Malam itu, Amira menyeludupkan diri ke bilik
tetamu. Dia memang sudah merancang sejak awal pagi selepas terjaga dalam
pelukan Faizal untuk tidak lagi tidur sebilik dengan lelaki itu. Sudahlah
Faizal langsung tidak mengungkapkan apa-apa tentang apa yang telah berlaku.
Amira sendiri tidak pasti apa yang perlu diucapkan jika isu itu berbangkit.
Yang pasti, dia tidak mahu perkara itu berulang. Ya, sehingga mereka
benar-benar pasti ke mana arah hubungan itu. Atau setelah mereka berbincang
sebaiknya. Perkara tak sengaja ini sebaiknya akan Amira cuba elakkan.
Kepada Faiza, Amira terangkan panjang lebar.
Dia memang jarang berahsia daripada Faiza. Segalanya dia kongsikan. Dia juga
memohon agar Faiza diamkan perkara itu dari pengetahuan kedua orang tuanya.
Walaupun Puan Fatimah dan Encik Amir tahu dengan situasi hubungan Amira dan
Faizal, Amira sebolehnya tidak mahu mendengar leteran dari mereka, terutama
dari ibunya, Puan Fatimah.
Faiza pada mulanya terkejut dan kurang
bersetuju. Tapi bila dipujuk dan dijelaskan Amira, Faiza akhirnya tidak
membantah. Tapi dia tidak habis-habis bertanya tentang perancangan Amira,
pandangannya terhadap Faizal dan cinta Amira. Faiza tertanya-tanya jika Amira
langsung tidak mencintai Faizal. Amira hanya mampu berdiam. Pertanyaan demi
pertanyaan dari Faiza tidak mampu diberikan jawapan. Segalanya masih dalam
ketidakpastian. Dia perlukan masa. Faizal juga perlukan masa. Tidak pasti
berapa lama.
Faizal bungkam saat Amira memaklumkan dia akan
tidur dengan Faiza di bilik tetamu. Dia tidak sangka itu penyelesaian Amira.
Faizal terpaksa mengaku dalam hati betapa dia kecewa. Esok pagi dia akan
bertolak ke lapangan terbang untuk ke Kuala Terengganu. Niatnya, malam ini
dapat menatap wajah Amira sepuasnya. Mahu rasanya menahan Amira. Tapi apa pula
kata Amira. Faizal hanya diam saat Amira
membuka pintu perlahan-lahan dan menutupnya kembali.
Bilik Amira terasa begitu sepi. Walau dia
sudah tidak begitu banyak bercakap dengan Amira, pemergian Amira memberi kesan
yang sangat berbeza. Faizal merasakan dia ditinggalkan terpencil sendiri.
Ikutkan hati mahu memanggil Amira kembali. Tapi dia hanya kaku di atas katil.
Faizal mengeluh sendiri. Kalau dia mahu
memiliki Amira, ya, benar-benar mahu memiliki gadis itu, dia tidak boleh
berbolak-balik seperti ini. Sebagai lelaki dia mesti bertanggungjawab. Tak akan
selamanya Amira terseksa menjadi isterinya, dibiarkan tanpa sebarang kepastian.
Bukankah dia berjanji tidak akan melukakan hati wanita lagi? Sangkanya dia dan
Amira akan dapat bersama tanpa rasa terluka dan terseksa. Tapi benar kata Amira
ketika awal perkenalan dahulu, dia lelaki dan Amira perempuan, hakikat yang
tidak dapat dinafikan. Hatinya masih seorang lelaki dan jiwa Amira masih
seorang wanita.
Usia memang semakin mendewasakan Faizal. Dia
bukan lagi bercinta dengan kekasih. Amira adalah isterinya yang sah. Tidak
mungkin semudahnya mahu putus dengan Amira. Hubungan dengan Amira bukan soal
antara dua insan sahaja. Keluarga Amira, kedua orang tuanya turut terlibat
sama. Tambah lagi dia sama sekali tidak mahu berpisah dengan Amira saat ini.
Hatinya, terus-terusan mengingati gadis itu. Cuma Faizal ragu-ragu. Sampai
bila?
Keserabutan membawa Faizal terlena dalam
kesepian yang sering saja menemani keseluruhan hidupnya selama ini. Namun, satu
malam bersama Amira, rasanya dia tidak mahu malam yang sendirian lagi.