. Dia sebenarnya terlupa yang dia
tidaklah begitu gemarkan keju. Dia cepat muak bila makan keju. Sudahlah
spagetti diletak sos carbonara yang memang bahannya dari keju, dia cairkan pula
keju chesdale. Namun, hakikatnya, dia memang begitu, jika dia memasak, dia
tidak begitu selera untuk makan hasil masakannya walaupun orang lain
mengatakannya sedap. Dia sendiri tidak pasti mengapa. Barangkali itu antara
sebab Amira jarangjarang mahu memasak.
Faizal diam sejenak dengan permintaan Amira. Tidak pernah
dia makan dari bekas orang lain. Dia ragu-ragu mahu menunaikan permintaan
Amira. Tapi, dia masih lapar, dan spagetti di pinggan Amira hanya disentuh
separuh, separuh lagi masih elok tidak disentuh. Takkan mahu mengambil yang
baru dari dalam kuali dan biarkan spagetti dalam pinggan Amira terbuang.
Membazir pula rasanya.
"Saya bagi awak yang saya belum sentuh ni," Amira
sudahpun memindahkan sebahagian spagetti ke pinggannya di atas meja. Dia masih
terdiam memerhati. Kemudian dia tersenyum sendiri. Adakah ini petanda untuk
mereka mula rapat? Berkongsi makan?
Faizal mengangkat pinggannya yang telah diisi spagetti oleh
Amira. Dia menyuap perlahan. Sama saja rasanya. Lagipun apa salahnya berkongsi
dengan isteri. Boleh mengeratkan lagi kasih sayang. Faizal tersengih sendiri.
Pandangan Amira kembali tertumpu kepada kaca televisyen. Namun, dia terfikir
kembali. Apa yang dia telah lakukan? Berkongsi makanan dengan Faizal? Dia
memang selalu begitu, tidak habis makan dan selalu menyuruh orang berhampirannya
menghabiskan. Selalunya ibunya yang jadi mangsa, atau Faiza, adik perempuannya.
Tapi sejak Faiza berkahwin, Puan Fatimahlah yang selalu menghabiskan
makanannya. Selalu dia dileteri kerana ambil terlalu banyak dan makan sedikit
saja. Nak buat macam mana, masa ambil tu rasa sedap dan nak makan banyak. Tapi
bila dah mula makan, cepat pula rasa kenyang. Kini Faizal pula yang jadi
mangsanya.
Ketika dia bertanya tadi, dia sedar Faizal sendiri kaget.
Dia sendiri tidak percaya dengan tindakannya yang selamba memasukkan spagetti
dari pinggannya ke pinggan Faizal. Tapi, Faizal nampak ok je. Malah dia makin
berselera pula makan. Amira menjeling Faizal yang sudah bersila di sofa sambil
menyuapkan spagetti.