Faizal turun
untuk makan tengah hari. Puan Fatimah, selepas sarapan sibuk bertanya tentang
makanan kegemarannya. Mahu masak juadah istimewa katanya, tapi tidak pasti apa
yang sesuai dengan selera Faizal.
Di meja makan,
Encik Amir sudah menunggu. Puan Fatimah menatang jug air limau berais yang
nampak begitu menyegarkan. Hidangan di meja makan kelihatan begitu
menyelerakan. Namun, selera Faizal sudah terbang entah ke mana. Kalau ikutkan
hati dia tidak mahu menjamu selera tengah hari itu. Amira masih tidak muncul.
Jam sudah pukul satu tenghah hari.
"Duduklah
Faizal, Amira dah tengah jalan tadi. Dia pulang lewat sedikit. Awal semester,
ada mesyuarat penyelarasan katanya," Encik Amir menerangkan bila wajah
Faizal seakan tidak bermaya. Puan Fatimah tersenyum. Entah mengapa dia senang
bila Faizal kelihatan begitu resah dengan ketiadaan Amira. Mungkin harapannya
untuk Amira dan Faizal segera hidup sebagai suami isteri seperti pasangan yang
baru berkahwin lain akan segera tercapai.
Bicara Encik
Amir tidak dapat memadamkan rasa yang menggebu dalam hati Faizal. Namun, dia
ukirkan juga senyuman dan mengambil tempat di kiri ayah mentuanya. Sepanjang
pagi dia berkira-kira mahu menghubungi
Amira. Tetapi dia tahankan hati. Hakikatnya, dia tidak pasti apa yang wajar
diucapkan bila berdepan Amira. Namun, dia masih mahu menemui gadis itu. Menatap
wajahnya saja sudah cukup. Wajah tangis Amira subuh tadi terbayang-bayang dalam
ingatan. Apakah yang begitu menyedihkan gadis itu?
"Assalammualaikum,"
serentak semua berpaling. Faiza tersengih mengendong si kecil Fairuz menuju ke
meja makan. Faizal yang seakan baru merasakan mentari mula menyinar, disapa
mendung kembali bila adik Amira, Faiza yang tiba. Amira masih tidak kelihatan.
Puan Fatimah
menyambut Fairuz dengan senyuman lebar. Memang dia rindu dengan cucunya itu.
Bila Faiza mengkhabarkan suaminya, Azlan akan ada tugasan luar selama beberapa
hari dan akan bermalam di rumahnya, Puan Fatimah saangat gembira. Faizal ada.
Faiza dan Fairuz juga ada. Meriahlah rumahnya hujung minggu itu. Maka pelbagai
juadah disediakan tengah hari ini.
"Kak Mira
tak sampai lagi? Tadi dia bagitahu Ija dah dekat dah," Faiza bertanya bila
kelibat Amira masih tidak kelihatan.
"Mak suruh
dia singgah pasaraya kejap. Beli barang sedikit. Mak nak buat kuih, tak cukup
bahan pula. Makanlah dulu. Faizal, makan dulu," Puan Fatimah seakan
menggesa. Encik Amir sudahpun menyenduk lauk-pauk. Faizal masih teragak-agak
menerima pinggan yang telah diisi nasi oleh Faiza. Amira. Kenapa lewat sangat
untuk sampai?
"Tolong
Mira angkat barang lagi dari kereta," Amira tiba-tiba muncul dengan
menjinjit beberapa bungkusan di tangan. Ini bukan sedikit. Faizal teringat
kata-kata Puan Fatimah. Agak terpegun dengan kehadiran Amira yang segera
berlalu ke dapur meletakkan barang-barang.
"Biar saya
ambilkan barang tu," Faizal menawarkan diri bila Amira muncul semula dari
dapur. Hati Faizal sedah berbunga riang menatap wajah Amira.
"Tak
payah, angkat barang kemudian. Amira, makan dulu. Faizal ni, selagi kamu tak
ada. Tak berusik nasinya," Puan Fatimah segera menyampuk. Faizal yang baru
mahu bangun tidak jadi berdiri. Faiza hanya tersengih sambil mengangkat kening
sambil memandang ke arah kakaknya. Amira turut kelu dengan bicara ibunya.
Dipandang pinggan Faizal yang masih tidak terusik sedang yang lain sudah mula
menjamu selera. Malah, Puan Fatimah ralit menyuap Fairuz makan. Amira segera
menyenduk nasi ke pingganya dan mengambil tempat di sisi Faizal.
"Awak nak
lauk apa?" Amira bertanya bila Faizal masih berdiam dan memerhatikannya.
"Erm, nak
ikan tu," Faizal teragak-agak menjawab. Amira berlagak selamba
menyendukkan lauk untuk Faizal walau dia sedar ada enam pasang mata yang sedang
memerhatikan mereka berdua saat ini.
Walaupun agak
canggung, mereka sekeluarga makan dengan begitu berselera. Suasana tambah ceria
dengan keletah si manja Fairuz. Amira dan Faiza juga tidak berhenti bertukar
cerita tentang pelbagai perkara. Sambil disampuk oleh kedua orang tua mereka.
Faizal hanya mendengar. Kadang-kala tersenyum dengan suasana yang agak asing
baginya. Ya, dia anak tunggal yang jarang-jarang berada di tengah kemeriahan
keluarga yang ramai anggotanya. Keceriaan inikah yang diinginkan ke dua orang
tuanya di kampung yang begitu menggesanya membina keluarga?