Faizal agak terkejut menerima panggilan daripada Puan
Fatimah. Bukan dia terlupa atau sengaja mahu lupa. Namun, cuti seminggu
membuatkan begitu banyak urusan kerja yang tertangguh. Tidak sempat untuk
menghubungi Amira dan berbincang lebih lanjut. Amira juga tidak menghubungi.
Namun panggilan dari Puan Fatimah segera menyedarkan Faizal untuk bertindak.
Segan juga bila ibu mentua menelefon bertanya khabar. Faizal segera mendail
nombor Amira. Hari ini jumaat, mungkin boleh menyambung temujanji kali keempat
yang tidak kesampaian. Faizal tersenyum sendiri.
"Awak sibuk ke?" suara Faizal setelah hampir
seminggu menyepi. Amira sedar, lambat laun mereka perlu juga duduk semeja dan
berbicara.
"Saya baru nak keluar pejabat. Kenapa ye?" Amira
mula menyusun barang-barang di meja. Setelah beberapa hari kerja lebih masa
menyelesaikan kerja yang tertunggak minggu lalu, hari ini, Amira boleh keluar
pejabat seperti waktu biasa.
"Awak tunggu, saya datang ambil. Awak tak bawa kereta
kan?" Faizal memutuskan sambil memasukkan fail kerja dan laptop ke dalam
beg. Faizal bergerak pantas meninggalkan pejabatnya menuju kereta yang
diparking di hadapan pejabat.
"Erm.. ok, saya tak bawa kereta," Amira menjawab
teragak-agak dan panggilan terus diputuskan. Jumpa sajalah, esok bukankah tidak
bekerja?